Islam melarang membuat sebarang ilustrasi untuk menggambarkan keadaan Allah, Malaikat, Para Nabi, Alam Barzakh(kubur),Kiamat, Sirat, Timbangan amal, Hari Kebangkitan, termasuk syurga dan Neraka dan segala perkara yang Ghaib.
Pengertian Ilustrasi
Pengertian Ilustrasi adalah sebuah kata yang berasal dari bahasa Belanda ilustratie yang memiliki erti suatu hiasan dengan gambar. Jika secara terminologi ilustrasi merupakan suatu gambar yang memiliki fungsi sebagai sarana untuk menjelaskan suatu kejadian. Menurut para ahli (Soedarso,1990) menyatakan bahwa ilustrasi adalah sebuah gambar yang melukiskan tujuan tertentu seperti contohnya pada cerpen.
Justeru itu dapat difahami bahawa Ilustrasi ialah apa-apa bahan visual seperti lukisan, lakaran, catatan, foto dan apa jua hasil seni yang menekankan sesuatu subjek.Tujuan ilustrasi adalah untuk menerangkan atau menghiasi bahan teks dengan cara menyediakan gambaran visual. Ilustrasi juga adalah sebagai seni rupa yang mempunyai tujuan atau peranan dalam menyampaikan maksud-maksud tertentu untuk menerangkan suatu peristiwa.
Di dalam Islam ada dua aspek utama yang saling berkait antara satu dengan lain dan adalah mustahil untuk memisahkan antara kedua-dua aspek ini.
Dua aspek yang dimaksudkan itu ialah akidah dan syariah:
1-Akidah dalam Islam adalah sesuatu yang menjadi pegangan atau kepercayaan umat Islam. Secara kasar ia meliputi soal ketuhanan, kenabian dan Hari Akhirat.
2-Manakala syariah pula merupakan suatu sistem perundangan atau cara hidup yang ditetapkan melalui sumber-sumber hukum tertentu yang antara lain bertujuan untuk menjaga kemurnian dan keutuhan akidah umat Islam itu sendiri.
Berbalik kepada persoalan hukum larangan perbuatan ilustrasi atau melukis atau membuat lakaran untuk menggambarkan keadaan Allah, Malaikat, Para Nabi, Alam Barzakh(kubur),Kiamat, Sirat, Timbangan amal, Hari Kebangkitan, termasuk syurga dan Neraka dan segala perkara yang Ghaib. Yang mana larangan terhadap perbuatan ini mempunyai signifikan tertentu memandangkan ia menyentuh secara langsung terhadap akidah anutan umat Islam itu sendiri dan memberi ruang untuk melakukan perbuatan tersebut ditakuti boleh memudaratkan kepercayaan dan keimanan bahkan melunturkan kesucian akidah Islam.
Sungguh malang sekali, ada manusia di zaman ini cuba menjadikan perkara-perkara ukhrawi (ghaib) seolah-olah ia adalah perkara yang boleh dilihat.
Sesungguh ianya sama sekali tidak dibenarkan; kerana kita tidak mengetahui bagaimanakah rupa bentuk dan hakikat sebenar perkara tersebut. Sebagaimana diantara contoh yang disebut oleh Allah dalam firmannya berkenaan nikmat syurga,
فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya:"Tak seorangpun mengetahui berbagai nikmat yang menanti, yang indah dipandang sebagai balasan bagi mereka, atas apa yang mereka". As-Sajadah ayat 17
"(Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan) apa yang tersembunyi (bagi mereka yaitu berupa bermacam-macam nikmat yang menyedapkan pandangan mata) yakni nikmat-nikmat syurga yang menyenangkan hati mereka". Rujuk:Tafsir Jalalayn
Kita juga tidak mengetahui bagaimanakah api dalam neraka kerana ia lebih panas daripada api di dunia, dengan apinya yang sangat dahsyat.. Maka adakah sesiapa yang boleh menggambarkan neraka dengan gambaran sebenar? Jawapannya: Tiada.
