Saturday, February 15, 2020

Hukum mengangkat tangan untuk takbir ketika hendak rukuk dan i’tidal.


Hukum mengangkat tangan untuk takbir ketika hendak rukuk dan i’tidal.

Dari Nafi’ maula Ibnu Umar rahimahullah, beliau mengatakan:

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ إِذَا دَخَلَ فِى الصَّلاَةِ كَبَّرَ ، وَرَفَعَ يَدَيْهِ وَإِذَا رَكَعَ رَفَعَ يَدَيْهِ ، وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَفَعَ يَدَيْهِ ، وَإِذَا قَامَ مِنَ الرَّكْعَتَيْنِ رَفَعَ يَدَيْهِ ورَفَعَ ذلكَ ابنُ عُمَر إلى نبيِّ اللهِ – صلى الله عليه وسلم -.

Sesungguhnya Ibnu ‘Umar Radhiyallahu anhuma biasanya jika hendak memulai solatnya beliau bertakbir dan mengangkat kedua tangannya. Jika hendak ruku’ juga mengangkat kedua tangannya. Jika beliau mengucapkan, ”سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ”  juga mengangkat kedua tangannya. Jika berdiri dari rakaat kedua juga mengangkat kedua tangannya. Ibnu Umar Radhiyallahu anhu memarfu’kannya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam .” Hadith Riwayat Al-Bukhari, no. 739 dan Muslim no. 390.

Hukum mengangkat tangan untuk takbir ketika hendak rukuk dan i’tidal di sisi mazhab al-Syafie adalah sunat. Hal ini seperti yang dinyatakan di dalam banyak kitab fiqh, antaranya Safinah al-Naja dengan menyebutkannya dalam satu fasal:

فَصْلٌ: يُسَنُّ رفع اليدين في أربعة مواضع عند تكبيرة الإحرام و عند الركوع و عند الإعتدال و عند القيام من التشهّد الأوّل

Maksudnya: Fasal (pada menyatakan): disunatkan mengangkat tangan pada empat tempat iaitu takbiratul ihram, ketika hendak rukuk, ketika i’tidal dan ketika bangun daripada tasyahhud awal. (Rujuk Safinah al-Naja’: 63)

Manakala i’tidal pula, diangkat tangan ketika mula mengangkat kepala dan apabila sudah tegak berdiri (i’tidal), maka hendaklah melepaskan tangan sedikit ke / di bawah dadanya. (Rujuk Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja: 63)

Syaikh Abdurrahman bin Naashir as-Sa’di rahimahullah berkata:

“Mengangkat kedua tangan sejajar dengan kedua bahunya atau sejajar dengan cuping telinganya (bagian bawah daun telinga) dalam empat tempat:

1-ketika takbiratul ihram dirakaat yang pertama.
2-ketika hendak ruku’
3-ketika bangun dari ruku’
4-Ketika berdiri dari tasyahud awal ”
[Rujuk Syarh Manhajus Salikin wa Taudhihil Fiqh Fid Din  1/87].

Hukum mengangkat tangan untuk bertakbir ketika ingin rukuk dan i’tidal itu adalah sunat disisi mazhab al-Syafie. Justeru itu, seelok-eloknya diperbanyakkan perbuatan yang sunat di dalam solat, apatahlagi perbuatan yang sangat mudah untuk dilakukan seperti mengangkat takbir.

Namun begitu, ianya tidak pula menjejaskan sahnya solat seseorang jika dia tidak melakukannya kerana ianya tidak termasuk dalam rukun solat.

No comments:

Post a Comment

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah.

Dua kemampuan bagi menggapai Husnulkhatimah. Kita seharusnya benar-benar menyedari bahawa kita sebenarnya berhadapan dengan dua pilihan jala...