Tuesday, April 14, 2020

Hukum makan makanan yang diberi oleh Jiran bukan Islam.

Hukum makan makanan yang diberi oleh Jiran bukan Islam. 

Islam mementingkan hubungan kemanusiaan yang baik dan menghimpunkan di antara keimanan kepada Allah dan hari akhirat dengan kelakuan baik serta akhlak dan budi perkerti mulia terhadap insan dan hamba Allah yang lain.

Dalam hak ini Allah Subhanahuwata'ala telah memerintahkan berbuat baik dan bersikap adil kepada orang kafir yang tidak memerangi kaum muslimin.

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah Subhanahuwata'ala tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”. (Surah al-Mumtahanah: 8)

Disebut di dalam hadith dari riwayat Ismail ibn Muhammad ibn Saad ibn Abi Waqas daripada bapanya daripada datuknya yang berkata telah bersabda Rasulullah Salallahu'alaihiwasalam :

اربع من السعادة, المراة الصالحة والمسكن الواسع والجار الصالح والمركب الهنيء واربع من الشقاوة الجار الشوء والمراةالسوء والمسكن الضيق والمركب السوء

Makaudnya:"“Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .

(Hadith sahih riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya no. 4032 dan Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya no. 388 Jilid 8 dan isnad hadith ini sahih dengan menepati syarat Syaikhain diriwayatkan juga oleh Ahmad m/s 1445 Jilid 1 dan Hakim no. 2640 dan Bazzar serta Tibrani dengan lafaz yang hampir sama).

Dalam hadith ini Rasulullah Salallahu'alaihiwasalam menyebut bahawa memiliki jiran yang baik termasuk salah satu di antara tanda-tanda kebahagiaan dan memperolehi jiran yang jahat dan tidak baik termasuk tanda keburukkan dan derita. Ini bermaksud, Islam selaku agama yang sempurna dan lengkap turut menyentuh soal kejiranan yang ianya adalah termasuk dalam soal kemasyarakatan yang perlu dijaga. Dalam hal kejiranan ini Islam mendatangkan pertunjuk dan garispanduan yang lengkap dalam memenuhi soal-soal dan hak-hak kejiranan. 

Allah Subhanahuwata'ala telah berfirman :

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ

Maksudnya:“Sembahlah Allah dan janganlah mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin , jiran tetangga yang berhubungan dekat atau yang jauh dan rakan teman..” (An-Nisa ayar 36).

Allah menyebut juga ((وَالْجَارِ الْجُنُبِ )) : iaitu yang bermaksud lawan kepada ayat sebelumnya yang sebahagian ulama tafsir menyebut ianya ialah jiran yang tidak memiliki hubungan darah atau kekeluargaan seperti pendapat Ali ibn Talhah dari Ibn Abbas ra, juga yang mengatakan ianya bukan muslim seperti jiran yahudi dan nasrani seperti yang disebut dalam riwayat dari Ikrimah dan Mujahid dan yang lain mengatakan yang dimaksudkan ialah jiran yang berjauhan rumahnya.

Dan setiap makna dari tafsir di atas dapat dipakai dan memiliki kekuatan hujah masing-masing dan dapat dirangkumi sekaligus dalam maksud ayat.

(lihat tafsir Tabari m/s 175-180 Jilid 5, tafsir Qurtubi m/s 183 Jilid 5 dan Tafsir Ibn Katsir m/s 495 Jilid 1)

Pada suatu hari Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam menerima hadiah makanan daripada orang bukan Islam, iaitu sepotong daging kambing pemberian wanita Yahudi. Ini menunjukkan bahawa dibolehkan menerima hadiah makanan daripada orang bukan Islam,selagi mana makanan yang diberi itu ialah makanan yang halal. Walaupun begitu Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam dikhinati, dimana daging itu dibubuh racun. Daripada Anas RA:

أَنَّ امْرَأَةً يَهُودِيَّةً أَتَتْ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِشَاةٍ مَسْمُومَةٍ فَأَكَلَ مِنْهَا

Maksudnya: Seorang wanita Yahudi pernah membawakan sepotong daging kambing yang telah diracun lalu Baginda memakannya.
Hadis riwayat Muslim (2190)

Al-Imam al-Qurtubi Rahimahullah di dalam tafsirnya:

وَقَالَ أَبُو عُمَرَ: وَلَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامِ عَبَدَةِ الْأَوْثَانِ وَالْمَجُوسِ وَسَائِرِ مَنْ لَا كِتَابَ لَهُ مِنَ الْكُفَّارِ مَا لَمْ يَكُنْ مِنْ ذَبَائِحِهِمْ

Maksudnya: Telah berkata Abu Umar: dan tidak mengapa dengan memakan makanan  golongan penyembah berhala, orang Majusi dan sekalian yang tiada kitab (bukan ahli kitab) dari kalangan kuffar  selain dari sembelihan mereka.(Lihat Al-Jami’ li Ahkam al-Quran. Dar al-Kutub al-Misriyyah, (6/77)

Justeru itu,  maka dibolehkan bagi seorang muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh non-muslim (bukan ahli kitab) seperti Hindu, Sikh, Budha dan selainnya selagi mana makanan itu adalah halal dan bukannya dari hasil sembelihan mereka atau selagi mana ianya adalah halalan toyyiba.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Maksudnya:"Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu". Al-Baqarah ayat 168.

Secara umumnya memakan makanan yang diberikan oleh orang bukan Islam adalah dibolehkan (halal) jika makanan tersebut tidak terdiri daripada makanan yang diharamkan, seperti mengandungi khinzir, arak atau bangkai (binatang yang haram dimakan atau binatang yang boleh dimakan tetapi tidak disembelih secara syarie) dan sebagainya. Justeru itu,  boleh menerima bahkan memakan makanan tersebut jika pada zahirnya ia adalah makanan yang bukan dibuat daripada atau kandungannya tidak mengandungi elemen yang haram sebagaimana disebutkan, walaupun makanan itu dibuat atau dimasak atau disediakan oleh mereka sendiri.

Namunpun begitu, bersikap warak dalam mengambil suatu makan adalah lebih utama untuk diberi perhatian dan untuk diamalkan . Oleh kerana itu yang afdhalnya adalah makanan kita yang kita makan diperolehi daripada orang yang bertaqwa dan disediakan juga dengan taqwa. Sebagaimana peringatan Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam kepada umatnya, 

لاَ تُصَاحِبْ إِلاَّ مُؤْمِنًا وَلاَ يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلاَّ تَقِيٌّ

Maksudnya: Janganlah kamu berkawan melainkan orang yang beriman dan  jangan biarkan makananmu dimakan melainkan orang bertaqwa.
Riwayat Abu Daud (4832)

 Seperti juga kata ulama:

لا تأكل إلا طعام تقي ولا يأكل طعامك إلا تقي

Maksudnya: Janganlah kamu makan melainkan makanan orang bertaqwa dan jangan seseorang makan makananmu melainkan orang bertaqwa.
Rujuk Ihya Ulum al-Din (2/13)

No comments:

Post a Comment

Agama

 Agama  Manusia memerlukan agama. Manusia dan agama adalah ibarat irama dan lagu, jasad dan roh. Kedua duanya tidak dapat dipisahkan. Sejak ...