Ibnu al-Mubarak meriwayatkan daripada Sufyan, daripada Sulaiman, daripada Abu Zhibyan, daripada Salman, dia berkata: “Neraka itu hitam, baranya tidak bercahaya api.” Kemudian dia membaca:
كُلَّمَا أَرَادُوا أَنْ يَخْرُجُوا مِنْهَا مِنْ غَمٍّ أُعِيدُوا فِيهَا وَذُوقُوا عَذَابَ الْحَرِيقِ
Maksudnya: Setiap kali mereka hendak keluar dari neraka lantaran kesengsaraan mereka, nescaya mereka dikembalikan ke dalamnya. (kepada mereka dikatakan): “Rasailah azab yang membakar ini.” (Surah al-Hajj ayat 22)
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam pernah bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ " نَارُكُمْ هَذِهِ الَّتِي يُوقِدُ ابْنُ آدَمَ جُزْءٌ مِنْ سَبْعِينَ جُزْءًا مِنْ حَرِّ جَهَنَّمَ " . قَالُوا وَاللَّهِ إِنْ كَانَتْ لَكَافِيَةً يَا رَسُولَ اللَّهِ . قَالَ " فَإِنَّهَا فُضِّلَتْ عَلَيْهَا بِتِسْعَةٍ وَسِتِّينَ جُزْءًا كُلُّهَا مِثْلُ حَرِّهَا "
Maksudnya: "Api (ini) yang dinyalakan oleh anak Adam adalah sepertujuh puluh dari kepanasan api Neraka Jahanam. Para sahabat berkata: Demi Allah, dengan kepanasan inipun sudah memadai wahai Rasulullah! Baginda bersabda: Sesungguhnya kepanasan api Neraka Jahanam melebihi kepanasan api ini sebanyak enam puluh sembilan bahagian (kali ganda). Setiap satu bahagian, kepanasannya sama dengan api ini". (Riwayat Bukhari, 3092 dan Muslim,2843).
Keimanan kepada Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam juga merupakan salah satu dari cabang beriman kepada perkara yang ghaib.
Namun ia adalah termasuk dalam kategori ghaib yang tidak mutlak memandangkan Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam hanya ghaib bagi umatnya yang terkemudian dan tidak ghaib bagi para sahabat dan generasi yang sempat hidup dan melihatnya ketika hayat baginda.
Mengimaginasikan wajah atau jasad Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam. sama ada dalam bentuk watak lakonan mahupun lukisan atau selainnya sekali-kali tidak akan dapat menyamai peribadi sebenar wajah atau jasad Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam, oleh itu ia boleh membawa kepada impak pembohongan ke atas Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam dalam bentuk perbuatan kerana pembohongan tidak semestinya dengan lidah semata-mata. Maka pembohongan ke atas rasul adalah sesuatu yang jelas pengharamannya dengan nas hadith sahih yang menyebut, Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, 110)
Keaiban dan kekurangan yang berlaku disebabkan oleh kelemahan manusia untuk memberikan gambaran sebenar terhadap wajah dan jasad Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam. sebagaimana yang dilihat sendiri dengan mata yang sihat adalah merupakan sesuatu yang mencacatkan keperibadian Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam. seterusnya dianggap sebagai perbuatan yang menyakitkan Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam. Hukum menyakitkan Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam. sendiri adalah sangat ditegah dan diharamkan oleh syariat berpandukan firman Allah Subhanahuwata'ala,
إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِينًا
Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya. Allah akan melaknatinya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan baginya siksa yang menghinakan".(Surah al-Ahzab ayat 57)
Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam adalah merupakan model ikutan umat baginda, oleh itu mengimaginasikan baginda sehingga membawa kepada kecacatan dan keaiban boleh mencetuskan pandangan atau persepsi yang tidak adil atau menyeleweng terhadap keperibadian Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bagi umat yang mengikutinya. Sedangkan Allah Subhanahuwata'ala berfirman dalam al-Qur’an:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Maksudnya: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”. (Surah al-Ahzab ayat 21)
Gambaran atau lukisan yang tidak bertepatan malah mustahil untuk ia bertepatan dengan keperibadian sebenar Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam yang dipamerkan juga boleh mengundang kesangsian umat Islam terhadap keimanan mereka kepada Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam atau sekurang-kurangnya melahirkan rasa hilang hormat terhadap kesucian Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam sebagai insan yang sempurna dari sudut akhlak dan kejadiannya. Implikasi yang lebih berat adalah ia boleh menjejaskan kepercayaan umat Islam terhadap Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasallam sebagai qudwah ikutan serta sumber rujukan umat Islam selepas al-Qur’an.
