Tuesday, February 4, 2020

Hukum lelaki menyerupai perempuan atau perempuan menyerupai lelaki (تَشَبَّهَ

Hukum lelaki menyerupai perempuan atau perempuan menyerupai lelaki (تَشَبَّهَ)

Hukum tasyabbuh (تَشَبَّهَ) adalah "HARAM" dan ianya adalah salah satu dari dosa-dosa besar. Kerana telah tsabit dari nas-nas syar’ie bahawa Allah Subhanahuwata'ala melaknat orang yang melakukannya melalui lisan Nabi Muhammad Sallahualaihiwasallam. Diantaranya adalah hadith dari Ibn ‘Abbas R.Anhuma, sebagaimana sabda Baginda Sallahualaihiwasallam:

لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ.

Maksudnya: Nabi Sallahualaihiwasallam telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.Riwayat al-Bukhari (5886 & 6834), Abu Daud (4953) & al-Tirmizi (2785)


Ibn al-Athir berkata: الْمُتَرَجِّلاَتِ ialah perempuan yang menyerupai lelaki dari segi pakaian dan keadaannya. الْمُخَنَّثِ  pula ialah lelaki yang menyerupai perempuan. [Al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar. Dar al-Fikr, 2/203]

Dalam riwayat yang lain:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ.

Maksudnya: “Rasulullah Sallahualaihiwasallam telah melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan.”Riwayat al-Bukhari (5885), Abu Daud (4097), al-Tirmizi (2784) & Ibn Majah (1904)

Al-Imam al-San’ani mengatakan bahawa laknat Rasulullah Sallahualaihiwasallam terhadap maksiat itu menunjukkan kepada besarnya dosa tersebut. Dalil tersebut menunjukkan keharaman untuk menyerupai perempuan bagi lelaki dan sebaliknya. [Subul al-Salam. Dar al-Hadith, 2/421]

Di dalam Tuhfah al-Ahwazi  bi Syarh Jami’ al-Trmizi dinaqalkan kalam al-Imam al-Tabari yang mana tidak boleh bagi lelaki menyerupai wanita di dalam pemakaian dan perhiasan yang telah dikhaskan buat wanita dan begitulah sebaliknya. Begitu juga kata al-Hafiz Ibn Hajar, tidak boleh menyerupai di dalam percakapan dan cara berjalan manakala dari segi pemakaian pula berbeza mengikut adat pemakaian sesuatu tempat dan kaum. [Tuhfah al-Ahwazi. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 8/57]

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh antara lain menyatakan haram ke atas lelaki menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya, haram wanita menyerupai lelaki.

Penyerupaan Dari Sudut Pakaian

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُل.  

Maksudnya: “Rasulullah Sallahualaihiwasallam telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan orang perempuan yang memakai pakaian lelaki.”Riwayat Abu Daud (4098). Syeikh Syu’aib al-Arnaout mengatakan bahawa sanadnya sahih.

Al-Imam al-Zahabi berkata: “Apabila wanita memakai pakaian yang dipakai oleh lelaki dan berlagak seperti seorang lelaki, dengan pakaiannya yang serba sempit, yang kelihatan jelas bentuk tubuh badannya, maka yang demikian itu dia sudah menyerupai lelaki dan dia sudah berhak menerima kutukan Allah Subhanahuwata'ala dan Rasul-Nya.

Laknat juga akan menimpa pada si suami jika dia yang menyuruh isterinya berpakaian seperti itu, ataupun dia rela isterinya berpakaian seperti itu dan tidak mencegahnya kerana sebagai seorang suami, dia wajib berusaha untuk meluruskan (memperbetulkan) isterinya supaya taat kepada perintah Allah Subhanahuwata'ala dan Rasul-Nya dan menjauhkannya daripada melakukan dosa dan maksiat. Ini bersesuaian dengan firman Allah Subhanahuwata'ala,

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٞ شِدَادٞ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ ٦

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.  (Al-Tahrim: 6)

Al-Imam al-Qutrubi[17] dalam mentafsir ayat di atas mengatakan bahawa wajib ke atas  seorang lelaki untuk memberbaiki dirinya dengan ketaatan kepada Allah SWT. Memperbaiki ahli keluarganya sepertimana pemimpin memperbaiki orang bawahannya. Mengajarkan mereka halal dan haram, menjauhi maksiat dan dosa dan juga perkara lain yang melibatkan hukum-hakam, [Al-Jami’ li Ahkam al-Quran. Dar al-Kutub al-Misriyyah, 18/195]

Justeru itu marilah kita bertaubat kepada Allah  terhadap segala maksiat yang telah kita lakukan, tanpa merlengah-lengahkan masa atau menunggu-menungu saat sehingga Allah menurunkan bala-Nya.Mari kita sama-sama hayati firman Allah Subhanahuwata'ala yang berikut

وَلَوْ يُؤَاخِذُ اللَّـهُ النَّاسَ بِمَا كَسَبُوا مَا تَرَكَ عَلَىٰ ظَهْرِهَا مِن دَابَّةٍ وَلَـٰكِن يُؤَخِّرُهُمْ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ فَإِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِعِبَادِهِ بَصِيرًا

Maksudnya: “Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya.” (Surah Fatir: 45)

No comments:

Post a Comment

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya.

Guru, Ustaz selaku pendidik serta kelebihannya dan tanggungjawab pelajar atau murid terhadap gurunya. Profesion sebagai seorang guru adalah ...