Hukum minum kopi Luwak(Musang)
Luwak atau sejenis musang (nama saintifik Paradoxurus hermaphrodites). Luwak atau musang adalah haiwan kumpulan mamalia daripada spesis musang yang hidup dalam hutan sekitar Asia Tenggara termasuk di kepulauan Indonesia. Haiwan ini menggemari buah kopi sebagai makanan bijian sehariannya.
Kopi luwak (civet cofee) adalah bermaksud biji kopi yang telah dimakan oleh luwak atau musang.
Biji kopi ini kemudiannya keluar bersama-sama najisnya (tahinya), lalu ia dikutip dan diproses untuk menjadi kopi luwak. Asal biji kopi ini dikira sebagai kategori “mutannajis” (terkena najis) tetapi
dengan melalui proses pemisahan kulit luarannya dan juga proses pencucian dengaln air maka hilanglah kenajisannya.
Hukum minum kopi luwak ini adalah harus apabila biji kopi ini dibersihkan untuk menghilangkan kenajisan pada bahagian luar biji kopi tersebut.
Syarat biji kopi yang keluar bersama-sama najis ini boleh diambil untuk di buat minuman ialah apabila ianya masih dalam keadaan diselaputi oleh kulit, iaitu kulit luar yang keras mirip seperti tempurung kelapa. Dimana biji kopi tersebut mestilah tidak hancur atau tidak hadam dalam pencernaan luwak tersebut. Dengan maksudnya ialah sifat biologi biji kopi tersebut adalah tidak berubah dan andaikata jika biji kopi tersebut ditanam semula, ia akan tumbuh.
Terdapat beberapa kaedah fiqh yang boleh dijadikan sebagai sandaran dalam proses pengeluaran hukum bagi permasalahan ini Dan antaranya ialah:
الأصل فى الأشياء الإباحة، ما لم يقم دليل معتبر على الحرمة
Maksudnya: “Hukum asal mengenai sesuatu adalah boleh selama tidak ada dalil muktabar yang mengharamkannya.”
في الأعيان الطهارة و النجاسة عارضة
Maksudnya:“Hukum asal sesuatu benda adalah suci, manakala kenajisan bukanlah sifat asal sesuatu benda.
Berdasarkan kepada kaedah fiqh ini, maka kedudukan kopi luwak adalah harus untuk diminum kerana ia berasal daripada sesuatu yang bersih dan telah melalui sistem penghadaman binatang kemudian dikeluarkan dalam bentuk asal tanpa mengalami sebarang kerosakan pada struktur biji kopi yang asal.
Dimana kopi tersebut mestilah masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam; dan
Biji kopi tersebut juga hendaklah disucikan terlebih dahulu daripada najis.
Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa :
إذَا أَكَلَتْ الْبَهِيمَةُ حَبًّا وَخَرَجَ مِنْ بَطْنِهَا صَحِيحًا فَإِنْ كَانَتْ صَلَابَتُهُ بَاقِيَةً بِحَيْثُ لَوْ زُرِعَ نَبتَ فَعَيْنُهُ طَاهِرَةٌ لَكِنْ يَجِبُ غَسْلُ ظَاهِرِهِ لِمُلَاقَاةِ النَّجَاسَةِ لانه وان صار غذاءا لَهَا فَمِمَّا تَغَيَّرَ إلَى الْفَسَادِ فَصَارَ كَمَا لَوْ ابْتَلَعَ نَوَاةً وَخَرَجَتْ فَإِنَّ بَاطِنَهَا طَاهِرٌ وَيَطْهُرُ قِشْرُهَا بِالْغَسْلِ وَإِنْ كَانَتْ صَلَابَتُهُ قَدْ زَالَتْ بِحَيْثُ لَوْ زُرِعَ لَمْ يَنْبُتْ فَهُوَ نَجِسٌ
Maksudnya : “Sekiranya seekor haiwan memakan biji tumbuhan dan kemudian biji tersebut keluar dari perutnya dalam keadaan baik. Sekiranya keadaan bijian itu masih kekal sebagaimana asal (tidak berubah), yang mana jika ditanam ia dapat tumbuh, maka ia adalah suci. Akan tetapi mesti dibasuh bahagian luarannya (terlebih dahulu) kerana telah terkena najis. Juga kerana, jika ia (bijian tersebut) telah menjadi makanan untuk haiwan ternakan tersebut, iaitu dari apa-apa yang telah berubah menjadi rosak (kerana telah diproses dan diurai), maka ia menjadi (najis), sebagaimana kalaulah ia menelan biji-bijian, kemudian mengeluarkannya. Bahagian dalam bijian tersebut masih suci, manakala kulitnya (bahagian luar) dapat disucikan dengan membasuhnya. Dan sekiranya keadaan (bijian tersebut) tidak kekal (telah berubah), yang mana jika ditanam ia tidak dapat tumbuh, maka adalah najis.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/573)
Ini bermaksud apa-apa jenis makanan seperti biji-bijian, kacang-kacang, buah-buahan dan seumpamanya, sekiranya ia keluar dari perut haiwan dalam keadaan masih elok dan kulitnya tidak pecah, serta masih kekal dalam rupanya yang asal (tidak berubah), maka bahagian dalamnya masih dianggap suci dan boleh dibersihkan.
Kopi luwak juga harus untuk dijual beli kerana ia sudah menjadi benda yang suci. Kaedah fiqih ada menyatakan :
الأصل أن جواز البيع يتبع الطهارة
Maksudnya:“Hukum asal tentang kebolehan untuk menjualbeli sesuatu benda bergantung kepada kesucian benda tersebut.
Kaedah ini membawa maksud bahawa jika sesuatu benda itu suci, maka ia boleh untuk dijualbeli. Sebaliknya jika sesuatu itu adalah najis, maka haram untuk dijualbeli.
Walaupun begitu jika ditinjau dari pandangan sudut yang lain, iaitu berdasarkan nas syarak; Islam sentiasa menganjurkan umatnya agar memakan makanan yang halal dan baik serta menjauhi segala makanan yang merbahaya yang boleh memudaratkan diri sendiri.
Hal ini disebut oleh Allah Subhanahuwata'ala dalam firman-Nya Yang berbunyi:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِي الأَرْضِ حَلاَلاً طَيِّباً
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, makanlah kamu daripada apa yang terdapat atas muka bumi ini makanan yang halal lagi baik”. (Surah al-Baqarah:168)
Allah Subhanahuwata'ala juga melarang memakan makanan yang kotor dan jijik melalui firman-Nya:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ
Maksudnya: “Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging hewan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala.” (Surah Al-Maidah: 3)
No comments:
Post a Comment