Friday, November 29, 2019

Allah merahmati orang yang mengetahui kemampuan dirinya

Allah merahmati orang yang mengetahui kemampuan dirinya

Betapa indahnya ucapan ini:

رَحِمَ اللَّهُ امْرَأً عَرَفَ قَدْرَ نَفْسِهِ

Maksudnya: “Allah merahmati seseorang yang mengetahui kemampuan dirinya.”

Kata-kata ini disandarkan kepada Khalifah Umar bin Abd al-Aziz sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Qurthubi. Kata Imam al-Qurthubi di dalam tafsirnya:

وَبَلَغَ عُمَرَ بْنَ عَبْدِ الْعَزِيزِ أَنَّ ابْنَهُ اشْتَرَى خَاتَمًا بِأَلْفِ دِرْهَمٍ فَكَتَبَ إِلَيْهِ: إِنَّهُ بَلَغَنِي أَنَّكَ اشْتَرَيْتَ خَاتَمًا بِأَلْفِ دِرْهَمٍ، فَبِعْهُ وَأَطْعِمْ مِنْهُ أَلْفَ جَائِعٍ، وَاشْتَرِ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ بِدِرْهَمٍ، وَاكْتُبْ عَلَيْهِ رَحِمَ اللَّهُ امْرَأً عَرَفَ قَدْرَ نَفْسِهِ

Maksudnya: “Telah sampai kepada Umar bin Abd al-Aziz bahawa anaknya telah membeli cincin berharga seribu dirham, lalu beliau menulis kepada anaknya: Telah sampai kepadaku satu berita bahawa kamu telah membeli cincin dengan harga seribu dirham. Juallah cincin tersebut dan berilah makan kepada seribu orang yang kelaparan. Kemudian belilah cincin daripada besi dengan harga sedirham dan tulislah di atasnya “Allah merahmati seseorang yang mengetahui kemampuan dirinya.”” [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 10/89]

Maknanya sahih walaupun ianya bukan dari Nabi Sallahualaihiwasallam. Apabila kita renungi, sungguh ianya satu ucapan yang berhak ditulis dengan tinta emas,kerana seseorang itu apabila mengetahui kadar kemampuan dirinya sebagai seorang manusia yang tahu bahawa dirinya adalah manusia yang diciptakan, dirinya adalah hamba Allah, dirinya adalah manusia yang lemah yang memerlukan kepada kurniaan Allah Subhanahuwata'ala, memerlukan rezeki Allah, memerlukan rahmat dan kasih sayang-Nya. Senantiasa menggantungkan pengharapan kepada-Nya. Itulah ketika seorang manusia sedar bahawa dirinya adalah hamba yang lemah. Allah Subhanahuwata'alaberfirman:

وَخُلِقَ الإِنسَانُ ضَعِيفاً

Maksudnya:“Kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah.” (Surah An-Nisa’ ,28)

Maka ketika dia tahu siapa dirinya, dia akan tahu apa yang harus dia lakukan kepada Rabbnya. 
Kalau bukan kerana Allah yang memberikan kepadanya berbagai macam kenikmatan, kalau bukan kerana Allah yang memberikan kekuatan dan hidayah kepadanya, dia pasti akan tersesat.
Justeru itu,  dia akan lebih tunduk kepada Allah Subhanahuwata'ala dengan sentiasa melaksanakan amal ibadah,senantiasa berdoa kepada-Nya serta sentiasa mengharapkan daripada Allah agar dia tidak disia-siakan walaupun sesaat.Seorang hamba yang tahu siapa dirinya, bahawasannya dia makhluk yang lemah, dia pasti akan berusaha untuk beribadah hanya kepada penciptanya saja. Allah Subhanahuwata'ala berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿٢١

“Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa,” (Surah Al-Baqarah,21)

Jika seseorang itu mengetahui kadar kemampuan dirinya apabila berhadapan dengan manusia, maka ia akan menyelamatkannya daripada bersikap sombong, angkuh, takabbur dan sebagainya. Kadang-kadang berlaku kepada para penuntut ilmu apabila mereka diberikan sedikit ilmu pengetahuan, mereka mula merasakan bahawa hanya mereka sahajalah yang memahami dan mengetahui perkara tersebut. Hakikatnya, ini merupakan ujian daripada Allah Subhanahuwata'ala kepada para penuntut ilmu agar sentiasa menjaga hati dan sedar bahawa apa yang diberikan oleh Allah Subhanahuwata'ala hanya sedikit jika dibandingkan dengan ilmu Allah Subhanahuwata'ala sebagaiman yang terkandung di dalam al-Quran:

Firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلً 

(Surah al-Isra’: 85)

Maksudnya: “Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja

Seorang yang berilmu harus mengembangkan amanah menyampaikan ilmu, maka dia akan berusaha menyampaikan dengan penuh amanah. Hal itu semua kerana dia tahu bahawa itu semua adalah amanah dari Allah Subhanahuwata'ala. 
Firman Allah Subhanahuwata'ala, 

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الأمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا (٥٨

Aksudnya:Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat.Al-Nisa, 58

Demikian pula setiap orang yang tahu dengan keadaan dirinya yang sebenar dan boleh mengukur kemampuan dirinya, maka ia pun akan menjadi hamba yang tidak pernah zalim pada dirinya sendiri dan orang lain. Dia akan letakan dan tempatkan dirinya pada tempatnya yang telah Allah berikan kepadanya. 

Sebaliknya seseorang yang lupa siapa dirinya adalah kerana dia lupa siapa penciptanya. Allah berfirman:

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ نَسُوا اللَّـهَ فَأَنسَاهُمْ أَنفُسَهُمْ ۚ أُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿١٩﴾

Maksudnya:“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Surah Al-Hashr  :19)

Mereka telah lupa kepada Allah, sebagai pencipta yang telah memberikan rezeki kepada mereka. Akan tetapi yang sebenarnya mereka telah lupa kepada diri mereka sendiri. Lantas mereka akan berbuat maksiat dan keburukan di atas muka bumi. Padahal kemaksiatan dan keburukan itu akan membinasakan diri mereka sendiri di dunia dan di akhirat. Sehingga mereka tidak sedar bahawa keburukan yang mereka lakukan itu ternyata merugikan diri mereka sendiri. 
Padahal Allah Ta’ala berfirman,

أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّهِ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ

“Maka apakah mereka merasa aman dari azab Allah (yang tidak terduga-duga)? Tiada yang merasa aman dari azab Allah kecuali orang-orang yang merugi.” (Surah. Al-A’raf,99)



No comments:

Post a Comment

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan.

Tetap istiqomah walaupun di luar bulan Ramadhan. Istiqomah dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan se...