Thursday, November 28, 2019

Berguru adalah tradisi ilmu di dalam Islam dan bukan sekadar membaca semata tanpa berguru.

Berguru adalah tradisi ilmu di dalam Islam dan bukan sekadar membaca semata tanpa berguru. 

Dengan munculnya ledakan ilmu pengetahuan, secara positif kita dengan mudah boleh mengakses dan mendapatkan berbagai informasi. 
Saban tahun, ratusan buku dan jurnal diterbitkan. Ilmu pengetahuan yang baru dan laman web selalu bermunculan dan tersebar di mana-mana. Hanya dalam hitungan detik sahaja, melalui teknologi internet , kita dapat mengetahui berbagai kejadian di berbagai belahan dunia, dari ufuk timur hingga ufuk barat.

Namun di sisi lain fenomena tersebut melahirkan banyak pilihan, sehingga menimbulkan kebingungan dalam memilih dan menilai informasi yang benar, khususnya kepada para pencari ilmu yang menekuni ilmu di bidangnya, dan lebih khususnya lagi kepada pencari ilmu yang sedang menekuni ilmu agama.

Telah dimaklumi bahawa mencari ilmu itu penting. Bahkan dalam Islam, mencari ilmu yang bersumberkan dari al-Qur’an dan hadith Nabi Muhammad Sallahuallaihiwasallam amat ditekankan. Samada ada di sebut oleh al-Qur'an atau hadith atau oleh pepatah hikmah para ilmuan Islam dari dahulu hingga sekarang. Mencari ilmu bukan semata-mata dianjurkan, bahkan diwajibkan ke atas setiap laki-laki dan wanita, sebagaimana dalam hadith Rasulullah Sallahuallaihiwasallam yang berbunyi 

“طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya:“Menuntut ilmu itu wajib atas setiap Muslim” (Hadith Riwayat Ibnu Majah,224, dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu) 

Imam Mujahid mengatakan bahawa,

لاَ يَتَعَلَّمُ الْعِلْمَ مُسْتَحْىٍ وَلاَ مُسْتَكْبِرٌ

Maksudnya:“Dua orang yang tidak belajar ilmu: orang pemalu dan orang yang sombong” (Diriwayatkan oleh Bukhari secara muallaq)

Kewajipan menuntut ilmu adalah satu proses yang berlanjutan, sepanjang hidup seorang muslim di manapun dia berada. Di sinilah ketinggian Islam dalam memuliakan pencarian ilmu dan menanamkan budaya ilmu yang tinggi bagi para penuntutnya.

Walaupun begitu mencari ilmu itu ada adabnya. Meskipun mencari ilmu adalah perbuatan yang mulia, tetapi ia juga perkara yang sulit (طلب العلم من على الأمَر واَشْعابِها), demikian kata Imam al-Zarnuji dalam kitabnya   (تعليم المتعلم في طريق التعلم). 
Ini kerana seseorang yang mencari ilmu melalui sumber yang tidak mempunyai authority di dalam bidangnya misalnya, boleh mengelirukan fikirannya, kerana ilmu yang diperolehnya tidak benar. 

Justeru itu, kehadiran guru sebagai pembimbing dalam belajar menjadi sangat penting, agar pencari ilmu tidak jatuh ke dalam keraguan dan kebimbangan. Sebagaimana kata Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali  :

فَاعْلَمْ أَنَّ الْأُسْتَاذَ فَاتِحٌ وَمُسَهِّلٌ، وَالتَّحْصِيْلُ مَعَهُ أَسْهَلُ وَأَرْوَحُ

Maksudnya: Ketahuilah olehmu, bahawasanya guru itu adalah pembuka (yang tertutup) dan memudahkan (yang rumit). Mendapatkan ilmu dengan adanya bimbingan guru akan lebih mudah dan lebih menyenangkan."(Minhajul 'Abidin ilaa Janhati Rabbil 'Alamiin, halaman 8).

Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).Surah al-Taubah (122)

Al-Alusi berkata: “Hakikatnya, penggunaan 'untuk mengajar' (لِيُعْلِمُوْا) lebih sesuai berbanding 'memberi peringatan' (لِيُنذِرُوا) dan 'supaya mereka faqih' (يَتَفَقَّهُوْا) berbanding 'berjaga-jaga dari melakukan larangan Allah' (يَحْذَرُونَ). Akan tetapi, dipilih perkataan-perkataan tersebut berbanding istilah yang satu lagi sebagai isyarat bahawa matlamat guru hendaklah untuk memberi petunjuk dan peringatan. Sedangkan matlamat penuntut ilmu pula adalah untuk meraih rasa takut kerana Allah Allah Subhanahu Wa Ta'ala, bukan bersenangan dan merasa takabbur dengan ilmu. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 11/48)

Dengan memahami petunjuk dari nas Ilahi di atas, jelas menunjukkan perintah untuk menuntut ilmu melalui pembelajaran dan berguru. Inilah yang asalnya. Hal ini diperkuatkan lagi dengan hadis daripada Abi Darda’ R.A, sabda Rasulullah Sallahuallaihiwasallam

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إنَّمَا الْعِلْمُ بِالتَّعَلُّمَ وَالْفِقْه بِالتَّفَقُّهِ

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, adapun sesungguhnya ilmu itu dengan mempelajarinya dan fiqh itu dengan tafaqquh (memahaminya).”
Hadith Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (395)

Berkata Al-Hafiz Abu Bakr al-Khatib al-Baghdadi berkata: “Tidak diambil sesuatu ilmu agama melainkan daripada mulut-mulut para ulama’.” (Lihat al-Faqih wa al-Mutafaqqih, 2/192)

Inilah diantara beberapa petunjuk yang menunjukkan dituntut agar memilih guru dalam mengambil ilmu agama, dan tidak boleh sembarangan. Dan inilah yang disuruh oleh para ulama yang terdahulu. Diantaranya Muhammad bin Sirin rahimahullah, beliau mengatakan:

إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم

Maksudnya:“Ilmu ini adalah bahagian dari agama kamu, maka perhatikanlah baik-baik dari siapa kamu mengambil ilmu agama kamu” (Diriwayatkan oleh Ibnu Rajab dalam Al Ilal, 1/355).

Imam Muslim juga menuqilkan dalam muqaddimah kitab Sahih Muslim daripada Muhammad ibn Sirin bahawa dia berkata:

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِيْنٌ فَانظُرُوْا عَمَّنْ تَأْخُذُوْنَ دِيْنَكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama maka kamu lihatlah daripada siapakah kamu mengambil agama kamu.” (Lihat Muqaddimah Sahih Muslim, 1/11)

Abdullah Ibn al-Mubarak pula berkata:

الْإِسْنَادُ مِنَ الدِّيْنِ لَوْ لَا الْإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ

Maksudnya: "Isnad itu adalah sebahagian daripada agama, sekiranya tidak ada isnad maka berkatalah seseorang itu apa yang hendak dikatakannya (bergantung kepada hawa nafsunya)" (Lihat Muqaddimah Sahih Muslim, 1/12)

Dalam kitab Al-Fawaaidul Makkiyyah, halaman 25 dan kitab Taudhihul Adillah, juz III, halaman 147, terdapat syair :

مَنْ يَأْخُذِ الْعِلْمَ عَنْ شَيْخٍ مُشَافَهَةً # يَكُنْ عَنِ الزَّيْغِ وَالتَّحْرِيْفِ فِى حَرَمٍ

Maksudnya:"Barang siapa yang mengambil ilmu dari seorang guru secara langsung berhadap-hadapan # niscaya akan terjagalah dia dari kesesatan dan kekeliruan

Mempelajari ilmu agama hendaklah dilakukan melalui guru. Meskipun di saat ini banyak sekali teknologi yang semakin memudahkan seseorang untuk belajar agama, tetapi hendaknya tetap memiliki guru untuk mendapatkan pengajaran agama yang tepat.

