Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:
إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya: “Apabila salah seorang dari kamu memasuki masjid, maka janganlah dia duduk sehingga menunaikan solat dua rakaat”.
Riwayat al-Bukhari (1167)
Untuk lebih memahami permasalahan ini, marilah kita fahami apa yang dimaksudkan dengan masjid, masjid al-Jami’, musolla dan juga surau .
1- Masjid dan masjid al-Jami'
Masjid ialah bangunan yang dibina untuk menunaikan solat di dalamnya kerana Allah Subhanahuwata'ala, beribadat kepada-Nya dengan ikhlas. Masjid juga adalah dikhususkan uruf pada tempat yang didirikan solat lima (5) waktu dan tidaklah termasuk musolla tempat berkumpul untuk solat-solat tertentu seperti solat sunat hari raya, istisqa’ dan selainnya. Tidak diberikan hukum masjid baginya seperti mana juga madrasah dan juga ribat. (Lihat I’lam al-Saajid bi Ahkam al-Masaajid oleh al-Imam Al-Zarkasyi).
Masjid al-Jami’ disebut dalam kitab-kitab fiqh, dengan diberikan maknanya seperti masjid, namun hanya yang membezakannya ialah di masjid al-Jami’ didirikan Solat Jumaat manakala di masjid tidak didirikan Solat Jumaat.
2-Musolla dari segi bahasa bermaksud tempat sembahyang dan berdoa. Akan tetapi, dari segi istilah, ianya merujuk kepada tanah lapang yang luas dan padanya manusia berkumpul untuk menunaikan solat bagi tujuan-tujuan seperti solat istisqa’ , solat jenazah dan solat sunat ’idilfitri dan ’idiladha. Ini dapat difahami melalui hadith Nabi Sallahualaihiwasallam:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم خَرَجَ إِلَى المصلّى يَسْتَسْقِى وَأَنَّهُ لَمَّا أَرَادَ أَنْ يَدْعُوَ اسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ وَحَوَّلَ رِدَاءَهُ
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Sallahu'alaihiwasallam keluar ke musolla untuk solat istisqa’. Apabila ingin berdoa, baginda akan mengadap kiblat dan membalik-balikkan selendangnya".
Riwayat al-Bukhari (6343) & Muslim (894)
Berdasarkan hadith, daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَىْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسِ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ، فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَن يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَيْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنصَرِفُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pergi ke Musalla (tempat sembahyang) pada hari Aidilfitri dan Aidiladha. Perkara pertama yang Baginda lakukan ialah solat. Kemudian, Baginda berpaling menghadap orang ramai yang masih duduk di dalam saf mereka, lalu Baginda memberikan nasihat dan menyampaikan apa-apa arahan kepada mereka. Jika hendak menghantar pasukan pejuang atau menyampaikan apa-apa arahan, Baginda membuat keputusan dan mengarahkannya pada masa itu. Selepas itu, Baginda pun bersurai.”
Riwayat al-Bukhari (913) dan Muslim (889)
Musolla ialah kawasan lapang seperti padang dan sebagainya. Jumhur ulama menyebut adalah sunat kita melakukan solat hari raya fitrah dan korban di Musalla (tempat yang lapang atau padang).
Imam al-Nawawi berkata: “Hadith ini menjadi dalil bahawa sunat mengerjakan solat hari raya di tempat lapang dan ianya lebih afdal dari solat di masjid.”
Begitu juga yang disebut oleh Ibn Hajar al-Asqalani. Akan tetapi bagi mazhab al-Syafie tidak mengapa dilakukan solat hari raya di masjid sebagaimana yang kita lihat pada hari ini.
