Tuesday, December 31, 2019

Alam semuanya gelap (Allah,manusia,alam)

Alam semuanya gelap (Allah,manusia,alam)

Berkata Ibnu Atho’illah As-Sakandari rahimahullah,

الكَونُ كلُّهُ ظُلْمةٌ وإِنَّما أَنارَهُ ظُهورُ الحقِّ فيهِ. فَمَنْ رَأى الكَوْنَ وَلَمْ يَشْهَدْهُ فيهِ أَوْ عِنْدَهُ أَوْ قَبْلَهُ أَوْ بَعْدَه فَقَدْ أَعْوَزَهُ وُجودُ الأَنْوارِ. وَحُجِبَتْ عَنْهُ شُموسُ المعارِفِ بِسُحُبِ الآثارِ

“Alam sekaliannya adalah kegelapan dan sesungguhnya yang menerangkannya adalah kerana padanya kebenaran Tuhan yang haq padanya. Maka barangsiapa yang melihat alam tetapi dia tidak menyaksikan-Nya padanya atau di sisinya atau sebelumnya atau selepasnya, maka sesungguhnya tertutup mata hatinya daripadanya dan cahaya matahari makrifah terlindung daripadanya oleh awan (kabus) kezaliman kesan-kesan makhluk.. Al-Hikam fasal 14

رؤيَةُ الكَونِ : Melihat alam dan mengambil iktibar

شُهُودُ الحقِّ : Melihat kepada wujud kehendak perlaksanaan Allah Subhanahuwata’ala ke atasnya.

شُهُودُ قَبْلُهُ : Melihat sebelumnya iaitu didahului oleh mata hati yang nampak semuanya ialah kehendak        Allah Subhanahuwata’ala.

شُهُودُ بَعْدَهُ : Melihat selepasnya iaiitu lupa pada permulaannya kemudian baru ingat.

شُمُوسُ المَعَارِف :Matahari-matahari makrifah kerana boleh menghilangkan segala kegelapan dengan cahayanya, Al-Junaid berkata makrifah ialah wujud kejahilanmu di sisi perlaksanaan ilmu-Nya.

بِسُحُبِ الآثارِ : Awan-awan kabus kerana ia menutup hakikat tanpa hilang kesannya.

لكَونُ كلُّهُ ظُلْمةٌ

Maksudnya bahawa alam mayapada ini, segala makhluk sekeliannya pada hakikatnya merupakan gelap gulita tidak ada padanya sinar cahaya yang dapat memberi petunjuk kita kepada sesuatu. Sebab alam pada hakikatnya menurut pendangan hamba-hamba Allah yang selalu matahatinya melihat Allah, adalah نيهيل (kosong/hampa) dan tidak ada apa-apanya. Ertinya tidak mempunyai kekuatan apa-apa, api tidak membakarkan, nasi tidak mengenyangkan,pisau tidak memutuskan dan sebagainya, jika tidak dikehendaki oleh Allah Subhanahuwata’ala pada waktu bersentuh antara sebab dengan musabab. Bahkan alam itu sendiri, langit dan bumi dan isi keduanya tidak ada apa-apa bila tidak diadakan oleh Allah Subhanahuwata’ala.
Segala alam yang gelap ini dizahirkan oleh Allah Subhanahuwata’ala yang sepatutnya manusia mengenali-Nya sama ada sebelum dizahirkan, semasa atau selepasnya. Jika tidak, ia telah tertutup daripada cahaya-cahaya dan terhijab daripada matahari-matahari makrifah oleh awam yang memberi kesan.

Firman Allah Subhanahuwata’ala,

 اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ ۖ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ ۖ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ ۚ نُورٌ عَلَىٰ نُورٍ ۗ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ 
عَلِيمٌ

Maksudnya: “Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkahnya, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. Al-Nur ayat 35.

Al-Sabuni dalam tafsirnya ‘Sofwah al-Tafasir’ menyatakan bahawa: Allah Subhanahuwata’ala yang mencahayakan langit dengan bintang-bintang yang bergemerlapan dan bumi dengan syariat-syariat, hukum-hakam dan kebangkitan Rasul-rasul.

Al-Imam al-Tabari berkata: “Allah Subhanahuwata’ala memberi petunjuk kepada ahli langit dan bumi dan dengan cahaya Allah Subhanahuwata’ala mereka menuju kepada kebenaran dan dengan hidayah-Nya mereka terselamat daripada kesesatan.

Al-Qurtubi berkata: “Nur pada orang Arab bermaksud cahaya yang dilihat dengan mata, kemudian ia digunakan secara majaz pada berbagai-bagai makna lantas kalam-Nya dikatakan mempunyai cahaya”.

Cahaya terbahagi kepada dua, iaitu:
1            -      Cahaya Yakin
2            -      Cahaya Akal

Syeikh al-Syastari berkata:

لَا تَنُظُرْ إِلى ألأوَانِي لَعَلَّكَ وَخُضْ بَحْرَ المَعَانَي تَرَاننِي

Maksudnya:”Jangan kamu lihat kepada perhiasan, dan cubalah fahami rahsia di sebalik perhiasan itu mudah-mudahan kamu nampak aku”.

