Sunday, November 24, 2019

Hukum jual beli siput babi (Achatina fulica)

Hukum jual beli siput babi (Achatina fulica)

Manusia adalah makhluk ekonomi dan pada awalnya untuk memenuhi keperluan hidup mereka,manusia bercocok tanam, berburu atau menjadi nelayan. Seiring dengan gaya hidup manusia yang senantiasa dinamis, maka timbul hasrat atau keinginan untuk memiliki dan menguasai barang yang ada di tangan orang lain. Bermula dengan cara “primitif” dan barbar kemudian berganti dengan cara muamalah yang saling menguntungkan dan tidak menimbulkan kerugian sesama mereka. Untuk inilah maka diturunkan syari’at jual beli. Dasar diperbolehkan syariat jual beli adalah dari Al-Qur'an, hadith dan ijma'. 

Diantaranya ialah firman Allah Subhanahiwata'ala, 

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

“… padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba…” (Al Baqarah: 275)

Diantara sabda Rasulullah Salallahualaihiwasallam pula adalah, 

إِنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ

Jual beli itu hanya boleh jika didasari dengan keredhaan masing-masing [Hadith riwayat Ibnu Majah, no. 2180 dan Ibnu Hibban no. 4967]

Di dalam kitab Kifayatul Akhyar, Syekh Taqiyuddin Al Husny menjelaskan pengertian jual beli menurut Islam,sebagai berikut:

 البيع في اللغة إعطاء شيء في مقابلة شيء وفي الشرع مقابلة مال بمال قابلين للتصرف بإيجاب وقبول على الوجه المأذون فيه 

Maksudnya: “Jual beli secara bahasa adalah bermakna memberikan suatu barang untuk ditukar dengan barang lain (barter). Jual beli menurut syara’ bermakna pertukaran harta dengan harta untuk keperluan tasharruf/pengelolaan yang disertai dengan lafaz ijab dan qabul menurut tata aturan yang diizinkan (sah).” (Lihat: Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhammad Al-Hushny(Lahir tahun 752 H di Hauran), Kifâyatul Akhyar fi hilli Ghâyati al-Ikhtishâr,

Berdasarkan pengertian jual beli menurut syara’ ini, maka dapatlah diketahui bahawa terdapat tiga rukun jual beli. Namun bagi bagi Imam Al-Rafi’i, beliau tidak menyebutnya sebagai rukun. Malahan beliau lebih suka menyebutnya sebagai syarat sah jual beli, kerana tanpanya maka jual beli tidak sah.
diantaranya:

1- Penjual Dan pembeli , iaitu dua orang yang saling berurusan (متعَقدّين/muta‘aqidain).

2-Barang dan Harga. 
-Barang yang ditransaksikan (مَعْقـُود عليه).
-Harga (thaman) iaitu unsur dari المَعْقـُود عليه ini terdiri ‘harga’ (ثثمن) dan “barang yang dihargai” (مثمّن) 

3-Aqad /عقد (kontrak)- سغة /lafaz yang menunjukkan pernyataan jual beli, atau dengan kata lain iaitu lafaz ijab dan lafaz qabul.  

Dalam urusan jualbeli, pada rukun kedua iaitu syarat kepada 'barang' itu amat penting diberi perhatian sebelum berlangsungnya sesuatu aqad(kontrak). Ini kerana ianya akan memberi kesan kepada sah atau batalnya sesuatu urusan jualbeli itu. Ada lima syarat bagi 'barang' jualan untuk menjadikan jualan itu sah:

1-Hendaklah barang itu suci dan bukan najis. 
(jika binatang,ianya mesti suci masa hidup. Justeru itu babi tidak boleh dijualbeli, kerana ia najis masa hidup) 
2-Hendaklah barang itu bermanfaat.
3-Hendaklah barang itu boleh diserahkan kepada pembeli.
4-Hendaklah barang itu dimiliki oleh penjual.
5-Hendaklah diketahui jenis, kadar dan sifatnya oleh pembeli dan penjual.
Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism al-Buyu` (hlm. 14-15)

"Daripada perbahasan tentang rukun jual beli di atas maka item siput babi adalah termasuk di dalam bahagian rukun kedua,  iaitu bahagian rukun 'barang' jualan". 

Hukum jual beli siput babi. 

