Memahami antara Rahmatan Lil-‘Alamin, pluraliti Dan pluralisme.
Rahmatan Lil-‘Alamin merujuk kepada firman Allah Subhanahuwata'ala di dalam surah al-Anbiya' ayat 107 :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Dan tidaklah kami mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam”.
Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya, di dalam ayat ini Allah Subhanahuwata'ala mengkhabarkan bahawa Dia menjadikan Muhammad sebagai rahmat bagi mereka (umat) semua, barangsiapa yang menerima rahmat ini lalu beriman dan membenarkannya maka dia beroleh rahmat dan sesiapa yang melakukan sebaliknya maka dia akan kerugian di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 5/338)
Justeru itu, ini jelas menunjukkan bahawa pengertian Rasulullah Sallahualaihiwasallam sebagai pembawa rahmat sekalian alam bukan membawa maksud menyeru kepada pluralisme agama. Sebaliknya ia suatu penegasan daripada Allah Subhanahuwata'ala, bahawa Baginda membawa rahmat Islam yang boleh menjamin kebahagian dan keamanan manusia dan alam jagat. Maka merugilah kepada manusia yang tidak menerima dan menjadikannya sebagai pegangan hidup sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Kathir di atas.
Tidak dinafikan bahawa Islam merupakan agama yang bersifat universal ('alamiyyah). Ia diturunkan oleh Allah Subhanahuwata'ala kepada seluruh umat manusia tanpa membeza-bezakan antara lelaki dan wanita, antara yang berkulit putih dan gelap, antara bangsa Arab dan bukan Arab dan seterusnya. Bahkan Islam mengizinkan bukan Islam untuk tinggal bersama-sama di dalam tanahair yang sama dengan penuh aman dan bahagia.
Al-Qur'an al-Karim dengan jelas menyatakan secara berulang kali bahawa Islam merupakan agama yang bersifat 'universal' sehingga mengulang sebanyak lebih 70 kali kalimah al-'alamin yang membawa maksud alam sejagat atau sekalian alam. Menurut Qatadah sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya kalimah al-'alamin merupakan perkataan jamak bagi alam yang bermaksud semua yang wujud melainkan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 1/138)
Pluraliti agama pula, adalah fakta kewujudan kepelbagaian dan perbezaan agama-agama di dunia. Sebagai fakta, pluraliti merupakan ketentuan Tuhan atau Sunnatullah, oleh kerana itu ia adalah sesuatu yang tidak mungkin dinafikan kewujudannya.
Pluralisme agama pula adalah satu istilah yang merujuk kepada fahaman yang menyamakan semua agama dalam erti kebenaran ada dalam semua agama, dan keselamatan (syurga) boleh dicapai menerusi mana-mana agama. Pluralisme agama adalah pandangan, fikiran, sikap dan pendirian seseorang terhadap realiti kepelbagaian dan fakta terhadap perbezaan agama.
Kesimpulan secara khususnya, pluralisme agama adalah pandangan, fikiran, keyakinan bahawa agama-agama yang pelbagai dan berbeza-beza itu mempunyai kesamaan dari segi ontologi, soteriologi dan epistemologi. Seperti dikemukakan Peter Byrne, professor di King’s College London UK, pluralisme agama merupakan persenyawaan daripada tiga tesis. Pertama, semua tradisi agama-agama besar dunia adalah sama, semuanya merujuk dan mengisyarat kepada suatu realiti tunggal yang transcendent dan suci. Kedua, semuanya sama-sama menawarkan jalan keselamatan. Dan ketiga, semuanya tidak ada yang final. Ertinya, setiap agama mesti senantiasa terbuka untuk dikritik dan diteliti kembali.
Antara tokoh-tokoh yang mengembangkan fahaman pluralisme agama adalah seperti Raimundo Panikkar (seorang paderi Katolik kelahiran Sepanyol),John Hick (profesor teologi di Claremont Graduate School California USA). (Lihat Prolegomena to Religious Pluralism, 191)
Pluralisme agama juga bukan bermakna toleransi agama. Oleh itu, anggapan bahawa pluralisme agama adalah sama dengan toleransi agama merupakan anggapan yang subjektif, sangat semberono dan kurang cermat berpunca daripada kegagalan seseorang untuk memahami hakikat doktrin pluralisme agama.
