Thursday, October 31, 2019

Kelebihan Masjid Nabawi


Kelebihan Masjid Nabawi

Masjid Nabawi adalah salah satu dari masjid yang mulia kerana padanya terdapat kelebihan yang tidak terdapat pada masjid-masjid yang lain melainkan masjid al-Haram. Ini seperti dijelaskan oleh sebuah hadith yang sahih:

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu kali solat di tempat lain kecuali masjid al-Haram”.
[Riwayat Muslim (1394)]

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa kelebihan solat di masjid al-Nabawi melebihi solat di masjid lain dengan ganjaran seribu kali solat  yang diberikan melainkan solat di masjid al-Haram kerana ia melebihi seribu solat sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadith. [Lihat: al-Minhaj Syarh Muslim, 163/9]

Di samping itu juga, kita tidak dituntut untuk menyusahkan diri dalam bermusafir melainkan pada tiga buah masjid sahaja iaitu masjid al-Haram, masjid al-Nabawi dan juga masjid al-Aqsa berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda:
لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara  (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa”. [Riwayat al-Bukhari (1189)]

Melihat kepada hadith-hadith di atas, jelas menunjukkan kepada kita akan kelebihan dan fadhilat yang terdapat pada masjid Nabawi dan kelebihan ini tidak terdapat di masjid-masjid yang lain melainkan masjid al-Haram dan masjid al-Aqsa. 

Ini merupakan keutamaan yang sangat agong dan suatu saat diantara saat-saat akhirat, keuntungan pahala padanya berlipatkaliganda, bukan hanya puluhan kali, bukan pula ratusan akan tetapi ribuan kali. 

Seorang ahli perniagaan apabila meyakini atau mengetahui bahawa barang dagangan mereka laris atau laku di suatu tempat pada suatu waktu, maka mereka akan mempersiapkan diri mereka untuk menyambut saat tersebut, walaupun keuntungan yang akan didapatkan hanya setengah atau satu kali ganda.Ini perdagangan duniawi, lalu bagaimana keuntungan akhirat yang ada didapatkan Masjid Nabawi, bukan hanya sepuluh kali ganda atau seratus kali ganda, tidak pula lima ratus atau enam ratus, akan tetapi lebih dari seribu. 

Gandaan pahala solat di Masjid Nabawi sampai lebih dari seribu tidak dikhususkan untuk solat fardu saja tanpa solat sunat, tidak pula sebaliknya, akan tetapi mencakupi solat fardu dan sunat. Nabi Sallahualaihiwasallam  menyebutkan kata solat secara mutlak. Jadi solat fardu setara dengan seribu solat fardu, dan solat sunat setara dengan seribu solat sunat. 

Gandaan pahala yang terdapat dalam hadith tidak dikhususkan untuk kawasan Masjid yang ada pada zaman Nabi Sallahualaihiwasallam saja, akan tetapi mencakupi semua kawasan yang ditambahkan saat perluasan masjid. Terbukti khalifah Umar dan Uthman Radhiyallahu anhuma memperluas masjid dari arah depan, dan kita ketahui bersama bahawa tempat imam dan saf setelahnya termasuk dari kawasan perluasan, diluar kawasan masjid pada zaman Nabi Sallahualaihiwasallam. Seandainya kawasan perluasan tidak memiliki hukum yang sama dengan kawasan sebelum perluasan, nescaya dua khalifah besar itu tidak akan melakukan perluasan dari sisi depan masjid, kemudian juga jumlah para Sahabat di masa dua khalifah tersebut masih sangat ramai dan tidak ada seorang pun yang menyangkal atau menolak perluasan masjid. Ini merupakan bukti yang sangat kuat bahawa gandaan pahala tidak terbatas pada kawasan masjid di zaman Nabi Sallahualaihiwasallam saja.

Di dalam kawasan Masjid Nabawi terdapat tempat yang disebut oleh Nabi Sallahualaihiwasallam sebagai salah satu taman dari taman syurga. Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda:

ما بَيْنَ بَيْتِيْ ومِنْبَرِيْ رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ

Kawasan diantara rumahku dan mimbarku adalah taman dari taman-taman syurga. [ Riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Pengkhususan kawasan ini sebagai salah satu taman syurga tanpa menyebut
kawasan-kawasan lain dari Masjid Nabawi menunjukkan keutamaan dan keistimewaan tempat tersebut. Keutamaan akan boleh diraih dengan melakukan solat sunat di sana atau berzikir dan membaca al-Qur'an, dengan tanpa menyakiti atau mengganggu orang lain yang sudah berada di dalamnya atau ketika mencapai tempat tersebut. 

Adapun solat fardu, maka ia lebih utama dilakukan pada saf-saf awal, kerana Nabi Sallahualaihiwasallam pernah bersabda:

خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا، وَشَرُّهَا آخِرُهَا

Sebaik-baik saf kaum laki-laki adalah saf yang paling depan, dan seburuk buruk saf mereka adalah saf yang paling belakang. [Hadith Riwayat Muslim]

Nabi Sallahualaihiwasallam juga bersabda:

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الأَوَّلِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لاسْتَهَمُوا عَلَيْهِ

Seandainya manusia mengetahui ganjaran yang terdapat pada panggilan azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak boleh mendapatkannya kecuali dengan cara undian nesaya mereka akan berundi untuk mendapatkannya [Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...