Saturday, December 28, 2019

Bagaimanakah hati akan bersinar?

Bagaimanakah hati akan bersinar?

كيف يُشْرقُ قلبٌ صُوَرُالاَكوَانِ مُنطبِعَة ٌ فى مِرْاَته ؟ ام كيفَ يرحلُ الى الله وهو مُكبَّلٌ بِشهواتِهِ ؟ ام كيفَ يَطمعُ ان يَدْخُلَ حَضرَةَ اللهِ وهو لم يتطهَّرْ من جنابةِ غفلاتهِ ؟ ام كيفَ يرجُواَنْ يَفهَمَ د قاءـقَ الاسراَرِ وهُوَ لمْ يَتـُبْ من هفَوَاتِهِ؟

Maksudnya: Bagaimanakah akan terang hati seorang yang segala gambaran dunia ini terpahat dalam cermin hatinya. Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah, padahal dia masih terbelenggu oleh nafsu syahwatnya. Atau bagaimanakah akan dapat masuk kehadrat Allah padahal belum bersih(suci) daripada kotoran kelalaiannya. Atau bagaimanakah dia berharap akan memahami segala isi rahsia, padahal dia belum bertaubat daripada segala kekeliruannya? Hikam Fasal 13

يَشْرقُ : Bercahaya dan menerangi.

صُوَرُالاَكوَانِ : Gambaran-gambaran dunia sama ada hissiyah atau maknawiyyah.

اَلاَكوَانِ : Segala jenis makhluk.

مُنطبِعَة ٌ : Kekal atau tetap.

المِرآة : Makna asalnya adalah cermin(alat yang memantulkan imbasan objek). Manakala daripada segi kefahaman tasawuf ialah semakin terang dan suci alat tersebut, semakin jelas bayangan objeknya. Perkataan ini untuk gambaran mata hati yang bertajalli padanya segala yang baik dan yang buruk.

Semua yang baik adalah seperti bercahayanya hati, iannya menuju kepada Allah Subhanahuwata’ala dan juga mengetahui sir-sir Rabbani(rahsia ketuhanan). Semua ini tidak mungkin dicapai dan dikecapi tanpa mujahadah dan membuang segala sekatan dan halangan sama ada nafsu syahwat, kelalian atau kekeliruan.

Syeikh Zarruk berkata:

“Tidak mungkin hati bercahaya dengan halangan makhluk kerana sifat hati hanya satu. Apabila ia menerima satu perkara maka tidak mungkin ia menerima perkara yang lain. Tandanya ialah sanggup berkorban tanpa sebarang penaggguhan, dan cenderung berkorban tanpa sebab”.

Semua maksiat yang dilakukan akan menyebabkan hati jadi kelam dan tidak bercahaya kerana seseorang itu mendahulukan hawa nafsunya daripada kecintaan pada Allah dan Rasul-Nya. Contoh yang disebutkan oleh Allah tentang orang musyrik,
فَإِنْ لَمْ يَسْتَجِيبُوا لَكَ فَاعْلَمْ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهْوَاءَهُمْ وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنِ اتَّبَعَ هَوَاهُ بِغَيْرِ هُدًى مِنَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya:“Maka jika mereka tidak menjawab (tantanganmu) ketahuilah bahwa sesungguhnya mereka hanyalah mengikuti hawa nafsu mereka (belaka). Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk dari Allah sedikitpun. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” (Al-Qashshash: 50)
Kalam hikmah di atas, Syeikh datangkan dalam bentuk persoalan. Adalah mustahil dan ajaib menghimpunkan dua perkara yang saling bertentang atau berlawanan. Pertanyaan dan persoalan yang dikemukakan dalam hikmah ini bermaksud ‘penafian’. Dalam erti kata lain maksudnya adalah tidak mungkin untuk menghimpunkan dua perkara yang saling bertentang atau berlawanan seperti kata Syurnubi.

Empat perkara yang menjadi fokus mengenai tuntutan hikmah ini:

1     1-    Menyinarkan hati
2     2-    Kembali kepada Allah
3     3-    Masuk ke hadrat-Nya
4     4-    Mendapat segala rahsia-rahsia-Nya

Namunpun begitu,kesemuanya (empat perkara di atas) tidak akan dapat dicapai tanpa membuang empat perkara yang lain pula, iaitu:

1    1-    Gambaran dunia yang terpahat pada mata hati.
2    2-    Mengikut dan tunduk pada syahwat.
3    3-    Tidak menyucikan hati dari janabah kelalaian.
4    4-    Tidak bertaubat.

