Tuesday, March 17, 2020

Petunjuk dari dalil-dalil syarak berkaitan pencegahan penularan wabak dan anjuran membaca Qunut Nazilah.

Petunjuk dari dalil-dalil syarak berkaitan pencegahan penularan wabak dan anjuran membaca Qunut Nazilah. 

Wabak Virus korona (Covid-19) mula menjejaskan dunia sejak akhir tahun 2019. 
(Rujuk:Chaolin Huang et. al, “Clinical features of patients infected with 2019 novel coronavirus in Wuhan, China” in The Lancet Journal, vol. 395, published 24 Januari 2020, p. 499.

Menurut laporan terkini, ramai yang telah dijangkiti di banyak negara, dan banyak nyawa yang telah terkorban. Di Malaysia juga telah dilaporkan bahawa wabak ini telah menular  dan virusnya telah menjangkiti kepada beberapa warga tempatan.

Di antara ajaran Nabi Sallahu'alaihiwasallam. apabila berhadapan dengan masalah penyakit berjangkit atau wabak adalah dengan cara pencegahan. 
Adalah menjadi tanggungjawab dalam agama bagi setiap individu dan masyarakat untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dan mengelakkan diri dari atau ke tempat-tempat awam, termasuk masjid, agar orang yang sihat tidak dijangkiti. Sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam.:

لَا يُورِدَنَّ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ

Maksudnya: “Yang sakit janganlah mendatangi yang sihat.”(Riwayat al-Bukhari,5771 dan Muslim,2221).

Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam. juga telah memerintahkan agar mereka yang berada di tempat wabak agar tidak keluar dari kawasannya. Dan juga mereka yang sihat pula diperintahkan untuk tidak memasuki tempat yang terkena wabak:

إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ

Maksudnya: “Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya.” (Riwayat Muslim,2219)

Hal ini juga adalah  bertepatan dengan hadis Nabi Sallahu'alaihiwasallam yang menuntut agar kita menjauhi dari sebarang bentuk kemudaratan atau memudaratkan orang lain dalam sabdanya:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan.” (Riwayat Ibn Majah,2341)

Ini juga adalah selaras dengan prinsip الضرر يزال  (kemudaratan hendaklah dihilangkan) yang disepakati oleh para fuqaha sebagai salah satu daripada lima prinsip utama di dalam penetapan hukum Islam.

Nabi Sallahu'alaihiwasallam. juga pernah  didatangi oleh sekumpulan orang dari Bani Thaqif untuk berbai’ah, dan salah seorang daripada mereka menghidapi sejenis penyakit yang berjangkit.  Nabi Sallahu'alaihiwasallam. mengutus kepadanya dan tidak bersentuhan dengan dia, Daripada al-Syarid bin Suwaid RA berkata:

كَانَ فِي وَفْدِ ثَقِيفٍ رَجُلٌ مَجْذُومٌ، فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّا قَدْ بَايَعْنَاكَ فَارْجِعْ

Maksudnya: “Dalam delegasi daripada Bani Thaqif terdapat seorang lelaki yang terkena penyakit kusta. Maka Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam mengutuskan seorang utusan untuk menyampaikan berita bahawa kepadanya bahawa: Kami telah menerima bai’ah kamu, maka pulanglah kamu.” (0Riwayat Muslim ,2231)

Keadaan ini juga selaras dengan larangan bersifat sementera bersesuaian dengan pencegahan mudarat. Ia sebagaimana kaedah fiqh yang berbunyi:

الضرر يدفع قدر الإمكان

Dan juga jika ada wabak yang sangat merbahaya, maka berdasarkan dalil dari syarak yang mengharuskan untuk meninggalkan kewajipan jika ada ketakutan atau ditimpa kesakitan. Ketakutan yang dimaksudkan disini adalah ketakutan yang telah ditahqiqkan untuk meninggalkan perkara yang wajib seperti meninggalkan solat jumaat dan solat berjamaah. Namunpun begitu ianya bukanlah semata-mata berdasarkan waham (sangkaan) semata-mata, ini kerana keuzuran syar’i mestilah bersifat jelas, bukan sangkaan semata.

Justeru kerana, meninggalkan yang wajib adalah tidak dibenarkan kecuali setelah wujud ghalabah zhan (sangkaan yang kuat) terhadap sesuatu perkara yang telah ditahkikkan itu .Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam :

مَنْ سَمِعَ الْمُنَادِيَ فَلَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ اتِّبَاعِهِ عُذْرٌ قَالُوا: وَمَا الْعُذْرُ؟ قَالَ: خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendengar orang yang melaungkan azan maka tidaklah yang keuzuran menghalangnya dari mengikutinya (hadir solat berjamaah)”. Para sahabat bertanya : “Apa maksud uzur ?”. Jawab Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam: “Ketakutan atau sakit.”
Riwayat Abu Daud (551) dan al-Daraqutni (1/420)

Dan ketakutan yang dimaksudkan di sini  ada tiga jenis:
1-Takut menimpa ke atas diri sendiri. 
2-Takut menimpa ke atas harta benda. 
3-Takut menimpa ke atas ahli keluarga.

