Kematian dan adab apabila mendengar kematian
Firman Allah Subhanahuwata'ala
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا
Maksudnya: “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya.”Surah al-Mulk : 2
Al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran berkata bahawa perkataan “kematian” didahulukan daripada perkataan “kehidupan” kerana kematian itu lebih dekat.
Mungkin boleh juga difahami kerana asal manusia daripada tiada kemudian diwujudkan. Mungkin juga boleh difahami bahawa matlamat sebenar manusia bukan hanya dibataskan di dunia sehaja tetapi ia akan di soal di hadapan Allah pada hari harta benda dan anak pinak tidak boleh memberi manfaat kecuali menghadap Allah dengan hati yang sejahtera.
Firman Allah ‘azza wa jalla,
يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٞ وَلَا بَنُونَ ٨٨ إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٖ سَلِيمٖ ٨٩
“Pada hari yang harta dan anak-anak tidak lagi berguna, kecuali orang yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera.” (asy-Syu’ara: 88—89)
Dan juga Firman Allah ‘azza wa jalla,
وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَادَىٰ كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَتَرَكْتُم مَّا خَوَّلْنَاكُمْ وَرَاءَ ظُهُورِكُمْ ۖ وَمَا نَرَىٰ مَعَكُمْ شُفَعَاءَكُمُ الَّذِينَ زَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ فِيكُمْ شُرَكَاءُ ۚ لَقَد تَّقَطَّعَ بَيْنَكُمْ وَضَلَّ عَنكُم مَّا كُنتُمْ تَزْعُمُونَ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).”Surah al-An’am : 94
Cara dan Adab Islam menerima Kematian
Dintaranya adalah:
Istirja’ ( Mengucapkan إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ) apabila menerima berita kematian. Firman Allah ‘azza wa jalla, di dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 dan 156:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ . الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar – (Iatu) orang-orang yang apabila mereka di timpa oleh sesuatu musibah (kesusahan) mereka mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.
Namun begitu boleh juga memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah) kemudian istirja’. Ini berdasarkan hadith riwayat Ahmad, At-Tirmizi, Ibnu Hibban di mana Allah bertanya kepada Malaikat (dalam riwayat Ahmad: Malaikat Maut) yang mengambil nyawa anak kesayangan hambaNya:
مَاذَا قَالَ عَبْدِي فَيَقُوْلُوْنَ حَمِدَكَ وَاسْتَرْجَعَ
Maksudnya: Apa yang disebut oleh hambaKu. Maka jawab para Malaikat: Ia memujiMu dan istirja’.
Bersabar dalam menerima berita. Ini kerana menurut dalil ayat di atas, diberi pahala yang besar kepada orang yang bersabar.
Berdoa seperti yang diajar oleh Baginda Sallahualaihiwasallam,
اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا
Maksudnya: “Ya Allah, kurniakanlah aku ganjaran atas musibahku dan gantikanlah yang lebih baik daripadanya.” Riwayat Muslim (918)
No comments:
Post a Comment