Wednesday, March 4, 2020

Hukum makan kelawar

Hukum makan kelawar

Orang yang tidak mengetahui hukum halal haram atau orang yang tidak ingin ambil tahu tentang hukum halal haram, mungkin saja tidak mempedulikan makanan yang masuk dalam perutnya. Namun bagi orang beriman yang ingin tubuhnya bersih dari yang haram pasti akan peduli akan hal ini. Ini kerana segala sesuatu yang masuk ke dalam perutnya pasti diinginkan yang halal, bukan yang haram. Allah Subhanahuwata'ala telah berfirman :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”
(Surah al-Baqarah : 168)

Ayat di atas menunjukkan bahawa makanan yang hendak dimakan oleh kita hendaklah memenuhi dua kriteria tersebut iaitu, halal dan baik.

Yang dimaksudkan dengan (ٱلطَّيِّبَـٰتُ) ialah apa sahaja makanan yang baik untuk diri dan juga elok untuk kehidupan yang mana manusia makan dengan penuh selera. Ia juga adalah makanan yang boleh dimakan dan dicerna dengan baik oleh manusia sehingga memberikan zat-zat yang mendatangkan manfaat kepada manusia.(Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/56)

Larangan membunuh kelawar ada disebutkan di dalam hadith yang berikut,

عن عَبد الله بن عَمْرو ، أنه قال : لاَ تقتلوا الضفادع فإن نقيقها تسبيح ، ولا تقتلوا الخفاش فإنه لما خرب بيت المقدس قال : يا رب سلطني على البحر حتى أغرقهم

Dari ‘Abdullah bin ‘Amru, ia berkata,  “Janganlah kamu membunuh katak, kerana suaranya adalah tasbiih. Jangan kamu pula membunuh kelawar, kerana ketika Baitul-Maqdis roboh ia berkata : ‘Wahai Rabb, berikanlah kekuasaan padaku atas lautan hingga aku dapat menenggelamkan mereka” (Riwayat Al Baihaqi dalam Al-Kubraa 9: 318 dan Ash-Shughraa 8: 293 no. 3907, dan Al-Ma’rifah hal. 456. Al Baihaqi berkata bahawa sanad hadith ini sahih)
Setelah menyebutkan hadith tersebut, Imam Al-Baihaqi menyatakan,

والذي نهى عن قتله يحرم أكله إذ لو كان حلالا لأمر بذبحه ولما نهى عنه كما لم ينه عن قتل ما يحل ذبحه وأكله والله أعلم

“Binatang yang dilarang untuk dibunuh haram untuk dimakan. Kerana jika haiwan itu halal, tentunya akan diperintahkan untuk disembelih dan tidak dilarang untuk dibunuh, sebagaimana binatang lainnya yang halal dimakan.” (Sunan Baihaqi, keterangan riwayat no. 19166).

Ibn Hajar al-Asqolani dalam kitabnya al-Talkhish al-Habir, Bab al-Muharramat al-Ihram (2/1096, hal.525) juga menaqalkan hadith ini daripada Imam al-Baihaqy.

Abu al-Tayyib Muhammad mengatakan, “Segala haiwan yang dilarang untuk dibunuh disebabkan kerana dua alasan. Pertama, kerana haiwan tersebut adalah terhormat (seperti semut dan lebah ) sebagaimana manusia. Kedua, boleh jadi pula kerana alasan daging haiwan tersebut haram untuk dimakan seperti pada burung Shurod, burung Hudhud dan semacamnya.” Aunul Ma'bud (10:252)

Aunul Ma’bud adalah nama kitab karangan Abu al-Tayyib Muhammad Syams al-Haqq bin Amir ‘Ali bin Maqsud ‘Ali al-Siddiqi al-‘Adzim Abadi yang merupakan salah satu syarh  dari Sunan Abu Daud,karya Abu Daud al-Sijistani.

Adapun tentang hukum memakan kelawar telah berlaku perselisihan antara ulama (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/22 dan Raudhah al-Talibin, 3/273).

Ada tiga pendapat utama dalam hal ini:

1-Mazhab Hanafi berselisih pendapat, ada yang menyatakan halal dan ada yang berpendapat tidak halal.(Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/137)

2-Mazhab Maliki ada dua pendapat, pendapat pertama kelawar halal dimakan tetapi pendapat yang masyhur di sisi mazhab Malikiyyah hukumnya adalah makruh. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/137)

3-Mazhab Syafi’i dan Hanbali mengharamkan memakan kelawar.

Imam al-Nawawi ada mencatit bahawa :

 قَالَ الشَّافِعِيُّ وَالْأَصْحَابُ مَا نُهِيَ عَنْ قَتْلِهِ حَرُمَ أَكْلُهُ لِأَنَّهُ لَوْ حَلَّ أَكْلُهُ لَمْ يُنْهَ عَنْ قَتْلِهِ كَمَا لَوْ لَمْ يُنْهَ عَنْ قَتْلِ الْمَأْكُولِ

Maksudnya : “Imam Syafie dan ashabnya (ulama mazhab Syafi’iyyah) mengatakan bahawa apa-apa (haiwan) yang dilarang daripada membunuhnya, hukumnya adalah haram untuk memakannya kerana kalaulah halal (boleh) memakannya sudah tentu tidak akan dilarang untuk membunuhnya sebagaimana tidak dilarang untuk membunuh (menyembelih) haiwan yang dimakan.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/22)

Oleh sebab itu, kelawar adalah haram untuk dimakan kerana dilarang untuk membunuhnya.

