Thursday, October 31, 2019

Hukum tidur selepas solat subuh

Hukum tidur selepas solat subuh

Pernah ditanyakan kepada al-Imam Malik Rahimahullah mengenai tidur selepas solat subuh,  maka beliau menjawab, 

أنا لا أعرف عن الحظر......
Ertinya: Aku tidak mengetahui akan pengharamannya.... Lihat: Al-Fawakihu al-Dawani ‘ala Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani, (1/198).

Ini dikeranakan bahawa hadith-hadith yang menceritakan tentang larangan serta celaan bagi mereka yang tidur selepas subuh tidak terlepas dari kritikan, sama ada terlalu lemah tarafnya ataupun bertaraf palsu.

Oleh kerana itu, tidak menjadi satu kesalahan bagi mereka yang bekerja malam dan terpaksa berehat dan tidur pada siangnya selepas subuh. Justeru kerana untuk menjalankan tugas pada keesokan malamnya pula.

Namun begitu,  terdapat banyak galakan untuk menghidupkan amalan selepas subuh.
Sebuah hadis daripada Anas Bin Malik RA bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:

مَنْ صَلَّى الغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ

Maksudnya: Siapa yang solat al-Ghadah (yakni solat Subuh) secara berjemaah kemudian duduk berzikir sehingga terbit matahari, lalu bersolat dua rakaat adalah baginya pahala haji dan umrah. Hadis riwayat al-Tirmizi (586) dalam Sunannya. Menurut beliau, hadis ini hasan gharib

Dalam sebuah hadis yang  lain, Nabi Sallahualaihiwasallam telah bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ ‏.‏ وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلاً تَاجِرًا وَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ. ‏‏  

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berkatilah untuk umatku pada awal waktu pagi. Adalah Nabi SAW, jika Baginda menghantar briged tentera, Baginda akan menghantarnya di awal siang. Adalah Sakhr itu seorang peniaga dan beliau memulakan perniagaannya di awal siang maka telah bertambah hartanya (mendapat keuntungan). Riwayat Abu Daud (2606).

 Daripada Jabirah bin Samurah RA:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى الفَجْرَ قَعَدَ فِي مُصَلَّاهُ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ

Maksudnya: Adalah Nabi Sallahualaihiwasallam apabila selesai solat Fajar, Baginda duduk di tempat solatnya sehingga matahari terbit.

Hadis riwayat Al-Tirmizi (585) dalam Sunannya. Menurut beliau, hadis ini hasan sahih

Hadith di atas menceritakan bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam telah menghidupkan pagi selepas subuh dengan duduk berzikir sehingga terbitnya matahari.

Dari hadith-hadith di atas, jelas bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam amat menitikberatkan mengenai pengurusan masa bagi seseorang muslim, lebih-lebih lagi di awal pagi . Ini dilihat dengan amalan yang dilakukan serta dianjurkan oleh Rasulullah Sallahualaihiwasallam dari segi berzikir mahupun keluar kerja untuk mencari rezeki dan disebabkan oleh itu juga para ulama’ amat menjaga waktu selepas subuh mereka agar dipenuhi dengan perkara yang berfaedah lagi berpahala.

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...