Hukum azan tanpa Wudhu
Azan adalah merupakan salah satu daripada syiar Islam yang sangat besar dan merupakan syiar yang tidak boleh ditinggalkan. Sehinggakan Nabi Sallahu'alaihiwssallam menggalakkan umatnya untuk menjadi salah seorang yang melaungkan syiar yang mulia ini. Hal ini dapat diketahui berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Kata beliau bahawa Nabi Sallahu'alaihiwssallam bersabda :
لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الْأَوَّلِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لَاسْتَهَمُوا وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي التَّهْجِيرِ لَاسْتَبَقُوا إِلَيْهِ وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا
Maksudnya :”Kalaulah manusia tahu (kelebihan) azan dan saf yang pertama dan mereka tidak mendapatinya melainkan dengan undian nescaya mereka akan mengundi. Kalaulah mereka tahu kelebihan bersegera menunaikan solat nescaya mereka akan segera menunaikannya. Jika mereka tahu kelebihan solat isyak dan subuh (secara berjemaah) maka mereka datang walaupun secara merangkak.”Riwayat Al-Bukhari (615) & Muslim (1009)
Azan dari segi Bahasa adalah اِعْلاَمٌ iaitu pemberitahuan sesuatu samada waktu solat atau lainnya. Sepertimana Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam Surah At-Taubah Ayat 3
وَأَذَانٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى النَّاسِ
“Dan inilah perisytiharaan dari Allah dan Rasulnya kepada manusia”
Azan dari Segi Syarak pula adalah,
ذِكْرٌ مَخْصُوْصٌ يُعْلَمُ بِهِ وَقْتَ الصَّلاَةِ
Iaitu Ucapan khusus yang diketahui dengannya waktu-waktu solat yang difardhukan.
Dalil Azan dan Iqamah adalah,
1-Firman Allah dalam Surah Al-Jumaah Ayat 9 :
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصلاَةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ(9)
Wahai orang yang beriman apabila diserukan (Azan) untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat maka segerakanlahkamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjualbeli, yang demikian adalah baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya. Al-Jumaah Ayat 9
2. Hadis Nabi Sallahu'alaihiwssallam:
حَدِيثُ مَالِكِ بْنِ الْحُوَيْرِثِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : أَتَيْنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَحْنُ شَبَبَةٌ مُتَقَارِبُونَ فَأَقَمْنَا عِنْدَهُ عِشْرِينَ لَيْلَةً وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَحِيمًا رَقِيقًا فَظَنَّ أَنَّا قَدِ اشْتَقْنَا أَهْلَنَا فَسَأَلَنَا عَنْ مَنْ تَرَكْنَا مِنْ أَهْلِنَا فَأَخْبَرْنَاهُ فَقَالَ ارْجِعُوا إِلَى أَهْلِيكُمْ فَأَقِيمُوا فِيهِمْ وَعَلِّمُوهُمْ وَمُرُوهُمْ فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلَاةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ ثُمَّ لِيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ *
“Diriwayatkan daripada Malik bin al-Huwairis r.a katanya: Kami datang menemui Rasulullah Sallahu'alaihiwssallam, pada waktu itu kami masih sama-sama muda dan usia kami tidak banyak perbezaanya. Kami tinggal bersama baginda selama dua puluh malam. Rasulullah Sallahu'alaihiwssallam adalah seorang yang sangat pemurah dan lembut sekali. Baginda menyangkakan bahawa aku sedang berselisih paham dengan keluargaku sehingga baginda bertanya kepadaku keadaan keluarga yang aku tinggalkan. Maka aku menceritakan kepada baginda mengenai keluargaku. Kemudian baginda bersabda: Pulanglah kepada keluargamu dan tinggallah bersama mereka. Ajarlah mereka dan perintahkanlah mereka apabila tiba waktu solat. Hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan hendaklah orang yang paling tua dari kalangan kamu menjadi imam”
Riwayat al-Bukhari (6705)
Ada beberapa syarat sah bagi azan yang mesti diketahui serta dipatuhi dan jika ada dari mana-mana syarat-syarat tersebut yang tidak dipenuhi, maka azan tersebut tidak sah. Diantara syarat-syarat sah bagi azan adalah seperti berikut:
:
1-Islam. Iaitu muazzin mesti seorang muslim.
2-Berakal
3-Seorang yang mumayyiz.
4-Lelaki
5-Menguatkan suara ketika azan.
6-Masuk waktu solat
7-Muazzin tahu tentang waktu solat
8-Berturutan (Muawalah) di antara kalimah azan.
9-Mengikut susunan kalimah azan (tertib).
Berdasarkan syarat-syarat sah azan di atas maka dapatlah diketahui bahawa bersuci daripada hadas adalah bukan syarat sah azan. Seseorang yang melaungkan azan tanpa berwuduk, maka azannya tetap sah namun perbuatan tersebut adalah perbuatan yang makruh. Ini berdasarkan hadis Nabi Sallahu'alaihiwssallam :
إِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أَذْكُرَ اللَّهَ إِلاَّ عَلَى طُهْرٍ
Maksudnya :” Aku tidak suka menyebut nama Allah kecuali aku berada dalam keadaan yang bersih (suci daripada hadas).” Riwayat Ibnu Hibban (806)
Justeru itu jika seseorang muazzin terkentut semasa melaungkan azan maka azannya tidak terbatal. Oleh kerana itu teruskan sahaja azan tersebut. Namun, jika muazzin tersebut memberhentikan azan dengan serta merta untuk mengambil wuduk, maka dia mesti melaungkan azan daripada awal bukan menyambung kembali kalimah azan yang dia berhenti tadi.
Ini adalah berdasarkan pandangan ashab di dalam mazhab Syafi’i adalah perlu mula semula dari awal kalimah azan bukannya menyambung kembali kalimah yang di berhenti tadi supaya orang ramai tidak menganggap dia bermain-main dengan kalimah azan. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/98).
Juga azan tidak boleh disambung oleh orang lain, Sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr Wahbah Zuhaili di dalam kitab beliau:
كونه من شخص واحد: فلو أذن مؤذن ببعضه، ثم أتمه غيره لم يصح
Maksudnya: Mestilah muazzin itu berseorangan: Sekiranya seorang muazzin itu melaungkan azan dan kemudiannya disempurnakan oleh muazzin yang lain, maka azan itu tidak sah.
Selain itu Dr. wahbah Zuhaili juga menyatakan di dalam kitabnya bahawa: “Secara sohihnya mestilah melaungkan azan secara sempurna ini kerana azan merupakan ibadah badaniah tidak sah sekiranya dilakukan secara bersama dalam satu masa”. (lihat: al-Fiqh al-Islam wa Adillatuhu: 1/699).
No comments:
Post a Comment