Tuesday, November 12, 2019

Hukum menggantung pelaris perniagaan

Hukum menggantung pelaris perniagaan

Satu fenomena yang amat membimbangkan dewasa ini di kalangan umat Islam pada hari ini adalah kerapuhan aqidah apabila tumbuh suburnya amalan-amalan khurafat, tahayyul, bid’ah dan syirik, diantaranya adalah dengan munculnya amalan tangkal dan pelaris yang digantung di kedai-kedai makan. 
Kalau kita perhatikan baik-baik biasanya pada bahagian dinding tersebut mereka gantung dengan sesuatu mungkin sama ada berupa bingkai (frame) berisi kertas kuning atau kilat berwarna perak, gantungan kain hitam atau kuning yang diikat, gambar “wali keramat”, lambang khatamun nubuwwah, cebisan kain kelambu ka’abah, tulisan-tulisan jawi berbentuk formasi aneh atau rajah-rajah dan simbol-simbol pelik yang hanya boleh difahami oleh pembuat tangkal sahaja. 

Meletakkan benda-benda fizikal seperti ini sebagai pelaris bagi menarik pelanggan serta melariskan perniagaan adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Hal ini kerana pergantungan seseorang akan beralih kepada pelaris, bukannya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ia adalah satu amalan yang khurafat yang boleh membawa kepada mensyirikkan dan menyekutukan Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan pelaris tersebut.Apabila budaya khurafat dan kepercayaan tahayyul seperti ini berleluasa, selagi itulah umat Islam akan terus dilanda kehinaan, kejahilan, kelemahan, dan kerugian. Kerana kebergantungan mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala telah bertukar kepada tangkal dan azimat yang tidak mampu berbuat apa-apa tersebut. Ini adalah disebabkan oleh kejahilan, sehingga wang pula dibelanjakan untuk membeli kesyirikan. 

Sesungguhnya Islam melarang sebarang penggunaan tangkal atau dinamakan senagai al-tamimah (التَّمَائِمَ). Meletakkan benda-benda fizikal tersebut di premis perniagaan dengan harapan dapat menarik pelanggan dan melariskan perniagaan termasuk dalam perkara menggunakan tangkal.Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud R.Anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

Ertinya: “Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan ‘tiwalah’ itu adalah syirik.”
Hadith riwayat Imam Ahmad (3615), Abu Daud (3883) dan Ibnu Majah (3530)

Al-Tibi pula berkata: Maksud syirik pada hadis di atas adalah apabila seseorang meyakini bahawa ia (jampi, tangkal dan tiwalah) mempunyai kekuatan dan mampu memberi kesan (dalam mempengaruhi/mengubah sesuatu) dan perkara tersebut adalah jelas bertentangan dengan tawakkal kepada Allah. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/121)
Imam al-Munawi pula berkata: Menggunakan tangkal dianggap syirik kerana bererti seseorang itu meyakini ia dapat memberi pengaruh (ta’thir) dan ini boleh membawa syirik kepada Allah.

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah meriwayatkan dalam Tafsirnya:

دخل حذيفة على مريض، فرأى في عضده سيرًا فقطعه -أو: انتزعه -ثم قال وَمَا يُؤْمِنُ أَكْثَرُهُمْ بِاللَّهِ إِلا وَهُمْ مُشْرِكُونَ

“Hudzaifah pernah menjenguk seseorang yang sedang terlantar sakit. Lalu beliau terlihat seutas tali yang dijadikan azimat pada lengan pesakit. Maka beliau pun memotongnya (atau mencabutnya) dan berkata (menyebutkan firman Allah, Surah Yusuf, 12: 106): “Dan sebahagian besar dari mereka tidak beriman kepada Allah melainkan dalam keadaan mensyirikkan Allah.”.” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/419)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

مَنْ تَعَلَّقَ شَيْئًا وُكِلَ إِلَيْهِ

“Sesiapa yang menggantungkan sesuatu (berupa tangkal), maka segala urusannya akan diserahkan kepadanya (kepada tangkal).” (Hadis Riwayat Ahmad, 31/78, no. 18781. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth)

Sesiapa yang menggantungkan tangkal, jiwa dan hidupnya akan mudah terganggu dan tidak tenteram. Malah ia telah melakukan pula kesyirikan. Ini sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

مَنْ تَعَلَّقَ تَمِيمَةً، فَلَا أَتَمَّ اللهُ لَهُ، وَمَنْ تَعَلَّقَ وَدَعَةً، فَلَا وَدَعَ اللهُ لَهُ

“Sesiapa yang menggantung tamimah maka semoga Allah tidak menyempurnakan apa yang dimilikinya, dan sesiapa yang menggantungkan wada’ah, semoga Allah tidak membiarkannya dalam ketenangan.” (Majma’ az-Zawa’id, 5/175. Kata al-Haitsami, “Hadis Riwayat Ahmad, Abu Ya’la, dan ath-Thabrani, para perawinya tsiqah.”. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth)

Dalam riwayat yang lain Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ عَلَّقَ تَمِيمَةً، فَقَدْ أَشْرَكَ

“Sesiapa menggantungkan tamimah maka dia telah melakukan syirik.” (Majma’ az-Zawa’id, 5/175, no. 8399. Kata al-Haitsami para perawinya tsiqah.

Bahaya dan kesan syirik terhadap seseorang:

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

“Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang paling besar.” (Surah Luqman, 31: 13)

Juga Allah tidak akan menerima apa jua bentuk amalan baik daripada pelaku syirik. Bahkan amalan-amalan mereka seperti debu yang berterbangan dan doanya tidak  dinilai sebagai ibadah serta dia tidak diampunkankan. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا

“Dan kami nilai segala amal yang mereka usahakan, lalu kami jadikan amal itu (seperti) debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqon, 25: 23)

Juga firman Allah Subhanahu wa Ta’ala

وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Jika mereka mensyirikkan Allah, nescaya lenyaplah amal-amal kebaikan yang telah mereka usahakan.” (Surah al-An’am, 6: 88)

Juga firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, 

إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا بَعِيدًا

“Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mensyirikkan-Nya, dan Allah mengampuni dosa selain syirik bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Segsiapa yang mensyirikkan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.” (Surah an-Nisaa, 4: 116)

Sebagai kesimpulan, 

Dengan meletakkan benda-benda fizikal seperti beras, syiling, garam dan sebagainya sebagai amalan pelaris untuk menarik pelanggan adalah termasuk dalam perkara-perkara khurafat dan boleh membawa kepada mensyirikkan Allah Subhanahu wa Ta’ala

Hindarilah perkara-perkara yang boleh membawa kepada kepercayaan khurafat dan syirik dalam usaha kita mencari rezeki yang berkat. Sebaliknya, berusahalah dengan cara yang baik serta lazimi dan amalkanlah ayat-ayat Quran di samping bermohon kepada Allah agar dikurniakan rezeki dan keuntungan yang berganda dalam perniagaan.Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ

“Jika engkau memohon (berdoa), mohonlah kepada Allah. Dan jika engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 9/56, no. 2440. Hasan sahih)

Perbanyakkanlah beristighfar memohon keampunan kepada-Nya, nescaya Allah Subhanahu wa Ta’ala, akan mengampunkan dan mengurniakan rezeki yang melimpah ruah, 

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Ertinya: "Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. "(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; "Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).
(Surah Nuh: 10-12


No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...