Perbahasan kalam hikmah ini adalah seperti berikut:

1-Menyinarkan hati (terhalang oleh) Gambaran dunia yang terpahat pada mata hati

كيف يُشْرقُ قلبٌ صُوَرُالاَكوَانِ مُنطبِعَة ٌ فى مِرْاَته ؟

Maksudnya: Bagaimanakah akan terang hati seorang yang segala gambaran dunia ini terpahat dalam cermin hatinya?

Maksudnya ialah apabila seorang hamba Allah yang telah menjauhkan dirinya dari makhluk, tetapi hatinya masih terikat kepada hartanya,kekayaannya,kedudukannya dan lain-lain, maka pastilah tujuan yang dimaksudkan ,iaitu supaya hatinya bersih menghadap dengan sempurna kepada Allah dalam erti yang luas,pasti tidak akan berhasil. Alam dunia ini apabila telah begitu terpaut dalam hati kita, maka hati kita akan menemui kegelapan, sehingga menimbulkan kesulitan dalam hati untuk menerima selain dari dunua. Sama seperti kaca apabila debu begitu banyak telah melekat kuat atasnya, maka kaca itu tidak ada cahayanya untuk kita berkaca padanya, kaca tersebut tidak akan menerima bayangan sesuatu di dalamnya kerana debu telah berkarat atasnya.

Demikianlah hati manusia apabila telah begitu kuat terpaut pada dunia yang fana ini maka sulitlah hati kita untuk mengarah kepada tujuan menghadap Allah dengan syuhud dan tajalli seperti yang dimaksudkan dengan ihsan dalam hadith Rasulullah Sallahualaihiwasallam berikut,
أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
maksudnya: "Kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihat-Nya, maka jika kamu tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihatmu.” (Hadith Riwayat Muslim 102)

Oleh kerana itu apabila hati kita telah gelap sedemikian rupa, maka sinar makrifat akan jauh darinya. Sebab hati, mukanya hanya satu sahaja. Apabila tertuju kepada dunia, maka jauhlah ia dari Allah dan sebaliknya apabila tertuju kepada Allah, maka jauhlah ia dari dunia. Justeru itu, meskipun ia hidup di dunia dan secara lahiriah tidak terpisah dari dunia, akan tetapi hatinya tidak terikat dan terpaut dari dunia.

2-Kembali kepada Allah (terhalang oleh) Mengikut dan tunduk pada syahwat.

 ام كيفَ يرحلُ الى الله وهو مُكبَّلٌ بِشهواتِهِ ؟

Bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah, padahal dia masih terbelenggu oleh nafsu syahwatnya?

Kita dalam mengerjakan ajaran-ajaran agama, pada hakikatnya bukanlah sekadar patuh dan taat kepada Allah subhanahuwata’ala sahaja, akan tetapi juga pada hakikatnya kita berjalan kepada Allah dengan erti hubungan kita dengan Allah akan semakin dekat, baik dalam ilmu kita,keyakinan kita dan seluruh perasaan kita. Ini dapat kita capai apabila kita memutuskan hubungan dengan kehendak-kehendak hawa nafsu dan syahwat yang akan menjerumuskan kita jauh dari Allah Subhanahuwata’ala. Tetapi apabila kita berada dalam tawanan hawa nafsu dan syahwat, maka sukarlah bagi kita untuk mencapai maksud itu. Setiap kali kita bangun berdiri melangkah, setiap kali juga kita jatuh tersungkur. Setiap kali di waktu pagi berkumpul di dalam hati kita keinginan yang kuat untuk bejalan kepada Allah, tetapi diwaktu itu juga tentera syahwat menyerang petahanan dan benteng hati yang dibangunkan demikian rupa akhirnya porak peranda. Demikian gambaran bagaimana sukarnya berjalan menuju kepada Allah Subhanahuwata’ala apabila kita masih terikat dengan ikatan-ikatan syahwat dan nafsu. Sebagaimana berkata Ahli Tasawuf,

لَدْغُ الزَّنابِر عَلى الأجْسَم المُقْرَحَةِ أَيْسَرُ مِنْ لَدْغِ الشَّهَوَاتِ عَلَى القَلُبِ المُتَوَجَّهَةَ

Maksudnya:”Sengatan beberapa ekor kala jengking atas tubuh-tubuh yang luka lebih senang dari  sengatan syahwat atas hati yang menghadap(kepada Allah)”
Syahwat apa pun saja bentuknya apabila telah terikat dalam hati, maka ia mempengaruhi pada akal seseorang. Ini bererti akalnya mengikut kehendak hatinya yang telah terbalut dengan ikatan-ikatan syahwat. Pada ketika itu terdindinglah antara akal dan Allah, sehingga akal tidak dapat meningkatkan makrifatnya kepada Allah Subhanahuwata’ala.

