Monday, November 4, 2019

Hukum memberi sedekah daging korban yang telah dimasak

Hukum memberi sedekah daging korban yang telah dimasak

Sabda Rasulullah Sallahualaihiwasallam, 

   مَا عَمِلَ ابْنُ آدَمَ يَوْمَ النَّحْرِ مِنْ عَمَلٍ أَحَبَّ إلَى
 اللهِ تَعَالَى مِنْ إرَاقَةِ الدَّمِ، إنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا   

“Tidaklah anak cucu Adam beramal di hari Nahar yang lebih disukai Allah dari pada mengalirkan darah (korban). Sesungguhnya binatang korban datang di hari kiamat dengan tanduk-tanduk dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darahnya jatuh pada suatu tempat tinggi atas reda-Nya sebelum jatuh di tanah. Maka ikhlaskanlah hati kalian dalam berkorban,” (Hadith Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim).

Korban adalah merupakan ibadah, sudah tentu ia mempunyai ketentuan yang wajib dipenuhi dalam sudut pandang syariat, di antaranya adalah berkaitan dengan cara menyedekahkan dagingnya.

1- Berapakah kadar yang wajib disedekahkan? 
2- Adakah disedekahkan daging korban dalam keadaan masak atau mentah? 

Menurut pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi’i, kadar minima daging korban yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin adalah dalam kadar yang boleh mengenyangkan untuk sekurang-kurangnya bagi satu orang. Justeru itu tidak mencukupi memberikan sedekah daging korban dalam kadar yang sedikit seperti satu atau dua suapan. 

Imam Khatib al-Syarbini menyebut di dalam kitabnya Mughni Muhtaj bahawa:

وَ الأَصَحُّ وُجُوبُ التَصّدُّقِ بِبَعْضِهَا وَلَوْ جُزْءًا يَسِيرًا مِن لَحْمِهَا بِحَيْثُ يَنْطَلِقُ عَلَيْه الإِسْم عَلَى الفُقَرَاءِ

Pendapat yang paling sahih ialah wajib untuk memberi sedekah sebahagian daripadanya walaupun pada kadar yang sedikit daripada daging tersebut sekira-kira boleh dinamakannya sebagai sedekah, kepada golongan fakir miskin. (Rujuk Mughni Muhtaj, 4: 387-388)

Selebihnya daging korban itu boleh dimakannya sendiri atau diberikan kepada orang kaya sebagai hadiah.  Namun yang lebih utama adalah menyedekahkan kesemuanya kecuali hanya beberapa suap yang dimakan untuk tujuan tabarruk (mengambil keberkatan).

Keharusan memakan daging korban ini adalah untuk korban sunat, sementara korban yang wajib seperti nazar dan seumpamanya, maka wajib disedekahkan kesemuanya. Dan orang-orang yang di bawah tanggungan yang wajib diberi nafkah tidak diperbolehkan untuk memakannya sedikitpun.

Sebagaimana firman Allah Subhanahuwataala,

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Maka makanlah sebahagian hasil korban itu dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang memerlukannya dan fakir. (QS. Al-Haj : 28).

Imam Qurtubi menjelaskan makna ayat ini dalam tafsirnya :

هذا أمر معناه الندب عند الجمهور، ويستحب للرجل أن يأكل من هديه وأضحيته، وأن يتصدق بالأكثر مع تجويزهم الصدقة بالكل، وأكل الكل

Perintah ini bermakna anjuran, menurut pendapat majoriti ulama (Jumhur). Dianjurkan bagi seorang, untuk memakan bahagian dari sembelihan hadyu atau korbannya. Kemudian menyedekahkan sebahagian besar dari dagingnya. Atau boleh juga menyedekahkan seluruhnya atau memakan seluruhnya. (Lihat Tafsir Al-Qurtubi untuk ayat di atas).

Para ulama’ telah menetapkan bahawa daging korban wajib disedekahkan kepada golongan fakir miskin dalam keadaan mentah, dan bukannya yang telah dimasak atau dikeringkan. Berkenaan hal ini dikemukan disini beberapa pendapat ulama:

Syekh Muhammad bin Ahmad al-Ramli menegaskan bahawa : 

 وَيَجِبُ دَفْعُ الْقَدْرِ الْوَاجِبِ نِيئًا لَا قَدِيدًا
   
“Wajib memberikan kadar daging yang wajib disedekahkan dalam bentuk mentah, bukan dalam bentuk dimasak,” (Syekh Muhammad bin Ahmad al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj, juz 8, hal. 142).  

