Hukum datuk membuat aqiqah kepada cucu
Pada dasarnya, aqiqah anak merupakan tanggungjawab bapa. Ini adalah bahagian dari kewajiban nafkah anak yang menjadi tanggung jawab orang tuanya. Ini berdasarkan sabda Nabi Sallahualaihiwasallam yang menyebutkan:
مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing”.
Riwayat Abu Daud (2842)
Namun begitu, terdapat beberapa dalil yang menunjukkan bahawa datuk boleh mengaqiqahkan cucunya. Diantara dalilnya adalah,
Hadith dari Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhuma, beliau menceritakan,
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ كَبْشًا كَبْشًا
Bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam mengaqiqahkan Hasan dan Husain, masing-masing dengan kambing jantan. (Hadith Riwayat Abu Daud 2843)
Juga sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Buraidah dari bapanya beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Sallahualaihiwasallam melakukan sembelihan akikah ke atas Hasan dan juga Husin.Hadith Riwayat Al-Nasaie (4213)
Secara zahir hadis di atas menunjukkan bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam ada melakukan akikah ke atas dua cucu baginda iaitu Al-Hasan dan Al-Husin.
Telah menyebut Imam Syams al-Din Al-Ramli Rahimahullah:
وَعَقّهُ صلى الله عليه وآله وسلم عَنِ الْحَسَنِ وَأَخِيهِ لأَنَّهُمَا كَانَا فِي نَفَقَتِهِ لإِعْسَارِ وَالِدَيْهِمَا أَوْ كَانَ بِإِذْنِ أَبِيهِمَا
Maksudnya: Rasulullah Sallahualaihiwasallam melakukan akikah terhadap Al-Hasan dan saudara kandungnya (Al-Husin) kerana keduanya berada di bawah nafkah (tanggungan) baginda Sallahualaihiwasallam. berikutan kesukaran (ketidakmampuan) kedua ibubapa mereka ataupun (akikah tersebut dilakukan) dengan keizinan bapa mereka berdua. Rujuk Nihayah al-Muhtaj, Syamsuddin al-Ramli (8/138).
Maka berdasarkan kepada riwayat di atas, adalah dibolehkan bagi seorang datuk untuk melakukan sembelihan akikah dengan kelahiran cucunya.
Maka hukum seorang datuk melakukan sembelihan akikah terhadap cucunya adalah mustahab. Perkara ini adalah dibenarkan meskipun bapa kepada bayi tersebut masih hidup. Ini kerana boleh jadi bapa kepada bayi tersebut tidak berkemampuan dari sudut kewangan ataupun boleh jadi kerana kasih sayang seorang datuk kepada cucunya.
Bahkan sekiranya ayah kepada bayi tersebut mampu untuk melakukan akikah, namun datuk kepada bayi tersebut ingin melakukan akikah kepada cucunya itu, maka perkara ini dibolehkan dengan keizinan dari ayah bayi tersebut. Sekiranya tidak ada keizinan dari bapa kepada bayi, maka akikah tersebut juga dianggap sebagai sah. Ini berdasarkan sebuah Hadith, bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam pernah menisbahkan Hasan sebagai anak beliau,
إِنَّ ابْنِي هَذَا سَيِّدٌ ، وَإِنَّ اللَّهَ يُصْلِحُ بِهِ بَيْنَ فِئَتَيْنِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ عَظِيمَتَيْنِ
Sesungguhnya puteraku ini (Hasan) adalah pemimpin. Allah Ta’ala akan mendamaikan dua kelompok besar di kalangan kaum mukminin. (Hadith Riwayat Bukhari 2704, Ahmad 20929 dan yang lainnya).
Ini adalah kerana status Baginda Sallahualaihiwasallam
sebagai orang tua didalam keluarganya, justeru itu datuk berhak mengaqiqahkan cucunya, sekalipun tidak mendapat izin dari ayahnya.
Dalam Fatwa Dar al-Ifta Mesir menyatakan,
وإن كان بغير إذنه جاز لأنه والد في الجملة؛ ولأن بينهما ميراثًا، ولو أعسر الوالد لوجبت النفقة على الجد الموسر
Jika aqiqah ini dilakukan tanpa seizin ayahnya, hukumnya boleh, kerana statusnya sama dengan ayah secara umum, dan kerana ada hubungan saling mewarisi. Jika ayah tidak mempunyai harta, datuk yang memiliki kemampuan, dia wajib memberi nafkah. (Fatwa Dar al-Ifta Mesir, http://www.dar-alifta.org/ViewResearch.aspx?ID=197)
Namunpun begitu yang lebih afdhal adalah dengan meminta izin daari bapa kepada bayi tersebut sebagai cara keluar dari khilaf.
Kesimpulannya:
Ada 3 golongan yang dituntut untuk melaksanakan akikah. Susunan adalah mengikut keutamaan;
Pertama: Ibu bapa atau penjaga yang berkewajipan menanggung nafkah bayi.
Kedua: Datuk atau Nenek. Mereka juga dituntut mengakikahkan cucu mereka, sepertimana baginda Nabi Sallahualaihiwasallam mengakikahkan cucu baginda iaitu Saiyidatina Hassan dan Hussain R.Anhuma.
Ketiga: Diri sendiri. Sekiranya seseorang individu itu sudah dewasa dan berkemampuan dari sudut hartanya, tetapi (sewaktu kecil) dia belum diakikahkan oleh Ibubapa / datuk atau penjaganya, maka dia boleh lakukan Akikah untuk dirinya sendiri.
Ada beberapa ulama menganjurkan mengakikahkan diri sendiri seperti Ibnu Sirin dan Al Hasan Al Basri. Ibnu Sirin berkata,
لو أعلم أنه لم يعق عني لعققت عن نفسي
“Seandainya aku tahu bahwa aku belum diakikahi, maka aku akan mengakikahi diriku sendiri.” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam Mushonnaf, 8: 235-236.).
Al Hasan Al Basri berkata,
إذا لم يعق عنك ، فعق عن نفسك و إن كنت رجلا
“Jika engkau belum diakikahi, maka akikahilakan dirimu sendiri jika engkau seorang laki-laki.” (Disebutkan oleh Ibnu Hazm dalam Al Muhalla, 8: 322.)
Imam Malik rahimahullah berpendapat tidak perlunya mengakikahkan diri sendiri. Imam Malik berkata, “Tidak perlu mengakikahkan diri sendiri kerana hadith yang membicarakan hal tersebut dho’if. Lihatlah saja para sahabat Rasulullah Sallahualaihiwasallam yang belum diakikahkan di masa jahiliyah, apakah mereka mengakikahkan diri mereka sendiri ketika telah masuk Islam? Jelaslah itu suatu kebatilan.” (Al Mudawanah Al Kubro karya Imam Malik dengan riwayat riwayat Sahnun dari Ibnu Qosim, 5: 243. Dinukil dari Fathul Qorib, 2: 252).
No comments:
Post a Comment