Thursday, October 31, 2019

Rasuah (الرِّشْوَةُ)

Rasuah  (الرِّشْوَةُ)

Istilah rasuah telah digunapakai dalam bahasa Melayu yang bermaksud pemberian untuk menumbuk rusuk iaitu menyogok, menyuap. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat). Yang membawa maksud penyalahgunaan kepercayaan untuk kepentingan peribadi.

Perkataan rasuah berasal daripada bahasa Arab al-risywah (الرِّشْوَةُ). Al-Fayyumi berkata: al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau orang lain, agar hakim itu memenangkannya, atau agar hakim itu memutuskan hukum sesuai dengan apa yang diinginkannya. (Lihat al-Misbah al-Munir fi Gharib al-Syarh al-Kabir, 3/411)

Dari segi istilah, al-risywah merupakan sesuatu yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 22/219)

Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut: "Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya." (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 627)

Ibn al-Athir pula menyebut: al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang menghubungkan kepada keperluan/hajat dengan cara pujukan. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athr, 2/226)

Larangan dan pengharaman rasuah disebut dengan jelas sama ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Dalil larangan rasuah di dalam al-Quran adalah terbit dari celaan  Allah Subhanahuwataala terhadap kaum Yahudi yang biasa mengambil rasuah. Allah Subhanahuwataala berfirman:

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ

Maksudnya: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya) Surah al-Maidah (42)

Imam al-Baghawi menjelaskan ayat ini dengan mengatakan: “(Ayat) ini turun berkenaan para hakim Yahudi, Ka’ab al-Asyraf dan yang sepertinya. Mereka menerima rasuah dan memutuskan hukum untuk memenangkan orang yang merasuah mereka.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 3/58)

Begitu juga dengan firman Allah Subhanahuwataala:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”(Surah al-Baqarah: 188)

Al-Sobuni berkata: “Janganlah sebahagian kamu memakan sebahagian harta yang lain dengan cara yang tidak dihalalkan oleh Allah seperti kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/112)

Dalil dari al-Sunnah pula adalalah hadis Yang driwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:

لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Maksudnya: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Riwayat Ahmad (6984) dan Ibnu Majah (2313)

Dalam hadis lain, juga yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الرَّاشِىَ وَالْمُرْتَشِىَ

Maksudnya: “Rasulullah Sallahualaihiwasallam melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”
Riwayat Ahmad (6532, 6778, 6830), Abu Daud (3582) dan al-Tirmizi (1337)

Sebarang bentuk rasuah akan menatijahkan kesan dan kesudahan yang amat buruk. Diantara kesannya ialah:

- Akan boleh tergadainya sesebuah negara kepada kuasa luar. 
- Menghancurkan keadilan dalam sesebuah negara.
- Muncul orang jahat yang bertambah jahat.
- Akan hilangnya sifat jati diri dan integriti. 
- Muncul masyarakat yang pentingkan diri sendiri.
- Menatijahkan hasil kerja yang buruk.
- Pengurusan pentadbiran menjadi lambat dan kucar-kacir.
- Menyebabkan pembahagian kekayaan yang tidak seimbang.
-Melahirkan masyarakat yang tiada kemahiran.
-Kos pengurusan akan meningkat.

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...