Pahala Berterusan Walaupun terhalang dari melakukan amal ibadah dengan sebab Sakit, Musafir atau tehalang oleh satu dharurah/musibah.
Sebagai mukaddimah, marilah kita sama-sama hayati Firman Allah Subhanahuwata'ala yang berikut,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ. وَلا تَكُونُوا كَالَّذِينَ نَسُوا اللهَ فَأَنْسَاهُمْ أَنْفُسَهُمْ.
Maksudnya:“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah; Renung dan fikirkanlah apakah yang dibekalan yang telah disediakan untuk hari esok(akhirat). Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui setiap perbuatan yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa pada diri mereka. Mereka itulah orang yang fasiq. Al-Hasyr, 59:18-19)
Orang yang sakit atau sedang dalam perjalanan atau terhalang dari melakukan amal ibadah yang biasa dilakukannya pada masa lapang dengan sebab ada dharurah atau keuzuran, sebenarnya masih boleh mendapat ganjaran pahala sebagaimana ketika masih sihat dan lapang.Para sahabat bertanya kepada Rasulullah S.A.W apakah yang dimaksudkan dengan keuzuran ? Maka Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam. menjawab :
خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ
Maksudnya : Perasaan takut ataupun sakit.
Riwayat Abu Daud (551)
Namun dengan syaratnya semasa sihat dia selalu mengamalkan amalan-amalan soleh tersebut. Seperti selalu ke masjid, menghadiri majlis ilmu, berpuasa, bersedekah, membaca al-Quran dan segala amal soleh yang lain, dimana malaikat akan tetap mencatatkan ganjaran pahalanya seolah-olah dia masih melakukan hal yang tersebut walaupun sakit atau bermusafir atau terhalang dengan sebab dharurah atau keuzuran.
Justeru itu, perkara utama yang perlu ditekankan adalah berterusan dalam beramal semasa dalam keadaan sihat, bermukim dan berkelapangan sebagaimana disebutkan dalam hadith dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha,
أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ
“Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” (Riwayat Bukhari, 6465; Muslim, 783)
Oleh kerana itu, amalan yang dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun dalam kadar jumlah yang sedikit. Umpamanya jika seseorang itu tidak mampu menghadiri solat berjamaaah padahal sebelumnya ia sentiasa hadir untuk solat berjamaah secara rutin, maka ingatlah keadaan seperti ini akan dicatat seperti ia melakukannya diwaktu dia sihat, kuat dan lapang iaitu sesuai dengan kebiasaannya ketika itu.
Dari Abu Musa radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda,
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
“Jika seorang hamba sakit atau melakukan safar (perjalanan jauh), maka dicatat baginya pahala sebagaimana kebiasaan dia ketika mukim dan ketika sihat.” (Riwayat Bukhari, 2996)
Hadith di atas menceritakan bahawa di saat Yazid bin Abi Kabsyah puasa ketika safar (saat perjalanan jauh), Abu Burdah lantas mengatakan padanya bahawa ia baru saja mendengar Abu Musa menyebutkan sabda Nabi Sallahu'alaihiwasallam seperti yang disebutkan di atas.
Hadith di atas sebagai isyarat bahawa jika seseorang itu bermusafir atau sakit, dan dia mengambil keringanan atau rukhsah yang diberikan kepadanya kerana wujud salah satu dari dua keuzuran tersebut (iaitu sakit dan safar), maka dia akan mendapat ganjaran yang sama sekiranya dia melakukan sesuatu perbuatan semasa dia di dalam keadaan dia bermukim atau sihat. Sebagaimana contoh seseorang yang menunaikan solat secara duduk disebabkan uzur sakit, maka akan ditulis buat dirinya ganjaran mengerjakan solat secara berdiri. Ini kerana, sekiranya tidak kerana keuzuran sudah tentulah dia akan mendirikan solat secara berdiri.
Imam Bukhari juga ada mencatat hadith di atas dalam bab:
يُكْتَبُ لِلْمُسَافِرِ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ فِى الإِقَامَةِ
“Dicatat bagi musafir pahala seperti kebiasaan amalnya saat mukim.”
Dari hadith ini, Ibnu Hajar Al-Asqalani mengatakan yang berbunyi,
وَهُوَ فِي حَقّ مَنْ كَانَ يَعْمَل طَاعَة فَمَنَعَ مِنْهَا وَكَانَتْ نِيَّته لَوْلَا الْمَانِع أَنْ يَدُوم عَلَيْهَا
“Hadith di atas berlaku untuk orang yang ingin melakukan ketaatan lantas terhalang dari melakukannya. Padahal ia sudah ada niat kalau tidak ada yang menghalangi, amalan tersebut akan dijaga rutin.” (Fath Al-Bari, 6: 136)
Dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash RA, ia berkata bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda,
الْعَبْدَ إِذَا كَانَ عَلَى طَرِيقَةٍ حَسَنَةٍ مِنَ الْعِبَادَةِ ثُمَّ مَرِضَ قِيلَ لِلْمَلَكِ الْمُوَكَّلِ بِهِ اكْتُبْ لَهُ مِثْلَ عَمَلِهِ إِذَا كَانَ طَلِيقاً حَتَّى أُطْلِقَهُ أَوْ أَكْفِتَهُ إِلَىَّ
“Seorang hamba jika ia berada pada jalan yang baik dalam ibadah, kemudian ia sakit, maka dikatakan pada malaikat yang bertugas mencatat amalan, “Tulislah padanya sama seperti yang ia biasa amalkan (rutin) sampai Aku melepasnya atau sampai Aku mencabut nyawanya.” (Riwayat Ahmad, 2/203 – Syeikh Syu’aib Al-Arnauth menyatakan bahawa hadis ini sahih dan sanad hadith ini hasan)
Juga hadith berikut,
أَبَا بُرْدَةَ بْنَ أَبِي مُوسَى وَاصْطَحَبَ هُوَ وَيَزِيدُ بْنُ أَبِي كَبْشَةَ فِي سَفَرٍ وَكَانَ يَزِيدُ يَصُومُ فَقَالَ لَهُ أَبُو بُرْدَةَ سَمِعْتُ أَبَا مُوسَى مِرَارًا يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
Abu Burdah bin Abu Musa bahawa ia menemani Yazid bin Abu Kasyabah dalam suatu perjalanan, dan pada waktu itu Yazid sedang berpuasa. Abu Burdah berkata kepadanya; Saya berkali-kali mendengar Abu Musa berkata; Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda: “Apabila seorang sakit atau bermusafir, maka dicatat baginya pahala sebagaimana ketika amalannya semasa bermukim dan dalam keadaan sihat.” (Riwayat Ahmad, 18848 – Status: Isnad Tsiqah)
Pengajaran hadith
1. Hendaklah istiqamah melaksanakan amal ibadah setiap masa semasa dalam keadaan sihat dan tidak bermusafir (yakni dalam keadaan bermukim).
