Thursday, October 31, 2019

Kempen mengutamakan membeli barangan Muslim bukan 'rasis'.

Kempen mengutamakan membeli barangan Muslim bukan 'rasis'.

Hari ini timbul kempen mengutamakan membeli barangan Muslim. Kempen ini menggusarkan perasaan beberapa pihak. Sewajarnya pihak lain tidak perlu melihat kempen mengutamakan membeli barangan muslim sebagai satu permusuhan. Betapa banyak syarikat iklan yang mengiklankan barangan mereka di segala media dan papan tanda. Itu bukan bererti satu peperangan kepada syarikat lain dan juga bukan suatu tindakan yang 'rasis'. Ia adalah suatu usaha syarikat tersebut untuk melariskan produk mereka demi pengukuhan ekonomi mereka. Demikianlah kita semua masyarakat muslim. Kita semua berusaha untuk memajukan masyarakat muslim kita terutama dalam menghadapi situasi yang ada seperti sekarang. Ini demi persaudaraan sesama muslim, keteguhan ekonomi umat dan masa depan bersama.

Kita tahu, sudah berdekad-dekad non-muslim hidup di tanah ini, tiada kempen yang seumpama ini dilancarkan oleh masyarakat muslim. Bahkan non-muslim menjadi kaya-raya dengan sikap muslim yang membeli barangan mereka tanpa prajudis. Lebih dari itu, sejak dahulu, non-muslim boleh hidup berniaga di tengah-tengah masyarakat Melayu-muslim di tanahair ini tanpa sebarang gangguan. Bukan sekadar tanpa gangguan, bahkan hubungan persahabatan dan kemanusiaan dijaga dan dipelihara oleh masyarakat muslim di tanahair ini. Walaupun hal yang sama tidak berlaku dalam masyarakat minoriti muslim di tempat lain di dunia ini. Namun malangnya, hasil dari perbuatan dan sikap sesetengah non-muslim sejak kebelakangan ini, maka majoriti muslim merasai bahkan meyakini ‘madu dibalas tuba, penawar dibalas racun, kaduk naik junjung'

Pun begitu, saya berpendapat  bukan semua non-muslim yang bersikap demikian. Malahan ada mereka yang baik hubungan dan memberi perghormatan mereka kepada masyarakat muslim. Islam tidak mengajar kita memusuhi orang yang tidak memusuhi kita.

Firman Allah Subhanahuwata'ala,

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ.

“Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” Al-Mumtahah: 8.

Kempen mengutamakan membeli barangan muslim adalah kempen membantu ekonomi sesama muslim. Walaupun kita memang sedari bahawa produk muslim sendiri tidak merangkumi seluruh keperluan kehidupan pada masakini dan kita masih bergantung kepada sumber produk bukan muslim dalam sebahagian keperluan.
Dalam ertikata lain, kita berusaha dengan pelbagai cara menguatkan ekonomi sesama kita. Ekonomi merupakan kuasa penting kekuatan sesebuah masyarakat. Golongan anti-muslim memandang rendah kepada masyarakat jika ekonomi kita lemah. Maka, kita hendaklah berikhtiar membantu apa yang kita mampu dalam mencapai misi ini. Antaranya, membeli dan mengutamakan produk muslim. Berkongsi kepakaran sesama muslim dalam bidang ekonomi. Tolong berkempen barangan muslim. Mencari ruang supaya hasil produk dan peningkatan peniagaan muslim dapat ditingkatkan.

Sikap tolong menolong dalam ekonomi sesama muslim itu merupakan satu amalan yang baik. Dalam hadis Nabi Sallahualaihiwasallam memuji kabilah Asy’ariyin kerana tolong menolong sesama kabilah dalam memastikan kebajikan antara mereka. Dalam hadith,
عَنْ أَبِي مُوسَى قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِنَّ الْأَشْعَرِيِّينَ إِذَا أَرْمَلُوا فِي الْغَزْوِ أَوْ قَلَّ طَعَامُ عِيَالِهِمْ بِالْمَدِينَةِ جَمَعُوا مَا كَانَ عِنْدَهُمْ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ ثُمَّ اقْتَسَمُوهُ بَيْنَهُمْ فِي إِنَاءٍ وَاحِدٍ بِالسَّوِيَّةِ فَهُمْ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُم

"Daripada Abi Burdah, daripada Abi Musa, katanya: Sabda Nabi Sallahualaihiwasallam: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis di atas, Nabi Sallahualaihiwasallam. memuji sikap tolong menolong, bantu membantu serta sikap mengambil berat antara satu sama lain. Baginda Sallahualaihiwasallammemuji sikap yang ditunjukkan oleh kaum al-Asy`ariyin yang jamin menjamin kebajikan sesama mereka. Ungkapan Nabi Sallahualaihiwasallam:
فَهُمْ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُم
"Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” menggambarkan redha Nabi s.a.w. dengan tindakan mereka. Tindakan mereka sesuatu yang terpuji.
Ertinya, tolong menolong sesama keluarga atau puak, atau bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan dan taqwa tidak boleh dianggap sebagai 'rasis' atau perkauman yang sempit. Ini selagi tidak menzalimi pihak lain.

