Friday, November 1, 2019

Hukum memberi zakat tanpa lafaz aqad Ijab dan Qabul

Hukum memberi zakat tanpa lafaz aqad Ijab dan Qabul

Pembayaran zakat sah sekiranya tidak disertakan aqad ijab dan qabul. Ini kerana syarat sah pemberian zakat adalah berniat dan mempunyai hak pemilikan terhadap harta, serta penyerahan dan penerimaan barang.

Berniat merupakan penentuan sesuatu perkara itu sebagai ibadah dan ia membezakannya di antara ibadah-ibadah yang lain seperti zakat dan kafarah. Ini sepertimana hadis daripada Saidina Umar al-Khattab RA Sabda Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda, 

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَإِنَّمَا لاِمْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat. Dan setiap perkara akan dibalas mengikut apa yang diniatkannya.
Hadis Riwayat Muslim (1907)

Perlu diketahui bahawa zakat adalah satu bentuk sedekah, iaitu sedekah yang wajib. Sebagaimana dijelaskan dalam Al Mausu’ah Al Fiqhiyyah Al Kuwaitiyah:

الصدقة : تطلق بمعنيين : الأول : ما أعطيته من المال قاصدا به وجه الله تعالى فيشمل ما كان واجبا وهو الزكاة ، وما كان تطوعا .

والثاني : أن تكون بمعنى الزكاة ، أي في الحق الواجب خاصة ، ومنه الحديث : ” ليس فيما دون خمس ذود صدقة ” (أخرجه البخاري 3 / 323

“Sedekah, dimutlakkan pada 2 makna: Pertama: harta yang diberikan kepada orang lain dalam rangka mengharap wajah Allah Ta’ala, mencagkupi yang wajib yaitu zakat, ataupun yang sunat. 
Kedua: maknanya zakat, iaitu sedekah yang wajib secara khusus. Berdasarkan hadith: ليس فيما دون خمس ذود صدقة (iaitu: zakat)‘ (Hadith Riwayat Bukhari 3/323)”

Para Fuqaha’ menjelaskan, bahawa zakat merupakan sedekah yang wajib. Ia berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.(Surah al-Taubah, 103)

Syarat Wajib dan Sah Zakat

Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan bahawa perbuatan mengeluarkan zakat terdapat syarat wajib dan sah. Oleh itu, diwajibkan ke atas seorang muslim yang merdeka, baligh, berakal, pemilikan harta yang cukup bilangannya (Nisab) dan cukup tempohnya (Haulnya) serta sah pemberian zakat dengan sekadar berniat bagi tertunai kewajipannya. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/1796

Menurut pandangan Mazhab Imam Syafi’e, wajib berniat di dalam hati dan tidak disyaratkan dengan kata-kata seperti contoh “Ini Zakat harta” walaupun tanpa berniat fardhu, ini kerana membayar zakat merupakan suatu kewajipan. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/1811)

Imam Nawawi berpendapat sedekah sama hukumnya dengan hadiah, dan ia tidak memerlukan lafaz ijab dan qabul. Cukup sekadar penyerahan dan penerimaan barang dan pendapat ini merupakan pendapat yang sahih di dalam mazhab Imam Syafi’e serta telah di naqalkan oleh fuqaha’ mazhab muta’akhirin. (Lihat: Raudah al-Thalibin,5/365-366)

Walaupun begitu, hal ini tidak menjadi sebarang masalah sekiranya melakukan akad ijab dan qabul bagi memastikan tujuan dan matlamat pemberian zakat itu tercapai. Ini kerana pemberian zakat memerlukan keredhaan dan keikhlasan demi mendapat keredhaan Allah Subhanahuwata'ala. Firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

Maksudnya: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar(Surah al-Baiyyinah, 5)

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...