Islam sememangnya agama yang toleran dan mengajarkan toleransi kepada umatnya sejak dari awal. Banyak dalil Dari sl-Quran dan as-Sunnah yang mengarahkan kepada sikap toleransi. Diantara dalilnya adalah,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum membuatmu tidak berlaku adil. Berbuat adillah karena ia lebih mendekati ketakwaan. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” ( Al Maa’idah: 8)
Dan juga firman Allah Subhanahuwata'ala,
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (8) إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (9(
Maksudnya “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Al Mumtahanah: 8-9)
Ayat ini mengajarkan prinsip toleransi, iaitu hendaklah setiap muslim berbuat baik kepada Yang lainya selama mana tidak ada sangkut pautnya dengan hal agama.
Ibnu Katsir rahimahullah berkata, “Allah tidak melarang kalian berbuat baik kepada non Muslim yang tidak memerangi kalian seperti berbuat baik kepada wanita dan orang yang lemah di antara mereka. Hendaklah berbuat baik dan adil karena Allah menyukai orang yang berbuat adil.” (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, 7: 247).
Ibnu Jarir Ath Thobari rahimahullah mengatakan baahwa bentuk berbuat baik dan adil di sini berlaku kepada setiap agama. Lihat Tafsir Ath Thobari, 28: 81.
Sedangkan ayat selanjutnya iaitu ayat kesembilan adalah berisi larangan untuk memberi kesetian(loyalty) pada non muslim yang jelas adalah musuh Islam. Lihat Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, 7: 248.
Imam Bukhari menukilkan dalam Bab dalam kitab Sahihnya “Menjalin hubungan dengan orang tua yang musyrik”. Kemudian beliau membawakan riwayat berikut, Asma’ mengatakan,
أَتَتْنِى أُمِّى رَاغِبَةً فِى عَهْدِ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – فَسَأَلْتُ النَّبِىَّ – صلى الله عليه وسلم – آصِلُهَا قَالَ « نَعَمْ »
Maksudnya “Ibuku mendatangiku dan ia sangat ingin aku menyambung hubungan dengannya. Kemudian aku menanyakan pada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, bolehkah aku tetap menjalin hubungan dengannya? Beliau pun menjawab, “Ya boleh”.”
Sufyan bin ‘Uyainah mengatakan bahawa setelah itu Allah menurunkan firman-Nya (yang Ertinya), “Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama” (Al Mumtahanah: 8)” (HR. Bukhari no. 579)
Malah,Islam sama sekali tiada masalah dengan toleransi agama. Apa yang menjadi masalah adalah apabila ajaran toleransi Islam cuba dikaitkan dengan pluralisme agama, lalu disimpulkan bahawa Islam adalah agama yang mengajarkan persamaan semua agama. Sedangkan tokoh-tokoh pluralis sendiri menafikan toleransi agama itu sebagai pluralisme agama.
Justeru itu, setiap Muslim wajib membentengi diri mereka dengan prinsip aqidah daripada terjebak ke dalam kekeliruan pluralisme agama, Diantara prinsip-prinsip tersebut adalah seperti berikut:
Pertama: Hanya Islam Agama Yang Haq
Berkeyakinan teguh bahawa hanya Islam agama yang benar manakala agama lain adalah tertolak di sisi Allah Subhanahuwata'ala. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Ali-Imran ayat 19,
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّـهِ الْإِسْلَامُ
Maksudnya: “Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam”.
Implikasinya, mereka yang menganut agama lain tidak diterima oleh Allah Subhanahuwata'ala dan mereka di akhirat kelak adalah golongan yang rugi. Firman Allah Subhanahuwata'ala dalam surah Ali-Imran ayat 85 :
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya: “Dan barangsiapa yang mencari agama lain selain Islam, maka dia tidak akan diterima daripadanya, dan dia di akhirat kelak daripada orang yang rugi”.
