Sunday, April 5, 2020

Anugerah syahid bagi orang yang mati kerana wabak Penyakit (تفَشِّي المرض) seperti taun. Adakah orang yang meninggal kerana wabak covic-19 juga mendapat anugerah Syahid?

Anugerah syahid bagi orang yang mati kerana wabak Penyakit (تفَشِّي المرض) seperti taun. Adakah orang yang meninggal kerana wabak covic-19 juga mendapat anugerah Syahid? 

Gelaran syahid kepada mereka-mereka yang menepati ciri-ciri orang yang mati syahid adalah sahih dari Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam. Namunpun begitu hakikat sebenaranya keberadaan seseorang itu samaada syahid ataupun tidak adalah didalam pengetahuan Allah Subhanahuwata'ala jua. Sebagaimana yang di sabdakan oleh Rasulullah Sallahu'aihiwasallam :

مَن سَأَلَ اللَّهَ الشَّهادَةَ بصِدْقٍ، بَلَّغَهُ اللَّهُ مَنازِلَ الشُّهَداءِ، وإنْ ماتَ على فِراشِهِ

Maksudnya : “Sesiapa yang memohon kepada Allah Subhanahuwata'ala mati syahid dengan sebenar-benar pengharapan, Allah Subhanahuwata'ala akan mengurniakannya kedudukan para syuhada’ sekalipun dia mati di atas katilnya (tempat tidur).” Riwayat Muslim (1909)

Allah Subhanahuwata'ala pula ada menyebut tentang keistimewasn orang yang mati syahid di dalam firman-Nya :

وَلَا تَقُولُوا لِمَن يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَمْوَاتٌ ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَـٰكِن لَّا تَشْعُرُونَ

Maksudnya : “Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu ialah orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.”
(Surah al-Baqarah ayat 154)

Ada beberapa ketagori orang yang mati syahid, iaitu:

1-Syahid di akhirat dan syahid di dunia iaitu sesiapa yang gugur (terbunuh) di jalan Allah melawan orang-orang kafir (menegakkan agamaNya), ikhlas kerana Allah serta dalam keadaan mara ke hadapan dan bukannya berundur melarikan diri (daripada musuh).

2-Syahid di akhirat sahaja iaitu mereka yang diberikan pahala mati syahid, namun tidak terpakai ke atas mereka hukum syahid tersebut di dunia (yakni tidak perlu dimandikan, disolatkan dan sebagainya).(Lihat Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, 6/55.Cet. Dar al-Salam)

3-Mereka yang mati syahid di dunia tetapi tidak di akhirat. (Lihat Imam Al-Nawawi, al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550)
Diantara mereka yang mati dalam kategori ini ialah sesiapa yang terbunuh di dalam perang melawan orang-orang kafir (yakni bagi menegakkan agama Allah) tetapi adanya halangan ke atas mereka seperti niat yang rosak dan ketika lari dari medan perang. (Lihat Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Bazl Al-Ma’un, hlm. 189)

Apakah yang dimaksudkan wabak (تفَشِّي ) ?

Wabak adalah penyakit-penyakit berjangkit seperti taun atau penyakit-penyakit yang lain.  Islam secara umumnya amat menitik beratkan soal pencegahan dan mengambil langkah berjaga-jaga terlebih dahulu dalam berhadapan dengan wabak penyakit berjangkit seperti ini. Hal ini boleh diperhatikan terhadap himpunan hadith-hadith yang ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah Sallahu'aihiwasallam sebagai panduan. 

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi Sallahu'aihiwasallam bersabda :

وَفِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الْأَسَدِ

Maksudnya: “Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.”
Riwayat Al-Bukhari (5707)

Jika dilihat dari sudut ilmu perubatan di masa kini pula, antara hikmat yang besar dari panduan Nabi Sallahu'aihiwasallam ini ialah supaya mereka yang terkena wabak atau mempunyai kontak (hubungan) dengan pembawa virus (carrier) tidak bergerak ke tempat lain yang akan menyebabkan virus itu tersebar. Melalui ilmu perubatan moden hari ini, dapat diketahui bahawa bukan orang positif virus sahaja yang boleh menyebarkan penyakit, orang lain yang berhubungan langsung dengan pesakit juga boleh menjadi pembawa virus wabak tersebut. Dia mungkin masih tampak sihat disebabkan antibodinya yang kuat, tapi dia boleh menjadi pembawa. Demikian juga orang yang terkena virus wabak, kadang-kala tidak nampak kesan pada peringkat awal. Seseorang mungkin merasakan dirinya sihat, padahal dia sudah terkena wabak dan menjadi pembawa wabak. Kemudian, baru kesannya akan zahir pada dirinya. Menghalang mereka yang berada di kawasan wabak keluar bererti dapat menghalang mereka yang positif wabak, dan juga yang mempunyai kontak (perhubungan) dengan mereka yang positif wabak yang berpotensi menjadi pembawa wabak (potential carrier).