Siput babi adalah dari kategori haiwan yang haram dimakan,عِلّة/sebab pengharamannya  kerana adalah ia haiwan darat yang tidak mengalir darahnya serta terdiri daripada haiwan الْخَبَائِثَ.
Konsep uruf menghukumkan siput babi adalah merupakan haiwan khabaith dan kotor serta tidak halal untuk dimakan. Ini kerana masyarakat majmuk telah menganggapnya sebagai haiwan yang kotor dan menjijikkan. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.
(Surah al-A’raf: 157)

Walaupun begitu tidak ada dalil halal atau haram tentang kebolehan siput babi untuk diambil munafaat dari segi pengubatan luaran atau untuk kosmetik atau dikomersialkan untuk kemaslahatan manusia selain untuk dimakan. Justeru itu,  ianya kembali kepada kaedah asal:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu adalah "harus" sehingga ada dalil yang menunjukkan kepada pengharamanya.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazair oleh al-Suyuti, 1/60)

Dalam kaedah yang lain pula, dalam penentuan hukum ianya berdasarkan illahnya, iaitu:

الحكم يدور مع عللها وجودا وعدما

Maksudnya: “Hukum itu beredar bersama dengan illahnya pada kewujudan dan ketiadaan hukum.”
Rujuk Mughni al-Muhtaj (2/260)

علة/sebab pada pengharaman siput babi adalah kerana ianya haiwan الْخَبَائِثَ، ini berdasarkan pandangan dalam mazhab Syafie dan uruf masyarakat setempat. 
Maka  علة di sini, adakah  علة الْخَبَائِثَ، adalah untuk makan bukan علة untuk penggunaan luaran seperti untuk pengubatan atau kosmetik dan sebagainya. 

(Perhatian:Akan tetapi sekiranya علة itu tiada atau hilang maka hukumnya adalah harus, iaitu jika sekiranya masyarakat sudah tidak lagi melihat ianya sebagai الْخَبَائِثَ). 

Oleh itu sekiranya siput babi boleh mendatangkan manfaat dan maslahah kepada manusia sama ada maslahah dari sudut asliyyah atau tab’iyyah dan ianya tidak pula ada unsur kemudaratan dan mafsadah maka ianya adalah mubah/ harus untuk diambil munafaat darinya selain daripada untuk dimakan. 
Ini kerana pada dasar atau asasnyanya segala ciptaan Allah Subhanahuwata'ala yang ada di langit dan di bumi adalah diciptakan untuk manusia sebagai khalifah Allah di mukabumi ini. 
Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَسَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ جَمِيعًا مِنْهُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.(Surah al-Jathisah: 13)

Juga sabda Rasullah Sallahualaihiwasallam yang diriwayatkan:

إِنَّ اللهَ فَرَضَ فَرَائضَ فَلاَ تُضَيِّعُوهَا، وَحَدَّ حُدُودًا فَلاَ تَعتَدُوهَا، وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلاَ تَنتَهِكُوهَا، وَسَكَتَ عَن أَشيَاءَ رَحْمَةً بِكُم غَيرَ نِسيَانٍ فَلاَ تَبْحَثُوا عَنهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan beberapa kewajiban, maka janganlah kamu mensia-siakannya dan Allah SWT telah membataskan beberapa batasan, maka janganlah kamu melanggarnya. Dan Dia mengharamkan pula beberapa barangan, maka janganlah membuatnya, dan Dia berdiam atas beberapa barangan sebagai tanda rahmat-Nya ke atas kamu, bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu mengungkitnya.”Hadith Riwayat al-Daraqutni.Imam Al-Nawawi berkata Hasan. 

Siput babi dalam rangka penghasilan produk kesihatan atau ubatan luaran dan kosmetik adalah termasuk masalah ijtihadiyah kerana tidak ada nas al-Quran atau nas hadis yang secara sarih dan sahih menjelaskan hukum dalam masalah ini. Hal ini masalah baru yang belum pernah terjadi pada zaman Nabi Muhammad Salallahualaihiwasallam.

Justeru itu hukum penggunaan siput babi dalam penghasilan produk ubatan luaran dan kosmetik adalah halal dan harus diambil munafaat darinya, kerana ia termasuk dalam perkara tahsiniyyat (iaitu perkara yang menjadi kesempurnaan dalam kehidupan) selagi mana ianya tidak memudaratkan dan mendatangkan mafsadah. 

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...