Hukum satu sembelihan yang berkongsi korban dan aqiqah atau lainnya ( مشترك )
Sebenarnya tidak ada petunjuk secara langsung dari hadith yang menegaskan kebolehan atau larangan untuk satu sembelihan berkongsi atau bersekutu niat yang berbeza. Seperti bersekutu niat untuk korban, aqiqah, untuk makan-makan dan untuk di jual pada satu haiwan sembelihan.Namun begitu persoalan ini terdapat di dalam kitab-kitab yang para ulama membahaskannya.
Ada disebut di dalam sebuah hadith tentang kadar seekor lembu ataupun unta, ianya boleh dikongsikan kepada 7 bahagian dalam satu sembelihan. Ini adalah berdasarkan hadith daripada Jabir bin Abdullah RA yang mana menyebutkan:
نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ
Maksudnya: Kami telah melakukan korban bersama-sama Rasulullah Sallahualaihiwasallam pada tahun Hudaibiyah dengan unta yang dikongsi dengan 7 bahagian dan lembu yang dikongsi dengan 7 bahagian. Hadith Riwayat Muslim (1318), Abu Daud (2809) & Al-Tirmizi (1502)
Terdapat khilaf pendapat dikalangan ulama’ dalam isu isytirak ini iaitu, adakah dibolehkan untuk berkongsi niat untuk korban dan juga aqiqah bagi setiap bahagian pada haiwan korban yang sama?
1. Mazhab Al-Hanafiyah:
Dibolehkan menyembelih seekor lembu untuk beberapa niat, asalkan sama-sama menyembelih dengan niat taqarrub dan tidak boleh tercampur dengan niat-niat lain di luar kerangka taqarrub.
Lihat Rad al-Muhtar ‘ala al-Dur al-Mukhtar. Dar al-Fikr, 6/326]
Ini adalah pendapat Abu Hanifah dan kedua murid beliau, Abu Yusuf dan Muhammad.
Contoh penyembelihan dalam rangka taqarrub misalnya korban, aqiqah, membayar dam tamattu', dam qiran, kaffarah sumpah, kaffarah dam kerana pelanggaran melepasi miqat, dan seterusnya.
Maka dalam pandangan mazhab ini, selama para peserta yang bersekutu serta tidak keluar dari ruang lingkup penyembelihan di atas, maka hukumnya dibolehkan.
Namun diriwayatkan bahawa Abu Hanifah meskipun membolehkan, namun beliau tetap memakruhkannya. Beliau menyatakan seandainya semua peserta mempunyai satu niat yang sama, iaitu menyembelih untuk korban, maka lebih beliau sukai.
2.Adapun yang masyhur dikalangan al-Malikiyyah dan juga al-Hanabilah:
Adalah tidak dibenarkan iaitu menurut mereka ianya tidak sah. Ini kerana pada pendapat mereka, untuk korban dan juga aqiqah itu adalah dua sembelihan yang berbeza tujuannya maka ianya tidak boleh disatukan seperti mana dam al-Tamattu’ dan juga dam al-Fidyah. [Lihat Fatawa Yas’alunak oleh Prof. Dr. Husamuddin ‘Afanah. Maktabah Dandis, 4/350]
3. Mazhab Asy-Syafi'iyah:
Mazhab Asy-Syafi'iyah dalam hal ini berbeza dengan mazhab Al-Hanafiyah. Dalam pandangan mazhab Asy-Syafi'iyah ini, niat para peserta tidak wajib sama-sama dalam rangka bertaqarrub kepada Allah. Masing-masing peserta boleh berbeza-beza niat, mungkin sebahagian niat untuk bertaqarrub dan sebahagian lainnya bukan untuk taqarrub.
Misalnya dari tujuh orang itu, ada yang berniat menyembelih sebagai korban, aqiqah, kaffarat dan ada juga yang niatnya hanya untuk makan-makan sekeluarga atau bahkan bahagiannya diniatkan cuma untuk dijual. Bila kesemuanya bersekutu dan menyembelih satu ekor haiwan , maka semuanya sah sesuai dengan niat masing-masing.
لَوْ ذَبَحَ بَقَرَةً أَوْ بَدَنَةً عَنْ سَبْعَةِ أَوْلَادٍ أَوْ اشْتَرَكَ فِيهَا جَمَاعَةٌ جَازَ سَوَاءٌ أَرَادُوا كُلُّهُمْ الْعَقِيقَةَ أَوْ بَعْضُهُمْ الْعَقِيقَةَ وَبَعْضُهُمْ اللَّحْمَ كَمَا سَبَقَ فِي الْاُضْحِيَّةِ
Maksudnya, “Jika seseorang menyembelih lembu atau unta yang gemuk untuk tujuh anak atau adanya keterlibatan (isytirak) sekelompok orang dalam hal lembu atau unta tersebut maka boleh, baik semua mahupun sebahagian dari mereka berniat untuk aqiqah sementara sebahagian yang lain berniat untuk mengambil dagingnya untuk pesta (makan besar),” (Lihat Muhyiddin Syaraf An-Nawawi, Al-Majmu’ Syarhul Muhadzdzab, Jeddah, Maktabah Al-Irsyad, juz VIII, halaman 409).
Justetu itu dalam konteks ini diperbolehkan, bahkan jika ada beberapa pihak dengan niat yang berbeza sekalipun.
Misalnya ada tujuh orang membeli seekor lembu, dari ketujuh orang tersebut yang tiga berniat untuk aqiqah, sedang yang lainnya berniat untuk berkorban, atau hanya mengambil dagingnya sekadar untuk dimakan beramai-ramai. Kadarnya ialah seekor kambing itu bersamaan dengan 1 bahagian bagi lembu dan juga unta. Disebutkan oleh al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj:
وَكَالشَّاةِ سُبْعُ بَدَنَةٍ أَوْ بَقَرَةٍ، فَلَوْ ذَبَحَ بَدَنَةً أَوْ بَقَرَةً عَنْ سَبْعَةِ أَوْلَادٍ، أَوْ اشْتَرَكَ جَمَاعَةٌ فِيهَا جَازَ، سَوَاءٌ أَرَادُوا كُلُّهُمْ الْعَقِيقَةَ أَوْ بَعْضُهُمْ الْعَقِيقَةَ وَبَعْضُهُمْ اللَّحْمَ
Maksudnya: dan bagi seekor kambing itu 1/7 (satu bahagian) dari unta dan lembu. Sekiranya disembelih unta atau lembu itu dari 7 orang anak atau dikongsi secara beramai-ramai, ia juga dibolehkan sama ada dengan sembelihan itu kesemua (bahagian) diniatkan untuk aqiqah atau sebahagian untuk aqiqah dan sebahagian lagi hanya untuk mendapatkan daging sahaja.[ Lihat Mughni al-Muhtaj. Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, (6/139) ]
Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah menyebutkan bahawa:
أَمَّا لَوْ ذَبَحَ بَدَنَةً أَوْ بَقَرَةً عَنْ سَبْعَةِ أَسْبَابٍ مِنْهَا ضَحِيَّةٌ وَعَقِيقَةٌ وَالْبَاقِي كَفَّارَاتٌ فِي نَحْوِ الْحَلْقِ فِي النُّسُكِ فَيُجْزِي ذَلِكَ
Maksudnya: “Sekiranya disembelih unta atau lembu untuk 7 bahagian bagi sebab-sebab darinya untuk korban dan aqiqah manakala bakinya untuk kaffarat bagi bercukur ketika ibadah haji makan sah hukumnya..” [Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra. Al-Maktabah al-Islamiyyah, 4/256
No comments:
Post a Comment