Al-Ma’ani (المَعَانَي) ialah rasa yang tidak didapati dengan akal dan tidak dengan nukilan kertas tetapi dengan kita bersahabat dengan ahli rasa.

Ibn ‘Ataillah berkata manusia terbahagi kepada,

Tiga bahagian manusia:

1-Melihat Pencipta Sebelum  Melihat Alam.
Hati yang menyaksikan bahawa kehendaknya tidak berlaku kecuali dengan iradat Al-Haq dan Kudrat-Nya.

2-Melihat Pencipta Setika Melihat Alam.

3-Melihat Pencipta Selepas Melihat Alam.

Hatinya lalai daripada perlaksanan segala hukum hingga berlaku perkara yang dikehendakinya barulah teringatkan kurniaan Allah Subhanahuwata’ala, tidak melihat pencipta pada kesemua keadaan.

Keadaan manusia terbahagi kepada dua:

1-Yang dihijab

2-Yang tidak dihijab, terbahagi kepada empat:

a-      Menyaksikan Pencipta Bersama Alam dengan dua jalan:

i-Secara langsung.
                Menyaksikan-Nya pada alam(يَشْهَدْهُ فيهِ)
ii-Secara tidak langsung.
                Menyaksikan-Nya di sisi alam(يَشْهَدْهُ عِنْدَهُ)

b-      Menyaksikan Pencipta Sebelum Melihat Alam9 يَشْهَدْهُ قَبْلَهُ).

Berdalilkan kehendak-Nya yang berkesan atas segala-galanya.

c-       Menyaksikan Pencipta Selepas Melihat Alam(يَشْهَدْهُ بَعْدَه).
Berdalilkan kesan daripada kehendak-Nya

Perbahasannya.

1-Manusia yang dihijab:

Manusia yang hanya dapat melihat alam sahaja, tetapi ia tidak dapat melihat Allah Subhanahuwata’ala. Ertinya ; alam ini sudah begitu berbekas dalam hatinya, sehingga hatinya lupa kepada Allah Subhanahuwata’ala dan tidak dapat melihat bagaimana kekuasaan Allah Subhanahuwata’ala Yang Maha Agung segala sifat-Nya pada alam yang ia lihat. Maka manusia dalam bahagian ini dalam gelap gulita, sebab ia hanya dapat melihat alam tetapi tidak dapat melihat penciptanya dari alam yang ia lihat.

2-Manusia yang tidak dihijab;

Manusia dari kumpulan ini, di samping melihat alam dan  bergelimang di dalamnya, juga dapat melihat Allah Subhanahuwata’ala. Kumpulan ini terbahagi kepada empat:

a- يَشْهَدْهُ فيهِ (menyaksikan-Nya padanya): Menyaksikan Pencipta Bersama Alam (Menyaksikan-Nya pada alam(secara langsung):

Sebahagian mereka melihat Allah Subhanahuwata’ala di dalam alam. Ertinya pada waktu ia melihat alam, maka dilihatnya pula bahawa segala sesuatu yang terjadi dalam alam ini adalah menurut kehendak dan kudrat-Nya, Allah Subhanahuwata’ala. Ia melihat bahawa sekaliannya itu berjalan menurut hikmah-hikmah yang telah diatur oleh-Nya.
Tidak ada tempat berpegang selain hanya kepada Allah Subhanahuwata’ala. Dan tidak ada pada alam yang dilihatnya itu. Hatinya selalu melihat bahawa semuanya itu adalah dari Allah, kerana Allahlah yang menjadikansegala-galanya. Kerana itu dia melihat kekuasaaan-Nya dan sifat-sifat-Nya yang Maha Suci dan Maha Agung. Apabila sebahagian manusia belum dapat melihat dan merasakan keyakinan ini, maka tidak ada sebabnya keuali kerana ia masih melihat seala itu dapat tercapai atau tidaknya adalah dengan usaha tanpa ada perhatiannya kepada Allah yang telah menciptakan segala usahanya itu.

b- يَشْهَدْهُ عِنْدَهُ (menyaksikan-Nya di sisinya): Menyaksikan Pencipta Bersama Alam, Menyaksikan-Nya di sisi alam(secara tidak langsung):

Sebahagian hamba Allah apabila melihat Alam, ia melihat Allah di samping alam itu sendiri. Maksudnya: Apabila ia melihat alam, maka ia harus melihat Allah yang Maha Pengatur apa yang Ia kehendaki kepada alam ini.

Apabila yang di atur oleh Allah itu sesuai dengan kehendak alam atau tidak, kerana itu demi melihat Allah dalam erti ini bererti ia harus bersyukur kepada-Nya. Apalagi apabila apa yang ia dapatkan sesuai dengan apa yang dicintainya. Itulah yang menyebabkan pula ia menjalankan perintah-perintah-Nya.dan menjauhkan larangan-larangan-Nya.

Justeru itu berkumpullah padanya dua sifat yang terpuji, iaitu:

1-Bersyukur kepada Allah atas segala nikmat-Nya.

2-Selalu mengingat hak Allah Ta’ala di mana dengannya kehendak syahwat dan nafsunya terhindar dengan sendirinya.