Antara dalil yang menjelaskan akan hal ini adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d Ibn Abi Waqqash R.A beliau berkata bahawa Rasulullah Sallahu'aihiwasallam bersabda :

 إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا ‏

Maksudnya : Apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terdapat padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya. Riwayat Al-Bukhari (5728).

Dapat difahami bahawa Islam adalah agama pertengahan, ia tidak pernah mengajar orang beriman untuk bersikap ‘duduk menunggu nasib’ atau melihat tindakan manusia penentu sepenuhnya sehingga menolak peranan Tuhan. Allah mengajar kita untuk mengambil segala asbab namun dalam masa yang sama meyakini segala yang berlaku selepas itu adalah taqdir-Nya.

Tindakan pencegahan yang diambil bagi mengelakkan penularan penyakit tersebut adalah dengan cara tidak keluar dari kawasan tersebut. Ini dilakukan bagi mengelakkan kemudharatan yang lebih besar seperti yang disebutkan dalam sebuah kaedah fekah yang masyhur :

إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا

Maksudnya : Apabila bertembungnya dua mafsadah, maka dipelihara (ditolak) mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan. Rujuk Al-Asybah wal-Nazhair, Ibn Nujaim (Hlm. 76)

Sandaran kaedah ini pada asasnya adalah berdasarkan nas syarak iaitu firman Allah Subhanahuwata'ala:

أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُم مَّلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا

Maksudnya: Adapun perahu itu merupakan milik orang-orang miskin yang berkerja di laut. Maka aku bertujuan merosakkannya kerana terdapat seorang raja yang ingin merampas kesemua perahu. Surah Al-Kahf (79

Pada satu ketika Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam diberitahu oleh Farwah bin Musaik bahawa terdapat suatu kawasan yang bernama Abyan yang telah berlaku wabak yang buruk padanya. Maka Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda :

دَعْهَا عَنْكَ فَإِنَّ مِنَ الْقَرَفِ التَّلَفَ

Maksudnya : Tinggalkan ia (kawasan tersebut). Sesungguhnya perbuatan mendekatkan diri dengan keburukan  (wabak dan penyakit) akan membawa kepada kebinasaan. Riwayat Abu Daud (3923

Maka ilmu usul fiqh membawa para ulama untuk mengeluarkan larangan dari umat Islam mendekatkan diri dari tempat-tempat yang merebak padanya penyakit-penyakit yang berjangkit. Ini turut bertepatan dengan larangan yang disebutkan oleh Al-Quran menerusi firman Allah Subhanahuwata'ala :

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya : Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan. Surah Al-Baqarah (195)

Ini bertepatan dengan sebuah kaedah fekah menyebut :

الضَّرَرُ يُزَال

Maksudnya : Kemudharatan itu dihilangkan.

Yang mana termasuk juga di dalam kaedah ini ialah menjauhkan diri dari tempat-tempat yang dijangkiti virus sebagai langkah menjaga nyawa.

Adakah Covid-19 adalah wabak seperti Taun? 

Taun seperti yang disebutkan oleh para ulama lughah (bahasa). Antaranya ialah :

1-Al-Jauhari mengatakan : Taun merujuk kepada kematian yang meliputi umum sama seperti wabak.
2-Syeikh Ibrahim al-Harbi dalam kitab Gharib al-Hadis pula menyatakan : Wabak adalah taun dan juga penyakit yang meliputi umum.
3-Ibn Al-‘Arabi pula menyatakan dalam Syarah al-Tirmizi : Dinamakan sebagai taun kerana musibahnya meliputi umum serta cepat berlaku kematian disebabkannya. Maka penyakit-penyakit yang seumpamanya turut termasuk sebagainya (taun).
(Lihat Bazl Al-Ma’un, hlm. 95)

Corona virus (Covid-19) pula adalah kumpulan virus yang menyebarkan penyakit kepada mamalia, termasuk manusia, dan burung. Ia ditemui pertama kali pada tahun 1960, corona virus mendapat namanya daripada bentuknya yang seakan-akan mempunyai mahkota, oleh itu ia dinamakan sebagai corona yang membawa maksud mahkota atan crown.

Coronavirus adalah salah satu keluarga virus yang besar dan kebanyakannya hidup dalam haiwan seperti unta, lembu, kucing dan juga kelawar.