Begitu juga tiada siapa yang mengetahui hakikat Alam Kubur (Al-Barzakh)yang sebenarnya,
Allah Subhanahuwata'ala berfirman:
وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ
Maksudnya: "Sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat). Surah al-Mukminun (100
Al-Jurjani dalam al-Ta’rifat berkata: Al-Barzakh (البرزخ) disebut sebanyak tiga kali dalam al-Quran dan semuanya disebut dalam bentuk kata nama. Dari segi bahasa ia bermakna sesuatu atau penghalang antara dua perkara. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 45)
Oleh itu, maka jelaslah, membenarkan membuat sebarang ilustrasi untuk menggambarkan keadaan Allah, Malaikat, Para Nabi, Alam Barzakh(kubur),Kiamat, Sirat, Timbangan amal, Hari Kebangkitan, termasuk syurga dan Neraka dan segala perkara yang Ghaib bermakna membuka jalan untuk golongan tertentu melukis serta mengimaginasikan seluruh perkara-perkara ghaib lain yang terdapat di dalam Islam.
Dari sini maka akan timbul pelbagai perkara tahyul dan khurafat yang boleh merosakkan kesucian Islam sedangkan Islam sendiri merupakan agama yang sangat mementingkan fakta, realiti dan kebenaran.
Membenarkan membuat sebarang ilustrasi atau
imaginasi lukisan terhadap seluruh perkara-perkara ghaib secara langsung atau tidak langsung boleh menjurus kepada memasukkan unsur-unsur khurafat, tahyul dan khayalan ke dalam akidah Islam seterusnya ini sedikit demi sedikit akan menghakis sifat Islam sebagai agama yang bersih daripada dongengan, lebih-lebih lagi ia akan merosakkan sistem تثبت iaitu memastikan setiap apa yang disandarkan kepada agama itu adalah betul-betul benar seperti yang disusun oleh para ulama seumpama dalam metodologi ilmu hadith dan ilmu usul fiqh.
Pada dasarnya sudah ada hukum yang jelas oleh syariah berkaitan dengan gambar yang dibuat untuk diagung-agungkan atau dikuduskan.
Sejarah berkenaan الوثنية (paganisme/keberhalaan) membuktikan bahawa golongan awal telah menghasilkan gambar atau patung bertujuan untuk kenang-kenangan, tetapi kemudiannya sampai ke tahap mengkuduskan dan menjadikannya sebagai perantaraan untuk beribadah.
Ahli tafsir menjelaskan tentang firman Allah Subhanahuwata'ala melalui lisan Nabi Nuh a.s.,
وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا
Dan mereka berkata: "Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwwa', yaghuts, ya'uq dan nasr". (Surah Nuh ayat 23).
Bahawa nama berhala yang disebutkan dalam ayat ini asalnya adalah nama-nama orang-orang soleh, tetapi ketika mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kaum mereka agar membuat patung-patung peringatan di majlis-majlis mereka dan menamakan mereka dengan namanya. Maka kaum itu pun melakukannya.
Asalnya ia tidak disembah, tetapi setelah generasi mereka hancur dan ilmu telah dilupakan, ketika itulah patung-patung tersebut disembah.
Dalam hal ini jelas menunjukkan bahawa syarak menegah daripada menggambarkan seluruh perkara ghaib dalam bentuk lukisan dan sebagainya adalah untuk mengelakkan sebagaimana apa yang terjadi ke atas umat terdahulu sehingga sampai ke peringkat mengagungkan orang-orang suci mereka seumpama beribadah kepada tuhan.
