Perpaduan Ummah: Umat Islam adalah umat yang satu.
Realiti sebenar perpaduan ummah pada hari ini sangat menyedihkan, mengecewakan dan memalukan. Melihat kepada senario perpecahan ummah di seluruh dunia berada pada tahap yang sangat kritikal dan kronik sehingga menjadi virus dalam masyarakat. Oleh sebab itulah, umat Islam dipandang hina, rendah dan mundur.
Justeru itu maka menjadi kewajipan bagi umat Islam mencari jalan penyelesaian yang paling berkesan serta yang sewajarnya. Dan juga mengambil kecaknaan dan keperihatinan bersungguh-sungguh agar sifat berpecah belah yang menjadi virus dalam masyarakat dapat dihapuskan dengan digantikan sebuah masyarakat yang mempunyai kasih sayang dan membina tamadun baru melayakkan untuk meraih Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur. Tindakan ini hendaklah diambil dengan sesegera mungkin supaya umat Islam dan agama Islam kembali cemerlang dan berada pada kemuncak keagungannya.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam:
َاْلإِسْلاَمُ يَعْلُوْ وَلاَ يُعْلَى عليه.
“Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengalahkan ketinggiannya.” Riwayat Ad-Daruquthni (III/ 181 no. 3564)
Umat Islam juga mengharapkan perpaduan yang dibina adalah positif bersifat membina dan menapak ke hadapan untuk menuju ke kegemilangan, bukan perpaduan yang bersifat negatif serta hipokrit. Apabila telah wujud perpaduan yang positif, maka ianya menjadi kewajipan semua anggota masyarakat untuk sama-sama memelihara dan mempertahankannya.
Secara asasnya umat Islam disifatkan sebagai sebuah umat yang satu. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwataala:
إِنَّ هَٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ
Maksudnya: Sesungguhnya ini adalah umat kamu umat yang satu dan Aku adalah tuhan kamu maka beribadahlah (kepada-Ku).Surah Al-Anbiya’ (92)
Ibn ‘Abbas R.Anhuma dan anak-anak muridnya seperti Mujahid dan Sa’id bin Jubair dalam menafsirkan ayat ini mereka berkata: ‘’Agama kamu adalah agama yang satu’’.
Imam Hasan al-Basri pula berkata: Maksudnya adalah “Sunnah kamu adalah sunnah yang satu’’. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (5/373).
Terdapat sebuah hadis yang menggambarkan keutuhan dan kekukuhan persaudaraan sesama umat Islam yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Maksudnya: Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam.
Riwayat al-Bukhari (5665), Muslim (2586), al-Tirmizi(1847), al-Nasa'ie (2525) dan Imam Ahmad (19188)
Imam Ibn Hajar Al-Asqalani memetik kata-kata Imam Ibn Abi Jamrah ketika beliau mengulas hadis ini, katanya: ‘’Secara zahirnya sifat saling merahmati, saling berkasih sayang dan saling membantu ini meskipun mempunyai makna yang hampir sama, akan tetapi terdapat perbezaan tertentu padanya. Adapun saling merahmati, yang dimaksudkan dengannya adalah: Saling merahmati sesama mereka dengan ukhuwwah (persaudaraan) keimanan bukan dengan sebab selainnya. Adapun saling berkasih sayang pula membawa maksud: Saling berhubung yang boleh mendatangkan kasih sayang seperti saling menziarahi dan memberi hadiah. Adapun yang dimaksudkan dengan al-ta’athuf ia adalah mereka saling membantu antara satu sama lain.
Beliau berkata lagi: Nabi Sallahualaihiwasallam memberikan perumpamaan iman dengan tubuh badan dan ahli iman diumpamakan dengan anggota tubuh. Ini kerana iman adalah asal dan cabangnya adalah taklif-taklif(tanggungjawab).
Sekiranya seseorang itu mengabaikan taklif maka yang demikian itu memberi kerosakan kepada asal (keimanan). Demikian jugalah jasad adalah asal seperti sebatang pokok dan anggota-anggota badan seperti dahan-dahan pokok. Apabila satu anggota terasa sakit maka sakitlah jua keseluruhan badan. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar Al-Asqalani (10/439).
Larangan dari berpecah belah:
Demikian juga terdapat banyak larangan ke atas sikap berpecah belah sama ada dari al-Quran mahupun al-Sunnah. Ini seperti firman Allah Subhanahuwata'ala:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
Maksudnya: Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah. Surah Ali Imraan (103)
Imam al-Qurtubi Rahimahullah menyebut dalam tafsirnya : ‘’Iaitu janganlah kamu berpecah belah di dalam agama kamu seperti berpecahnya golongan Yahudi dan Nasrani dalam agama mereka’’. Kemudian beliau berkata lagi: ‘’Boleh juga ia membawa erti janganlah kamu berpecah belah dengan mengikuti hawa nafsu dan kehendak-kehendak yang berbeza, dan jadilah bersaudara di dalam agama Allah. Maka yang demikian itu akan menghalang kamu dari berpecah belah dan saling bermusuhan’’. Rujuk Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi (4/151).
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Arfajah bin Shuraih bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:
فَإِنَّ يَدَ اللَّهِ عَلَى الْجَمَاعَةِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ يَرْكُضُ
Maksudnya: Sesungguhnya tangan Allah bersama dengan al-jama’ah. Dan sesungguhnya syaithan itu akan berlari bersama dengan mereka yang memisahkan diri dari jamaah (kelompok umat Islam).Riwayat Al-Nasa’ie (4020)
Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab ke atas umat Islam untuk beriltizam (berpegang teguh) dengan agama mereka, untuk bersatu di bawah satu kalimah dan juga merapatkan saf di bawah lembayung Islam yang menghilangkan sebarang bentuk pemisah sesama manusia. Serta (agama) mengabaikan semua jenis pembahagian dan pembezaan yang terbina atas asas warna kulit, perbezaan bahasa, mahupun keturunan.
Umat Islam hendaklah mengembalikan semangat ijtima’ (kesatuan dan kesepakatan) sesama kebanyakan umat Islam serta bertindak menghilangkan sebarang unsur-unsur negatif dari sudut perpecahan dan juga perbalahan.
Salah satu pendidikan yang penting bagi umat Islam adalah mempelajari fiqh al-ikhtilaf (perbezaan pendapat) yang sahih serta menjauhkan umat dari bahaya kelompok-kelompok yang memecahbelahkan kesatuan.
No comments:
Post a Comment