Secara umumnya, Coronavirus (CoV) adalah suatu keluarga besar virus yang menyebabkan pelbagai jenis penyakit yang meliputi demam selesema sehinggalah penyakit serius seperti Severe Acute Respratory Syndrime Cronavirus (SARS) dan Middle East Respiratory Coronavirus (MERS-CoV).

Coronavirus baharu Novel Coronavirus (2019-nCoV) adalah mana-mana strain baharu virus tersebut yang sebelum ini tidak  pernah dikenalpasti atau dikesan pada manusia.

Novel coronavirus(nCoV) atau Covid-19 adalah virus yang telah dikenalpasti menyebabkan wabak yang melibatkan saluran pernafasan dimana ia pertama kali dikesan di Wuhan, China pada 31 Disember 2019.

Juga wabak yang dibawa oleh Covid-19 adalah amat merbahaya dan boleh berjangkit melalui cara-cara berikut:

1-Melalui cecair yang dikeluarkan dengan cara bersin atau batuk daripada individu yang dijangkiti
2-Melakukan sentuhan secara langsung (tanpa lapik) dengan individu yang dijangkiti.
3-Menyentuh tempat yang tercemar dengan jangkitan virus tersebut.

Gejala dan Komplikasi Covic-19 iaitu; 
Pesakit boleh menunjukkan gejala am seperti demam, sakit otot dan keletihan. Manakala batuk berkahak dan sakit kepala adalah jarang, batuk darah dan cirit-birit juga sekali-sekala. Ia boleh mengambil masa seminggu sebelum orang yang dijangkiti merasa cukup sakit untuk mendapatkan rawatan. Malah, jika masalah ini tidak dirawat, ia boleh menyebabkan beberapa komplikasi dan akhirnya mengundang kematian. Komplikasi yang mungkin timbul daripada jangkitan ini adalah seperti berikut:

1-Pneumonia. 

2-Sindrom Penyakit Pernafasan Akut (ARDS).

3-Masalah Buah Pinggang. 

4-Sepsis (Jangkitan Darah).

Justeru itu, seperti yang diketahui umum Covid-19 merupakan virus yang merebak serta membawa kepada penyakit-penyakit berjangkit yang boleh membawa kepada kematian dalam skala yang besar. Justeru, berdasarkan ciri-ciri ini maka ia boleh dianggap sebagai taun seperti yang disebutkan dalam riwayat-riwayat yang sahih

Orang Islam yang mati kerana wabak dikira mati syahid

Hal ini banyak disebut di dalam riwayat-riwayat hadith. Diantaranya riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda :

الشُّهَداءُ خَمْسَةٌ: المَطْعُونُ، والمَبْطُونُ، والغَرِيقُ، وصاحِبُ الهَدْمِ، والشَّهِيدُ في سَبيلِ اللَّهِ

Maksudnya : “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun (wabak), mati kerana penyakit perut, mati lemas, mati dtimpa runtuhan dan mati syahid di jalan Allah.” Riwayat al-Bukhari (2829) dan Muslim (1914)

Di dalam riwayat yang lain bahawa Baginda Sallahu'alaihiwasallam bersabda :

مَن قُتِلَ في سَبيلِ اللهِ فَهو شَهِيدٌ، ومَن ماتَ في سَبيلِ اللهِ فَهو شَهِيدٌ، ومَن ماتَ في الطّاعُونِ فَهو شَهِيدٌ، ومَن ماتَ في البَطْنِ فَهو شَهِيدٌ

Maksudnya : “Sesiapa yang dibunuh di jalan Allah ialah orang yang syahid, sesiapa yang mati kerana taun juga ialah orang yang syahid dan sesiapa yang mati kerana penyakit perut juga ialah orang yang syahid.” Riwayat Muslim (1915)

Dalam riwayat yang lain, iaitu daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda :

الطّاعُونُ شَهادَةٌ لِكُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya : “Wabak taun itu adalah (penyebab) mati syahid bagi setiap Muslim.”
Riwayat al-Bukhari (2830) dan Muslim (1916)

Hadis-hadis di atas jelas menunjukan bahawa orang Islam yang mati kerana wabak (taun) dianggap sebagai mati syahid. 

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kesemua jenis kematian itu dianggap sebagai mati syahid disebabkan kelebihan kurniaan Allah Subhanahuwata'ala (kepada mereka) kerana dahsyatnya kesakitan dan kepedihan kematian tersebut yang ditanggung mereka. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550)

Maka jelaslah bagi orang yang mati kerana wabak taun adalah termasuk dalam syahid di akhirat tetapi tidak di dunia. Ini bermaksud bahawa di akhirat mereka akan mendapat pahala mati syahid. 

