Keutamaan berisrtighfar pada Hari Jumaat
Istighfar adalah sangat penting kerana padanya terdapat banyak kelebihan. Selain itu juga, kita sebagai seorang manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan perlulah melazimi istighfar di dalam kehidupan seharian kita. Justeru itu, kita hendaklah banyak beristighfar kepada Allah Subhanahuwataala dengan memohon ampun kepada-Nya di atas segala dosa dan kesilapan yang telah kita lakukan. Ini kerana, Nabi Sallahualaihiwasallam sendiri tidak pernah meninggalkan istighfar.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. [Riwayat al-Bukhari (6307)]
Berkaitan keutamaan istighfar pada hari Jumaat pula ada sebuah hadith,iaitu:
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:
مَنْ قال صَبيحَةَ يَوْمِ الجُمُعَةِ قَبْلَ صَلاةَ الغَدَاةِ: أسْتَغْفِرُ اللهَ الذِي لا إلهَ إلَّا هُوَ الحَيَ القَيومَ وأتُوبُ إلَيْهِ ثلَاثَ مَرَات، غَفَرَ اللهُ تعالى ذُنوبَهُ ولو كانتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang beristighfar pada pagi hari Jumaat sebelum menunaikan solat pagi. Dengan mengatakan “Aku memohon ampun kepada Allah, Tiada Tuhan melainkan-Nya, yang Maha Hidup, Maha Kekal Mentadbir dan aku bertaubat kepada-Nya sebanyak tiga kali. Maka Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.” [Riwayat Ibn al-Sunni (83)]
Imam al-Nawawi ada menukilkan hadith ini di dalam kitabnya al-Azkar dengan sighah tamridh yang menunjukkan bahawa hadith tersebut adalah dhaif.
Imam al-Nawawi menyatakan disunatkan untuk memperbanyakkan berzikir dan berselawat kepada Nabi Sallahualaihiwasallam pada hari Jumaat berbanding hari-hari yang lain. Selain itu, disunatkan juga untuk memperbanyakkan berdoa pada hari tersebut bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. [Lihat: al-Azkar, 85]
Istighfar juga mempunyai banyak kelebihan sebagaimana yang riwayatkan oleh Ibn Abbas RA, bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda:
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”. [Riwayat Abu Daud (1518).Sanadnya dhaif kerana salah seorang perawi bernama al-Hakam bin Mus’ab padanya jahalah (tidak dikenali) sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Zahabi.
No comments:
Post a Comment