Thursday, October 31, 2019

Hukum berimamkan Imam yang berlainan mazhab

Hukum berimamkan Imam yang berlainan mazhab

Sah solat seorang makmum bersama dengan imam yang berlainan mazhab dengan syarat dia yakin akan sahnya solat imam tersebut. Hal ini kerana mereka hanya berbeza pada perkara furu’, bukan pada perkara usul. Keterbukaan dan toleransi sesama umat islam adalah amat penting, selagimana seseorang itu dianggap sah solatnya, pada pandangan mana-mana mazhab yang muktabar, maka tidak ada masalah dalam solat mereka antara imam dan makmum. Perbezaan dalam mazhab ini sebenarnya rahmat bagi sekalian umat islam dalam menyelesaikan pelbagai isu terutamanya dalam isu fiqh.

Firman Allah Subhanahuwata'ala:

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ . إِلّا مَنْ رَّحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لأمْلأنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudya: Dan kalaulah Tuhanmu mengkehendaki, tentulah Dia menjadikan manusia umat yang satu. Dan kerana itulah mereka terus menerus berselisih. Kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu, dan kerana itulah Dia menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu, ‘Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam daripada jin dan manusia (yang derhaka). Surah Hud (118-119)

Ibn Kathir dalam tafsirnya mengatakan: Pendapat-pendapat dalam kalangan manusia dalam perkara agama, iktiqad, caraa hidup, mazhab dan pandangan akan terus berlaku. Kata Ikrimah, “Manusia adalah berbeza dalam menerima petunjuk dan hidayah Allah,”. Kata al-Hasan al-Basri pula,”Perbezaan juga berlaku dalam menerima rezeki, ada yang kaya memperoleh banyak rezeki, ada yang miskin, sedikit rezekinya.” Dan pendapat masyhur yang lebih tepat adalah pandangan yang pertama. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/361)

Berpandukan firman Allah Subhanahuwata'ala di atas perbezaan yang berlaku dalam kalangan manusia ini akan terus berlaku. Justeru itu, Islam datang dengan rahmat dan Islam juga sangat meraikan perbezaan yang menjurus kepada kemaslahatan ummah.

Mazhab dalam fiqh adalah sebuah metodolgi dalam mengambil kesimpulan hukum yang bersumber dari Al-Quran dan As-Sunnah. Perbezaan-perbezaan yang wujud antara mazhab-mazhab fiqh yang muktabar hanyalah perbezaan kecil yang melibatkan hal-hal cabang, iaitu perkara-perkara furu’iyyah. Ia bukanlah perbezaan yang melibatkan perkara-perkara usul seperti aqidah, tauhid mahupun prinsip-prinsip dasar agama.

Mazhab fiqh merupakan bentuk variasi dalam metodologi ilmiah, di mana masing-masing mazhab itu mewakili kekuatan ilmiah masing-masing. Perbezaan antara mazhab ini muncul atas beberapa sebab yang sememangnya sukar untuk dielakkan, seperti perbezaan tafsiran terhadap sesuatu dalil, perbezaan memahami sesuatu istilah dari sudut bahasa Arab atau berbeza tanggapan terhadap kekuatan sesuatu hadith dan sebagainya. Ini semua adalah sesuatu yang lumrah lagi terbuka dalam agama dan ia adalah sesuatu yang sudah diterima umat sejak dari hari-hari pertama sejarah agama Islam ini lagi.

Umpama jika kita bandingkan dengan dunia software, sekira-kiranya mazhab fiqh ditamsilkan dengan keberadaan sistem operasi pada PC yang kita kenal dewasa ini. Misalnya, ada yang menggunakan microsof Windows, ada yang menggunakan Apple Machintos, bahkan ada yang menggunakan Linux yang freeware.

Semuanya berguna untuk manusia sebagai sistem operasi PC, di mana masing-masing ada mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Kalau dalam satu komuniti terdapat beberapa sistem operasi, bukan bererti di dalamnya telah terjadi perpecahan atau peperangan. Walaupun terdapat perbezaan dalam sistem operasi, masing-masing PC tetap boleh berhubung dalam satu jaringan.
Demikian jugalah dengan solat berjamaah dengan imam yang berbeza mazhab yang umpama dilakukan dengan sistem operasi yang berbeza, namum tetap berhubung dalam satu jaringan.

Perbezaan yang timbul antara ajaran mazhab tidak sepatutnya menjadi batu penghalang bagi kita umat Islam dari bersatu berjemaah mendirikan solat menghadap Allah Subhanahuwata'ala.