Sheikh Ibrahim al-Bajuri menyebutkan bahawa:

وَ يُشْتَرَطُ فِي اللَحْمِ أَن يَكُونَ نِيئًا لِيَتَصَرَّفَ فِيهِ مَن يَأْخُذُهُ بِمَا شَاءَ مِن بَيْعٍ وَ غَيْرِهِ كَمَا فِي الكَفَارَاتِ فَلَا يَكْفِي جَعْلُهُ طَعَامًا مَطْبُوخًا وَ دُعَاءَ الفُقَرَاءِ إِليْه لِيَأْكُلُوهُ

Maksudnya: Disyaratkan bagi daging korban tersebut untuk disedekahkan dalam keadaan mentah supaya dapat ditasarufkan bagi sesiapa yang menerimanya mengikut apa yang dikehendaki olehnya sama ada menjualnya atau seumpamanya, sepertimana sama juga dalam bab kafarah. Justeru itu, tidak memadai memberi sedekah dengan menjadikannya sebagai makanan yang dimasak kemudian diajak golongan fakir miskin untuk memakannya. (Rujuk Hasyiah al-Bajuri, 2:567)

Syekh Khathib al-Syarbini mengatakan: 

  (وَالْأَصَحُّ وُجُوبُ التَّصَدُّقِ بِبَعْضِهَا) وَلَوْ جُزْءًا يَسِيرًا مِنْ لَحْمِهَا بِحَيْثُ يَنْطَلِقُ عَلَيْهِ الِاسْمُ عَلَى الْفُقَرَاءِ،  

 “Menurut pendapat al-Ashah (yang kuat), wajib menyedekahkan sebahagian korban, meski pun bahagian yang sedikit dari dagingnya, sekiranya boleh disebut pemberian daging (yang sepatutnya), kepada orang fakir, meski satu orang.

   وَيُشْتَرَطُ فِي اللَّحْمِ أَنْ يَكُونَ نِيئًا لِيَتَصَرَّفَ فِيهِ مَنْ يَأْخُذُهُ بِمَا شَاءَ مِنْ بَيْعٍ وَغَيْرِهِ كَمَا فِي الْكَفَّارَاتِ، فَلَا يَكْفِي جَعْلُهُ طَعَامًا وَدُعَاءُ الْفُقَرَاءِ إلَيْهِ؛ لِأَنَّ حَقَّهُمْ فِي تَمَلُّكِهِ لَا فِي أَكْلِهِ وَلَا تَمْلِيكُهُمْ لَهُ مَطْبُوخًا 

“Disyaratkan di dalam daging (yang wajib disedekahkan) mesti mentah, supaya fakir/ miskin yang mengambilnya bebas mentasarufkan dengan menjual dan selainnya, seperti ketentuan dalam bab kafarat (denda), maka tidak cukup menjadikannya dalam bentuk masakan dan memanggil orang fakir untuk mengambilnya, sebab hak mereka adalah memiliki daging korban, bukan hanya memakannya. Demikian pula tidak cukup memberikan hak milik kepada mereka daging masak.”   

(وَالْأَفْضَلُ) التَّصَدُّقُ (بِكُلِّهَا)؛ لِأَنَّهُ أَقْرَبُ إلَى التَّقْوَى وَأَبْعَدُ عَنْ حَظِّ النَّفْسِ (إلَّا) لُقْمَةً أَوْ لُقْمَتَيْنِ أَوْ (لُقَمًا يَتَبَرَّكُ بِأَكْلِهَا) عَمَلًا بِظَاهِرِ الْقُرْآنِ، وَلِلِاتِّبَاعِ كَمَا مَرَّ وَلِلْخُرُوجِ مِنْ خِلَافِ مَنْ أَوْجَبَ الْأَكْلَ  

 “Lebih utama menyedekahkan semuanya, kerana lebih mendekatkan kepada ketakwaan dan menjauhkan dari kepentingan nafsu, kecuali satu, dua atau beberapa suap yang dimakan untuk mengambil keberkatan, kerana mengamalkan seperti zahir Al-Qur’an dan mengikuti Nabi seperti keterangan yang lalu, dan kerana keluar dari ikhtilaf ulama yang mewajibkan memakan,” (Syekh Khathib al-Syarbini, Mughni al-Muhtaj, juz 6, hal. 135).

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...