Waktu pelaksanaan aqiqah dan juga perbuatan yang dilarang masa aqiqah
Hukum menyembelih haiwan aqiqah adalah sunat muakkad bagi yang berkemampuan. Dalil pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA katanya: Aku mendengar Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:
مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى
Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”. Hadith Riwayat al-Bukhari (2839)
Ulama fiqh sepakat mengatakan bahawa Aqiqah dianjurkan atau sunat dilakukan pada hari ketujuh dari tarikh kelahiran bayi tersebut disamping memberikan nama yang baik dan juga mencukur rambut bayi tersebut. Ini berpandukan sabda Rasulullah Sallahualaihiwasallam yang diriwayatkan oleh Samurah RA:
الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ
Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Disembelih akikah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya”. Hadith Riwayat Abu Daud:1522,2838, an-Nasa'i:4220, Ibnu Mâjah:3165, Ahmad 5/12.
Menurut Ibnu Qudamah, ulama sepakat bahawa haiwan untuk aqiqah dianjurkan disembelih di hari ketujuh setelah kelahiran.
قال أصحابنا : السنة أن تذبح يوم السابع… ولا نعلم خلافاً بين أهل العلم القائلين بمشروعيتها في استحباب ذبحها يوم السابع
Para ulama mazhab Hambali mengatakan, yang bersesuaian dengan sunah bahawa haiwan aqiqah disembelih di hari ketujuh… kami tidak mengetahui adanya perbezaan diantara ulama yang mengatakan disyariatkannya aqiqah, bahawa haiwan aqiqah dianjurkan untuk disembelih di hari ketujuh.. (al-Mughni, 9/364)
Namun ada perbezaan pendapat ulama mengenai cara menghitung hari ketujuh setelah kelahiran. Perbezaan ini berkisar pada persoalan:
Apakah hari kelahiran dihitung ataupun tidak dihitung?
Pendapat pertama: Hari kelahiran tidak dihitung
Sempadannya adalah jika melepasi waktu subuh, maka tidak dihitung. Ini pendapat Malikiyah (التاج والإكليل لمختصر خليل - المواق الغرناطي, 4/390).
Misalnya:
Jika bayi yang dilahirkan di hari jumat jam 6 pagi, maka perhitungan 7 hari dimulai sejak hari sabtu. Sehingga aqiqahnya disembelih di hari jumat berikutnya.
Pendapat kedua: Hari kelahiran dihitung
Ini adalah merupakan pendapat jumhur ulama.
Imam Al-Nawawi menyebutkan bahawa,
وهَل يُحسَبُ يَومُ الوِلَادَةِ مِن السَّبْعَةِ ؟ فيه وجهان أصحهما يحسب فيذبح في السادس مما بعده “والثاني” لا يحسب فيذبح في السابع مما بعده , وهو المنصوص في البويطي ولكن المذهب الأول وهو ظاهر الأحاديث, فإن ولد في الليل حسب اليوم الذي يلي تلك الليلة بلا خلاف..
Apakah hari kelahiran masuk dalam hitungan? Ada dua pendapat ulama Syafiiyah dalam hal ini. Yang paling tepat, dihitung, sehingga disembelih di hari keenam setelah kelahiran. Pendapat kedua, hari kelahiran tidak dihitung, sehingga disembelih di hari ketujuh setelahnya. Dan ini yang dinyatakan dalam kitanya al-Buwaiti. Namun pendapat pertama lebih mendekati makna hadith
Jika lahir di malam hari, mereka sepakat hari setelah malam itu dihitung. (al-Majmu Syarh al-Muhadzab, 8/431).
ذهب جمهور الفقهاء إلى أن يوم الولادة يحسب من السبعة, ولا تحسب الليلة إن ولد ليلاً, بل يحسب اليوم الذي يليها
Jumhur ulama mengatakan bahawa hari kelahiran juga dihitung untuk menentukan tujuh hari setelah kelahiran. Sementara malamnya tidak dihitung, namun yang dihitung adalah siang harinya. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyah, 30/279).
