Hukum membela kucing dan hukum berlaku ihsan kepada semua makhluk Allah Subhanahuwata'ala.
Terdapat satu riwayat daripada ‘Ubaidillah bin Abi Rafi’, dimana beliau berkata :
قلتُ لأبِي هُريرَةَ: لِمَ كنيتَ بِأبِي هُرَيرَة؟ قال: كنْتُ أرْعَى غَنَمَ أهْلِي، وكَانَتْ لِي هرة صَغِيرَة، فكنتُ أضَعها بِالليلِ فِي شَجَرة، وَإذَا كَانَ النَّهَار ذهَبْتُ بِهَا مَعِي، فلعبتُ بِهَا فكنوني أبَا هُرَيرَة
Maksudnya : Aku bertanya kepada Abu Hurairah, mengapakah kamu berkuniyah dengan Abu Hurairah ? Lalu beliau menjawab : Aku dahulu memelihara kambing milik keluargaku, dan aku dahulu memiliki seekor anak kucing yang kecil. Pada waktu malam aku meletaknya di sepohon pokok dan apabila waktu siang aku membawanya bersama denganku kemudian aku bermain dengannya, maka orang ramai memberi kuniyah kepadaku sebagai Abu Hurairah.
Rujuk Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, Ibn Hajar (7/349)
Berdasarkan riwayat di atas, maka dengan jelasnya menunjukkan bahawa Abu Hurairah memiliki dan membela kucing. Begitu juga berdasarkan riwayat di atas juga tidak menjadi masalah untuk seseorang menghalau kucing dari kawasan rumahnya dengan syarat tidak menyakiti dengan menendang, melempar, atau apa-apa cara yang memudaratkan haiwan tersebut.
Secara umumnya, hukum asal memelihara atau membela kucing adalah harus. Berlaku ihsan kepadanya adalah wajib dan menyakitinya adalah haram. Oleh itu, seseorang bebas memilih sama ada untuk membela kucing atau tidak membelanya.
Ini berdasarkan kaedah fekah yang masyhur :
الأَصْلُ فِي الأشْيَاءِ الإبَاحَة
Maksudnya : Hukum asal bagi setiap perkara adalah harus.
Apabila diteliti akan maksud hukum harus, maka adalah jelas diketahui bahawa syarak tidaklah menuntutnya untuk melakukan atau melarangnya dari melakukan, namun syarak memberinya pilihan sama ada untuk buat ataupun meninggalkannya.
Justeru kerana, dalam hal membela kucing ini tidak terdapat nas daripada syarak yang menyuruh seseorang itu membelanya, begitu juga tidak terdapat larangan syarak ke atas perbuatan tersebut. Maka ia kembali kepada hukum asal iaitu keharusan.
Namun, sebagai umat Islam kita dituntut untuk melakukan kebaikan kepada kesemua makhluk Allah Subhanahuwata'ala. Ia menyeluruh, iaitu merangkumi berbuat baik kepada manusia sama ada orang Islam atau bukan Islam, demikian juga umat Islam dituntut untuk berbuat baik kepada haiwan. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus R.A bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam telah bersabda:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu.
Riwayat Muslim (1955)
Perkataan كَتَبَ dari sudut hukum fekah ianya adaah
menunjukkan kepada hukum wajib. Ini adalah seperti yang dikatakan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali: ‘’Lafaz Al-Kitabah membawa hukum wajib di sisi para fuqaha dan usuliyyun, (dan pendapat ini) diperselisihkan oleh sebahagian mereka. Sesungguhnya diketahui pengunaan lafaz al-Kitabah ini di dalam al-Quran terhadap perkara yang wajib dan mesti dibuat”. Rujuk Tafsir Ibn Rajab (1/617).
Kata Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di : ‘’Maka termasuklah antaranya berbuat ihsan kepada kesemua kategori manusia, dan juga kepada haiwan-haiwan. Sehinggakan pada saat ingin menyembelih haiwan juga dituntut (untuk berlaku ihsan)’’. Rujuk Bahjah Qulub Al-Abrar, Al-Sa’di (1/127).
Sebagaimana Hadith yang berikut,
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
Sesungguhnya Nabi Sallahu'alaihiwasallam telah bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada segala sesuatu, jika kalian membunuh maka bunuhlah secara baik, dan jika kalian menyembelih maka sembelihlah secara baik, dan hendaklah salah seorang dari kalian menajamkan pisaunya serta tidak menyiksa kepada sembelihannya.” Riwayat Tirmizi No: 1329.
Juga tsabit daripada hadith Baginda Sallahu'alaihiwasallam, bahawa seorang wanita di azab di neraka lantaran tidak memiliki sikap belas ihsan terhadap seekor kucing:
دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
Maksudnya: “Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang ditambatnya tanpa diberikan makan, dan dia tidak melepaskan kucing tersebut untuk makan sendiri binatang yang berkeliaran di atas muka bumi.”Riwayat al-Bukhari (3318) dan Muslim (2619)
Nyawa setiap binatang juga perlu dipelihara dan tidak boleh dibunuh sesuka hati secara sewenang-wenangnya. Nabi Sallahu'alaihiwasallam bersabda:
مَنْ قَتَلَ عُصْفُورًا عَبَثًا عَجَّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ يَا رَبِّ إِنَّ فُلاَنًا قَتَلَنِي عَبَثًا وَلَمْ يَقْتُلْنِي لِمَنْفَعَةٍ
Maksudnya: Barangsiapa yang membunuh burung kecil tanpa sebab, ia akan mengadu kepada Allah SWT pada hari kiamat dan berkata: Wahai Tuhan, sesungguhnya si fulan telah membunuhku dnegan sia-sia tanpa sebab dan tidak membunuhku kerana sebarang manfaat. Sunan an-Nasa’ie (4446)
Kesimpulannya apabila kita menyatakan bahawa hukum berbuat ihsan terhadap haiwan adalah wajib, maka menyakiti dan berbuat kezaliman kepada haiwan-haiwan tanpa sebarang hak yang dibenarkan oleh syarak adalah haram hukumnya. Bahkan pengabaian dalam hal ini juga boleh menyebabkan seseorang itu ditempatkan ke dalam neraka.
No comments:
Post a Comment