2. Orang yang sakit, walaupun tidak dapat mengerjakan amal soleh seperti mana ketika dia sihat, dia akan tetap akan mendapat ganjaran pahala jika semasa dia sihat, dia melaksanakan amal tersebut. Umpamanya semasa sihat, setiap waktu maghrib dia akan ke masjid untuk kerana menhaditi majlis ilmu. Namun apabila tiba saat dia ditimpa sakit atau ditimpa halangan yang lain, sehingga dia tidak dapat menghadirinya, maka Malaikat tetap akan mencatat ganjaran pahala seolah-olah dia hadir.
3. Allah juga memberi ganjaran yang sama kepada orang yang bermusafir. Umpama amalan hadir majlis ilmu dan puasa sunat. Akan tetapi ketika dia bermusafir, dia tidak dapat hadir ke majlis ilmu, tidak dapat berpuasa sunat. Namun dia turut akan mendapat pahala seolah-olah berada dalam majlis ilmu dan berpuasa sunat.
Dua nikmat yang sangat berharga yang Allah berikan kepada setiap manusia pastilah nikmat sihat dan nikmat masa. Dengan nikmat kesihatan, kita mampu melakukan banyak perkara seperti bekerja, belajar, bergerak ke sana sini. Manakala dengan nikmat masa lapang pula kita mampu mengatur kehidupan dan menjalaninya dengan seimbang.
Ada orang hanya merasakan nikmat kesihatan sahaja. Manakala masanya disibukkan dengan hal-hal dunia yang tidak mendatangkan faedah. Ada pula orang yang dikurniakan nikmat masa, manakala kesihatannya pula tidak memungkinkan dia untuk melakukan banyak perkara.
Beruntunglah jika kita masih merasakan kedua-dua nikmat tersebut itu, iaitu nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang. Dan orang yang mengabaikan kedua-kedua nikmat ini hanyalah akan berhadapan dengan penyesalan dan tangisan.
Dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam pernah menasihati seseorang,
اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَ صِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَ غِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَ فَرَاغَكَ قَبْلَ شَغْلِكَ وَ حَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ
“Manfaatkanlah lima perkara sebelum lima perkara
(1) Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu,
(2) Waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu,
(3) Masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu,
(4) Masa lapangmu sebelum datang masa sibukmu,
(5) Hidupmu sebelum datang matimu.”
(Riwayat Al-Hakim dalam Al Mustadroknya 4: 341. Al-Hakim mengatakan bahawa hadith ini sahih sesuai syarat Bukhari Muslim namun keduanya tidak mengeluarkannya. Dikatakan oleh Az- Zahabiy dalam Al-Talkhish berdasarkan syarat Bukhari dan Muslim)
Kesemua nikmat ini adalah merupakan wasilah pelaburan yang sangat besar yang merupakan pinjaman daripada Allah Subhanahuwata'ala. Apabila ianya adalah pinjaman, maka akan tiba saat untuk diambil kembali daripada kita. Ianya adalah lumrah kehidupan, akan tiba masa kita akan berasa sempit dengan masa dengan sebab banyaknya komitmen dan tanggungjawab yang perlu dilunasi dalam kehidupan.
Akan tiba juga masa kesihatan kita semakin merosot sesuai dengan lanjutnya usia.
Justeru itu, masa yang paling tepat untuk melakukan pelaburan akhirat adalah di saat kudrat masih lagi tersisa dan disaat masa masih lapang dari kesibukan. Biasakanlah diri dengan amalan-amalan soleh semasa sihat agar di saat badan kita sudah tidak mampu bergerak kelak, atau sakit yang boleh datang tiba-tiba atau terhalang oleh satu-satu musibah, namun kita tetap akan mendapat ‘pulangan’ pahala yang berterusan.
Oleh itu, fahamilah firman Allah Subhanahuwata'ala yang berikut ini agar kita tidak menjadi orang yang menyesal di akhirat nanti. Golongan yang akan menyesal ini telah digambarkan oleh Allah Subhanahuwata'ala di dalam firman-Nya,,
وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ (10) وَلَنْ يُؤَخِّرَ اللَّهُ نَفْسًا إِذَا جَاءَ أَجَلُهَا وَاللَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (11)
Maksudnya:“Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: “Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?” Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.” (Al Munafiqun: 10-11).
No comments:
Post a Comment