Larangan mengusap darah haiwan aqiqah pada bayi.Dari Buraidah RA, ia berkata,
كُنَّا فِى الْجَاهِلِيَّةِ إِذَا وُلِدَ لأَحَدِنَا غُلاَمٌ ذَبَحَ شَاةً وَلَطَخَ رَأْسَهُ بِدَمِهَا فَلَمَّا جَاءَ اللَّهُ بِالإِسْلاَمِ كُنَّا نَذْبَحُ شَاةً وَنَحْلِقُ رَأْسَهُ وَنَلْطَخُهُ بِزَعْفَرَانٍ.
“Dahulu kami pada masa jahiliyah apabila salah seorang di antara kami lahir anaknya, maka ia menyembelih seekor kambing dan melumuri kepala anaknya tersebut dengan darah sembelihan. Kemudian tatkala Allah datangkan Islam maka kami menyembelih seekor kambing dan mencukur rambutnya serta melumurinya dengan za’faran.” (Hadith Riwayat Abu Daud no. 2843.
Hukum menyembelih haiwan aqiqah bukan pada hari yang ketujuh:
Para ulama berbeza pendapat tentang boleh atau tidak bolehnya menyembelih aqiqah bila bukan pada hari yang ketujuh.
1. Al-Malikiyah
Mazhab Al-Malikiyah menetapkan bahawa waktu untuk menyembelih haiwan aqiqah hanya pada hari ketujuh sahaja. Di luar waktu itu, samada sebelumnya atau pun sesudahnya, menurut mazhab ini ianya tidak lagi disyariatkan penyembelihannya . Ertinya hanya sah dilakukan pada hari ketujuh. Lihat:Hasyiyatu Al-Kharsyi, jilid 3 hal. 410
Imam Malik rahimahullah berpendapat tidak perlunya mengaqiqahkan diri sendiri. Imam Malik berkata, “Tidak perlu mengaqiqahkan diri sendiri kerana hadith yang membicarakan hal tersebut dha’if. Iaitu hadith yang berbunyi,
أن النبي صلى الله عليه وسلم عق عن نفسه بعدما بعث نبيا
“Nabi Sallahualaihiwasallam mengakikahi dirinya sendiri setelah ia diutus sebagai Nabi” (HR. Al Baihaqi 9: 300).
Komentar terhadap hadith ini:
Imam Nawawi dalam Al Majmu’ (8: 250) berkata, “Hadith ini adalah hadits batil. Al Baihaqi mengatakan bahawa hadith tersebut adalah hadith munkar. Al Hafizh mengatakan bahawa ianya matruk (ditinggalkan).Imam Ahmad mengatakan hadith ini munkar. Imam Ahmad mendhaifkan ‘Abdullah bin Muharror.”
Imam Malik rahimahullah mengatakan; Lihat saja para sahabat Rasulullah Sallahualaihiwasallam yang belum diaqiqahkan di masa jahiliyah, apakah mereka mengaqiqahkan diri mereka sendiri ketika telah masuk Islam? Jelaslah itu suatu kebatilan.” (Al Mudawanah Al Kubro karya Imam Malik dengan riwayat riwayat Sahnun dari Ibnu Qosim, 5: 243. Dinukil dari Fathul Qorib, 2: 252).
2. Asy-Syafi’iyah
Pendapat mazhab Asy-Syafi’iyah lebih luas, kerana mereka membolehkan aqiqah disembelih meskipun belum masuk hari ketujuh. Dan mereka pun membolehkan untuk menyembelih aqiqah meskipun waktunya sudah melepasi dari hari yang ketujuh.