Ini menafikan dakwaan doktrin pluralisme agama yang mengatakan bahawa tiada agama memiliki kebenaran mutlak. Nas syarak jelas menunjukkan hanya Islam agama yang benar dan diterima Allah Subhanahuwata'ala.
Kedua: Islam Adalah Syarat Amal Kebaikan Diterima Allah Subhanahuwata'ala
Ini bermaksud bahawa amalan perbuatan baik yang dilakukan oleh orang kafir adalah sia-sia (tidak beroleh pahala) dan tidak diterima oleh Allah Subhanahuwata'ala di akhirat kelak termasuk orang Islam yang murtad keluar dari agama Islam. Ini sebagaimana firman Allah dalam surah al-Nur ayat 39:
وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآنُ مَاءً حَتَّىٰ إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا وَوَجَدَ اللَّـهَ عِندَهُ فَوَفَّاهُ حِسَابَهُ ۗ وَاللَّـهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah meyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisab-Nya.”
Ini juga menolak doktrin pluralisme agama yang mendakwa bahawa kepercayaan semua agama boleh membawa kepada keselamatan atau penerimaan Allah Subhanahuwata'ala di akhirat kelak. Sedangkan jelas menunjukkan bahawa Allah Subhanahuwata'ala tidak mengurniakan pahala atas amal kebaikan golongan bukan Islam.
Ketiga: Tiada Titik Pertemuan Antara Islam dan Agama Lain di Akhirat Kelak
Berkeyakinan teguh bahawa agama selain Islam adalah kufur. Kufur bermaksud "naqidh al-iman" iaitu "lawan iman" atau "kontra-iman". (Lihat Tafsir al-Maturidi, 1/ 168) Orang yang kufur digelar kafir. Itu adalah istilah yang diberikan al-Qur'an bagi membezakan seorang muslim dengan bukan muslim dan seharusnya bukan muslim menghormati doktrin yang terkandung di dalam kitab suci umat Islam.
Di samping itu tiada titik pertemuan akan berlaku antara orang Islam dan orang kafir di akhirat kelak. Ini seperti yang sering dicanangkan oleh golongan pluralis bahawa kononnya manusia pelbagai agama sebenarnya bersatu pada titik metafiziknya. Hal ini tidak benar dan amat bertentangan dengan logik akal. Bermakna, tiada titik pertemuan antara Islam dan kufur di akhirat kelak. Ini kerana, Islam akan membawa seseorang itu kekal di dalam syurga buat selama-lamanya, manakala kekufuran akan membawa seseorang itu kekal abadi di dalam neraka.
Hakikatnya Islam dan kufur adalah amat bertentangan dan tiada titik pertemuan di akhirat kelak. Ia seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Bayyinah ayat 6 :
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ أُولَـٰئِكَ هُمْ شَرُّ الْبَرِيَّةِ ﴿٦﴾ إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ ﴿٧﴾ جَزَاؤُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ رَّضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَبَّهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang kafir dalam kalangan ahli kitab dan musyrikin itu di dalam neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya dan mereka itu adalah seburuk-buruk kejadian. Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh itu, mereka adalah sebaik-baik kejadian. Balasan mereka di sisi Allah adalah syurga-syurga Adnan yang mengalir di bawahnya sungai-sungai mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, Allah redha terhadap mereka dan mereka redha terhadap-Nya, demikian itu bagi sesiapa yang takut kepada Tuhannya”.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak
Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...
-
Sebuah pesanan kepada para Haji dan Hajjah. Di hari-hari yang terbatas jumlahnya, pada awal bulan Zulhijah yang merupakan salah satu rangkai...
-
Hukum Puasa enam di Bulan Syawal serta permasalahan yang berkaitan dengannya dan pendapat Imam Malik tentang hukum puasa enam di bulan Syaw...
-
Harta pusaka menurut perspektif Islam Harta pusaka adalah semua harta yang dimiliki oleh si mati semasa hayatnya secara halal dan berterusan...
No comments:
Post a Comment