Hukum bekerja sebagai tukang masak yang memasak daging khinzir
Firman Allah Subhanahuwata'ala:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”
(Surah al-Maidah: 3)
Berdasarkan nas di atas dan juga nas yang lain yang bersumber dari al-Quran maka Ulama telah bersepakat berkenaan pengharaman memakan daging khinzir.
Begitu juga hukum bekerja sebagai tukang masak yang memasak daging khinzir adalah haram dan dilarang di dalam Islam sekalipun disajikan hanya kepada bukan Islam. Perbuatan memasak daging khinzir ini dilihat sebagai perkara yang menolong dalam melakukan maksiat kepada Allah Subhanahuwata'ala dan dikira sebagai bersubahat atau pemudah cara dalam melakukan sesuatu perkara yang dilarang oleh Allah Subhanahuwata'ala. Allah Subhanahuwata'ala berfirman:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”(Surah al-Maidah: 2)
Ayat di atas dengan jelas menunjukkan bahawa Allah Subhanahuwata'ala mengharamkan apa sahaja bantuan serta pertolongan ke arah perkara-perkara maksiat dan juga perkara yang melampaui batas yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahuwata'ala.
Hal ini juga selaras dengan kaedah yang disebut:
الْوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَام الْمَقَاصِد
Maksudnya: “Wasilah-wasilah mempunyai hukum yang sama dengan tujuan.”
Dari sudut yang lain pula Islam melarang umatnya dengan sengaja menajiskan diri dengan najis dan lebih-lebih lagi khinzir adalah dari kumpulan najis mughallazah. Perbuatan ini membawa kepada menajiskan diri tanpa sebarang tujuan yang munasabah yang dibenarkan oleh syarak dan ianya adalah haram di sisi Islam. Hal ini ada dinyatakan seperti berikut:
التضمخ بالنجاسة إنما يحرم
Maksudnya: “Menyentuh najis secara sengaja ia adalah haram.” (Lihat Hasyiah Bujairami ‘ala Syarah Manhaj al-Tullab, hlm. 105
Meskipun syarak mengadakan satu kaedah "sertu" beserta dengan garis panduannya di dalam menyucikan diri daripada najis mughallazah, namunpun begitu kaedah "sertu" tersebut bukanlah satu permit atau keizinan untuk membolehkan setiap orang Islam untuk menyentuh najis mughallazah dengan sengaja.
Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya.
No comments:
Post a Comment