Belajar tanpa guru dibimbangi akan terjerumus ke dalam ajaran yang salah. Mempelajari agama Islam tanpa guru boleh menyebabkan kebingungan bagi diri sendiri kerana tidak adanya keteguhan dalam belajar, juga ditakuti seseorang pelajar itu akan membuat kesimpulan sesuatu kemusykilan agama pada natijah yang salah. Terkadang mempelajari ilmu agama tanpa berguru boleh menyebabkan seseorang itu menjadi fanatik pada satu-satu pandangan yang dia gemari atau sukai sahaja tanpa membandingkan dengan pandangan-pandangan yang lain. 

Syaikh Abu Yazid al Bustamiy (wafat 261 H, seorang sufi, bermazhab Hanafi mengatakan:

من لم يكن له شيخ فشيخه الشيطان

Maksudnya:“Barangsiapa tidak memiliki guru maka gurunya adalah syaitan.” (Tafsir Ruhul Bayan, 5/264).

Perhatian: Ini bukan hadith Nabi Sallahu'allaihiwasallam sebagaimana Salah sangka bagi sesetengah orang. 

Bahaya dari belajar tanpa guru juga terdapat dalam sebuah cerita. Tuma al-Hakim adalah seorang tabib (doktor) yang menjadi simbol kebodohan pada zaman itu. Ayahnya adalah seorang doktor. Setelah orang tuanya meninggal dunia, ia mewarisi banyak buku kedoktoran milik orang tuanya tersebut. Ia pun sibuk menelaah buku-buku tersebut, dan dia membaca dibuku tersebut ada tercatat, 

الحَبَّةُ السَّوْدَاءَ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ

Maksudnya: "Habbatusauda (jintan hitam) adalah obat untuk segala penyakit".(Hadith Riwayat Bukhari)

Namun ternyata kitab yang ia baca sudah usang atau mengalami kesalahan saat ditulis, sehingga satu titik huruf ب menjadi dua titik, jadilah dia baca:

الحَيَّةُ السَّوْدَاءَ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ

Maksudnya: Adalah ular hitam adalah ubat untuk segala penyakit.

Dalam satu riwayat lain, akhirnya ia meninggal dunia kerana digigit ular hitam saat pergi mencarinya untuk ubat, sedangkan dalam riwayat yang lain disebutkan bahawa ia menyebabkan kematian ramai orang kerana memberi mereka ubat yang terbuat dari campuran ramuan ular hitam.

Contoh kisah di atas menunjukkan bahawa betapa bahayanya jika seseorang menelaah suatu ilmu tanpa seorang guru yang berpengalaman. Bukan hanya kesesatan bagi diri sendiri, tapi juga boleh menyebabkan kesesatan bagi orang lain.

Ada ungkapan dan nasihat bagus agar kita tidak menjadikan sebuah kitab sebagai satu-satunya guru sekaligus sebagai peringatan bagi orang yang belajar tanpa guru.

“من كان شيخه كتابه فخطؤه أكثر من صوابه”.

Maksudnua:“Barangsiapa  gurunya adalah sebuah kitab maka kesalahannya akan lebih banyak dari pada benarnya”.

Sesungguhnya seseorang yang telah tersesat di dalam mempelajari ilmu agama, maka tidak akan mendapatkan apa-apa munafaat apapun.

Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam bersabda,

مَنْ أَحْدَثَ فِى أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya:“Barangsiapa membuat suatu perkara baru dalam urusan kami ini (urusan agama) yang tidak ada asalnya, maka perkara tersebut tertolak” (Hadith Riwayat Bukhari,2697 dan Muslim,1718)

Kriteria Memilih Guru

Bagaimanakah kriteria seorang guru yang boleh kita ambil ilmunya? 
Ibrahim An Nakha’i rahimahullah mengatakan:

كَانُوا إِذَا أَتَوْا الرَّجُلَ لِيَأْخُذُوا عَنْهُ، نَظَرُوا إِلَى هديه، وَإِلَى سَمْتِهِ، وَ صلاته, ثم أخذوا عنه

Maksudnya:“Para salaf dahulu jika mendatangi seseorang untuk diambil ilmunya, mereka memperhatikan dulu bagaimana akidahnya, bagaimana akhlaknya, bagaimana solatnya, baru setelah itu mereka mengambil ilmu darinya” (Diriwayatkan oleh Ad Darimi dalam Sunan-nya, no.434).