Kempen mengutamakan membeli barangan Muslim ialah bermaksud ‘bersama mengukuhkan ekonomi muslim’. Apatahlagi realiti yang ada dengan sikap yang ditunjukkan oleh sesetengah pihak amat menuntut agar ekonomi masyarakat Islam diperkukuhkan. Keadaan ekonomi umat Islam agak ketinggalan secara perbandingan. Mungkin kita mempunyai kuasa membeli yang agak tinggi, disebabkan jumlah kita di negara ini.

Malangnya, kita bukan peniaga, apatahlagi sebagai pengeluar. Kita sekadar pembeli dan pengguna dalam banyak hal. Oleh kerana itu, jika masyarakat muslim tidak bertindak membantu sesama sendiri, bererti kita membiarkan peniaga dan pengusaha muslim gagal dalam usaha pengukuhan ekonomi.

"Justeru itu, hal ini perlu diatasi dan kuasa membeli kita mesti dimanfaatkan".

Perlu disedari pengeluaran sebahagian produk keperluan merupakan fardu kifayah dalam menyelamatkan keperluan dan maruah umat. Membeli dari peniaga muslim sebagai usaha memperkukuhkan kuasa ekonomi Umat Islam pastinya merupakan langkah bagi memastikan fardu kifayah tersebut terlaksana. Jika gagal sehingga umat ini boleh diperkotak-katikkan, maka semua kita berdosa. Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda;

المُسْلِمُ أَخُو المُسْلِمِ، لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يُسْلِمُهُ، وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ

“Orang muslim itu saudara orang muslim. Dia (muslim) tidak menzaliminya (saudara muslimnya) dan membiarkannya (dizalimi). Sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, maka Allah menunaikan hajat” ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Atas kelemahan masyarakat muslim menguasai rantaian bekalan (supply chain) menyebabkan peniaga muslim menghadapi cabaran yang kuat di sudut persaingan. Diantaranya agak sukar untuk kita dapati pasaraya-pasaraya besar dimiliki oleh muslim atau pasaraya-pasaraya Yang memasarkan barangan keluaran muslim. Demikian juga untuk memperolehi bahan mentah yang baik dan berpatutan.

Jika kita andaikan setiap rumah muslim membeli barangan keperluan makanan dapur sahaja dari produk muslim, berbillion ringgit setiap bulan pergerakan ekonomi Umat Islam dapat dijalankan. Pastinya akan lebih banyak produk dan syarikat perniagaan muslim akan muncul. Dengan itu, zakat dan bantuan sesama muslim akan bertambah kukuh. Ini merealisasikan sabda Nabi Sallahualaihiwasallam;

الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا

“Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam masa yang sama, kualiti produk dan urusan perniagaan muslim juga mestilah ditingkatkan. Muslim yang baik, akan memastikan peniagaannya bebas dari penipuan. Sabda Nabi Sallahualaihiwasallam;

الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ وَلاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ بَاعَ مِنْ أَخِيهِ بَيْعًا فِيهِ عَيْبٌ إِلاَّ بَيَّنَهُ لَهُ.

“Muslim saudara muslim. Tidak halal seorang muslim menjual kepada saudaranya suatu jual yang ada kecacatan kecuali dia menerangkannya untuknya” (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dll. Al-Hakim menyatakan sahih dan disetujui oleh al-Zahabi).

Sabda Nabi Sallahualaihiwasallam juga:

إِنَّ التُّجَّارَ يُبْعَثُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فُجَّارًا إِلاَّ مَنِ اتَّقَى اللَّهَ وَبَرَّ وَصَدَقَ
“Sesungguhnya para peniaga dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang jahat kecuali mereka yang bertaqwa, berbuat kebaikan dan benar. ( Riwayat al-Tirmizi, al-Hakim dalam al-Mustadrak dan lain-lain. Al-Hakim menyatakan sanadnya sahih. Ia dipersetujui oleh al-Zahabi)

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...