Thursday, October 31, 2019

Hukum solat Jumaat dan keuzuran yang menggugurkan Kewajipannya

Hukum solat Jumaat dan keuzuran yang menggugurkan Kewajipannya. 

Hukum solat jumaat adalah fardhu ain keatas orang Islam yang mukallaf ,ini bermaksud bahawa solat Jumaat adalah merupakan satu kewajipan yang amat dituntut dalam Islam.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat). Surah Al-Jumu’ah: 9

Rasulullah Sallahualaihiwasallam juga memberi ancaman terhadap mereka yang sengaja meninggalkan solat Jumaat. Abu al-Ja`d meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:

مَنْ تَرَكَ الجُمُعَةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: "Barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali kerana meringan-ringankannya, Allah akan mengunci hatinya."Hadis riwayat al-Tirmidzi (500). Beliau menyatakan hadis ini hadis hasan.

Allah Subhanahuwata'la juga menyuruh agar mematuhi dengan sedaya upaya mungkin segala arahan-Nya, dan segala larangan-Nya hendaklah dijauhi semampu mungkin. Sebagaimana firman-Nya:

فَاتَّقُوا اللَّـهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu takut kepada Allah SWT sedaya upaya kamu. Surah at-Taghabun: 16

Namun dalam keadaan yang tertentu, ada rukhsah atau keringanan untuk tidak menunaikan solat Jumaat. Ibn Abbas R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:

مَنْ سَمِعَ الْمُنَادِيَ فَلَمْ يَمْنَعْهُ مِنَ اتِّبَاعِهِ عُذْرٌ فَلَا صَلَاةَ لَهُ قَالُوا: وَمَا الْعُذْرُ؟ قَالَ: خَوْفٌ، أَوْ مَرَضٌ

Maksunya: Barangsiapa yang mendengar (azan) tukang azan lalu dia tidak memiliki keuzuran yang menghalangnya mengikuti solat (jemaah), maka solatnya tidak diterima. Sahabat bertanya, “Apakah itu keuzuran?” Baginda menjawab: “Perasan takut dan sakit.”
Hadis riwayat Abu Daud (464). Sahih

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan, yang bermaksud,“ Setiap keuzuran yang sama tahap kesusahannya dengan kesusahan akibat sakit, dianggap juga sebagai uzur yang dikiaskan dengan sakit yang dinaskan ke atasnya. Justeru itu,  tidak wajib Jumaat ke atas orang yang berasa takut ke atas dirinya atau hartanya.”Rujuk Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/497)

Rukhsah juga diberikan kepada orang bermusafir,  ini berdasarkan kepada perbuatan Nabi Sallahualaihiwasallam yang tidak melakukan solat jumaat ketika Baginda Sallahualaihiwasallam bermusafir  dalam perjalanan menunaikan haji yang mana hari Arafah jatuh pada hari Jumaat, maka Nabi Sallahualaihiwasallam telah melakukan solat Zohor dan Asar secara jamak.

Berdasarkan kepada mazhab Syafi’e, wajib solat Jumaat untuk seorang yang bermusafir dan bermuqim di satu tempat untuk 4 hari atau lebih dan berniat untuk kembali ke tempat asalnya walaupun setelah berlalu tempoh yang lama. (Rujuk Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 1/496)

Menurut mazhab Hanbali pula terdapat keringanan untuk tidak solat Jumaat bagi mereka yang bermusafir dan berada dalam keadaan mukim untuk satu tempoh yang lama tetapi tidak bermastautin. 
Namun demikian, perlu diberi perhatian bahawa rukhsah ini hanya terpakai sekiranya tidak ada jalan lain dan seseorang itu benar-benar berada dalam keadaan darurat.

Kesimpulannya, bahawa tidak ada pilihan untuk tidak solat jumaat, kerana hukum asalnya adalah kewajipan solat Jumaat tidak gugur melainkan kerana sakit, takut dan musafir. 

Jika tiada pilihan lain, barulah dibenarkan untuk berpegang pada salah satu pandangan dalam mazhab Hanbali yang tidak mewajibkan seseorang dalam keadaan musafir muqim untuk solat Jumaat. Umpama ditakuti akan berlaku kesusahan jika hadir untuk solat jumaat seperti takut kehilangan pekerjaan, atau tidak boleh mengambil peperiksaan bagi pelajar yang belajar diluar negara, sehingga terpaksa mengulang semester, atau suatu keadaan yang boleh membawa kepada implikasi kewangan dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...