Pendapat ini didasari oleh kerana tidak adanya landasan hadith yang menjelaskan mengenai batas waktu dalam menunaikan kesunnahan aqiqah. Sehingga dapat disimpulkan bahawa selama anak itu masih belum diaqiqahi, maka hukum aqiqah setelah dewasa ataupun setelah dia tua hukumnya boleh.Perbahasan ini berdasarkan keumuman sabda Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:
مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى
Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”. Hadith Riwayat al-Bukhari (2839)
Dalam pandangan mazhab Asy-Syafi’iyah, menyembelih haiwan aqiqah pada hari ketujuh adalah hanya waktu ikhtiyar(pilihan). Maksudnya adalah ianya waktu yang sebaiknya dipilih. Namun seandainya tidak ada pilihan, maka boleh dilakukan bila-bila masa sahaja.Lihat Ibnu Hajar Al-Asqalani, Fathul Bari, jilid 9 hal. 489
Syeikh Wahbah Al-Zuhaili memberikan penjelasannya adalah sebagai berikut:
وصرح الشافعية والحنابلة : انه لو ذبح قبل السابع او بعده أجزأه
“Ulama Syafi’iyah dan Hanabilah menegaskan: bahawa andaikan aqiqah dilakukan sebelum anak berumur tujuh hari atau setelahnya, maka aqiqah tersebut hukumnya tetap sah”
Imam Nawawi dalam Al-Majmuk, hlm. 8/412, berkata:
قَالَ أَصْحَابُنَا: وَلَا تَفُوتُ بِتَأْخِيرِهَا عَنْ السَّبْعَةِ. لَكِنْ يُسْتَحَبُّ أَنْ لَا يُؤَخِّرَ عَنْ سِنِّ الْبُلُوغِ. قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ الْبُوشَنْجِيُّ مِنْ أَئِمَّةِ أَصْحَابِنَا: إنْ لَمْ تُذْبَحْ فِي السَّابِعِ ذُبِحَتْ فِي الرَّابِعَ عَشَرَ، وَإِلَّا فَفِي الْحَادِي وَالْعِشْرِينَ، ثُمَّ هَكَذَا فِي الْأَسَابِيعِ. وَفِيهِ وَجْهٌ آخَرُ أَنَّهُ إذَا تَكَرَّرَتْ السَّبْعَةُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَاتَ وَقْتُ الِاخْتِيَارِ. قَالَ الرَّافِعِيُّ: فَإِنْ أَخَّرَ حَتَّى بَلَغَ سَقَطَ حُكْمُهَا فِي حَقِّ غَيْرِ الْمَوْلُودِ. وَهُوَ مُخَيَّرٌ فِي الْعَقِيقَةِ عَنْ نَفْسِهِ قَالَ: وَاسْتَحْسَنَ الْقَفَّالُ وَالشَّاشِيُّ أَنْ يَفْعَلَهَا، لِلْحَدِيثِ الْمَرْوِيِّ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم: عَقَّ عَنْ نَفْسِهِ بَعْدَ النُّبُوَّةِ" وَنَقَلُوا عَنْ نَصِّهِ فِي "الْبُوَيْطِيِّ" أَنَّهُ لَا يَفْعَلُهُ وَاسْتَغْرَبُوهُ. هَذَا كَلَامُ الرَّافِعِيِّ وَقَدْ رَأَيْت أَنَا نَصَّهُ فِي "الْبُوَيْطِيِّ" قَالَ: وَلَا يَعُقُّ عَنْ كَبِيرٍ. هَذَا لَفْظُهُ بِحُرُوفِهِ نَقَلَهُ مِنْ نُسْخَةٍ مُعْتَمَدَةٍ عَنْ الْبُوَيْطِيِّ وَلَيْسَ هَذَا مُخَالِفًا لِمَا سَبَقَ. ؛ لِأَنَّ مَعْنَاهُ "لَا يَعُقُّ عَنْ الْبَالِغِ غَيْرُهُ" وَلَيْسَ فِيهِ نَفْيُ عَقِّهِ عَنْ نَفْسِهِ.
