Hukum Hadir Ke Majlis Perkahwinan (الْوَلِيمَةِ) melalui Facebook Event atau aplikasi media yang seumpamanya.
Daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:
إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.
Riwayat Muslim 1053
Juga, hadith Yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, antaranya:
وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ
Maksudnya: Dan apabila dia menjemput kamu (ke sesuatu majlis) maka hendaklah kamu menerimanya (menghadirinya).Riwayat Muslim (2162)
Isu jemputan perkahwinan yang datang melalui facebook event, kumpulan whats app (whats app group), dan sebagainya yang datang dalam bentuk jemputan umum adalah sama dengan hukum jemputan yang datang dalam bentuk yang umum seperti jemputan perkahwinan di majlis yang terdapat di dalamnya ramai orang, dan jika seseorang itu berada dalam majlis tersebut, maka tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk menghadirinya, ini adalah pandangan di sisi majoriti ulama.
Namun demikian, secara asasnya wajib bagi seseorang itu untuk memenuhi undangan perkahwinan yang ditujukan khas kepada dia meskipun ia dijemput melalui facebook. Tambahan pula ia turut disertakan pula dengan jemputan yang sama melalui medium-medium lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan, dan selainnya.
Hukum wajib menghadiri jemputan perkahwinan adalah berdasarkan pada pandangan majoriti ulama. Namun begitu sekiranya seseorang itu tidak ada sebarang keuzuran yang menghalang. Namun jika ada keuzuran maka ia tidaklah dianggap berdosa jika tidak hadir ke majlis tersebut. Bentuk-bentuk keuzuran boleh dilihat pada huraian di bawah.
Kebiasaannya jemputan yang datang dalam bentuk facebook event ini sekadar proses pemudah cara dalam menentukan jumlah bilangan individu yang akan hadir ke majlis perkahwinan tersebut dari kalangan rakan-rakan facebook pengantin. Bahkan kebiasaannya mereka akan menyebut bahawa kad jemputan akan menyusul sekiranya kita menekan pilihan going (akan hadir).
Perubahan dalam gaya hidup masa kini seiring dengan perkembangan teknologi media perhubungan masa kini, termasuklah isu jemputan ke majlis perkahwinan. Maka disini perlu dilihat beberapa kaedah asas yang berkaitan dengan isu ini. Antaranya:
العادة محكَّمة
Maksudnya: Adat itu menjadi penentu hukum.
Justeru itu, dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku. Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya. Maka adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus bagi sesuatu hukum
Ini juga bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang menyebut secara umum, bagi hukum perbuatan yang harus:
الوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَام المَقَاصِد
Maksudnya: Wasilah-wasilah mengambil pakai hukum maqasid.
Jelasnya, sekiranya tujuan seseorang ingin menjemput orang ramai hadir ke majlis perkahwinannya, adalah dibolehkan untuk dia menggunakan apa sahaja wasilah jemputan yang harus sama ada melalui lisan, kad jemputan, atau aplikasi media sosial seperti facebook, twitter, dan seumpamanya.
Hukum asal menghadiri Jemputan perkahwinan adalah wajib disisi majoriti para ulama, mereka berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:
إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.
Riwayat Muslim 1053
Hukum wajib tersebut berdasarkan perkataan Nabi Sallahualaihiwasallam فَلْيَأْتِهَا . Ianya merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fekah.
Imam Al-Nawawi ada menyatakan dalam syarahan beliau ke atas hadis di atas berkata: ‘’Pendapat paling sahih dalam mazhab kami, hukum menghadiri kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput, akan tetapi kewajipan tersebut akan tergugur disebabkan beberapa keuzuran berikut:
1-Sekiranya ada syubhah (keraguan) pada makanan.
2-Adanya kemungkaran di dalam majlis tersebut. Jika seseorang itu mampu untuk mengubah kemungkaran tersebut maka wajib ia mengubahnya. Manakala sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia tidak menghadiri majlis tersebut.
3-Majlis perkahwinan yang hanya mengkhususkan orang-orang kaya sahaja untuk hadir. Ini berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:
شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُدْعَى لَهَا الأَغْنِيَاءُ وَيُتْرَكُ الْفُقَرَاءُ
Maksudnya: Seburuk-buruk makanan adalah makanan pada majlis perkahwinan yang dijemput padanya orang-orang kaya dan ditinggalkan (tidak dijemput) orang-orang miskin.Riwayat Ibn Majah (1913)
4-Majlis perkahwinan yang dijemput oleh dzimmi (orang bukan Islam), maka pendapat yang sahih di sisi mazhab Imam Al-Syafie adalah tidak wajib untuk menghadirinya.Pada berpandangan para ulama’ mazhab Syafi’e, hukum menghadiri jemputan walimah orang bukan Islam ialah sunat sekiranya jemputan itu datang daripada kaum keluarga dan jiran tetangga atau jika kehadiran kita akan memberi manfaat kepada dakwah Islam. Rujuk Nihayah Al- Muhtaj, Al-Ramli (6/371).
5-Kesesakan lalu lintas, hujan lebat, dan seumpamanya. Dr. Wahbah Al-Zuhail ada mencatat dalam kitab beliau: ‘’Antara keuzuran yang menggugurkan kewajipan untuk memenuhi jemputan adalah: Banyaknya kesesakan, hujan lebat, jalan lecah, sakit, dan seumpamanya’’. Rujuk Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, Al-Zuhaili (9/6622).
Juga dikiaskan dari keuzuran untuk solat Jumaat seperti;
6-Kenduri perkahwinan tersebut berlangsung jauh dari kediaman mereka yang dijemput.
Hingga menyukarkan dari segi perbelanjaan atau keselamatan diri mereka.
7-Kesibukan orang-orang yang dijemput seperti tokoh-tokoh agama dan juga pemimpin masyarakat.
8-Banyaknya jemputan kenduri yang lain dalam hari yang sama di tempat-tempat yang jauh jaraknya. Hingga menyukarnya dari segi pengangkutan, perbeanjaan, masa, keselamatan dan sebagainya.
Ini bermaksud, tidak menghadiri jemputan majlis perkahwinan tanpa ada keuzuran syar'ei dianggap sebagai suatu maksiat kepada Allah Subhanahuwata'ala dan tidaklah perbuatan itu dianggap maksiat melainkan padanya dengan meninggalkan yang wajib.
Ini berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah Sallahualaihiwasallam bersabda:
وَمَنْ لَمْ يُجِبِ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ
Maksudnya: Dan sesiapa yang tidak menyahut jemputan (dengan menghadirinya), sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya.
Riwayat Muslim (1432)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak
Nabi Muhammad obor masyarakat dalam semua perkara termasuk aqidah, Syariat dan akhlak Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan ...
-
Sebuah pesanan kepada para Haji dan Hajjah. Di hari-hari yang terbatas jumlahnya, pada awal bulan Zulhijah yang merupakan salah satu rangkai...
-
Hukum Puasa enam di Bulan Syawal serta permasalahan yang berkaitan dengannya dan pendapat Imam Malik tentang hukum puasa enam di bulan Syaw...
-
Harta pusaka menurut perspektif Islam Harta pusaka adalah semua harta yang dimiliki oleh si mati semasa hayatnya secara halal dan berterusan...
No comments:
Post a Comment