Sunday, November 17, 2019

Hukum aqiqah selain dari kambing

Hukum aqiqah selain dari kambing

Merujuk kepada hukum asal haiwan untuk aqiqah adalah kambing dan bukan lembu atau unta. 

Dalam hal ini mazhab Asy-Syafi’iyah dan Al-Hanabilah menyebutkan bahawa jumlah kambing yang perlu disembelih berbeza jumlahnya berdasarkan jenis jantina bayi. Jika bayi itu laki-laki, maka disunatkan untuk menyembelih dua ekor, sedangkan jika bayi itu perempuan, maka  satu ekor saja.

Pendapat ini didasarkan pada hadith nabawi berikut ini:

مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing”.
Riwayat Abu Daud (2842)

Maksud dua ekor kambing yang setara (شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ) dijelaskan oleh Zaid bin Aslam, iaitu dua ekor kambing yang serupa (مُتَشَابِهَتَانِ) yang disembelih bersamaan, tidak ditunda penyembelihan salah satu dari keduanya.

Sedangkan Imam Ahmad menerangkan bahawa maknanya adalah dua ekor kambing yang hampir sama (مُتَقَارِبَتَانِ). Imam al-Khaththabi menjelaskan, iaitu setara umurnya.

Namun apakah boleh menyembelih lembu atau unta sebagai ganti kambing?  

Para ulama berbeza pendapat tentang keharusan menggantikan kambing dengan haiwan lain. Namun secara umumnya kebanyakan ulama membolehkannya asalkan ianya dari jenis haiwan sebagaimana untuk korban, iaitu an-na’am, seperti unta, lembu dan kambing.

1. Pendapat yang tidak Membolehkan

Sebahagian ulama berpendapat bahawa aqiqah itu hanya boleh dengan kambing dan tidak boleh dengan lembu atau unta, di antaranya sebahagian ulama dalam mazhab Al-Malikiyah, Ibnu Hazm yang mewakili mazhab Zahiri, dimana keduanya berpandukan kepada ijtihad Aisyah radhiyallahuanha.

Imam Ibnu Hazm berpendapat bahawa tidaklah sah aqiqah melainkan hanya dengan apa-apa yang dinamakan dengan kambing, baik itu jenis kambing benggala atau kambing biasa, dan tidaklah memadai dengan unta, lembu dan yang lainnya.

Telah ada contoh pada zaman sahabat, di antara mereka melaksanakan aqiqah dengan unta, namun hal itu telah dingkari oleh 'Aisyah R.Anha. Sebagaimana yang diterangkan dalam riwayat berikut:

قِيْلَ لِعَائِشَةَ : ياَ أُمَّ المـُؤْمِنِين عَقَّى عَلَيْهِ أَوْ قَالَ عَنْهُ جُزُورًا؟ فَقَالَتْ : مَعَاذَ اللهِ ، وَلَكْن مَا قَالَ رَسُولُ اللهِ شَاتاَنِ مُكاَفِأَتَانِ

Dari Ibnu Abi Malikah ia berkata: Telah lahir seorang bayi laki-laki untuk Abdurrahman bin Abi Bakar, maka dikatakan kepada ‘Aisyah: “Wahai Ummul Mu’minin, adakah aqiqah atas bayi itu dengan seekor unta?”. Maka ‘Aisyah menjawab: “Aku berlindung kepada Allah, tetapi seperti yang dikatakan oleh Rasulullah, dua ekor kambing yang sepadan.” (Hadith Riwayat Al-Baihaqi)

Dalam riwayat lain, dari ‘Atha radhiallahuanhu, katanya:

قاَلَتْ اِمْرَأُةٌ عِنْدَ عَائِشَة لَوْ وَلَدَتْ اِمْرَأَة فُلاَن نَحَرْناَ عَنْهُ جُزُورًا؟ قَالَتْ عَائِشَة : لاَ وَلَكِن السُّنَّة عَنِ الغُلاَمِ شَاتَانِ وَعَنِ الجَارِيَةِ شَاةٌ

Seorang wanita berkata di hadapan ‘Aisyah: “Seandainya seorang wanita melahirkan fulan (anak laki-kaki) kami menyembelih seekor unta.” Berkata ‘Aisyah: “Jangan, tetapi yang sesuai sunah adalah buat seorang anak laki-laki adalah dua ekor kambing dan untuk anak perempuan seekor kambing.” (Hadith Riwayat Ishaq bin Rahawaih)

2. Pendapat yang Membolehkan : Jumhur Ulama

Pendapat ini merupakan pendapat jumhur ulama seperti mazhab Al-Hanafiyah, As-Syafi’iyah, dan Al-Hanabilah. Sedangkan di kalangan mazhab Al-Malikiyah, ada perbezaan riwayat antara yang membolehkan dan yang tidak membolehkan. Namun yang lebih rajih, mazhab ini pun membolehkannya.

Mereka pada umumnya sepakat membolehkan penyembelihan aqiqah dengan selain kambing, iaitu lembu atau unta.