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan bahawa pahala syahid yang diperoleh mereka yang mati kerana taun adalah sepertimana pahala syahid mereka yang gugur di jalan Allah SWT. (Lihat Bazl Al-Ma’un, hlm. 196)

Mengenai perkara ini, adalah sebagaimana sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam :

يختصِمُ الشُّهداءُ والمتوفَّونَ على فُرُشِهِم إلى ربِّنا في الَّذينَ يتوفَّونَ منَ الطَّاعونِ ، فيقولُ الشُّهداءُ : إخوانُنا قُتِلوا كما قُتِلنا ، ويقولُ المتوفَّونَ في فرشِهِم : إخوانُنا ماتوا على فرشِهِم كما مُتنا ، فيقولُ ربُّنا : انظُروا إلى جراحِهِم ، فإن أشبَهَ جراحُهُم جراحَ المقتولينَ ، فإنَّهم منهم ومعَهُم ، فإذا جراحُهُم قد أشبَهَت جراحَهُم

Maksudnya : “Orang-orang yang syahid dan orang-orang yang meninggal di atas katil mereka saling berselisih kepada Allah SWT mengenai orang-orang yang meninggal dunia kerana wabak taun. Orang-orang yang syahid berkata : Mereka adalah saudara-saudara kami, iaitu mereka dibunuh sebagaimana kami dibunuh. Sedangkan orang-orang yang meninggal di atas katil mereka pula berkata : Mereka adalah saudara-saudara kami, mereka meninggal di atas katil mereka sebagaimana kami meninggal. Kemudian Allah SWT berfirman : Lihatlah kepada luka mereka, sekiranya luka mereka serupa dengan luka orang-orang yang terbunuh, maka mereka termasuk dalam kalangan orang-orang yang terbunuh, dan bersama mereka, dan ternyata luka mereka serupa dengan luka orang-orang yang terbunuh itu." Riwayat al-Nasaie (3164) dan Ahmad (17195)

Namunpun begitu di dunia mereka tetap masih perlu dimandikan dan disolatkan. Mengenai ini, Imam al-Nawawi menukilkan bahawa :

المراد بشهادة هؤلاء كلهم غير المقتول فى سبيل الله انهم يكون لهم فى الآخرة ثواب الشهداء وأما فى الدنيا فيغسلون ويصلى عليهم

Maksudnya : “Syahid yang dimaksudkan ialah mereka semua kecuali yang gugur di jalan Allah, kelak di akhirat akan mendapat pahala mati syahid. Adapun di dunia mereka masih perlu dimandikan dan disolatkan (tidak seperti yang gugur di jalan Allah).” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, Cet. Dar al-Siddiq, 5/550

Kesimpulan dari perbahasan di atas maka ان شاء الله  sesiapa yang meninggal dunia kerana wabak Covid-19 ini boleh dianggap sebagai mati syahid sebagaimana yang telah difahami daripada hadith-hadith yang sahih. Namunpun begitu, syahid yang dimaksudkan di sini ialah syahid akhirat iaitu mendapat pahala syahid di hari akhirat kelak. Adapun semasa di dunia, jenazah mereka masih perlu diuruskan seperti biasa iaitu perlu dimandikan dan disolatkan.

Akhir kalam

Nabi Salahu'alaihiwasallam berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

(Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk).”
Riwayat Abu Daud (1554). Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’uth, sanad hadith ini adalah sahih. 

Imam al-Khattabi menyatakan kita dituntut untuk memohon perlindungan daripada penyakit-penyakit ini kerana ia mencacatkan badan dan kekal kesannya serta sebahagiannya memberi kesan kepada akal. Penyakit-penyakit ini tidak sama dengan penyakit-penyakit lain yang mana ia tidak kekal seperti demam, pening dan seumpamanya yang mana ia adalah kaffarat (penghapus dosa) dan bukannya hukuman. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 1/297)

Al-Tibi pula menjelaskan hadis ini menyebut bahawa Nabi Salkahu'alaihiwasallam tidak meminta berlindung secara mutlak dari segala penyakit kerana sebahagian penyakit ada yang tidak terlalu parah dan mengandungi banyak pahala jika dihadapi dengan sabar. Ini seperti demam, pening, sakit mata dan sebagainya. Baginda Salkahu'alaihiwasallam hanya minta berlindung dari penyakit-penyakit yang kronik, yang berpanjangan, di mana menjadikan manusia menjauhinya seperti sopak, gila, kusta dan seumpamanya. (Lihat Syarh al-Tibi ‘ala Misykat al-Masabih, 6/1918)

آمين




No comments:

Post a Comment

Agama

 Agama  Manusia memerlukan agama. Manusia dan agama adalah ibarat irama dan lagu, jasad dan roh. Kedua duanya tidak dapat dipisahkan. Sejak ...