Tuesday, March 10, 2020

Hukum solat ke atas orang yang nyanyuk (demensia)

Hukum solat ke atas orang yang nyanyuk (demensia)

Peningkatan umur menjadikan tahap kesihatan seseorang itu turut merosot. Antara masalah yang kerap berlaku dalam kalangan golongan ini adalah nyanyuk.

DEMENSIA atau lebih dikenali sebagai penyakit nyanyuk dalam kalangan masyarakat sering dikaitkan dengan mereka yang sudah berumur. Biasanya masyarakat menyangkakan serangan itu terjadi apabila seseorang itu diusia tua.

Namum pada hakikatnya, bagi seseorang yang menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan juga mempunyai tahap kolesterol yang tinggi,  juga terdedah kepada risiko serangan.

Penyakit demensia berlaku disebabkan oleh gangguan otak yang menyebabkan penurunan dalam kemampuan kognitif (kemampuan untuk menerima dan memahami maklumat) seseorang.

Ramai menyangkakan kemampuan kognitif hanya berkaitan dengan memori tetapi sebenarnya ia membabitkan banyak perkara.

Ianya termasuklah proses mempelajari sesuatu, merancang, menilai, menyusun, menyelesaikan masalah, menghakimi dan melaksanakan aplikasi harian. Demensia juga memberi kesan kepada kognitif, termasuklah aspek perubahan personaliti.

Rujuk: Pakar Perunding Psikiatri Geriatik Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Bharathi Vengadasalam, 

Nyanyuk atau demensia merupakan sejenis penyakit penurunan fungsi saraf otak yang kompleks dan progresif. 

Sehingga pada satu keadaan atau tahap di mana daya ingatan seseorang merosot dengan teruknya sehinggakan pengidapnya tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri. Nyanyuk (demensia) yang teruk akan melemahkan pertuturan, kewarasan, ingatan, pertimbangan, perubahan personaliti dan tingkah laku yang tidak terkawal serta juga akan menurunkan fungsi memori, yang mana ini juga akan menjejaskan fungsi intelektual dan sosial penghidapnya.

Keadaan ini amat membebankan bukan saja kepada si penghidapnya, malah ahli keluarga yang menjaga.

Maksud tahap yang paling teruk adalah apabila pesakit sudah tidak mampu lagi untuk melakukan aktiviti normal akibat hilangnya ingatan berkaitan tahap melakukan aktiviti seharian seperti mandi, makan, dan buang air besar.Sering buang air besar dengan tidak disengaja,kesukaran untuk berkomunikasi serta perubahan emosi dan sifat.
Penyakit ini hampir kepada golongan المَعْتُوهِ atau nyanyuk. Ada terdapat riwayat Hadith daripada Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda:

رُفِعَ القَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَشِبَّ، وَعَنِ المَعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat mental sehingga dia berakal.” Riwayat al-Tirmizi (1423) dan Ahmad (956)

Kata Ibn Abidin: "Para ahli usul telah menjelaskan bahawa hukum bagi orang “المَعْتُوه” ini seperti bayi yang mumayyiz serta berakal pada kelakuannya dan terangkat tanggungjawabnya (terlepas daripada beban tanggungjawab). (Rujuk Hasyiah Ibn Abidin, 2/426)

Justeru itu, andainya pesakit sudah sampai kepada tahap hilang ingatan, maka hukumnya adalah tidak wajib solat. Sebagaimana Firman Allah Subhanahuwata'ala:

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya,(Surah al-Baqarah: 286)

(Allah tidaklah membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya), artinya sekadar kesanggupannya. Rujuk tafsir Jalalayn.

Juga selaras dengan kaedah fiqhiyyah yang ma’ruf,

لاَ وَاجِبَ مَعَ العَجْزِ

“Tidak ada kewajiban ketika tidak mampu.”

Namunpun begitu, memberi nasihat dan mengajak supaya bersolat serta memimpin ke arah solat adalah tanggungjawab keluarga yang sudah pasti diberi pahala. Hal ini seiring dengan firman Allah Subhanahuwata'ala,:
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا

Maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. (Surah Taha: 132

No comments:

Post a Comment

Keteguhan Iman

Keteguhan Iman Dari segi bahasa, iman berarti "percaya" atau "membenarkan". Iman bermaksud kepercayaan atau keyakinan ya...