Sunday, March 15, 2020

Dosa Syirik dan jenis-jenisnya.

Dosa Syirik dan jenis-jenisnya.

Syirik dari dari sudut bahasa bererti kufur. (Lihat Taj al-‘Arus, 7/148 oleh al-Zabidi).

Syirik dari sudut istilah adalah menjadikan bagi Allah sekutu yang mana dia berdoa kepadanya sebagai dia berdoa kepada Allah, atau takut kepadanya, atau mengharap kepadanya, atau dia mencintainya sebagaimana kecintaan kepada Allah, atau dia melakukan kepadanya satu jenis daripada jenis-jenis ibadah. (Lihat al-Qaul al-Sadid fi Maqasid al-Tauhid, ms. 24 oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di )

Syirik adalah merupakan perbuatan yang paling dibenci oleh Allah Subhanahuwata'ala kerana orang yang berbuat syirik bererti mensejajarkan Allah dengan hal lain. Dengan kata lain, orang yang syirik tidak mengakui ke-Esa-an Allah Subhanahuwata'ala, sehingga dalam hidupnya ia bergantung pada apa selain Allah Yang Maha Esa. Syirik juga bererti menyamakan Allah Subhanahuwata'ala dengan hal-hal lain.

Barangkali seseorang itu boleh terselamat daripada melakukan perkara membawa kepada syirik secara terangan seperti menyembah berhala, tokong atau apa sahaja yang menyamakannya dengan Allah Subhanahuwata'ala. Tetapi adakah dengan tidak menyekutukan Allah Subhanahuwata'ala secara terang-terangan itu, maka seseorang itu tidak akan melakukan syirik kepada-Nya?

Perbuatan syirik bermaksud sesuatu perbuatan yang menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktikad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain sama ada makhluk bernyawa atau sebaliknya menyamai bagi Allah Subhanahuwata'ala.

Syirik adalah dosa besar yang paling besar. Oleh itu, ianya diletakkan sebagai dosa besar yang pertama daripada 76 dosa besar yang dihimpunkan oleh Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-Kaba’ir /الكبائر . Maka jelas syirik merupakan perkara yang sangat diharamkan dalam Islam. Sebagaimana firman Allah Ta’ala :

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ 
فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain daripada (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendakiNya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah melakukan dosa yang besar. Al-Nisa ayat 48

Ibn Kathir berkata: “Allah Ta’ala tidak akan mengampuni dosa syirik iaitu ketika seorang hamba bertemu Allah dalam keadaan berbuat syirik.” (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 3/129). Menurut Ibn al-Jauzi, Allah tidak akan mengampuni orang yang musyrik yang mati dalam kesyirikan. (Lihat Zad al-Masir, 2/103). Ini bermaksud, jika dia meninggal dunia dalam keadaan sempat bertaubat, maka dia akan selamat daripada azab neraka.

Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda,

أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ

“Dosa besar yang paling besar, adalah menyekutukan (sesuatu) kepada Allah.”
Riwayat al-Bukhari, no. 6919

Firman Allah Ta’ala 

﴿إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ  
     
Maksudnya: Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka. Al-Maidah ayat 72

Syirik di sini yang mengeluarkan seseorang itu daripada agama Islam merangkumi orang yang kufur secara terang seperti golongan kafir Quraish dan orang yang kufur secara sembunyi seperti golongan munafiqin yang menzahirkan Iman dan menyembunyikan kekufuran. Sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam surah  al-Nisa’ ayat 145-146:

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا . إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَاعْتَصَمُوا بِاللَّهِ وَأَخْلَصُوا دِينَهُمْ لِلَّهِ فَأُولَئِكَ مَعَ الْمُؤْمِنِينَ وَسَوْفَ يُؤْتِ اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ أَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka. Kecuali orang-orang yang taubat dan mengadakan perbaikan dan berpegang teguh pada (agama) Allah dan tulus ikhlas (mengerjakan) agama mereka kerana Allah.Maka mereka itu adalah bersama-sama orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan pahala yang besar kepada irang-orang beriman.

Asal Usul Syirik

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan.Tidaklah berselisih tentang kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya.Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus. Al-Baqarah ayat  213

Al-Imam Ibn Kathir rahimahullah menyebutkan,
"Ini kerana manusia satu ketika dahulu mengikut agama nabi Adam ‘alaihissalam sehinggalah mereka menyembah berhala.Lalu Allah pun menghantar Nabi Nuh ‘alaihissalam kepada mereka, Nabi Nuh adalah rasul pertama yang Allah hantar ke muka bumi". Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim

