Thursday, August 8, 2024

Aqidah Islam

Aqidah Islam

Aqidah memainkan peranan utama dalam pembentukan masyarakat ke arah Islam. Aqidah Islam juga merupakan suatu kepercayaan yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam yang diwahyukan oleh Allah Subhanahuwata'ala selaku Tuhan dan pencipta sekelian alam untuk disebarkan keseluruh alam demi mengeluarkan manusia daripada kegelapan (kejahilan) kepada sinaran Islam. Aqidah ini menafikan wujudnya tuhan selain Allah dan mengiktiraf bahawa Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam ialah pesuruhnya.


Selepas Nabi Isa ‘alaihissalam diangkat kelangit, manusia kembali terjerumus kelembah kejahilan. Mereka mula melakukan perkara-perkara terlarang sebagaimana ketika kehidupan mereka sebelum diutuskan Nabi dan Rasul. Para Ahli kitab pula khususnya telah menyelewengkan isi kandungan kitab injil.


Dalam tempoh itu, manusia berada dalam kesesatan yang nyata sehinggalah Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan. 


Bangsa Arab membunuh anak-anak perempuan mereka yang baru dilahirkan, kerana mereka mempercayai bahawa anak perempuan apabila telah dewasa akan mendatangkan kepapaan dan  keaiban kepada keluarga mereka.


Kaum wanita pula dijadikan alat permainan yang hanya berfungsi sebagai alat pemuas nafsu lelaki semata. Wanita diletakan pada martabat paling bawah, mereka tidak dapat mewarisi harta apabila suami mereka mati, bahkan mereka pula akan diwarisi oleh anak-anak mereka pada zaman jahiliyah. Anak lelaki akan mengambil ibu mereka menjadi salah seorang isteri mereka apabila ayah mereka meninggal. Namun setelah kedatangan Islam, maka Islam telah mengharamkan perbuatan ini.


Khamar (arak) pula menjadi tradisi dalam masyarakat Arab. Meminum arak menjadi satu kebanggaan bahkan menjadi keaiban kepada masyarakat Arab jahiliyah apabila tetamu yang bertandang ke rumah tidak disajikan dengan arak. Melihat manusia sudah melencong dari aqidah yang sebenar, nilai-nilai moral yang murni telah terhakis dan kejahilan mendorong manusia melakukan kemaksiatan tanpa segan silu, maka Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam diutuskan sebagai rahmat kepada sekelian alam.


Firman Allah Subhanahuwata’ala,


وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ


Maksudnya:”Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. Anbiya ayat 107.


Muslimin dan muslimat, tanpa ada pengecualian adalah wajib menyakini aqidah yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam tersebut secara jazam atau secara pasti tanpa ada sedikitpun keraguan dalam diri masing-masing. Bahkan dalam masyarakat yang bergelar Islam, aqidah tersebut mesti ditanam, dijaga dan dipelihara didalam diri setiap individu. Tidak cukup dengan itu sahaja, aqidah Islam ini mestilah disebarkan keseluruh pelosok dunia agar  sekelian manusia dapat melihat cahayanya.  


وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ


Maksudnya:”Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui”. Saba’ ayat 28


Agama Islam merupakan agama sekelian umat manusia, bukan kepada bangsa-bangsa tertentu sahaja. Dengan hanya satu tujuan iaitu untuk mengeluarkan manusia daripada dunia 

kejahilan  yang menyembah partung-patung, api dan matahari kesuatu alam yang diredhai Allah dengan mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala.


Aqidah Islam menyeru sekalian manusia supaya beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala, para Malaikat-Nya, kitab-kitab yang diturunkan-Nya, para Rasul sebagai utusan-Nya, hari Akhirat serta qada dan qadar.


Firman Allah Subhanahuwata’ala, 


آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْ رُسُلِهِ ۚ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ


Maksudnya:”Rasul telah beriman kepada Al Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeza-bezakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat". (Mereka berdoa): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali”. Al-Baqarah ayat 285.


Hadith yang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab, menceritakan pada suatu hari,para sahabat berkumpul bersama-sama Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, Malaikat Jibril ‘alaihissalam datang dalam bentuk seorang lelaki yang sangat kemas rupa aras dan pakaiannya, lalu bertanya kepada Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam mengenai Iman . Daripada Umar al-Khattab RA, bahawa Nabi Sallallahu'alaihiwasallam bersabda:

 

فَأَخْبِرْنِي عَنِ اْلإِيْمَانِ قَالَ: أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ وَمَلاَئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ


Maksudnya: “Jibril bertanya Nabi Sallallahu'alaihiwasallam: Beritahu kepadaku apakah yang dimaksudkan dengan Iman?. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam menjawab: “Iman adalah kamu beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, hari akhirat serta beriman kepada taqdir Allah yang baik dan juga yang buruk”. Riwayat Muslim (1907)

 

Aqidah Islam merupakan suatu kepercayaan yang menyeru manusia untuk bersatu dan tidak berpecah belah. Malah, aqidah ini langsung tidak mengajar atau menyuruh manusia membeza-bezakan antara para Rasul yang diutuskan.


