Hukum membawa dompet kulit dari bangkai di dalam solat
Kulit bangkai perlu disamak terlebih dahulu untuk menjadikanya suci dan boleh dimanfaatkan untuk kegunaan manusia seperti dibuat beg, dompet dan sebagainya. Oleh kerana ianya telah menjadi suci setelah disamak, maka tiada menjadi masalah jika dibawa ke dalam solat. Ini berdasarkan hadith dan juga penjelasan dari para ulama.
Dari Ibnu Abbas bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda :
إِذَا دُبِغَ الإِهَابُ فَقَدْ طَهُرَ
Maksudnya :” Jika disamak kulit maka ia menjadi bersih.” Riwayat Muslim (838)
Di dalam satu riwayat, Ibnu Abbas pernah menyebut :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- مَرَّ بِشَاةٍ مَطْرُوحَةٍ أُعْطِيَتْهَا مَوْلاَةٌ لِمَيْمُونَةَ مِنَ الصَّدَقَةِ فَقَالَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- أَلاَّ أَخَذُوا إِهَابَهَا فَدَبَغُوهُ فَانْتَفَعُوا بِهِ
Maksudnya :” Sesungguhnya Rasulullah pernah melalui satu kawasan yang mana ada seekor kambing yang dibuang. Ia diberikan oleh hamba kepada Maimunah yang diperoleh daripada sedekah. Maka Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda : Adakah kamu tidak mahu mengambil kulitnya. Kemudian mereka menyamak kulit tersebut dan mengambil manfaat daripadanya .”
Riwayat Muslim (835)
Pada awalnya mereka menyangka bahawa seluruh tubuh kambing itu menjadi bangkai, sehinggakan tidak boleh dimanfaatkan apapun dari tubuhnya. Ternyata Rasulullah Sallahualaihiwasallam membolehkan kulit bangkai itu dimanfaatkan apabila kulit itu disamak terlebih dahulu. Namun pun begitu dagingnya memang haram dan tidak boleh dimakan
Takrif bangkai:
1-Binatang yang halal dimakan tetapi mati tanpa disembelih atau disembelih bukan dengan cara Islam.
2-Binatang yang haram dimakan samaada disembelih atau tidak disembelih, ianya tetap dinamakan sebagai bangkai.
Samak adalah satu proses di mana kulit haiwan disucikan dan dibersihkan yang pada asalnya adalah najis.
Dalam bahasa Arab, samak dikenali dengan sebutan (دباغ).
Al-Khatib Asy-Syarbini (w. 977) menyebutkan definisi menyamak kulit (دباغ) adalah :
نَزْعُ فُضُول الْجِلْدِ وَهِيَ مَائِيَّتُهُ وَرُطُوبَاتُهُ الَّتِي يُفْسِدُهُ بَقَاؤُهَا
Menghilangkan kotoran pada kulit baik iaitu yang berbentuk cair dan basah, dimana kulit itu akan rosak bila keduanya masih ada. Rujuk: Al-Khatib Asy-Syarbini, Mughni Al-Muhtaj, jilid 1 hal. 82
Samak adalah satu proses bagaimana najis ‘ain boleh berubah menjadi suci. Bukan dengan cara dibersihkan dari najis yang menempel, melainkan benda najisnya itu sendiri yang diubah menjadi benda suci.
Pada prinsipnya menyamak kulit adalah mengolah kulit mentah (hides atau skins) menjadi kulit tersamak (leather) dengan menggunakan bahan penyamak.
Pada proses penyamakan, semua bahagian kulit mentah yang bukan colagen saja yang bertindakbalas dengan zat penyamak. Kulit yang telah disamak akan menjadi sangat berbeza dengan kulit mentah(yang belum disamak) dari segi sifat organoleptis, fizik, mahupun kimianya.