Dr. Yussuf al-Qardhawi ada menulis dalam bukunya yang bertajuk "Halal Dan Haram menurut perspektif Islam" berkenaan hukum membuat patung Dan melukis, secara ringkasnya dapat disimpulkan begini:
1-Jika yang dilukis itu adalah gambar-gambar Tuhan yang disembah selain Allah seperti patung-patung berhala dan sebagainya, pelukisnya adalah kafir. Lukisan sebeginilah yang diancam dengan siksaan oleh Allah sebagaimana sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam. maksudnya.
Dari Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu dari Nabi Sallahu'alaihiwasallam bahwa beliau bersabda,
إِنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَذَابًا عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمُصَوِّرُونَ
“Sesungguhnya manusia yang paling keras siksaannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah pelukis.” (Riwayat Bukhari no. 5950 dan Muslim no. 2109)
Berkata Imam at-Tabari: “Pelukis yang dimaksudkan di sini ialah orang yang melukis Tuhan yang disembah selain Allah.”
2-Diharamkan juga melukis dengan tujuan untuk menandingi ciptaan Allah, iaitu merasakan diri dapat mencipta dan membuat rekaan sebagaimana ciptaan Allah. Hal ini kembali kepada niat pelukis itu sendiri. Pelukis sebegini juga diancam dengan siksaan yang berat oleh Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam. dengan sabdanya; (maksudnya)
‘Aisyah radhiyallahu ‘anha menceritakan,
قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – مِنْ سَفَرٍ وَقَدْ سَتَرْتُ بِقِرَامٍ لِى عَلَى سَهْوَةٍ لِى فِيهَا تَمَاثِيلُ ، فَلَمَّا رَآهُ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – هَتَكَهُ وَقَالَ « أَشَدُّ النَّاسِ عَذَابًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ الَّذِينَ يُضَاهُونَ بِخَلْقِ اللَّهِ » . قَالَتْ فَجَعَلْنَاهُ وِسَادَةً أَوْ وِسَادَتَيْنِ
“Pernah Sallahu'alaihiwasallam datang dari suatu safar dan aku ketika itu menutupi diri dengan kain tipis milikku di atas lubang angin pada tembok lalu di kain tersebut terdapat gambar-gambar. Ketika Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam melihat hal itu, beliau merobeknya dan bersabda, “Sesungguhnya orang yang paling berat siksanya pada hari kiamat adalah mereka yang membuat sesuatu yang menandingi ciptaan Allah.” ‘Aisyah mengatakan, “Akhirnya kami menjadikan kain tersebut menjadi satu atau dua bantal.” (Riwayat Bukhari, 5954 dan Muslim, 2107)
Diharamkan juga melukis gambar malaikat, para Nabi dan para sahabat iaitu orang-orang yang dimuliakan di sisi agama kerana dikhuatiri lukisan gambar mereka akan menjatuhkan kemuliaan mereka di samping berlakunya pemalsuan kerana tidak ada seorang pun yang hidup hari ini yang pernah melihat mereka.
Diharamkan juga melukis gambar tokoh-tokoh yang kufur, zalim atau fasik seperti pemimpin-pemimpin yang menentang Islam, memusuhi syariat Allah, penyanyi-penyanyi atau pelakon yang mendorong manusia kepada maksiat, memuja kebatilan dan sebagainya. Melukis gambar mereka merupakan pemujaan terhadap mereka sedangkan mereka adalah orang-orang yang dibenci oleh agama.
Diharamkan juga melukis gambar-gambar yang mendedahkan aurat, berunsur lucah dan mengghairahkan nafsu dan sebagainya lagi yang dilarang oleh syarak.
Justeru itu,, diharamkan melukis gambar-gambar yang menyalahi agama dan mengandungi unsur-unsur yang dilarang oleh syariat termasuk yang mendorong manusia kepada kekufuran, syirik, maksiat dan mungkar. Adapun selainnya yang jauh dari perkara-perkara di atas, maka ia tidaklah diharamkan.
