Ramadhan Bulan Al-Quran
Memperbanyakkan Membaca Al-Quran di dalam bulan
Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa. Di dalamnya diturunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk buat sekalian manusia. Firman Allah ﷻ:
شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ
Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (Al-Baqarah: 185)
Di dalam sebuah hadith riwayat Abu Hurairah RA menyebutkan:
أن جبريل كان يعْرضُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ كُلَّ عَامٍ مَرَّةً ، فَعرضَ عَلَيْهِ مَرَّتَيْنِ فِي الْعَامِ الَّذِي قُبِضَ فيه
Maksudnya: Sesungguhnya Jibril akan mengulang bacaan Al-Quran bersama Nabi ﷺ pada setiap tahun sekali dan ketika tahun kewafatan Nabi ﷺ, Jibril mengulangnya sebanyak dua kali. Riwayat Al-Bukhari (4998)
Mari kita lihat keadaan salaf dalam mengagungkan Al-Quran ketika bulan Ramadhan, semoga dengannya dapat membangkitkan semangat kita dalam beramal soleh:
1-Ibrahim al-Nakha’i Rahimahullah meriwayatkan bahawa al-Aswad mengkhatamkan bacaan Al-Quran dalam bulan Ramadhan setiap dua malam sekali. [Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 4/51]
2-Qatadah Rahimahullah mengkhatamkan Al-Quran pada setiap tujuh hari sekali. Ketika tibanya Ramadhan, beliau mengkhatamkan Al-Quran pada setiap 3 hari sekali. Manakala ketika tibanya sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan, beliau mengkhatamkan Al-Quran sekali pada setiap hari. [Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 5/276]
3-Mujahid Rahimahullah bahawasanya beliau mengkhatamkan Al-Quran pada bulan Ramadhan sebanyak sekali pada setiap malam. [Lihat Al-Tibyan li al-Nawawi, hlm. 74]
4-Telah berkata al-Rabe’ bin Sulaiman Rahimahullah bahawa al-Imam al-Syafi’e Rahimahullah mengkhatamkan Al-Quran sebanyak enam puluh kali pada bulan Ramadhan di luar bacaan solat. [Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 10/36]
5-Al-Imam Malik Rahimahullah apabila tibanya bulan Ramadhan, beliau meninggalkan majlis pembacaan hadith dan beralih kepada Al-Quran.
6-Al-Imam Al-Zuhri Rahimahullah apabila tiba bulan Ramadhan mengatakan: “Bulan ini adalah bulan tilawah (membaca Al-Quran) dan memberi orang makan”.
Begitulah keadaannya para salaf apabila tibanya bulan Ramadhan, mereka mengagungkannya dengan membaca serta mengkhatamkannya.
Ahli Jamaah membaca Al-Quran sementara menunggu azan/Qamat Subuh👇
No comments:
Post a Comment