Ada dua pandangan ulama berkenaan status kesucian kulit bangkai haiwan yang dibersihkan menggunakan proses samak:
1- Ulama syafi’iyah, hanafiah dan sebahagian ulama hanabilah mengatakan bahawa antara cara untuk menyucikan kulit bangkai haiwan adalah dengan proses samak. Kulit bangkai haiwan yang halal dimakan dagingnya atau yang tidak halal dimakan dagingnya akan menjadi suci dengan proses samak kecuali kulit khinzir dan anjing. Ini berdasarkan beberapa dalil daripada hadith. Antaranya :
Daripada Ibnu Abbas R.A bahawa Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda :
إِذَا دُبِغَ الإِهَابُ فَقَدْ طَهُرَ
Maksudnya :” Jika kulit telah disamak maka ia menjadi bersih.” Riwayat Muslim (838)
Daripada Salamah Bin Al-Muhabbak Al-Huzali :
أَنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي غَزْوَةِ تَبُوكَ دَعَا بِمَاءٍ مِنْ عِنْدِ امْرَأَةٍ فَقَالَتْ مَا عِنْدِي إِلاَّ فِي قِرْبَةٍ لِي مَيْتَةٍ ، فَقَالَ : أَلَيْسَ قَدْ دَبَغْتِهَا ؟ قَالَتْ : بَلَى قَالَ فَإِنَّ دِبَاغَهَا ذَكَاتُهَا
Maksudnya :” Sesungguhnya Nabi Sallahualaihiwasallam ketika perang Tabuk memohon air daripada seorang wanita. Wanita itu berkata : Tiada apa pada aku melainkan ada bekas air yang dibuat daripada kulit bangkai. Nabi Sallahualaihiwasallam bertanya : bukankah engkau telah menyamaknya? Wanita itu menjawab :Ya, aku telah menyamaknya. Nabi Sallahualaihiwasallam bersabda : Sesungghnya samak itu sama seperti menyembelihnya (iaitu menjadi suci dan boleh digunakan).” Riwayat Al-Nasaie (4555)
Imam Al-Mawardi (w. 450 H) yang merupakan tokoh ulama dalam mazhab Asy-Syafi'iyah menulis di dalam kitabnya, seperti berikut :
فأما المأكول فَيَطْهُرُ جِلْدُهُ بِالذَّكَاةِ إِجْمَاعًا، وَبِالدِّبَاغَةِ إِنْ مَاتَ
Adapun haiwan yang halal dimakan maka kulitnya disucikan dengan penyembelihan (secara ijma') dan kalau sudah mati disucikan dengan penyamakan. Rujuk: Al-Hawi Al-Kabir fi Fiqhi Al-Imam Asy-Syafi'i, jilid 1 hal. 59
Al-Imam An-Nawawi (w. 676 H) yang merupakan icon dari mazhab Asy-Syafi'i menulis seperti berikut :
وَالثَّانِي: أَنْ يُدْبَغَ جِلْدُ الْمَيْتَةِ، فَيَطْهُرُ بِالدِّبَاغِ مِنْ مَأْكُولِ اللَّحْمِ وَغَيْرِهِ، إِلَّا جِلْدَ كَلْبٍ، أَوْ خِنْزِيرٍ، وَفَرْعَهُمَا، فَإِنَّهُ لَا يَطْهُرُ قَطْعًا
Kedua : kulit bangkai yang disamak. Haiwan yang halal dagingnya atau yang selainnya (tidak halal), maka hukumnya suci bila disamak, kecuali anjing, babi dan keturunannya. Hal itu kerana memang asalnya tidak boleh disucikan. Al-Imam An-nawawi, Raudhatu Ath-Thalibin wa Umdatu Al-Muftiyyin, jilid 1 hal. 41
Imam Al-Nawawi juga mencatit:
“Setiap daripada kulit haiwan yang menjadi najis disebabkan mati (iaitu bangkai) boleh disucikan dengan samak.Kecuali khinzir dan anjing atau apa yang lahir dari kedua-duanya. Inilah yang disepakati dalam mazhab kami.” Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab (4/382)
Imam Al-Nawawi juga mencatit bahawa:
“Jika kulit telah suci dengan samak maka diperbolehkan untuk mengambil manfaat daripadanya.Sama ada dalam keadaan basah atau kering dan boleh dibawa ketika solat.” Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab (1/227)
Akan tetapi, di dalam mazhab Abu Hanifah menyebut bahawa kulit anjing menjadi suci dengan proses samak.Ini kerana di sisi mereka anjing tidak dianggap sebagai najis ‘ain.Al-Kasani (w. 587 H), salah satu dari ulama mazhab Al-Hanafiyah menuliskan dalam kitabnya,sebagai berikut :
وَمَنْ قَالَ: إنَّهُ لَيْسَ بِنَجِسِ الْعَيْنِ فَقَدْ جَعَلَهُ مِثْلَ سَائِرِ الْحَيَوَانَاتِ سِوَى الْخِنْزِيرِ وَهَذَا هُوَ الصَّحِيحُ لِمَا نَذْكُرُ
Dan yang mengatakan bahawa (anjing) itu tidak termasuk najis ain, maka mereka menjadikannya seperti semua haiwan lainnya kecual babi. Dan inilah yang shahih dari pendapat kami. Rujuk: Badai' Ash-Shanai', jilid 1 hal. 63
Justeru itu, maka daripada pandangan ini,jika seseorang solat dalam keadaan dia membawa bekas atau barang yang diperbuat daripada kulit haiwan maka sah solatnya. Ini kerana kulit tersebut telah pun menjadi suci dengan sebab proses samak itu tadi.