Mari kita perhatikan hadith dari Sa’id bin Abil Hasan berikut ini.
عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِى الْحَسَنِ قَالَ كُنْتُ عِنْدَ ابْنِ عَبَّاسٍ – رضى الله عنهما – إِذْ أَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا أَبَا عَبَّاسٍ إِنِّى إِنْسَانٌ ، إِنَّمَا مَعِيشَتِى مِنْ صَنْعَةِ يَدِى ، وَإِنِّى أَصْنَعُ هَذِهِ التَّصَاوِيرَ . فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ لاَ أُحَدِّثُكَ إِلاَّ مَا سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – يَقُولُ سَمِعْتُهُ يَقُولُ « مَنْ صَوَّرَ صُورَةً فَإِنَّ اللَّهَ مُعَذِّبُهُ ، حَتَّى يَنْفُخَ فِيهَا الرُّوحَ ، وَلَيْسَ بِنَافِخٍ فِيهَا أَبَدًا » . فَرَبَا الرَّجُلُ رَبْوَةً شَدِيدَةً وَاصْفَرَّ وَجْهُهُ . فَقَالَ وَيْحَكَ إِنْ أَبَيْتَ إِلاَّ أَنْ تَصْنَعَ ، فَعَلَيْكَ بِهَذَا الشَّجَرِ ، كُلِّ شَىْءٍ لَيْسَ فِيهِ رُوحٌ
Dari Sa’id bin Abil Hasan, ia berkata, “Aku dahulu pernah berada di sisi Ibnu ‘Abbas –radhiyallahu ‘anhuma-. Ketika itu ada seseorang yang mendatangi beliau lantas ia berkata, “Wahai Abu ‘Abbas, aku adalah manusia. Penghasilanku berasal dari hasil karya tanganku. Aku boleh membuat gambar seperti ini.” Ibnu ‘Abbas kemudian berkata, “Tidaklah yang kusampaikan berikut ini selain dari yang pernah kudengar dari Sallahu'alaihiwasallam. Aku pernah mendengar Beliau Sallahu'alaihiwasallam bersabda, “Barangsiapa yang membuat gambar, Allah akan mengazabnya hingga ia boleh meniupkan roh pada gambar yang ia buat. Padahal ia tidak boleh meniupkan ruh tersebut selamanya.” Wajah si pelukis tadi ternyata berubah menjadi kuning. Kata Ibnu ‘Abbas, “Jika engkau masih tetap ingin melukis, maka gambarlah pohon atau segala sesuatu yang tidak memiliki roh.” (Riwayat Bukhari, 2225)
Dalam perspektif ini, syariah didatangkan oleh Islam dengan membawa pelbagai metod yang bersifat مرنة atau fleksibel bertujuan membendung sebarang gejala yang boleh merendahkan, menghina mahupun merosakkan Islam, apatah lagi perkara yang menyangkut soal akidah dan kepercayaan atau disebut juga keimanan.
Oleh itu dalam banyak-banyak metod yang digunakan oleh syariah untuk membendung kerosakan adalah kaedah yang dipanggil سد الذرائع
yang bermaksud ‘menyekat jalan-jalan kerosakan'
Kaedah ini adalah antara yang digunakan sebagaimana yang terdapat di dalam nas-nas syarak yang bersifat preventif untuk mencegah sebarang mafsadah daripada berlaku atau yang bertujuan menyekat terlebih dahulu sebarang jalan yang dikhuatiri boleh menjerumuskan umat Islam ke lembah kerosakan dan kemusnahan.
Sebagai contoh, Islam melarang perbuatan zina, larangan ini pula telah diterjemahkan oleh syariah dengan menyediakan batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita malah menetapkan etika berpakaian tertentu yang bertujuan secara umumnya untuk menyekat semua jalan-jalan yang boleh membawa kepada zina.
No comments:
Post a Comment