Di antara dasarnya kerana lembu dan unta juga merupakan haiwan yang biasa digunakan untuk ibadah, iaitu untuk qurban dan hadyu. Bahkan lembu dan unta secara ukuran lebih besar dari kambing, dan tentunya harganya lebih mahal. Oleh kerana itu, tidak mengapa bila menyembelih akikah dengan haiwan yang lebih besar dan lebih mahal harganya, selama masih termasuk haiwan al-an'am. Sebagaima dinyatakan di dalam kitab Kifayatul Akhyar fi Halli Ghayatil Ikhtishar, 

 وَالْأَصَحُّ أَنَّ الْبَدَنَةَ وَالْبَقَرَةَ أَفْضَلُ مِنَ الْغَنَمِ وَقِيلَ بَلِ الْغَنَمُ أَفْضَلُ أَعْنِي شَاتَيْنِ فِي الْغُلَامِ وَشَاةً فِي الْجَارِيَةِ لِظَاهِرِ السُّنَّةِ

Maksudnya, “Menurut pendapat yang paling sahih, aqiqah dengan unta gemuk (al-badanah) atau lembu lebih utama dibanding akikah dengan kambing. Namun dalam pendapat lain dikatakan bahawa aqiqah dengan kambing lebih utama, yang saya maksudkan adalah dengan dua ekor kambing untuk bayi laki-laki dan seekor kambing untuk bayi perempuan, kerana sesuai dengan sunnah,” (Lihat Taqiyuddin Al-Hushni, Kifayatul Akhyar fi Halli Ghayatil Ikhtishar, Beirut, Darl Fikr, halaman 535). 

Menurut Imam Ibnul Mundzir dibolehkan aqiqah dengan selain kambing, dengan alasan bahawa 
asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA katanya: Aku mendengar Rasulallah Salallahualsihiwasallam bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada akikahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”.Riwayat al-Bukhari (2839

Menurutnya, hadith ini tidak menyebutkan kambing, tetapi haiwan secara umum, maka dibolehkan dengan selain kambing.

Ibnul Mundzir menceritakan, bahawa Anas bin Malik meng'aqiqah'kan anaknya dengan unta. Dari Al-Hasan, dia berkata bahawa Anas bin Malik radhiyallahuanhu menyembelih seekor unta untuk aqiqah anaknya.

Hal itu juga dilakukan oleh sahabat yang lain, iaitu Abu Bakrah radhiyallahuanhu. Beliau pernah menyembelih seekor unta untuk aqiqah anaknya dan memberikan makan penduduk Bashrah dengannya.

Menurut pendapat di dalam mazhab al-Syafi`e, bahawa dibolehkan untuk menggantikan kambing dengan lembu ataupun unta. Ini seperti mana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu`:

مَذْهَبُنَا جَوَازُ الْعَقِيقَةِ بِمَا تَجُوزُ بِهِ الْأُضْحِيَّةُ مِنْ الابل والبقر والغنم وبه قال أنس ابن مَالِكٍ وَمَالِكُ بْنُ أَنَسٍ وَحَكَى ابْنُ الْمُنْذِرِ عَنْ حَفْصَةَ بِنْتِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَا يُجْزِئُ إلَّا الْغَنَمُ

Maksudnya: Mazhab kami (iaitu al-Syafi`e), dibolehkan aqiqah apa yang dibolehkan dengannya sembelihan dari jenis unta, lembu dan kambing dan ini adalah pendapat Anas bin Malik dan Malik bin Anas. Dihikayatkan daripada Ibn al-Munzir daripada Hafsah binti Abd al-Rahman bin Abi Bakr al-Siddiq RA, tidak dikira aqiqah itu kecuali kambing.[  Lihat Al-Majmu` Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, (8/448) ]

Kesimpulannya:
Dibolehkan aqiqah menggantikan kambing dengan unta atau lembu, namun perlulah mengikut syarat yang telah ditetapkan bagi sembelihan kerana  segala syarat sembelihan terpakai juga untuk aqiqah. Kadar bagi seekor kambing adalah bersamaan dengan 1/7 daripada unta dan lembu dan boleh dikongsi bahagian tersebut secara berkongsi.Disebutkan oleh al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj:

وَكَالشَّاةِ سُبْعُ بَدَنَةٍ أَوْ بَقَرَةٍ، فَلَوْ ذَبَحَ بَدَنَةً أَوْ بَقَرَةً عَنْ سَبْعَةِ أَوْلَادٍ، أَوْ اشْتَرَكَ جَمَاعَةٌ فِيهَا جَازَ، سَوَاءٌ أَرَادُوا كُلُّهُمْ الْعَقِيقَةَ أَوْ بَعْضُهُمْ الْعَقِيقَةَ وَبَعْضُهُمْ اللَّحْمَ

Maksudnya: dan bagi seekor kambing itu 1/7 (satu bahagian) dari unta dan lembu. Sekiranya disembelih unta atau lembu itu dari 7 orang anak atau dikongsi secara beramai-ramai, ia juga dibolehkan sama ada dengan sembelihan itu kesemua (bahagian) diniatkan untuk aqiqah atau sebahagian untuk aqiqah dan sebahagian lagi hanya untuk mendapatkan daging sahaja.[ Lihat Mughni al-Muhtaj. Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, (6/139) ]



No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...