Para sahabat dan generasi-generasi selepas mereka saling bersolat jemaah sesama mereka sekalipun terdapat perbezaan pendapat dalam beberapa hal furu' sesama mereka sendiri. Teladan ini juga didokongi oleh para Imam Mazhab sendiri.
Kata Ibn Qudamah: Maka mereka yang berbeza pada perkara furu’ seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’e, solat di belakang mereka sah dan tidak makruh. Imam Ahmad memberikan nas bahawa para sahabat dan tabi’in dan generasi selepas mereka, terus menerus solat berimamkan sesama mereka walaupun mereka berbeza pandangan pada perkara furu’, hal ini seolah-olah menunjukkan mereka ijma’ dalam perkara ini. (Lihat al-Mughni, 2/141)

Keadaan ini dibuktikan oleh sejarah umat islam daripada generasi ke generasi, semua daripada mereka akan Mekah dan Madinah bagi melaksanakan ibadah haji mereka, padahal imam-imam di kedua-dua masjid kota suci tersebut, Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi sewaktu ketika dahulu adalah terdiri dari anak-anak murid Imam Malik bin Anas, iaitu bermazhab Maliki dan sehingga sekarang para imam di dua tanah suci tersebut bermazhab Hanbali. Akan tetapi perbezaan mazhab Yang sebegini tidak menghalang mereka dari bersolat jemaah bersama-sama, sekalipun terdapat perbezaan dalam etika solat seperti bacaan Basmalah dan bacaan doa qunut Subuh antara keempat-empat mazhab tersebut.

Oleh itu, seseorang makmum itu boleh bersolat di belakang seorang imam yang berbeza mazhab dengannya. Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، فَقُولُوا: رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا، وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya.  Apabila dia rukuk, maka rukuklah. Apabila dia membaca 'Sami’Allahu li man Hamidah' maka katalah 'Rabbana wa lak al-Hamd' . Apabila dia sujud, maka sujudlah. Dan apabila dia solat duduk maka bersolat duduklah kamu semua (dalam jemaah). Riwayat al-Bukhari (734) dan Muslim (414)

Berdasarkan hadith di atas, Jumhur ulama diantaranya mazhab Al-Hanafiyah, Al-Malikiyah dan Al-Hanabilah berpendapat bahawa solat makmum mesti sama dalam satu kesatuan dengan solat imam. Iaitu yang mesti sama kurang-kurangnya pada sebab, gerakan dan sifatnya. Umpamanya,mereka berpendapat:

a-Tidak sah solat seorang makmum yang niat solat Zuhur tetapi bermakmumkan kepada imam yang sedang solat Asar. Dan juga tidak sah bila berlaku sebaliknya.
b-Tidak sah solat seorang yang berniat mengerjakan solat fardhu tetapi bermakmum kepada orang yang berniat solat sunnah.

Namun mazhab Asy-Syafi'iyah memahami hadith di atas bukan seperti apa yang dipahami oleh jumhur ulama. Sehingga dalam pandangan mazhab Asy-Syafi'iyah, syarat kesamaan solat imam dan makmum itu tidak pada keseluruhan sisi solat, namun hanya pada sisi kerangka besar dan bentuknya secara umum sahaja.

Madzhab Asy-Syaf'iyah tidak mewajibkan kesamaan pada sebab, gerakan dan sifat solat, cukup memadai hanya kesamaan dalam bentuk dasar dan posisi utama. Maka dalam mazhab Asy-Syafi'iyah hal-hal berikut ini dibenarkan dan dianggap sah solat, umpamanya:

a-Dibenarkan seorang yang berniat solat Zuhur bermakmumkan kepada imam yang solat Asar, atau sebaliknya.
b-Dibenarkan orang yang berniat solat qadha bermakmumkan kepada imam yang tidak sedang solat tunai, atau sebaliknya.
c-Dibenarkan orang yang solat sunat bermakmumkan kepada orang yang solat wajib, atau sebaliknya.

Imam al-Nawawi mencatatkan dalam syarahnya, “Pada hadith ini menunjukkan bahawa wajib makmum mengikut imam pada takbir, pada berdiri, pada duduk, pada ruku' dan pada sujud.” (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim,4/132 )

Juga hadith daripada Abu Mas’ud al-Ansari RA bahawa Rasulullah Sallahualaiwasallam bersabda:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِي الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِي السُّنَّةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِلْمًا

Maksudnya: Yang menjadi imam kepada sesebuah kaum itu adalah mereka yang paling mahir terhadap Kitab Allah (al-Quran). Sekiranya mereka setanding dalam bacaan maka (dahulukan) yang paling berilmu tentang al-Sunnah (untuk menjadi imam). Sekiranya pengetahuan mereka terhadap Sunnah itu sama maka yang menjadi imam adalah mereka yang paling awal berhijrah. Sekiranya mereka sama dalam berhijrah pula dahulukanlah mereka yang paling awal memeluk agama Islam.
Riwayat Muslim (673)

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis di atas mencatatkan bahawa: “Sesungguhnya individu yang paling warak didahulukan ke atas orang yang faqih dan lebih mahir tentang al-Quran. Ini kerana tujuan dari menjadi imam itu akan terhasil lebih banyak dari orang yang warak berbanding selainnya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/173).

