Monday, November 25, 2019

Bahagia yang didambakan

Bahagia yang didambakan. 

Ada sebuah syair yang berbunyi:

وَلَستُ أَرى السَعادَةَ جَمعَ مالٍ          وَلَكِنَّ التَقيَّ هُوَ السَعيدُ

“Dan aku tidak melihat kebagiaan hakiki dengan himpunan harta. 
Tetapi orang yang bertakwa itulah sebenarnya orang bahagia. 

Erti kebahagiaan/sa’adah berdasarkan sebuah hadis daripada Sa’ad bin Abi Waqqas R.A, Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:

أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَب الْهَنِيءُ ، وَأَرْبَعٌ مِنَ الشَّقَاوَةِ : الْجَارُ السُّوءُ ، وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ ، وَالْمَسْكَنُ الضِّيقُ ، وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ

Maksudnya: Empat  tanda kebahagiaan; Isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan yang elok. Manakala empat tanda kedukaan adalah jiran yang buruk, isteri yang teruk, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk.”Hadith Riwayat Imam Ahmad (1448) dan Ibnu Hibban (4032)

Insan yang paling bahagia, yang paling mulia,yang paling agung dan yang merupakan seorang tokoh pembaharuan yang agung, Rasulullah Sallahualaihiwasallam ternyata hidup dalam kefakiran. Baginda Sallahualaihiwasallam sering membolak-balikkan tubuhnya di tempat tidur lantaran kelaparan disebabkan tidak ada sebiji kurma pun yang boleh buat menahan kelaparannya. Namunpun demikian, Baginda hidup bahagia, tidak mempunyai banyak tekanan dan jiwanya damai dan tiada yang mengetahuinya selain Allah Subhanahuwata'ala.

Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahuwata'ala di dalam Firman-Nya:

وَوَضَعْنَا عَنكَ وِزْرَكَ ﴿٢﴾ الَّذِي أَنقَضَ ظَهْرَكَ

Maksudnya: Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam) - (2) Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)( 3.)Surah al-Syarh (2-3)

Allah yang melepaskan bebanan berat Nabi Sallahualaihiwasallam dalam mengembangkan risalah sehingga Beliau Sallahualaihiwasallam
dapat menyampaikannya dengan baik dan mudah serta Beliau Sallahualaihiwasallam menjadi redha dan diliputi ketenangan, walaupun Beliau Sallahualaihiwasallam diterima dengan penghinaan oleh orang yang didakwahkan.Tafsir al-Maraghi, 15/7630)

Firman Allah Subhanahuwata'ala lagi:

وَكَانَ فَضْلُ اللَّـهِ عَلَيْكَ عَظِيمًا

Maksudnya: Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepada mu amatlah besar.
Surah al-Nisa’ (113)

Itulah kurnian Allah sebagai nikmat yang telah memungut umat manusia dari kaki bukit Jahiliyyah untuk membawa mereka naik ke kemuncaknya melalui sistem hidup Rabbani yang unik dan mengkagumkan. Itulah nikmat yang tidak diketahui nilainya melainkan oleh orang-orang yang telah mengenal hakikat Islam dan hakikat Jahiliyyah. Sama ada jahiliyyah masa silam atau jahiliyyah masa kini – dan mengecap Islam dan mengecapi Jahiliyyah. (Lihat Fi Zilal al-Quran 3/580) 

Firman Allah Subhanahuwata'ala lagi:

اللَّـهُ أَعْلَمُ حَيْثُ يَجْعَلُ رِسَالَتَهُ

Maksudnya: Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Ia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikanNya itu.Surah al-An’am (124)

Allah Maha Mengetahui siapakah yang paling layak untuk diberi risalah kerasulan dan melaksanakannya mengikut pilihan-Nya dan dia adalah Muhammad Sallahualaihiwasallam, bukan pemimpin atau pembesar Mekah seperti Abu Jahal, al-Walid bin al-Mughirah. (Lihat Sofwah al-Tafasir)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam  bersabda:

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ، أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ

Maksudnya: “Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau musafir.”Hadith Riwayat al-Bukhari (6416), Ibn Majah (4114) dan al-Tirmizi (2333)

Insan yang mengetahui hakikat kehidupan akan menjadikan dunia ini sebagai tempat persinggahan sementara sebelum tiba di destinasi abadi. Mereka menjadikan dunia ini hanya sebagai wasilah (penghubung) dan bukannya ghayah (tujuan utama). Dengan menjadikan dunia ini sebagai wasilah, maka dunia ini akan berada di dalam genggamannya dan bukan di dalam hatinya. Kehidupan ini juga umpama orang yang asing, jauh dari tempat asalnya. Dia akan sentiasa merindui tempat asalnya iaitu di sisi Allah Subhanahuwata'ala. Maka, dia tidak akan selesa dan tenteram dalam kehidupan yang sedia ada ini meskipun dikurniakan dengan usia yang panjang, harta kekayaan dan anak-pinak kerana dia tahu bahawa dunia ini tidak akan kekal selama-lamanya.