Justeru itu dapatlah difahami bahawa Musolla adalah tempat solat sempena acara tertentu seperti padang, stadium, dewan dan lain-lain tidak dianggap masjid, hanya dilakukan solat di situ sekali dua sahaja sempena program tertentu.Itulah keadaan dan penggunaan musolla di zaman Nabi Sallahu'alaihiwasallam.Oleh kerana itu menurut mazhab al-Syafi’e musolla tidak dikira sebagai masjid.Al-Imam al-Nawawi berkata:
الْمُصَلَّى الْمُتَّخَذُ لِلْعِيدِ وَغَيْرِهِ الَّذِي لَيْسَ بِمَسْجِدٍ لَا يَحْرُمُ الْمُكْثُ فِيهِ عَلَى الْجُنُبِ وَالْحَائِضِ عَلَى الْمَذْهَبِ وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ
Maksudnya: “Musolla yang dijadikan tempat solat hari raya dan lain-lainnya yang bukan dianggap masjid, tidak haram padanya bagi orang berjunub, wanita haid atas pandangan mazhab. Pendapat ini dipegang oleh jumhur ulama”.Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (2/180)
Surau
Perkataan surau secara yang pastinya bukan berasal dari perkataan Arab. Dan menyebabkan para ulama’ dan fuqaha’ tidak pernah membincangkannya.
Di dalam Kamus Dewan edisi ke-4, surau bermakna “bangunan yang lebih kecil daripada masjid, iaitu tempat orang-orang beribadat seperti bersembahyang dan belajar agama. Ianya sinonim dikalangan masyarakat Melayu, apabila dikatakan surau, dapat difahami bahawa ianya sebuah tempat untuk menunaikan solat dan boleh jadi surau itu adalah sebuah bilik kecil di pejabat ataupun pusat membeli belah ataupun dapat difahami iainya adalah sebuah masjid yang tidak didirikan solat Jumaat padanya.Jika terdapat kawasan perumahan dan di situ terdapat surau, difahami bahawa surau itu padanya dikerjakan solat lima waktu namun tidak didirikan solat Jumaat. Nama lain bagi surau ialah langgar dan madrasah”.
Namun terdapat juga sesetengah surau yang telah dinaiktarafkan sebagai masjid dan terdapat juga yang diberikan kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat dan selalunya istilah yang digunakan adalah surau solat Jumaat.
Berdasarkan perbahasan di atas, maka.dapat kita lihat bahawa fungsi sesetengah surau yang ada di Malaysia adalah menepati ciri-ciri sebuah masjid dari segi definisinya yang tersendiri mengikut hukum syara’ dan kita juga telah mengetahui bahawa istilah surau tidak pernah wujud di dalam Bahasa Arab dan menyebabkan para ulama’ dan fuqaha’ tidak pernah membincangkannya.
Begitu juga sesetengah surau di Malaysia memiliki bangunan Yang sesuai dan juga ada dilaungkan azan padanya, ditunaikan solat lima waktu berjemaah, bahkan surau-surau ini juga ada carta organisasinya yang tersendiri dari sudut pentadbiran.
Pada zaman Nabi Sallahu'alaihiwasallam, terdapat banyak masjid di sekitar Madinah namun jika ingin menunaikan Solat Jumaat, para sahabat r. anhum akan lakukan di Masjid al-Nabawi. Ini bagi menerangkan bahawa pada zaman Nabi Sallahualaihiwasallam, meskipun tidak didirikan solat Jumaat pada masjid tersebut, namun ianya tetap dinamakan dengan masjid.
Kesimpulanya:
Secara urufnya kita melihat bahawa apa yang ada di masjid terdapat juga ciri-cirinya pada surau. Hanya perbezaannya adalah dari segi saiznya yang kecil dan surau pula tidak ditunaikan solat Jumaat padanya . Dari sudut kaedah fiqh, الْعِبْرَةُ بِالْقَصْدِ لا بِالْأَلْفَاظِ yang bermaksud "Yang diambil kira ialah maksud bukannya perkataan (istilah)", boleh kita katakan surau juga ialah tempat untuk solat berjemaah Lima waktu, maka ia sama statusnya dengan masjid walaupun ia tidak dinamakan sebagai masjid.
Dan juga apabila difahami erti masjid dalam Bahasa Arab dan juga istilah fiqh, maka kita dapati kedua-duanya selari dengan surau untuk solat Jumaat dan tidak untuk solat Jumaat, dimana kedua-duanya juga menepati ciri-ciri masjid.
Oleh itu, dibolehkan untuk menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid di surau yang digunakan untuk mendirikan solat Jumaat dan juga yang tidak digunakan untuk mendirikan solat Jumaat
No comments:
Post a Comment