Hadith ini menunjukkan seseorang imam itu bukan diikut kerana mazhab yang sama, tetapi berdasarkan kriteria yang ditetapkan, seperti yang paling wara’, yang paling baik bacaannya, yang paling faqih dan seumpamanya.

Dalam hadith yang lain pula Rasulullah Sallahualaiwasallam bukan sahaja melarang perbuatan solat yang berbeza dengan imam, tetapi juga melarang seseorang itu daripada melakukan sesuatu perbuatan solat yang mendahului imam sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah Sallahualaiwasallam bersabda:

أَمَا يَخْشَى أَحَدُكُمْ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ قَبْلَ الإِمَامِ، أَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ رَأْسَهُ رَأْسَ حِمَارٍ، أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ صُورَتَهُ صُورَةَ حِمَارٍ

Maksudnya: Tidak takutkah salah seorang dari kalian apabila dia mengangkat kepalanya dari rukuk dan sujud sebelum imam, (lalu) Allah akan menjadikan kepalanya (seperti) kepala keldai atau Allah akan menjadikan bentuknya (seperti) bentuk keldai. Riwayat al-Bukhari (691) dan Muslim (427)

Justeru itu, kita ditegah dari melakukan sesuatu pergerakan solat yang berbeza dengan imam semata-mata kerana perbezaan mazhab antara imam dan makmum. Ini adalah berdasarkan perintah yang jelas daripada baginda Nabi Sallahualaiwasallam yang melarang para makmum melakukan sesuatu pergerakkan solat yang berbeza dengan imam yang mereka ikuti.

Di antara syarat-syarat yang ditetapkan dalam mazhab Syafi'e falam hal mengikut imam adalah, makmum tidak boleh beriktiqad bahawa batalnya solat imam. Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebut di dalam kitabnya, ”Sekiranya seorang yang bermazhab syafi’e mengikut imam yang bermazhab hanafi yang berwudhu' dan bersolat berdasarkan mazhabnya, dan orang yang bermazhab Syafi'e tersebut beriktiqad bahawa solat imam yang bermazhab Hanafi itu batal, maka tidak sah untuk dia mengikutnya. Ibrahnya bergantung kepada iktiqad makmum terhadap sahnya solat imam ataupun tidak.  Secara praktikalnya, seorang makmum mesti beriktiqad bahawa sahnya solat imam yang diikuti walaupun mereka berbeza pada perkara furu’ dan pada perkara ijtihad, serta sah solat imam yang diikutinya dengan sangkaan baiknya.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 1/414)

Imam al-Nawawi pula menyebut: ”Sekiranya seorang yang bermazhab syafie mengikuti imam yang bermazhab hanafi, dan imam tersebut tunggu sebentar selepas bangun daripada ruku', dan dia sempat untuk berqunut, maka dia boleh lakukannya. Jikalau dia tidak sempat, maka dia mesti mengikut imam untuk bersujud, dan dia perlu sujud sahwi jika kita menganggap ianya iktiqad makmum, manakala jika kita menganggap ianya iktiqad imam, maka tidak boleh untuk dia bersujud sahwi. Sekiranya seorang yang bermazhab Hanafi solat di belakang imam bermazhab syafi'e dalam solat subuh, maka imam meninggalkan qunut disebabkan terlupa dan dia sujud sahwi, maka makmum tersebut perlu mengikutnya, dan sekiranya dia meninggalkan sujud sahwi, dia perlu sujud sahwi jika kita menganggap ianya iktiqad imam, jika tidak, dia tidak perlu sujud sahwi”. (Lihat Raudhah al-Talibin wa 'Umdah al-Muftin,1/348)

Justeru itu, maka bagi seseorang yang mengikuti seseorang imam, hendaklah bersangka baik dan yakin bahawa sahnya solat imam yang diikutinya, serta mengikut setiap tatacara solat imam tersebut. Sikap sebegini adalah merupakan dasar manhaj para imam mazhab yang empat dan ia paling menepati tujuan serta objektif pensyari'atan solat berjemaah itu sendiri.

No comments:

Post a Comment

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak

Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...