Hukum memakan Belangkas dan telurnya
Hukum memakan belangkas adalah halal sebagai mengambil tempat binatang air. Sebagaimana yang diketahui, belangkas adalah sejenis haiwan yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar. Binatang ini boleh hidup juga di luar air tetapi bukanlah dalam tempoh masa yang lama.
Justeru itu, kerana habitat semulajadi haiwan ini di dalam air maka ia termasuk di dalam حيوانات البحر أو الحيوانات المائية (Haiwan laut atau haiwan air). Ini adalah berdasarkan kepada umum nas hadis Nabi Sallahialaihiwasallam:
هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الْحِلُّ مَيْتَتُهُ
Maksudnya: Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya(Riwayat Abu Daud, al-Turmuzi, al-Nasa’ie, Ibn Majah)
Keharusan memakan belangkas juga berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanannya.”(Surah al-Ma’ida: 96)
Justeru itu, sebarang haiwan yang tidak ada nas qati’ie pengharamannya maka hukumnya adalah halal. Ini berdasarkan kaedah:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu adalah "harus" sehingga ada dalil yang menunjukkan kepada pengharamanya.” (Rujuk al-Asybah wa al-Nazair oleh al-Suyuti, 1/60)
Ini bertitik tolak dari firman Allah Ta’ala,
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
“Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu” ( Al Baqarah: 29).
Ayat ini mencakupi segala yang ada di muka bumi, baik ianya haiwan, tumbuhan dan pakaian. Allah Ta’ala berfirman,
وَسَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِنْهُ
“Dan Dia telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.” (Al Jatsiyah: 13).
Memakan telur belangkas:
Binatang yang boleh dimakan induk atau ibunya, maka telurnya juga boleh dimakan. Ini berdasarkan kaedah,
الْفَرْعُ يُتْبِعُ الْأَصْل
Maksudnya: “Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”
Begitu juga dengan kaedah
التَّابِعُ تَابِعٌ
Maksudnya: “Yang mengikut itu mengambil hukum yang mengikut asalnya.
"Agar kita lebih memahami kaedah istimbat hukum"
Mengenali definasi dan habitat Belangkas:
Belangkas adalah dari famili Limulidae. Nama saintifik belangkas yang hidup di pinggir pantai ialah tachypleus gigas dan yang ditemui di kawasan paya ialah carcinoscorpius rotundicauda.
Belangkas ialah sejenis haiwan yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar. Belangkas mudah ditangkap di tepi-tepi pantai kerana tidak menggigit.
Haiwan ini merupakan artropod laut yang bentuk badannya mirip kepada 'ketopong besi' tentera dan juga mempunyai ekor yang panjang dan tajam. Ia boleh mencapai saiz sehingga 51 cm (20 inci). Mana-mana anggotanya yang putus boleh tumbuh semula dan ia juga mempunyai sistem keimunan yang menakjubkan.
Peribahasa dalam masyarakat Melayu iaitu 'macam belangkas' bermaksud lelaki dan perempuan yang bergerak bersama-sama ke mana-mana sahaja. Kita akan temui belangkas di laut cetek dalam keadaan berdua-dua iaitu seekor jantan dan seekor betina.
Mengenali dan memahami sesuatu permasaalahan itu adalah amat penting sebelum berhukum. Ini bersesuaian dengan kaedah:
الحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَن تَصَوُّرِهِ
Maksudnya: “Menghukum sesuatu perkara adalah cabang daripada gambaran mengenainya.”
Selain dari kaedah di atas ada beberapa prinsip-prinsip yang penting dalam perkara halal dan haram berkenaan daging haiwan :
1- Pengharaman dari nas berdasarkan jenis haiwan tersebut, Firman Allah Subhanahuwata'ala:
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ ? فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ? إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah, 2:173)
2- Pengharaman dari nas berdasarkan perilaku haiwan tersebut. Hadith riwayat Ibn Abbas R.anhuma,bahawa Rasulullah Sallahialaihiwasallam bersabda:
نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ، وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ
Maksudnya: Rasulullah Sallahialaihiwasallam melarang makan semua binatang yang memiliki nab (taring yang digunakan untuk menyerang) daripada jenis binatang buas, dan burung-burung yang memiliki mikhlab (cakar). Hadis riwayat Imam Muslim (1934)
Contoh seperti harimau,burung helang, burung hering dan senagainya.
3-Penghalalan khusus dengan sebab habitat semulajadi haiwan tersebut,
Haiwan yang hidup di dalam air(حيوانات مائية), samaada di dalam sungai atau laut
Sabda Rasulullah Sallahualaiwasallam:
هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ
Maksudnya: Airnya suci, dan bangkainya suci (tidak perlu disembelih).
Riwayat Imam al-Tirmidzi (68).
Adapun buaya dan katak. Ulama Syafieyyah menghukumkan makannya adalah haram.
4-Pengharaman secara umum kerana ada kemudharatan atau haiwan yang boleh dimakan adalah binatang yang tidak memudaratkan kesihatan. Seperti haiwan yang ada racun, seumpama ular dan lipan. Firman Allah Subhanahuwata'ala:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan. (Surah al-Baqarah, 2:195)
Ini juga seiring dengan hadis Nabi Sallahualaiwasallam
َلَا ضَرَرَ وَلا ضِرَار
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain.”
(Riwayat Ibn Majah, no. 2341)
5- Pengharaman kerana dilihat buruk memakannya dalam uruf masyatakat Arab. Contohnya burung gagak dan tikus.
Secara ringkasnya dalam menetapkan hukum halal terhadap sesekor haiwan adalah seperti
berikut:
1-Tiada pengharaman yang disebut di dalam al-Quran atau hadith seperti babi.
2-Tiada pengharaman di dalam al-Quran atau hadis seperti binatang buas seumpama singa atau binatang yang memangsa dengan menyambar seperti helang.
3-Tidak bermudarat dan beracun.
4-Tidak memabukkan.
5-Bukanlah bersifat keji di sisi uruf masyarakat Arab.
Ulama telah ber'khilaf'kepada tiga pendapat dalam hal berkaitan binatang di lautan atau sungai, iaitu:
1-Mazhab Hanafi mengharuskan kesemua jenis ikan. Namun begitu , mereka mengharamkan selainnya seperti anjing laut, babi laut dan ular kerana ia menyerupai seperti haiwan daratan.
3-Mazhab Malik dan Syafie mengharuskan kesemuanya tanpa ada pengecualian. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut.” Surah al-Maidah (96)
2-Mazhab Hanbali berdasarkan pendapat yang masyhur, mereka mengharuskan kesemua haiwan laut kecuali katak, ular dan buaya. Ini kerana katak dan ular dianggap keji sedangkan buaya bersifat ganas serta mempunyai taring.
No comments:
Post a Comment