Inilah yang dimaksudkan dengan hadith yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Bersabda Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam, Allah Subhanahuwata’ala berfirman;

يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى : أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ في نَفْسِي وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلأٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلأٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً  (رواه البخاري، رقم  7405 ومسلم ، رقم 
2675 )
“Allah Ta’ala berfirman, 'Aku tergantung persangkaan hamba kepadaKu. Aku bersamanya kalau dia mengingat-Ku. Kalau dia mengingatku pada dirinya, maka Aku mengingatnya pada diriKu. Kalau dia mengingatKu di keramaian, maka Aku akan mengingatnya di keramaian yang lebih baik dari mereka. Kalau dia mendekat sejengkal, maka Aku akan mendekat kepadanya sehasta. Kalau dia mendekat kepada diri-Ku sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Kalau dia mendatangi-Ku dengan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dengan berlari." (HR bukhari, no. 7405 dan Muslim, no. 2675)
Hadith ini menerangkan kepada kita ibarat dan isyarat yang menggambarkan hamper-Nya Allah Subhanahuwata’ala berlebihan dari kita hamper kepada-Nya.
c- يَشْهَدْهُ قَبْلَهُ (menyaksikan-Nya sebelumnya ): Menyaksi Pencipta Sebelum Melihat Alam,
Sebahagian manusia melihat alam, tetapi sebelumnya telah melihat Allah Subhanahuwata’ala atau dengan perkataan lain telah lebih dahulu menjadi keyakinan dan pengetahuan dalam hatinya, bahawa alam yang ia lihat kemudiannya adalah menurut kehendak(Iradah) Allah dan kudrat-Nya.
Hamba Allah dalam sifat ini baginya Allah adalah sebagai dalil dan alam sebagai madlul. Yakni ia melihat keadaan alam yang demikian gambarannya berdalilkan kepada Allah yang menghendaki sedemikian itu. Maka bagi hamba Allah ini dengan sebab hal keadaan tadi menjadikan ia harus bertawakkal dan menyerah diri kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Sebab dia mengetahui, bahawa tiap-tiap sesuatu dari alam adalah datang dari Allah Subhanahuwata’ala sebagaimana firman-Nya,

لَهُ مَقَالِيدُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ ۚ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya:”Kepunyaan-Nya-lah perbendaharaan langit dan bumi; Dia melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan menyempitkan(nya). Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala sesuatu”. Asy-Syu’ara ayat 12
Oleh sebab itu, maka hamba Allah yang keadaannya telah sampai ke taraf ini, dengan sendirinya jauh daripadanya kelalaian terhadap Allah. Oleh kerana di samping ia selalu bersyukur terhadap Allah, juga di dalam segala ia sesuatu rela dan menyerah ke atas kehendak Allah terhadap alam pada umumnya dan dirinya pada khususnya.

d- يَشْهَدْهُ بَعْدَه (menyaksikan-Nya selepasnya): Menyaksikan Pencipta Selepas Melihat Alam

Sebahagian hamba Allah apabila melihat alam, hatinya lalai pada kekuasaan Allah,kehendak-Nya dan sebagainnya.. Tetapi kemudian baru dia sedar bahawa segala-galanya ini dijadikan oleh Allah, dan Allahlah yang menghasilkan apa yang ia capai. Dan sebaliknya ia merasakan pula bahawa ia tidak berhasil mendapatkan sesuatu, maka bererti itu adalah kehendak Allah yang Maha Mutlak. Hamba Allah dalam tingkat ini hanya dapat merasakan bahawa alam sebagai dalil dan Allah sebagai madlul. Tingkat ini adalah yang paling kebawah dari keseluruhan tingkat dan tidak ada di bawah ini selain hanya martabat orang-orang yang selalu bergelimang dengan lumpur kelalaian yang membawanya jatuh dalam jurang kerugian. Firman Allah Subhanahuwata’ala,

قُلْ كَفَىٰ بِاللَّهِ بَيْنِي وَبَيْنَكُمْ شَهِيدًا ۖ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۗ وَالَّذِينَ آمَنُوا بِالْبَاطِلِ وَكَفَرُوا بِاللَّهِ أُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Katakanlah: "Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dan antaramu. Dia mengetahui apa yang di langit dan di bumi. Dan orang-orang yang percaya kepada yang batil dan ingkar kepada Allah, mereka itulah orang-orang yang merugi. Al-Ankabut ayat 52.

Kesimpulannya:

Empat golongan seperti yang disebut di atas adalah hamba-hamba Allah yang berada dalam tingkat-tingkatnya. Mereka mendapatkan nur Ilahi atau cahaya Allah yang dilimpahkan oleh-Nya ke dalam hati mereka.
Tetapi sebahagian hamba Allah mereka tidak dapat melihat Allah Subhanahuwata’ala, kerana hatinya telah begitu tebal dengan pengaruh alam duniawi, mereka itu berada di dalam kerugian sepanjang masa
Mudah-mudahan dijauhkan hati kita sekelian oleh Allah Subhanahuwata’ala dari golongan terakhir ini.



No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...