Umat Islam tidak disuruh untuk beriman kepada Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sahaja dan mengabaikan para Rasul yang lain. Aqidah Islam menyeru agar manusia beriman dengan setiap utusan Allah Subhanahuwata’ala tanpa ada sebarang pengecualian walaupun satu.


Bukanlah yang dimaksudkan dengan beriman dengan semua urusan Allah Subhanahuwata’ala ialah dengan kita menghafal nama-nama mereka satu persatu, akan tetapi yang dimaksudkan dengan beriman dengan semua Rasul ialah apabila kita menyakini dan tidak menafikan kerasulan mereka yang diutuskan oleh Allah Subhanahuwata'ala di muka bumi ini untuk menyebarkan aqidah yang membawa kepada maksud mengesakan tuhan iaitu Allah Subhanahuwata’ala. Berbeza dengan agama Kristian, penganut-penganut mereka hanya beriman dengan kenabian Nabi Isa ‘alaihissalam namun dalam masa yang sama menafikan sifat kenabian yang ada pada Nabi Muhammad Sallallahu'alaihiwasallam sebagai utusan-Nya yang akhir.


Firman Allah Subhanahuwata’ala,


لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْ رُسُلِهِ

Maksudnya:".....Kami tidak membeda-bedakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya”. Al-Baqarah ayat 285.



Friday, August 2, 2024

Asas Manhaj dan Dasar Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Asas Manhaj dan Dasar Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Asas Umum Ahli Ahli Sunnah Wal Jamaah.


1-Mengutamakan al-Quran dan al-Sunnah.


Ahli Sunnah Wal Jamaah meletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas utama dalam penghujahan. Al-Quran dan al-Sunnah adalah dasar dan penggunaan akal adalah penguat yang disandarkan kepada keduanya. Sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam,

 

تَركْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ، لَنْ تَضِلُّوْا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللَّهِ، وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ


Maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi Sallallahu'alaihiwasallam)”. Riwayat Malik (1594)


2-Menafsir ayat al-Quran dengan al-Quran.


Kaedah tafsir yang paling baik adalah menggunakan al-Quran. Imam Ibn Kathir menjelaskan:

“Method penafsiran al-Quran yang paling benar adalah, penafsiran al-Quran dengan al-Quran, jika anda tidak dapat menafsirkan al-Quran dengan al-Quran, maka hendaklah anda menafsirkannya dengan Hadith. Dan jika tidak menemukan penafsirannya dengan Hadith, maka hendaklah merujuk para sahabat, kerana mereka lebih mengetahui berdasarkan konteks dan keadaan  di mana hanya mereka yang menyaksikannya, selain itu mereka juga memiliki pemahaman yang sempurna, pengetahuan yang benar dan amal soleh. Namun jika tidak ditemukan juga, Maka kebanyakan para Imam merujuk kepada pendapat para tabi’in dan ulama sesudahnya.


2- Menafsir ayat al-Quran dengan al-Sunnah.


Sunnah atau hadith adalah sumber kedua tertinggi dalam Islam selepas al-Quran dengan hadith Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam merupakan cara kedua menafsirkan al-Quran sekiranya pentafsir tidak mendapat pentafsirannya dari ayat yang lain. Apa yang tidak dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran, akan dihuraikan didalam hadith. Misalnya, tatacara solat. Nabi Sallallahu'alaihiwasallam sama sekali tidak berkata-kata melainkan ianya daripada Allah jua. Firman Allah Subhanahuwata'ala,


وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ. إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ


Maksudnya:”Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)”. Al-Najm ayat 3-4.


3- Mengutamakan pendapat sahabat dan tabiin.


Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Nukhbat al-Fikar membuat kesimpulan berkaitan takrif sahabat dengan menyatakan, “Sahabat ialah mereka yang sempat bertemu dengan Nabi Sallallahu'alaihiwasallam, beriman dengan Baginda dan mati dalam keadaan Muslim”.


Tabiin pula ialah kelompok yang hidup selepas generasi sahabat dan tidak sempat hidup bersama dengan Nabi Sallallahu'alaihiwasallam.


