Thursday, October 31, 2019

Hukum berbuka puasa sunat

Hukum berbuka puasa sunat

1- Berbuka puasa sunat dengan sengaja tanpa sebab. 

Berbuka puasa sunat dengan sengaja adalah makruh dan tidak diwajibkan mengqada’kannya. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 2/118)

Ini berdasarlan hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ RA sabda Nabi Sallahualaihiwasallam:

الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِينُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ

Maksudnya: Seseorang yang berpuasa sunat, jika dia mahu dia boleh teruskan berpuasa, dan jika mahu dia juga boleh berbuka.Hadis Riwayat Imam al- Tirmizi (32)

2- Dibenarkan berbuka puasa sunat dengan sebab ketika dijemput ke sesuatu majlis jamuan makan. 

Para ulama daripada mazhab Syafi’e dan Hanbali berpendapat sekiranya, apabila seseorang itu berpuasa sunat kemudian dijemput menghadiri majlis jamuan, maka sunat berbuka sekiranya membebankan dan menyusahkan tuan rumah. Ini kerana dibenarkan untuk menggantikan puasa sunat itu pada hari yang lain. Oleh sebab itu, ia akan memberi kegembiraan di hati tuan rumah yang menjemputnya. Dan sekiranya ia tidak memberatkan tuan rumah itu, maka afdhal untuk meneruskan puasanya. (Lihat: al-Maus’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/118

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri RA:

دَعَا رَجُلٌ إِلَى طَعَامٍ فَقَالَ رَجُلٌ إِنِّي صَائِمٌ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاكُمْ أَخَاكُمْ وَتَكَلَّفَ لَكُمْ أَفْطِرْ وَصُمْ يَوْمًا مَكَانَهُ إِنْ شِئْتَ

Maksudnya: Setelah dihidangkan makanan, salah seorang daripada sahabat berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa. Lalu Rasullullah Sallahualaihiwasallam bersabda: Saudara kalian telah menjemput dan bersusah payah untuk kalian. Lalu Baginda bersabda: Buka dan gantilah pada hari yang lain sekiranya kamu mahu. Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam syarahnya menyatakan hadis ini sanadnya dhoif akan tetapi disokong oleh riwayat yang lain. (Lihat: Fathul al-Bari li Ibnu Rajab, 9/248)

3- Melihat keadaan majlis serta memaklumkan kepada tuan rumah bahawa ia berpuasa. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi Sallahualaihiwasallam:

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى طَعَامٍ وَهُوَ صَائِمٌ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ

Maksudnya: Sekiranya seseorang daripada kamu dijemput menghadiri jamuan makan, sedangkan ia sedang berpuasa, maka hendaklah ia berkata: sesungguhnya aku sedang berpuasa. Riwayat Muslim (1150)

Imam Nawawi dalam mensyarahkan hadis di atas menyatakan: “Ucapan saya sedang berpuasa sebagai memohon kemaafan dan memberitahu bahwa ia sedang berpuasa. Namun sekiranya orang yang menjemputnya itu memberi kebenaran dan tidak menuntutnya hadir maka gugurlah kewajipanya. Dan sekiranya dituntut untuk menghadirinya, menjadi tanggungjawabnya memenuhi tuntutannya. Puasa bukanlah sebagai alasan untuk tidak menghadirinya. Apabila menghadiri majlis itu, maka dibolehkan ia berbuka”. (Lihat: Syarah al-Nawawi ala Muslim, 8/28)

Justeru itu,  

1- Jika sekiranya dengan berpuasa, tuan rumah tidak keberatan serta memahaminya, maka boleh diteruskan puasanya dan berdoa agar tuan rumah mendapat keberkatan dan kebaikan dengan majlis yang dianjurkannya.

2-Jika sekiranya dengan berpuasa itu, tuan rumah merasa keberatan dan akan membebankannya dengan tempahan yang berkemungkinan akan berlaku pembaziran dan sebagainya, maka afdhal membatalkan puasanya itu. Ini dapat menjaga perasaan dan menyuburkan silaturrahim.

4- Berdoa, 

Apabila seseorang itu berpuasa kemudian dijemput mengahadiri majlis jamuan makan, maka dianjurka agar dia berdoa. Ini berdadarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Sabda Nabi Sallahualaihiwasallam:

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ فَلْيُجِبْ فَإِنْ كَانَ صَائِمًا فَلْيُصَلِّ وَإِنْ كَانَ مُفْطِرًا فَلْيَطْعَمْ

Maksudnya: Apabila dijemput seseorang daripada kamu maka hendaklah ia memenuhi jemputan itu. Sekiranya ia berpuasa, hendak ia berdoa. Dan sekiranya ia tidak berpuasa, hedaklah ia makan.

Riwayat Imam Muslim (1431)

Imam Nawawi menyatakan di dalam syarahnya bahawa maksud (فَلْيُصَلِّ) menurut Jumhur ulama, bahawa ia bermaksud mendoakan bagi yang menyediakan makanan dengan keampunan dan keberkatan serta selainnya. Dan asal perkataan (فَلْيُصَلِّ) dari sudut Bahasa adalah doa.

Dan sekiranya ia berpuasa sunat harus berbuka apabila memberi kesusahan ke atas saudara yang menyediakan majlis itu, dan ini lebih afdhal. Namun sekiranya tidak, lebih baik menyempurnakan puasa itu. (Lihat: Syarah al-Nawawi ala Muslim, 9/236)

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...