Kebahagiaan menurut pandangan para sahabat pula adalah sesuatu yang tidak banyak menyibukkan, kehidupan yang sangat sederhana dan rendah daya belinya.

Menurut Al-Farabi pula kebahagiaan yang sebenar adalah apabila manusia sampai pada tahap kesempurnaan yang ada di akhirat. Menurut  Al-Farabi juga, kebahagiaan merupakan suatu yang dirindui oleh setiap orang kerana ia merupakan kebaikan paling besar di  antara segala kebaikan yang ada. (Lihat: Tanbih ‘ala Sabil al-Sa‘adah, hlm. 2)

Kebahagiaan itu adalah keriangan hati kerana kebenaran yang dijalaninya, juga adalah kelapangan dada kerana prinsip yang diyakininya dan adalah ketenangan hati kerana kebaikan yang dimilikinya.Sebagaimana firman Allah Subhanahuwata'ala:

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ لَا يُصِيبُهُمْ ظَمَأٌ وَلَا نَصَبٌ وَلَا مَخْمَصَةٌ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَلَا يَطَئُونَ مَوْطِئًا يَغِيظُ الْكُفَّارَ وَلَا يَنَالُونَ مِنْ عَدُوٍّ نَّيْلًا إِلَّا كُتِبَ لَهُم بِهِ عَمَلٌ صَالِحٌ

Maksudnya: Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh - melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh. Al-Taubah:120

Kebiasaannya pada tanggapan manusia, apabila mereka memiliki banyak harta kemewahan dalam rumah, berlimpah segala sesuatunya serta dipenuhi semua bentuk kemudahan dan hal-hal yang disukai dan yang diminati, mereka akan bahagia, senang, gembira dan hidup kaya. Akan tetapi, semua itu justeru menjadi sebab jiwa resah, tertekan dan hanya menambah masalah sahaja. Kerana bagaimanapun segala sesuatu itu pasti membawa keresahan, kesusahan dan dari harga yang sangat mahal mesti dibayar untuk mendapatkannya.Sebagaimana Firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِّنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ

Maksudnya: Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal. Taha:131

Justeru itu bagaimanakah manusia hendak menggapai kebahagiaan? 

Jalan keluar bagi orang yang ingin bahagia ialah hendaklah dia selalu melakukan "kebaikan dan menjauhi segala keburukan" agar dirinya diliputi oleh rasa aman. Firman Allah Subhanahuwata'ala:

الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُم بِظُلْمٍ أُولَـٰئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ وَهُم مُّهْتَدُونَ

Maksudnya: Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.Surah al-An’am (82)
Maksud Al-zulmu di sini adalah sesuatu yang mencampuri keimanan seseorang kepada Allah Subhanahuwata'ala sehingga keimanan itu berkurangan, iaitu syirik di dalam aqidah atau ibadah. Umpamanya menjadikan penolong selain Allah Subhanahuwata'ala, yang bersama-sama dengan-Nya atau tanpa Dia – ia dimohon pertolongan selain dari Allah. Lihat Tafsir al-Maraghi,

Dslam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Nawwas bin Sam’an R.A, Nabi Sallahualaihiwasallam pernah bersabda:

الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالإِثْمُ مَا حَاكَ فِى صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ

Maksudnya: “Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu. (Ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.”Hadith Riwayat Muslim (2553)

Dalam sebuah hadis lain, Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda:

الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ

Maksudnya: Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu.Hadith Riwayat Ahmad (18006)

Diantara kebaikan yang di ajar oleh Rasulullah Sallahualaihiwasallam adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam R.A, Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda:

الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى

Maksudnya: Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.Riwayat al-Bukhari (1427)

Al-Mubarakfuri berkata: “Tangan yang di atas adalah tangan yang memberi atau berinfaq. Sedangkan tangan yang dibawah ialah yang meminta.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/289)