وأما: الْحَدِيثُ الَّذِي ذَكَرَهُ فِي عَقِّ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم عَنْ نَفْسِهِ فَرَوَاهُ الْبَيْهَقِيُّ بِإِسْنَادِهِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مُحَرَّرٍ بِالْحَاءِ الْمُهْمَلَةِ وَالرَّاءِ الْمُكَرَّرَةِ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم: عَقَّ عَنْ نَفْسِهِ بَعْدَ النُّبُوَّةِ. وَهَذَا حَدِيثٌ بَاطِلٌ قَالَ الْبَيْهَقِيُّ: هُوَ حَدِيثٌ مُنْكَرٌ،
Ulama Syafi'iyah mengatakan bahawa: mengakhirkan aqiqah dari hari ketujuh tidak dianggap terlambat. Akan tetapi disunatkan tidak mengakhirkannya sehingga baligh. Abu Abdillah Al-Busyanji, salah seorang ulama mazhab Syafi'i, berkata: Apabila aqiqah tidak dilakukan pada hari ketujuh maka hendaklah dilakukan di hari ke-14, kalau tidak pada hari ke-21, demikian sehingga seterusnya tujuh kali . Ada pendapat lain bahawa apabila tujuh berulang sampai tiga kali maka habislah masa memilih.
Imam Rofi'i berkata: Apabila mengakhirkan aqiqah sehingga baligh maka gugurlah hukum aqiqah bagi selain anak yang lahir. Ia boleh aqiqah untuk dirinya sendiri. Imam Rafi'i berkata: Al-Qoffal dan Al-Syasyi menganggap baik melakukannya (aqiqah untuk diri sendiri) berdasarkan hadith yang diriwayatkan bahawa Nabi mengaqiqahkan dirinya sendiri setelah kenabian. Para perawi menukilkan dari Al-Buwaity bahawa Nabi tidak melakukannya dan menganggap hadith ini gharib (dhaif). Ini pendapat Rofi'i. Saya (Imam Nawawi) telah melihat sendiri teks pendapat ini dalam Al-Buwaiti ia berkata: 'Tidak perlu aqiqah untuk orang yang sudah baligh.' Ini nuqilan yang dinuqilkan oleh Al-Buwaiti dari naskah yang dapat dipercaya dan ini tidak berlawanan dengan keterangan yang sudah lalu, kerana maksudnya adalah "Orang baligh tidak perlu diaqiqahkan oleh orang lain." Ini bukan bererti melarang orang baligh akikah untuk dirinya sendiri. Adapun hadith yang menyatakan bahawa Nabi pernah aqiqah untuk dirinya sendiri adalah riwayat Baihaqi dengan sanad dari Abdullah bin Muharrar dari Qatadah dari Anas adalah hadis yang bathil. Baihaqi berkata: ia hadith munkar.
Syeikh Nawawi Banten dalam kitab Tausyih ala Fathil Qaribil Mujib berikut,
ولو مات المولود قبل السابع فلا تفوت بموته ولا تفوت العقيقة بالتأخير بعده أى بعد يوم السابع فإن تأخرت أى الذبيحة للبلوغ سقط حكمها فى حق العاق عن المولود أى فلا يخاطب بها بعده لانقطاع تعلقه بالمولود حينئذ لاستقلاله أما هو أى المولود بعد بلوغه فمخير فى العق عن نفسه والترك فإما أن يعق عن نفسه أو يترك العقيقة, لكن الأحسن أن يعق عن نفسه تداركا لما فات
“Andai si bayi meninggal sebelum hari ketujuh, maka kesunahan aqiqah tidak gugur. Kesunahan aqiqah juga tidak luput kerana tertunda hingga hari ketujuh berlalu. Kalau penyembelihan aqiqah ditunda hingga si anak baligh, maka hukum kesunahannya gugur bagi orang tuanya. Ertinya mereka tidak lagi disunatkan mengaqiqahkan anaknya yang sudah baligh kerana tanggung jawab aqiqah orang tua sudah terputus kerana anak itu sudah boleh berdikari(dewasa). Sementara agama memberikan pilihan kepada seseorang yang sudah baligh untuk mengaqiqahkan dirinya sendiri atau tidak. Tetapi sebaiknya, ia mengaqiqahkan dirinya sendiri untuk melaksanakan sunnah aqiqah yang telah luput di waktu kecilnya.”