Sebagaimana yang dimaksudkan "keuzuran yang sama tahap kesusahannya dengan kesusahan akibat sakit, dianggap juga sebagai uzur yang dikiaskan dengan sakit yang dinaskan ke atasnya. Justeru, tidak wajib Jumaat ke atas orang yang berasa takut ke atas dirinya atau hartanya.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/497)

Kesimpulannya untuk meninggalkan perkara yang wajib kerana ditimpa dengan wabak adalah seperti berikut:

1- Hanya ketakutan dan kebimbangan yang mencapai tanpa yakin (محققا للخوف) atau sangkaan yang kuat (غلبة الظن) sahaja. Hal ini boleh diperolehi berdasarkan laporan dari ahli atau pakar rujuk bagi sesuatu bidang yang terlibat dengan isu atau kes tersebut.

2- Mudarat yang berlaku adalah boleh mengancam nyawa yang ianya menjadi perkara asas (ضروري) yang berada diiktiraf oleh Syarak. Ia bukanlah bersifat syak atau sangkaan semata-mata.

3- Ianya bersifat pencegahan sebagaimana kaedah sad az-zarai’ (سد الذرائع) tempat berhimpun seperti masjid atau tempat berhimpun bagi orang ramai tidak menjadi kebarangkalian yang tinggi berlakunya penularan wabak seperti COVID-19.

4- Ianya adalah larangan yang bersifat sementera yang bersesuaian dengan pencegahan mudarat. Ia sebagaimana kaedah fiqh yang berbunyi:

الضرر يدفع قدر الإمكان

Pernah berlaku situasi di zaman Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bahawa di musim hujan terlalu lebat dan disuruh solat di rumah masing-masing namun azan tetap dilaungkan dari masjid. Daripada Nafi’ bahawa:

أَذَّنَ ابْنُ عُمَرَ فِي لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ بِضَجْنَانَ ، ثُمَّ قَالَ : صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ ، فَأَخْبَرَنَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْمُرُ مُؤَذِّنًا يُؤَذِّنُ ، ثُمَّ يَقُولُ عَلَى إِثْرِهِ : ” أَلاَ صَلُّوا فِي الرِّحَالِ ” فِي اللَّيْلَةِ البَارِدَةِ ، أَوِ المَطِيرَةِ ، فِي السَّفَرِ .

“Ibn Umar melaungkan azan pada malam yang terlampau sejuk. Beliau melafazkan, صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ (solatlah di rumah kamu). Lalu beliau menceritakan kepada kami, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam memerintahkan muazzin melaungkan azan. Sesudah tamat azan, muazzin menyebutkan على صَلُّوا فِي رِحَالِ’. Hendaklah masing-masing solat di rumah. Ia terjadi ketika malam yang sejuknya mencengkam, atau ketika hujan atau saat bermusafir.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

5- Dalam isu pencegahan penularan COVID-19 menerusi himpunan orang ramai termasuk melibatkan himpunan di masjid-masjid mestilah larangan tersebut hanya dikeluarkan oleh pemerintah atau Ulil Amri bagi urusan tersebut. Ia bagi mengelakkan kecelaruan dan mengakibatkan huru-hara jika yang timbul itu bukan dari pemerintah atau badan berwajib yang diarahkan.

Ia termasuklah dalam perkara mentaati perintah pemerintah pada perkara yang tidak bercanggah dengan syarak disebabkan wujud keuzuran syar’i yang dipertimbangkan berdasarkan situasi tertentu. Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِیعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِی ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِی شَیۡءࣲ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِۚ ذَ ٰ⁠لِكَ خَیۡرࣱ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِیلًا

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” [An-Nisa’: 59]

Juga dianjurkan untuk membaca doa Qunut Nazilah pada solat fardhu:

Ini menepati kehendak perintah Allah Subhanahuwata'ala tatkala umat Islam diuji dengan sesuatu ujian dan musibah agar kembali bermunajat dan merintih kepada Allah Subhanahuwata'ala yang Maha Berkuasa.

Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala:

فَلَوۡلَاۤ إِذۡ جَاۤءَهُم بَأۡسُنَا تَضَرَّعُوا۟

“Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami.”
[Al-An’am: 43]

Juga disebut: “Majoriti ulama' berpandangan bacaan doa Qunut Nazilah harus dilakukan ketika bencana menimpa umat Islam seperti ketakutan, kemarau, wabak, serangan belalang juta atau selainnya, dan mereka membaca qunut pada semua solat fardhu.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/494)

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi mazhab al-Syafie adalah:

ان نزلت بالمسملين نَازِلَةٌ كَخَوْفٍ أَوْ قَحْطٍ أَوْ وَبَاءٍ أَوْ جَرَادٍ أَوْ نَحْوِ ذَلِكَ قَنَتُوا فِي جَمِيعِهَا وَإِلَّا فَلَا

“Sekiranya ditimpa ke atas orang-orang Islam musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak, (serangan) belalang dan lain-lain, maka dibacakan qunut pada semua solat, namun jika tiada musibah, maka tidak perlu membaca qunut”.
(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/475)


No comments:

Post a Comment

Mengurus Keewangan Menurut Islam dalam Era yang Mencabar

Mengurus Keewangan Menurut Islam dalam Era yang Mencabar Segala pujian hanyalah bagi Allah Subhanahuwata’ala, Tuhan yang Maha Pemberi Rezeki...