 Sabda Rasulullah Sallahu'alsihiwassllam,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، صَارَتِ الْأَوْثَانُ الَّتِي كَانَتْ فِي قَوْمِ نُوحٍ فِي الْعَرَبِ بَعْدُ أَمَّا وَدٌّ كَانَتْ لِكَلْبٍ بِدَوْمَةِ الْجَنْدَلِ ، وَأَمَّا سُوَاعٌ كَانَتْ لِهُذَيْلٍ ، وَأَمَّا يَغُوثُ فَكَانَتْ لِمُرَادٍ ، ثُمَّ لِبَنِي غُطَيْفٍ بِالْجَوْفِ عِنْدَ سَبَإٍ ، وَأَمَّا يَعُوقُ فَكَانَتْ لِهَمْدَانَ ، وَأَمَّا نَسْرٌ فَكَانَتْ لِحِمْيَرَ لِآلِ ذِي الْكَلَاعِ ، أَسْمَاءُ رِجَالٍ صَالِحِينَ مِنْ قَوْمِ نُوحٍ ، فَلَمَّا هَلَكُوا أَوْحَى الشَّيْطَانُ إِلَى قَوْمِهِمْ أَنِ انْصِبُوا إِلَى مَجَالِسِهِمُ الَّتِي كَانُوا يَجْلِسُونَ أَنْصَابًا وَسَمُّوهَا بِأَسْمَائِهِمْ ، فَفَعَلُوا فَلَمْ تُعْبَدْ حَتَّى إِذَا هَلَكَ أُولَئِكَ ، وَتَنَسَّخَ الْعِلْمُ عُبِدَتْ ”

Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa berhala yang disembah oleh kaum Nuh telah disembah kembali oleh bangsa Arab. Berhala bernama Wadd disembah oleh kabilah Kalb dari kawasan Daumat al-Jandal, berhala Suwa’ pula milik kabilah Huzail, berhala Yaghuts pula milik kabilah Murad kemudian menjadi milik Bani Ghutaif dari kawasan Saba’,  Ya’uq adalah milik kabilah Hamdan, Nasr adalah milik kabilah Himr yang merupakan keluarga Dzil Kala’. Kesemua nama berhala ini adalah nama-nama orang soleh daripada kaum Nuh. Apabila mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kepada kaum mereka untuk membuat patung di kawasan orang-orang soleh ini sering duduki, dan menamakan patunt itu dengan nama-nama orang soleh tersebut.Kaum nabi Nuh pun melakukan hal itu, tetapi ketika itu patung-patung tersebut tidak disembah.Apabila meninggalnya generasi itu, lalu tujuan asal patung itu tidak diketahui, lalu patung itu pun disembah.
Riwayat al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Quran, hadis no: 4564.

Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah Nuh ayat 23.

وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا

Dan mereka berkata: "Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwwa', yaghuts, ya'uq dan nasr. 

Jenis-Jenis Syirik

Kesemua perbuatan syirik itu adalah dosa besar dan ianya terdiri dari berbagai jenis. namunpun begitu tidaklah kesemuanya mengeluarkan sipelakunya dari agama Islam . Justeru itu,tahap dosa syirik tidaklah kesemuanya sama.

Imam al-Sanusi dalam kitab al-Muqaddimat membahagikan syirik kepada enam jenis:

1-شرك الإستقلال  : Menetapkan adanya dua tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi yang mempercayai adanya Ahura Mazda dan Angra Mainyu.
2- شرك التبعيد : Menyatukan tuhan daripada beberapa oknum seperti akidah Triniti agama Kristian.
3- شرك التقرب : Beribadah kepada sesuatu selain daripada Allah Subhanahuwata'ala dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata'ala.
4- شرك التقلد : Beribadah kepada Allah kerana mengikut orang lain.

Pada pelaku Syirik bagi  no. 1 – 4, seseorang itu dikira kufur secara ijmak.

5- شرك الاسباب  : Menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan, dan bukan Allah Subhanahuwata'ala yang mengenyangkannya. Pelaku Syirik pada no. 5 ini, ia memerlukan perincian. Jika ianya disandarkan kepada sebab tertentu semata-mata, maka dia dikira kufur secara ijmak. Jika dia meyakini bahawa ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, dia dikira fasik dan ahli bid’ah. 

6- شرك الأغرد : Beramal kerana selain daripada Allah Subhanahuwata'ala. Pelaku Syirik bagi no. 6, ianya dikira maksiat dan tidak kufur secara ijmak.

Syirik pada bahagian ini juga dinamakan dengan syirik kecil ( الشِّرْكُ الأَصْغَرُ ), diantaranya adalah seperti riya’ pada sebahagian amalan Sebagaimana sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam:

إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الأَصْغَرُ قَالُوا يَا رَسُولَ الله وَمَا الشِّرْكُ الأَصْغَرُ؟ قَالَ الرِّياَءُ

“Sesungguhnya yang paling kutakutkan atas kalian ialah syirik kecil”. Mereka bertanya, “Apakah syirik kecil tersebut wahai Rasulullah?”  Jawab Beliau, “Riya””. Riwayat Ahmad.

No comments:

Post a Comment

Keteguhan Iman

Keteguhan Iman Dari segi bahasa, iman berarti "percaya" atau "membenarkan". Iman bermaksud kepercayaan atau keyakinan ya...