Hukum membatalkan solat sunat kerana Iqamah
Asal hukumnya ada wujud larangan dari merosakkan atau membatalkan ibadah yang telah disyariatkan. Sebagaimana fiman Allah Subhanahuwata'ala:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَلَا تُبۡطِلُوٓاْ أَعۡمَٰلَكُمۡ
Ertinya: Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan janganlah kamu membatalkan (yakni merosakan pahala) amal-amalmu. (Surah Muhammad: 33)
Menurut Syeikh As Sa’diy, ayat ini mencangkupi larangan membatalkannya setelah mengerjakannya, iaitu dengan mengerjakan sesuatu yang merosaknya, seperti menyebut-nyebutnya dan merasa ujub dengannya, berbangga dan sum’ah (ingin didengar), mengerjakan maksiat yang membuat amalnya terhapus dan menghapuskan pahalanya. Termasuk pula merosak saat mengerjakannya, iaitu dengan memutuskannya atau mengerjakan hal yang merosak atau membatalkan amalannya, seperti pembatal solat, pembatal puasa, pembatal haji dan sebagainya. Semuanya masuk ke dalam larangan ini, dan bahawa hal itu dilarang. Para fuqaha’ berdalil dengan ayat ini untuk menerangkan haramnya memutuskan amalan wajib dan makruhnya memutuskan amalan sunat tanpa ada hal yang mengharuskan untuk diputuskan. Jika Allah Subhaanahu wa Ta'ala melarang membatalkan amalan, maka bererti Dia memerintahkan untuk memperbaikinya, menyempurnakannya dan mengerjakannya dengan cara yang dapat menjadikannya baik; yang berupa ilmu mahupun amal.
Persoalannya bolehkah membatalkan solat sunat kerana iqamat yang dilaungkan kerana memberi isyarat bahawa solat fardhu secara berjamaah akan ditunaikan?
Disini ada beberapa keadaan
1-Keadaan pertama:
Memulakan solat sunat ketika iqamah ingin dikumandangkan atau telah dikumandangkan:
Makruh (makruh tanzih) hukumnya untuk menunaikan apa-apa jenis solat sunat ketika iqamah telah dilaungkan bagi menandakan solat fardhu akan dimulakan secara berjemaah.
Disebutkan oleh Imam al-Nawawi;
وَلَا يَبْتَدِئُ نَفْلًا بَعْدَ شُرُوعِهِ فِيهَا، فَإِنْ كَانَ فِيهِ أَتَمَّهُ إِنْ لَمْ يَخْشَ فَوْتَ الجَمَاعَةِ
“…dan (disunatkan) dia tidak memulakan solat sunat selepas muazzin memulakan iqamah. Maka jika dia di dalam solat, dia (sunat) menyempurnakannya jika dia tidak khuatir luput jamaah.”
Hal ini berpandukan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah Sallahualaihiwasallam pernah bersabda:
إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ فَلاَ صَلاَةَ إِلاَّ الْمَكْتُوبَةُ
Jika sudah diiqamatkan solat, maka tidak ada solat melainkan solat maktubah (fardhu). Riwayat Muslim (710)
Pernyataan ini juga dijelaskan seperti dibawah:
وَكُرِهَ ابْتِدَاءُ نَفْلٍ بَعْدَ شُرُوعِ الْمُقِيمِ فَإِنْ كَانَ فِي النَّفْلِ أَتَمَّهُ إنْ لَمْ يَخْشَ بِإِتْمَامِهِ فَوْتَ جَمَاعَةٍ بِسَلَامِ الْإِمَامِ وَإِلَّا نُدِبَ لَهُ قَطْعُهُ وَدَخَلَ فِيهَا لِأَنَّهَا أَوْلَى مِنْهُ
“Makruh (bagi orang yang hendak melaksanakan solat wajib) melakukan solat sunat setelah al-muqim mengumandangkan iqmah. Namun jika dia (orang yang akan melaksanakan solat wajib) tidak takut untuk menyelesaikan (solat sunat), sepanjang dia tidak bimbang akan terlewat solat berjamaah dalam salam imam. Apabila tidak mampu menyelesaikan, dia harus memotong atau menghentikan solatnya dan mengikuti (solat secara) berjamaah kerana solat tersebut lebih utama dari pada solat sunat.”
( الإقناع في حل ألفاظ أبي شجاع )
(Muhammad Khatib asy-Syarbini, al-Iqna` fi Halli Alfazhi Abi Sujja`,Bairut-Dar al-Fikr, 1415 H, juz, 1, h. 169)
2-Keadaan kedua:
Iqamah dilaungkan padahal seseorang itu sedang melakukan solat sunat, maka sunat baginya menyempurnakan solat tersebut sekiranya dia tidak khuatir akan terluput jamaah (sebelum imam salam). Syeikh Muhammad Khatib asy-Syarbini, al-Iqna` fi Halli Alfazhi Abi Sujja`,Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَلَا تُبۡطِلُوٓاْ أَعۡمَٰلَكُمۡ
Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan janganlah kamu membatalkan (yakni merosakan pahala) amal-amalmu. (Surah Muhammad: 33)
Namun begitu dianjurkan agar meringankan atau meringkaskan solat sunat tersebut dengan meraikan segala rukunnya dan bersegera untuk mendapatkan pahala berjemaah dan yang lebih utama lagi adalah untuk mendapatkan takbiratul ihram bersama-sama imam.
3- Keadaan ketiga:
Namun sekiranya dikhuatiri akan terlepas solat berjamaah(imam memberi salam) sebelum dapat menyelesaikan solat sunat tersebut maka disunatkan untuk memutuskan solat sunat tersebut dengan memberikan salam. Bahkan harus baginya memberi salam daripada satu rakaat dan satu rakaat itu akan dikira sebagai sunat mutlak.
Hal ini adalah ketetapan bagi solat selain solat Jumaat.
Adapun bagi solat Jumaat pula, maka wajib ke atasnya memutuskan solat sunat tersebut agar dia sempat mendapatkan Jumaat (Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj, Nihayah al- Muhtaj, Mughni al-Muhtaj, Kasyf al-Litham).
No comments:
Post a Comment