Thursday, October 31, 2019

Pahala haji bagi orang yang menuntut ilmu

Pahala haji bagi orang yang menuntut ilmu

Alllah Subhanahuwata'ala akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman dengan beberapa darjat  dan juga akan akan mengangkat darjat orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat berdasarkan firman-Nya:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
al-Mujadalah:11

Maksudnya: “Supaya Allah Subhanahuwata'ala meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.”

Melihat kepada firman Allah Subhanahuwata'ala ini, akan diangkat orang yang beriman daripada kalangan orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada kalangan orang yang bukan alim. Telah berkata Ibn Mas’ud RA bahawa Allah Subhanahuwata'ala telah memuji ulama di dalam ayat ini, iaitu Allah Subhanahuwata'ala mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 17/299]

Menuntut ilmu adalah merupakan kewajipan dan meeupakan suatu tuntutan terhadap setiap insan. Ini kerana, ilmu merupakan kayu ukur dalam kehidupan kita dalam menentukan sama ada perkara yang kita lakukan itu benar ataupun tidak sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah Subhanahuwata'ala dan Rasulullah Sallahualaihiwasallam.

Dengan kemulian ilmu, maka Allah Subhanahuwata'ala akan memberikan ganjaran seperti menunaikan haji dengan sempurna. Ini adalah adalah berdasarlan hadith seperti di bawah:

Daripada Abi Umamah RA, bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda:

مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ لَا يُرِيدُ إِلَّا أَنْ يَتَعَلَّمَ خَيْرًا أَوْ يَعْلَمَهُ، كَانَ لَهُ كَأَجْرِ حَاجٍّ تَامًّا حِجَّتُهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang pergi ke masjid dengan tujuan untuk mempelajari sesuatu kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti orang yang menunaikan haji dengan sempurna.” [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir (7473)]

-Imam al-Munziri (656 H) mengatakan bahawa Imam al-Thabarani meriwayatkan hadith ini dengan sanad yang tidak mengapa (sanad yang baik). [Lihat: al-Targhib wa al-Tarhib, 59/1]
-Imam al-Iraqi (806 H) menilai sanad hadith ini adalah baik. [Lihat: al-Mughni, 1740/1]
-Imam al-Haithami (807 H) mengatakan bahawa perawi-perawi hadith ini adalah dipercayai. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 245/2]

Imam al-Hakim (405 H) turut meriwayatkan hadith ini dengan sanadnya berbeza dan ia boleh menjadi sokongan kepada hadith di atas:

مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ لَا يُرِيدُ إِلَّا لِيَتَعَلَّمَ خَيْرًا أَوْ يَعْلَمَهُ كَانَ لَهُ أَجْرُ مُعْتَمِرٍ تَامِّ الْعُمْرَةِ، فَمَنْ رَاحَ إِلَى الْمَسْجِدِ لَا يُرِيدُ إِلَّا لِيَتَعَلَّمَ خَيْرًا أَوْ يُعَلِّمَهُ فَلَهُ أَجْرُ حَاجٍّ تَامِّ الْحِجَّةِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang pergi ke masjid dengan tujuan untuk mempelajari sesuatu kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti orang yang menunaikan umrah dengan sempurna dan barangsiapa yang pulang ke masjid dengan tujuan untuk mempelajari sesuatu kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti orang yang menunaikan haji dengan sempurna.” [Riwayat al-Hakim (311)][Imam al-Zahabi menyatakan hadith ini menepati syarat Imam al-Bukhari]

Sesungguhnya ada banyak kelebihan atau ganjaran bagi orang yang keluar mencari dan menuntut ilmu. Selain itu juga, di antara perkara yang penting dalam menuntut ilmu ini adalah sentiasa membetulkan niat supaya tujuannya bukanlah untuk dikenali atau dikatakan bahawa dia adalah yang paling alim berbanding orang-orang lain. Sifat inilah yang sepatutnya dicontohi oleh setiap insan iaitu cintakan ilmu.

Namun pun begitu, perlu juga difahami bahawa ganjaran pahala seperti menunaikan haji ini, tidaklah sama sekali akan menggugurkan kefardhuan haji ke atas seseorang itu.

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...