Oleh kerana itu juga Imam Malik rahimahullah berkata :

لاَ يُؤْخَذُ الْعِِلْمُ عَنْ أَرْبَعَةٍ: سَفِيْهٍ مُعلِنِ السَّفَهِ , وَ صَاحِبِ هَوَى يَدْعُو إِلَيْهِ , وَ رَجُلٍ مَعْرُوْفٍ بِالْكَذِبِ فِيْ أَحاَدِيْثِ النَّاسِ وَإِنْ كَانَ لاَ يَكْذِبُ عَلَى الرَّسُوْل صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , وَ رَجُلٍ لَهُ فَضْلٌ وَ صَلاَحٌ لاَ يَعْرِفُ مَا يُحَدِّثُ بِهِ

Maksudnya:“Ilmu tidak boleh diambil dari empat orang : (1) Orang bodoh yang nyata kebodohannya, (2) Shahibu hawa’ (ahlul bid’ah) yang mengajak agar mengikuti hawa nafsunya, (3) Orang yang dikenal dustanya dalam pembicaraan-pembicaraannya dengan manusia, walaupun dia tidak pernah berdusta atas (nama) Rasulullah Sallahualaihiwasallam (4) Seorang yang mulia dan salih yang tidak mengetahui hadith yang dia sampaikan” (At Tamhid, karya Ibnu Abdil Barr, 1/66, dinukil dari Min Washayal Ulama, 19)

Salah satu dari semangat para ulama dalam menuntut ilmu tercermin dalam usaha mereka untuk belajar dengan banyak guru. Para ulama berusaha mendapatkan ilmu dan faidah dari berbagai guru, kerana setiap guru terkadang memiliki keahlian masing-masing. Hal ini juga akan membuat mereka tidak terlalu fanatik dengan guru atau mazab atau pendapat tertentu.

Kita juga tidak akan tahu bahawa pendapat itu salah atau benar apabila kita tidak membandingkan dengan yang lain atau mendapatkan faedah dari yang lain. Hammad bin Zaid berkata,

إنك لا تعرف خطأ معلمك حتى تجالس غيره

Maksudnya:“Sesungguhnya engkau tidak mengetahui kesalahan gurumu sampai engkau berguru dengan yang lain”. (Jaami’u bayaanil ‘ilmi wa fadhlihi I/414 no.607

Walaupun begitu, bagi mereka yang sudah mempelajari dan memahami ilmu alat seperti Nahu, Sorof, Balaghah, Adab, Bahasa Arab di samping pelbagai disiplin ilmu seperti ilmu fiqh, ilmu usul fiqh, ilmu qawaid fiqhiyah, ilmu aqidah atau tauhid,ilmu tasawwuf,  ilmu hadis, ilmu tafsir makanya mereka boleh membaca dan mentelaah dalam mendapatkan ilmu. Begitu juga mendapatkan ilmu melalui internet sebagai nilai tambah atau maklumat tambahan serta pengetahuan adalah dibolehkan tetapi bukan hanya semata-mata bergantung kepada internet. Hal ini kerana adakalanya maklumat yang diletakkan dalam internet kadang-kadang bercampur antara kebenaran dan kebatilan begitu juga sebahagiannya tidak mengikut disiplin ilmu. Kaedah yang masyhur menyebut:

إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ    وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ

Maksudnya: “Jika sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti”.[Dawabit al-Ma'rifah wa Usul al-Istidlal wa al-Munazarah (hlm. 368 dan 381).]

Penuntut ilmu hendaklah sentiasa bermuzakarah dengan para ulama’ dan membudayakan untuk bertanya jika terdapat keraguan dalam kefahaman sesuatu maksud. Inilah yang banyak dilakukan oleh salafus soleh agar kebenaran sentiasa bersama dengannya. 








No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...