Imam Nawawi rahimahullah juga mencatit,

والخفاش حرام قطعا قال الرافعى وقد يجئ فيه الخلاف

“Kelawar itu haram secara mutlak. Ar Rofi’i menyatakan bahwa mengenai hukum masalah ini ada khilaf (perselisihan di antara para ulama) (Al Majmu’, 9: 22)

Kemudian diungkapkan pula dalam kitab Hasyiyata Qalyubi wa Umairah sebagai berikut: 

وَيُطْلَقُ الْخُطَّافُ عَلَى الْخُفَّاشِ وَهُوَ الْوَطْوَاطُ وَهُوَ حَرَامٌ أَيْضًا

Maksudnya: “Dikatakan الْخُطَّافُ untuk jenis binatang kelawar, iaitu الْوَطْوَاطُ hukumnya juga haram,” (Syeikh Qalyubi dan Umairah, Hasyiyata Qalyubi wa Umairah, juz 4, halaman 261)

Ibn Qudamah Ada mencatit di dalam kitabnya bahawa hukum memakan kelawar adalah haram kerana ia termasuk dalam kategori haiwan yang dianggap kotor (jijik). Kemudian, beliau telah menukilkan pendapat al-Nakha‘ie yang menyatakan bahawa :

كُلُّ الطَّيْرِ حَلَالٌ إلَّا الْخُفَّاشَ. وَإِنَّمَا حُرِّمَتْ هَذِهِ؛ لِأَنَّهَا مُسْتَخْبَثَةٌ، لَا تَسْتَطِيبُهَا الْعَرَبُ، وَلَا تَأْكُلُهَا

Maksudnya : “Semua jenis burung itu adalah halal (dimakan) kecuali kelawar. Dan diharamkan kelawar ini kerana ia dianggap kotor (jijik) serta masyarakat Arab tidak menganggapnya baik dan juga tidak memakannya.” (Lihat al-Mughni, 9/410-411)

Dalam Al Mughni  (11: 66) juga disebutkan bahawa,

قَالَ أَحْمَدُ : وَمَنْ يَأْكُلُ الْخُشَّافَ ؟ وَسُئِلَ عَنْ الْخُطَّافِ ؟ فَقَالَ : لَا أَدْرِي . وَقَالَ النَّخَعِيُّ : كُلُّ الطَّيْرِ حَلَالٌ إلَّا الْخُفَّاشَ, وَإِنَّمَا حُرِّمَتْ هَذِهِ ؛ لِأَنَّهَا مُسْتَخْبَثَةٌ ، لَا تَسْتَطِيبُهَا الْعَرَبُ ، وَلَا تَأْكُلُهَا .

“Imam Ahmad ditanya mengenai orang yang makan kelawar dan ditanyakan pula mengenai الْخُطَّافِ (sejenis kelelawar). Imam Ahmad menjawab, “Saya tidak tahu (mengenai hukumnya).” An Nakha’i mengatakan, “Setiap burung itu halal kecuali kelawar.” Kelawar diharamkan kerana khobits (kotor), orang Arab menganggapnya demikian dan tidak memakannya.” Allah Ta’ala berfirman,

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

“Dan diharamkan bagi mereka segala yang khobits (buruk)” (QS. Al-A’raf : 157).

Banyak kajian saintifik yang membuktikan bahawa haiwan liar seperti kelawar (Pteropus hypomelanus), keluang(Pteropus vampyrus) dan seumpamanya mampu menjadi punca kepada penyakit yang berbahaya buat individu yang memakannya. Antaranya kelawar adalah merupakan antara haiwan liar yang sering dikaitkan sebagai pembawa utama virus-virus yang berbahaya seperti SARS, virus Nipah, dan virus Demam Ebola Berdarah.

Adapun yang pastinya setiap penyakit ada puncanya dan sebagai seorang Muslim hendaklah sentiasa berpegang kepada ajaran al-Quran dan Hadith Nabi Sallahual'aihiwasallam dengan memohon perlindungan dan menjauhi apa yang telah dilarang. Dalam masa yang sama hendaklah mengukuhkan keimanan kepada qada’ dan qadar yang telah ditentukan Allah Subhanahuwata'ala.

Justeru itu, menjadi tuntutan ke atas kita seorang Muslim, bukan sahaja perlu memilih makanan yang halal tetapi juga perlu berkualiti.


No comments:

Post a Comment

Menghayati Kasih Ibu

Menghayati Kasih Ibu Islam adalah sebuah agama yang sangat menitik beratkan soal berbuat baik kepada kedua ibubapa. Bahkan amalan birr al-wa...