Thursday, October 31, 2019

Hukum solat yang dilakukan dua Imam serentak di tempat -tempat perhentian musafir seperti R&R atau juga dinamakan المسجد المطروق

Hukum solat yang dilakukan dua Imam serentak di tempat -tempat perhentian musafir seperti R&R atau juga dinamakan المسجد المطروق

Para fuqaha memperincikan isu tempat mendirikan solat secara berjemaah seperti berikut:

Pertama: Masjid

Masjid yang dimaksudkan di sini adalah masjid rasmi yang telah mempunyai imam lantikan rasmi (imam ratib) serta disediakan untuk menunaikan solat secara berjemaah lima waktu, solat jumaat, dan aktiviti resmi selainnya . Para fuqaha membahaskan hukum berlakunya dua imam serentak di dalam sebuah masjid dengan menyatakan hujah masing-masing.

Imam Al-Ramli dari kalangan ulama Syafi’eyyah berkata:

وتكره إقامة جماعة بمسجد غير مطروق له إمام راتب من غير إذنه قبله أو بعده أو معه ، فإن غاب الراتب سن انتظاره 

Maksudnya: Dimakruhkan untuk didirikan jemaah di masjid selain mathruq (tempat laluan orang ramai) yang mempunyai imam ratib (rasmi) tanpa izinnya sama ada (jemaah itu didirikan) sebelumnya, selepasnya, atau bersama dengannya (serentak). Sekiranya imam ratib itu tiada maka disunatkan untuk menunggunya (bagi mendirikan solat berjamaah).

Rujuk Nihayah Al-Muhtaj, Al-Ramli (2/141)

Manakala sebahagian fuqaha Malikiyyah berhujah menggunakan firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin. Surah Al-Taubah (107

Imam Malik mengulas ayat ini dengan berkata: ‘’Tidak boleh didirikan dua jamaah dalam masjid yang satu dengan dua imam’’. (Pendapat) ini berbeza dengan majoriti ulama yang lain. Juga telah diriwayatkan bahawa Imam Al-Syafi’e turut melarang perkara ini kerana ia akan merosakkan kalimah serta membatalkan hikmah (solat berjamaah). Rujuk Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurthubi (8/174).

Kedua: المسجد المطروق (Masjid Al-Mathruq) 

Masjid Al-Mathruq adalah bermaksud masjid yang disediakan di tempat-tempat laluan orang ramai seperti di pasar contohnya. Dari segi istilah baru, ia bermakna mencakupi surau-surau di kompleks beli belah, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), dan seumpamanya.

Imam Al-Ramli berkata:

 أما المسجد المطروق فلا يكره فيه تعدد الجماعات ولو كان له إمام راتب ووقع فيه جماعتان معا

Maksudnya: Adapun masjid al-mathruq (masjid yang berada di kawasan laluan orang ramai) maka tidak dimakruhkan untuk berlakunya banyak jemaah padanya. Sekalipun jika masjid tersebut mempunyai imam ratib (rasmi). (Dan tidak makruh) untuk berlakunya dua jemaah serentak di dalamnya.

Kata beliau lagi: ‘’Pendapat yang ditasrihkan dalam tatimmah tentang kemakruhan menjalankan dua jemaah (solat) dalam satu keadaan yang sama tempatnya adalah pada masjid yang bukan al-mathruq’’. Rujuk Nihayah Al-Muhtaj, Al-Ramli (2/141).

Justeru itu, Berdasarkan hujah yang dikemukakan oleh para fuqaha, adalah dibolehkan berlakunya beberapa jemaah solat dalam keadaan serentak di surau-surau R&R secara umumnya. Ini kerana, ia tidak mempunyai imam rasmi dan tidak berciri dengan ciri-ciri masjid yang rasmi. 
Namunpun begitu, bagi mendapat fadhilat besar solat berjamaah, disamping itu bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dan fitnah apabila banyaknya imam dalam masa yang serentak, serta dalam usaha untuk menzahirkan syiar dan kesatuan umat Islam maka adalah lebih utama untuk dilakukan solat secara berjamaah dengan satu imam. 

Firman Allah Subhanahuwata'ala:

 وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: Sesiapa yang membesarkan syiar-syiar Allah maka sesungguhnya ia merupakan antara tanda ketakwaan jantung hati. Surah Al-Haj (32)

Meskipun konteks (السياق) ayat di atas merujuk kepada amalan-amalan dalam ibadah haji seperti wukuf di ‘Arafah, melontar jamrah, tawaf, saei serta beberapa perbuatan yang lain, namun seperti yang disebutkan dalam sebuah kaedah yang masyhur العِبْرَةُ (satu pengajaran)  adalah berdasarkan kepada keumuman lafaz:

العِبْرَةُ بِعمُومِ اللفْظِ

Maksudnya: العِبْرَةُ itu merujuk kepada keumuman lafaz.

Justeru itu, syiar-syiar Allah juga termasuk 
membesarkan dan melazimi solat secara berjamaah kerana ia adalah merupakan ibadah yang disyariatkan. Antara dalil pensyariatan solat berjamaah adalah:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ

Maksudnya: Dan dirikanlah solat, tunaikan zakat, serta ruku’lah kamu bersama dengan orang-orang yang ruku’ (solat berjamaah). Surah Al-Baqarah (43)

Berdasarkan ayat di atas bahawa Ruku’  adalah merujuk kepada solat kerana ruku’ adalah sebahagian dari rukun solat. Manakala ruku’ bersama golongan yang ruku’ adalah isyarat kepada pensyariatan solat secara berjamaah yang diperintahkan untuk dilazimi dan dibesarkan sebagai syiar agama Allah.

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...