Hukum mendatangi bomoh yang meminta pertolongan dari jin
Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
Maksudnya: "Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam."Riwayat Muslim (5957)
Sabda Nabi Sallahualaihiwasallam:
مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
Maksudnya: "Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW." Riwayat Ahmad (9171
Hadith diatas pula menerangkan bahawa, barangsiapa yang pergi berjumpa dan mempercayainya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan oleh Allah Subhanahuwata'ala kepada Nabi Muhammad Sallahualaihiwasallam yang telah diwahyukan kepadanya dalam hal-hal yang ghaib. Tidak ada yang mengetahui hal-hal ghaib kecuali Allah Subhanahuwata'ala. (Lihat al-Fatawa al-Mu’asirah, hlm. 319)
Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili pernah ditanya: “Adakah harus meminta pertolongan dengan jin muslim? Dan apakah hukum meminta pertolongan dengan jin muslim untuk berkhidmat kepada orang Islam? Dan Apakah hukum meminta pertolongan dengan jin secara umum? Maka Syeikh menjawab: “Haram meminta pertolongan dengan jin walau dalam apa keadaannya sekalipun. Dan perkara ini adalah tercela secara syara’. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata'ala:
وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat. Surah al-Jin: 6.Lihat Maqalah Hukm al-Isti’anah bi al-Jin fi al-Mubahat, oleh Dr Abdul Qader bin Muhammad al-Ghamidi
Adapun jika perawat Islam melakukan proses perubatan dengan menjampi pesakit seperti ruqyah atau sebagainya, maka perlulah menuruti syarat-syarat dalam menjampi. Ini kerana untuk membezakan antara ruqyah yang menepati sunnah dengan ruqyah yang bercanggah dengan sunnah:
Tiga syarat yang disebut oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya al-Fath al-Bari, Antaranya:
“Para ulama telah sepakat tentang kebolehan membuat rawatan jika mengikuti tiga syarat ini:
1-Ruqyah hendaklah dilakukan dengan menggunakan firman Allah Subhanahuwata'ala atau dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya.
2-Ruqyah hendaklah dilakukan dengan menggunakan bahasa arab atau sesuatu bahasa selain bahasa arab yang difahami maknanya.
3-Menyakini bahawa ruqyah itu tidak memberikan pengaruh dengan sendirinya tetapi hanyalah dengan izin Allah Subhanahuwata'ala. Lihat al-Fath al-Bari (10/240)
Imam Syauqani berkata: “Bahawa harus meruqyah dengan kitab Allah Subhanahuwata'ala, dan diikuti dengan zikir dan doa-doa yang ma’thur, boleh juga doa yang tidak ma’thur selagi mana tidak bertentangan dengan yang ma’thur.” Lihat Nail al-Autar (10/440)
Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa:
“Hendaklah meninggalkan ruqyah jika ruqyah yang dibaca berasal daripada ucapan-ucapan orang kafir, membuat rawatan dengan kalimah-kalimah asing, merawat dengan bacaan selain bahasa arab yang tidak diketahui maknanya. Semua itu tercela kerana ada kemungkinan maknanya adalah kekufuran, mendekati kekufuran atau makruh.
Adapun membuat rawatan dengan ayat-ayat al-Quran dan zikir-zikir yang difahami tidaklah dilarang, bahkan merupakan amalan yang sunnah. Para ulama telah menukilkan sebagai ijma’ tentang kebolehan membuat rawatan dengan ayat-ayat al-Quran dan zikir-zikir kepada Allah Subhanahuwata'ala.” Lihat Syarh Sahih Muslim (14/141-142):
No comments:
Post a Comment