Bersedekah & Memberi Makan di dalam bulan Ramadhan
Dalam sebuah hadith riwayat al-Imam al-Bukhari Rahimahullah, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Maksudnya: Adalah Nabi ﷺ seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Adalah Jibril AS bertemu dengan Nabi ﷺ pada setiap malam pada bulan Ramadhan untuk mengulangkaji Al-Quran dan kemudiannya Rasulullah ﷺ menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin yang pantas. Riwayat Al-Bukhari (3554)
Banyaknya Nabi ﷺ bersedekah pada bulan Ramadhan menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan ini terdapat kelebihannya yang tersendiri. Dalam sebuah hadith riwayat Anas RA menyebutkan:
سُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ فَقَالَ: شَعْبَانُ لِتَعْظِيمِ رَمَضَانَ . قِيلَ فَأَىُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ: صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ
Maksudnya: Ditanyakan Nabi ﷺ puasa apakah yang terbaik selepas Ramadhan?. Jawab Nabi ﷺ: Puasa di bulan Sya’ban untuk mengagungkan Ramadhan. Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdhal. Jawab Nabi ﷺ: Sedekah di bulan Ramadhan.
Riwayat Al-Tirmizi (663) dan al-Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini gharib.
Begitu juga dengan memberi makan dengan menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang lain. Ianya juga adalah dari jenis sedekah bahkan mempunyai ganjarannya yang tersendiri. Ini seperti mana yang telah diriwayatkan dalam sebuah hadith Rasulullah ﷺ yang mana Baginda telah bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: Siapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.
Riwayat Al-Tirmizi (807) dan al-Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini hasan sahih.
Ingatilah orang-orang yang susah
No comments:
Post a Comment