Diantara kebaikan-kebaikan yang pasti akan membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat yang teah disebut oleh Allah Subhanahuwata'ala adalah:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ ﴿٣﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ ﴿٤﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ﴿٥﴾ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ﴿٦﴾ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ ﴿٧﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ ﴿٨﴾ وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ ﴿٩﴾ أُولَـٰئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ ﴿١٠﴾ الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya; (2) Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; (3) Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); (4) Dan mereka yang menjaga kehormatannya, - (5) Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: - (6) Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; (7) Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; (8) Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; (9) Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi - (10) Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya. Surah al-Mukminun (1-11)

Ada sahabat bertanya kepada Aisyah R.Anha: “Bagaimanakah akhlak Rasulullah? Aisyah R.Anha menjawab: “Akhlak baginda adalah al-Quran.” Kemudian Aisyah R.Anha membaca ayat: “قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ” hinggalah ke ayat “وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ”. Aisyah menambah, “Demikianlah akhlak Rasulullah SAW.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4613)

Allah Subhanahuwata'ala juga mengajarkan doa kepada kita agar mendambakan kedua-dua kebahagiaan dunia dan akhirat. Sesungguhnya benarlah firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".
Surah al-Baqarah (201

Dengan menelurusi jalan kebenaran dan mencintai segala kebaikan yang dicintai oleh Allah, maka seketika kemudian akan lenyaplah kesusahan dan kesulitan serta kesedihan. Begitu juga lenyaplah rasa besar diri, sombong dan angkuh dari dalam hati. Sebagaimana Firman Allah Subhanahuwata'ala:

أَوَمَن كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِّنْهَا

Maksudnya: Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya?Surah al-An’am (122)

Jelasnya, orang yang berbuat baik akan selalu tenang; sedangkan orang yang berdosa selalu dirundung oleh rasa curiga terhadap semua peristiwa, semua aktiviti dan sikap yang terjadi.
Seperti Firman-Nya:

يَحْسَبُونَ كُلَّ صَيْحَةٍ عَلَيْهِمْ ۚ

Maksudnya: Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka.Surah al-Munafiqun(4)

Penyebabnya tiada lain, iaitu kerana mereka telah melakukan kesalahan. Sesungguhnya orang yang melakukan kesalahan pasti merasa khuatir, curiga, goyah dan selalu dirundung oleh rasa takut.

'Tadabburilah' Firman Allah Subhanahuwata'ala yang berikut:

فَمَن يُرِدِ اللَّـهُ أَن يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ

Maksudnya: Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam.Surah al-An’am (125)

Sesungguhnya:

"Tidak ada kesusahan bagi orang yang tidak berdosa, tidak ada penderitaan bagi orang yang tidak derhaka, dan tidak ada kesedihan bagi orang yang tidak melakukan kejahatan. Adapun orang yang berpetang hari dalam kemurkaan Allah dan berpagi hari dalam keadaan derhaka terhadap Allah, maka dia adalah orang yang selalu ditimpa kesusahan, kesedihan dan penderitaan".

Justeru itu, untuk mencari kebahagiaan yang hakiki hampirkanlah diri dan jiwa kepada Allah dengan hidup yang penuh dengan kebenaran serta mencintai segala kebaikan dari sisi Allah, kerana alam ini serta segala isi kandungannya adalah milik Allah dan Allah jualah yang mengatur segala aturan alam ini. Firman Allah Subhanahuwata'ala:

إِنَّا نَحْنُ نَرِثُ الْأَرْضَ وَمَنْ عَلَيْهَا وَإِلَيْنَا يُرْجَعُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.Surah Maryam (40)

Kebahagiaan yang hakiki ini pernah dirasai sendiri oleh generasi awal, iaitu generasi Para Sahabat. Mereka dididik secara langsung oleh Rasulullah Sallahualaihiwasallam, 
Dalam satu kisah:
Dari kejauhan kelihatan anak Sa’ad bin Abi Waqqas yang bernama Umar menunggang kuda dan ia pun mendekati ayahnya yang sedang mendirikan khemah di tengah-tengah padang pasir. Lalu si anak itu pun berkata kepada bapanya: “Wahai ayah! orang ramai merebut kekuasaaan, sedangkan ayahanda menggembala ternakan kambing.” Sa’ad menjawab: “Aku berlindung kepada Allah dari keburukan yang kamu bawa. Sesungguhnya aku lebih berhak memegang jawatan khalifah daripada aku hidup dengan selendang yang tergantung di tubuh ini. Namun aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعَبْدَ التَّقِىَّ الْغَنِىَّ الْخَفِىَّ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mencintai seorang hamba yang kaya lagi bertaqwa, yang tidak menonjolkan diri.Hadith Riwayat Muslim (7621)

 “حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ” 

(Cukuplah Allah menjadi pelindung kami, dan Dia adalah sebaik-baik penolong).

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...