2- Ulama dari kalangan Mazhab maliki dan sebahagian pandangan di dalam mazhab hanbali mengatakan bahawa kulit bangkai haiwan tidak menjadi suci dengan proses samak.Mereka berlandaskan kepada beberapa hadith. Antaranya:
Daripada Abdullah Bin ‘Ukaim :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَتَبَ إِلَى جُهَيْنَةَ قَبْلَ مَوْتِهِ بِشَهْرٍ : أَلاَّ تَنْتَفِعُوا مِنَ الْمَيْتَةِ بِإِهَابٍ وَلاَ عَصَبٍ
Maksudnya :” Sesungguhnya Rasullullah SAW menghantar surat kepada kabilah Juhainah sebulan sebelum kematian Baginda : Jangan kalian mengambil manfaat daripada bangkai sama ada kulitnya atau tulangnya.”
Riwayat Al-Baihaqi (42) di dalam Al-Sunan Al-Kubra
Di dalam riwayat lain, Nabi SAW pernah mengutus surat kepada satu kabilah. Sabda Baginda :
أني كنت رخصت لكم في جلود الميته فلا تنتفعوا من الميتة بجلد ولا عصب
Maksudnya :” Aku pernah memberi rukhsah kepada kalian berkenaan kulit haiwan yang menjadi bangkai. Maka (sekarang) jangan mengambil manfaat daripada bangkai sama ada kulit atau tulangnya.”
Riwayat Al-Tabarani (104) di dalam Al-Mu’jam Al-Awsat
Al-Hathab Ar-Ru'aini (w. 954 H) Yang merupakan tokoh ulama di dalam mazhab Maliki menulis di dalam kitab Mawahibul Jalil fi Syarhi Mukhtashar Khalil menuliskan sebagai berikut :
الْمَشْهُورُ مِنْ قَوْلِ مَالِكٍ الْمَعْلُومُ مِنْ مَذْهَبِهِ أَنَّ جِلْدَ الْمَيْتَةِ لَا يُطَهِّرُهُ الدِّبَاغُ
Yang masyhur dari pendapat Imam Malik dan diketahui dari mazhabnya bahawa penyamakan tidak menyucikan kulit bangkai. Rujuk:Al-Hathab Ar-Ru'aini, Mawahibul Jalil fi Syarhi Mukhtashar Khalil, jilid 1 hal. 101
Ibnu Qudamah (w. 620 H) dari mazhab Al-Hanabilah menuliskan di dalam kitab Al-Mughni bahawa kulit bangkai hukumnya najis, baik sebelum disamak ataupun setelahnya.
وَكُلُّ جِلْدِ مَيْتَةٍ دُبِغَ أَوْ لَمْ يُدْبَغْ فَهُوَ نَجِسٌ لا يَخْتَلِفُ الْمَذْهَبُ فِي نَجَاسَةِ الْمَيْتَةِ قَبْلَ الدَّبْغِ، وَلا نَعْلَمُ أَحَدًا خَالَفَ فِيهِ، وَأَمَّا بَعْدَ الدَّبْغِ فَالْمَشْهُورُ فِي الْمَذْهَبِ أَنَّهُ نَجِسٌ أَيْضًا
Semua kulit bangkai yang sudah disamak ataupun yang belum disamak maka hukumnya najis. Para ulama di dalam mazhab Hanbali tidak berbeza pendapat atas najisnya kulit bangkai sebelum disamak, tidak ada satupun yang kita ketahui ulama yang berbeza. Sedangkan setelah disamak, maka yang paling masyhur di dalam mazhab hukumnya najis juga. Rujuk: Ibnu Qudamah, Al-Mughni, jilid 1 hal. 49
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak
Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...
-
Sebuah pesanan kepada para Haji dan Hajjah. Di hari-hari yang terbatas jumlahnya, pada awal bulan Zulhijah yang merupakan salah satu rangkai...
-
Hukum Puasa enam di Bulan Syawal serta permasalahan yang berkaitan dengannya dan pendapat Imam Malik tentang hukum puasa enam di bulan Syaw...
-
Harta pusaka menurut perspektif Islam Harta pusaka adalah semua harta yang dimiliki oleh si mati semasa hayatnya secara halal dan berterusan...
No comments:
Post a Comment