3-Masuk ke hadrat-Nya (terhalang oleh) Tidak menyucikan hati daripada janabah kelalaian.

ام كيفَ يَطمعُ ان يَدْخُلَ حَضرَةَ اللهِ وهو لم يتطهَّرْ من جنابةِ غفلاتهِ ؟

Bagaimanakah akan dapat masuk kehadrat Allah padahal belum bersih(suci) daripada kotoran kelalaiannya?

Maksudnya apabila seorang hamba Allah telah bersusah payah mengharungi perjalanan yang mempunyai banyak cubaan-cubaan menuju Allah Subhanuahuwata’ala dan berkat ketabahannya, akhirnya ia sampai pada satu perbatasan antara daerah kebanyakkan manusia dengan daerah khusus hamba-hamba Allah yang baik-baik, yang dikhususkan kepada para para Rasul-Nya, Nabi-nabi-Nya dan Aulia-Nya. Akan tetapi hatinya belum begitu bersih dari bermacam-macam kelalaian,maka tentu sahaja dia tidak mungkin baginya untuk masuk ke daerah tersebut. Seperti contoh orang yang masih dalam keadaan junub, yakni belum mandi wajib, tentu sahaja terhalang aginya masuk masjid, apatahlagi untuk menunaikan amal ibadah yang memerlukan kepada kesucian jasmaniah. Apabila ibadah lahiriah memerlukan kepada kesucian jasmaniah, maka demikian pula ibadah maknawiyah, yakni hubungan makrifat antara manusia dengan Allah Subhanahuwata’ala, junub maknawiyah memerlukan kepada kesucian maknawiyah(batiniah).

Junub maknawiyah ialah berupa kelalaian-kelalaian hati sehingga dalam banyak hal kita lupa kepada Allah Subhanahuwata’ala. Kerana itu ianya memerlukan kepada kesucian maknawiyah,iaitu mengingagati Allah, dengan berzikir dengan lidah dan hati dan seluruh perasaan sekalian anggota atau dengan hati saja kepada Allah Subhanahuwata’ala. Disamping itu kita harus berfikir supaya jangan terjatuh kedalam jurang kelalaian.

4-Mendapat segala-gala rahsia-Nya (terhalang oleh) Tidak bertaubat

؟ ام كيفَ يرجُواَنْ يَفهَمَ د قاءـقَ الاسراَرِ وهُوَ لمْ يَتـُبْ من هفَوَاتِهِ؟

Bagaimanakah dia berharap akan memahami segala isi rahsia, padahal dia belum bertaubat daripada segala kekeliruannya?

Apabila seorang hamba telah sampai ke daerah khusus buat para hamba-hamba-Nya yang saleh, maka pada waktu itu ia berharap supaya ia dapat memahami ilmu-ilmu pengetahuan Ketuhanan yang halu-halus di mana ianya telah dikurniakan oleh Allah kepada segala hati hamba-hamba-Nya yang ‘Arifin, yakni hamba-hamba Allah yang telah terbuka dinding dan hijab mereka dengan Allah Subhanahuwata’ala.

Harapannya baru sampai apabila dirinya dan hatinya sudah terpelihara daripada dosa-dosa yang diperbuatnya dengan sengaja, kerana yang kedua ini sudah jelas hukumnya, yakni kita wajib bertaubat kepada Allah daripadanya. Harapan yang tadi tidak akan mungkin pada adat apabila kita sering khilaf dalam mengerjakan dosa-dosa., kerana dosa-dosa yang begini sifatnya adalah mengeruhkan hati dan membawa karat pada hati, sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala,

كَلَّا ۖ بَلْ ۜ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya: Sekali-kali tidak (demikian), bahkan sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka(menjadi karat bagi hati mereka). Al-Mutaffifin ayat 14.
Kerana inilah maka sesiapa pun dari hamba Allah menginginkan agar Allah memberikan ilmu-ilmu yang halus dalam keagamaan dan Ketuhanan, disamping ikhtiar pada menuntutnya, juga wajib taqwa kepada Allah hingga sampai tidak mengerjakan dosa tanpa disengaja. Sebagaimana firma Allah Subhanahuwata’ala,

وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: Dan bertakwalah kepada Allah; Allah mengajarmu; dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. Al-Baqarah ayat 282

Jadi apabila kita bertakwa kepada Allah, bersih hati dari segala dosa, baik yang disengaja atau tidak sengaja. Dan mengamalkan apa yang telah diketahui dari ajaran-ajaran Agama, maka Allah Subhanahuwata’ala akan memberikan ilmu kepada kita.










No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...