3. Al-Hanabilah
Mazhab Al-Hanabilah berpendapat bahawa bila seorang ayah tidak mampu menyembelih haiwan aqiqah pada hari ketujuh dari kelahiran bayinya, maka dia masih dibolehkan untuk menyembelihnya pada hari keempat belas.
Dan bila pada hari keempat belasnya juga tidak mampu melakukannya, maka boleh dikerjakan pada hari kedua puluh satu. Lihat: Ibnu Qudamah, Al-Mughni, jilid 8 hal. 661
Syeikh Wahbah Al-Zuhaili memberikan penjelasannya adalah sebagai berikut:
وصرح الشافعية والحنابلة : انه لو ذبح قبل السابع او بعده أجزأه
“Ulama Syafi’iyah dan Hanabilah menegaskan: bahawa andaikan aqiqah dilakukan sebelum anak berumur tujuh hari atau setelahnya, maka aqiqah tersebut hukumnya tetap sah”
Sebahagian ulama dari mazhab Hanbali memperbolehkan aqiqah untuk diri sendiri, berikut adalah penjelasakannya:
واختار جماعة من الحنابلة : ان للشخص ان يعق عن نفسه استحبابا. ولا تختص العقيقة بالصغر فيعق الاب عن المولود ولو بعد بلوغه لانه لا أخر لوقتها
“Sekelompok ulama Hanbali berpendapat bahawa disunnahkan bagi seseorang dalam menunaikan aqiqah untuk dirinya sendiri. Dan aqiqah tidak hanya khusus dilakukan ketika anak masih kecil saja, sehingga bapa tetap dianjurkan melakukan aqiqah meskipun anaknya telah dewasa. Hal ini kerana waktu aqiqah sendiri adalah tidak terbatas”.
Lihat : Kitab al-Fiqhul Islami wa Adillatuhu)
Ibnu Hazm menyebutkan bahawa tidak disyariatkan bila menyembelih haiwan aqiqah sebelum hari ketujuh, namun bila melepasi hari ketujuh tanpa boleh menyembelihnya, menurutnya perintah dan kewajipannya tetap berlaku sampai bila-bila sahaja.
Justeru kerana Ibnu Hazm termasuk kalangan yang mewajibkan penyembelihan haiwan aqiqah. Sehingga kerana dalam anggapannya wajib, maka jika tidak dikerjakan, wajib untuk diganti atau diqadha’. Dan qadha’ itu tetap berlaku sampai bila-bila pun.
Beberapa ulama lain menganjurkan mengaqiqahkan diri sendiri seperti Ibnu Sirin dan Hasan Al- Bashri. Ibnu Sirin berkata,
لو أعلم أنه لم يعق عني لعققت عن نفسي
“Seandainya aku tahu bahawa aku belum diaqiqahkan, maka aku akan mengaqiqahi diriku sendiri.” (HR. Ibnu Abi Syaibah dalam Mushonnaf, 8: 235-236).
Hasan Al Bashri berkata,
إذا لم يعق عنك ، فعق عن نفسك و إن كنت رجلا
“Jika engkau belum diakikahi, maka akikahilah dirimu sendiri jika engkau seorang laki-laki.” (Disebutkan oleh Ibnu Hazm dalam Al Muhalla, 8: 322. )
No comments:
Post a Comment