Monday, November 11, 2019

Hukum Imam salah sebutan ketika Takbirratul ihram

Hukum Imam salah sebutan ketika Takbirratul ihram

Lafaz takbiratul ihram ialah الله أكبر. Dengan melafazkan takbiratul ihram untuk solat,  maka ianya akan mengharamkan segala perbuatan yang boleh membatalkan solat seperti bercakap, makan, minum dan lain-lain. Hadith riwayat Ali R.A bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda :

مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطُّهُورُ ، وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ ، وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ

Maksudnya : “Kunci bagi solat ialah bersuci, yang mengharamkan (dari perkara membatalkan solat) adalah takbir dan penyelesainya ialah salam.”
Hadith Riwayat Abu Daud (58)

Jika seseorang itiu menyebutkan selain daripada lafaz الله أكبر maka solatnya terbatal kerana dianggap tidak sah. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi Sallahualaihiwasallam yang diriwayatkan oleh Malik Bin Al-Huwairith. Beliau berkata bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda :

صلُّوا كما رأيتُموني أُصلِّي

Maksudnya : "Solatlah seperti mana kalian melihat aku solat..” Hadith Riwayat Al-Bukhari (6819)

Justeru itu, sangat penting bagi imam, mu'azin mahupun yang solat sendirian ataupun sebagai makmum untuk memperhatikan bacaan takbir. Terutama takbir pembuka solat yang diistilahkan dengan takbiratul ihram, sangat perlu berhati-hati dari kesalahan bacaan yang boleh mengubah makna. Akibat salah dalam bacaan yang mengubah makna akan menjadikan solat seseorang itu tidak sah. 

Takbiratul ihram adalah merupakan salah satu dari rukun qauli yang tidak boleh ditinggalkan. Ini berdasarkan teguran Nabi Sallahualaihiwasallam kepada seorang lelaki yang buruk solatnya kerana dia solat dalam keadaan yang tidak sempurna. Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda :

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَكَبِّرْ ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ افْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلَاتِكَ كُلِّهَا

Maksudnya :” Jika engkau telah berdiri untuk menunaikan solat maka bertakbirlah kemudian bacalah apa-apa daripada Al-Quran yang mudah bagi engkau kemudian rukuklah sehingga engkau tenang sebentar ketika rukuk. Kemudian bangun semua sehingga engkau betul-betul berdiri. Kemudian sujudlah sehingga engkau tenang sebentar ketika sujud. Kemudian bangun sehingga engkau tenang sebentar ketika duduk kemudian sujudlah sehingga engkau tenang sebentar ketika sujud. Kemudian lakukanlah perbuatan tersebut di dalam kesemua solat engkau.” Hadith Riwayat Al-Bukhari (757 &759)

Al-Hafiz Abu Zakariyya Yahya bin Syarof al-Nawawi rahimahullah(631–676 H/1234–1277M),
menjelaskan, 

ﻭﻟﻴﺤﺮﺹ ﻋﻠﻰ ﺗﺼﺤﻴﺢ ﺍﻟﺘﻜﺒﻴﺮ، ﻓﻼ ﻳﻤﺪّ ﻓﻲ ﻏﻴﺮ ﻣﻮﺿﻌﻪ، ﻓﺈﻥ ﻣﺪّ ﺍﻟﻬﻤﺰﺓ ﻣﻦ ﺍﻟﻠّﻪ، ﺃﻭ ﺃﺷﺒﻊ ﻓﺘﺤﺔ ﺍﻟﺒﺎﺀ ﻣﻦ ﺃﻛﺒﺮ ﺑﺤﻴﺚ ﺻﺎﺭﺕ ﻋﻠﻰ ﻟﻔﻆ ﺃﻛﺒﺎﺭ ﻟﻢ ﺗﺼﺢّ ﺻﻼﺗﻪ

"Dan hendaklah bersungguh-sungguh dalam mengucapkan takbir secara benar, dengan tidak memanjangkan (bacaan) pada selain tempatnya. Kerana sesungguhnya memanjangkan hamzah pada lafaz (jalalah) الله (hingga terbaca آلله, atau memanjangkan fathah pada huruf ba' dari أَكْبَر sehingga menjadi lafaz أَكْبَار tidaklah sah solatnya."
(Rujuk: kitab alAzkar juz 1 hal 66)

Justeru itu, jika seseorang imam melakukan kesalahan yang besar yang mana telah mengubah makna dari takbiratul ihram maka solatnya tidak sah dan batal solatnya kerana takbiratul ihram adalah rukun yang utama di dalam solat sehingga boleh mendatangkan kesan kepada makmum.

Oleh kerana itu, imam hendaklah sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan khususnya berkaitan fiqh solat. Ini adalah sebagai satu langkah agar solat yang dilakukan betul-betul di atas landasan ilmu yang dipelajari bukan hanya mengagak-agak. Ini berdasarkan hadith Nabi Sallahualaihiwasallam yang diriwayatkan oleh Abu Mas’ud Al-Ansari :

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِى الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ

Ertinyanya : “Yang menjadi imam bagi satu-satu kaum adalah mereka yang mahir terhadap kitabullah. Jika kesemuanya sama tahap maka yang menjadi imam adalah yang tahu dan mahir di dalam sunnah.” Hadith Riwayat Muslim (1564)

Ulama menyatakan cara sebutan takbiratul ihram  dengan cara yang betul diantaranya ialah: 

شروط لتكبير سماعك أن تقم***وبالعربي تقديمك الله أولا
ونطق بأكبر لا تمد لهمزة***كباء بلا تشديدها وكذا الولا
علي الألفات السبع في الله لا تزد***كواو ولا تبدل لحرف تأصلا
دخول لقوت واقتران بنية***وفي قدوة أخر وللقبلة اجعلا
وصارفا اعدم وقطعن همزة أكبر***لقد كملت عشرون تعدادها انجلا
Syarat bagi takbiratul ihram ialah :
Dengan bahasa arab
Menyebut lafaz Allah dahulu kemudian baru lafaz Akbar
Tidak boleh memanjangkan hamzah
Tidak boleh mentasydidkan huruf Ba’
Tidak boleh memanjangkan huruf Ba’
Tidak boleh menambah huruf wau
Tidak boleh menukar mana-mana huruf
Masuk waktu 
Takbiratul ihram sambil disertakan dengan niat
Ketika menjadi makmum dilambatkan takbir
Menghadap kiblat
Pada lafaz Akbar menggunakan hamzah qoto’ (Rujuk Nail Al-Raja’ Fi Syarh Safinat Al-Naja, hlm 72)

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...