Mereka adalah generasi Muslim terawal dan terbaik sebagaimana sabda Nabi Sallallahu'alaihiwasallam,


خَيْرُ أُمَّتِى الْقَرْنُ الَّذِينَ يَلُونِى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ


Maksudnya: “Sebaik-baik umatku ada yang kurun yang mana mereka menyertai aku kemudian orang yang datang selepas mereka kemudian orang yang datang selepas mereka…”. Riwayat Bukhari (3650).


3- Menggunakan kaedah-kaedah bahasa Arab dalam memahami Nas.


Tidak dapat tidak, al-Quran difahami menggunakan kaedah tatabahasa Bahasa Arab kerana ia sendiri diturunkan dalam Bahasa Arab;


إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ


Maksudnya:”Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al Quran dengan berbahasa Arab, agar kamu memahaminya”. Yusuf ayat 2.


4-Berpegang kepada zahir nas kecuali ada bukti ia tidak dikehendaki.


Salaf dan khalaf menggunakan kaedah tafwidh (serah bulat-bulat),


ٱمِرُهَاعلى ظَاه‍ِرُهَا


Maksudnya:”Lalu saja pada maksud (zahir)”.


Khalaf juga menggunakan kaedah Ta’wil,

الظَاه‍ِرُ لَيْسَ المُرَد


Maksudnya:“Tidak makan secara zahir”


Ta’wil berbeza dengan ta’til(sia-sia)


5-Tidak membincangkan terlalu mendalam dalam masaalah Iktikad yang tidak mungkin digunakan akal padanya.


6-Tidak berdebat dengan Ahli bid'ah atau duduk bersama mereka atau mendengar ucapan mereka atau mendengar sebarang syubhah yang mereka lontarkan. Inilah yang dinyatakan dalam Usual i’tiqad Ahli Sunnah Wal al-Jama’ah oleh al-Lalakaie.


7-Mengutamakan Tanzih (mensucikan Allah Subhanahuwata'ala Dari menyerupai makhluk dan dari mana-mana sifat kekurangan bahawa hakikat ketuhanan itu tidak terjangkau akal, sebagaimana maksud mukhalafatuhu lil hawadith dan taqdis (penyucian Allah Subhanahuwata'ala) dalam persoalan mutyabihat ( ayat-ayat yang mengandungi perkataan yang sama dengan makhluk). Firman Allah Subhanahuwata'ala,


لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ


Maksudnya:”....Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dialah yang Maha Mendengar dan Melihat”. Al-Syura ayat 11.

Thursday, July 25, 2024

Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

 Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

(أَهْلُ أَلْسُنَّةِ وَالْجَمَعَاعَةِ الأَشَاعِرَةُ وَالْمَاتُرِيْدِيَّةُ)


Definasi Aqidah


Aqidah merupakan paksi agama. Dengannya manusia selamat dari sebarang kegelinciran, syirik dan khurafat. Aqidahlah yang menjadikan seseorang itu benar-benar bahagia hidup di dunia dan di akhirat.


Di dalam kitab العقيدة أو لا لو كانوا يعلمون oleh Dr. Abdul Aziz al-Qari (Hal, 9-10) berkata: 

Aqidah atau iktikad menurut bahasa diambil daripada kata akar (عقد) ertinya menyimpul atau mengikat. Oleh itu, orang Arab berkata: (عقد الحبل) ertinya: Dia mengikat atau menyimpul tali. (عقد العمد) ertinya: Dia bersungguh-sungguh pada janjinya. (عقد اليمين) ertinya: Dia berpegang teguh dan setia pada sumpahya.


Dr Mustafa al-Khin dalam al-Aqidah Al-Islamiyah berkata: “Daripada itu pengertian tersebut digunakan sebagai anutan seseorang terhadap pemikiran dan pendapat yang diimaninya dan meresap ke dalam hati sanubari yang akhirnya membentuk tindak tanduk dan tingkah lakunya. Justeru itu, ada pendapat yang mentakrifkan manusia sebagai makhluk yang boleh dipimpin dari dalam dirinya sendiri iaitu segala kepercayaan dan sesuatu yang diimaninya.


Menurut kamus al-Misbah Al-Munir, perkataan Aku beriktikad demikian bermaksud Aku menambat hati sanubari kepadanya dan perkataan aqidah bermaksud sesuatu fahaman yang dianuti seseorang sehingga dia mempunyai pegangan yang baik Dan tidak diragui. 


Daripada pengertian tersebut, dapat difahami bahawa tidak semestinya aqidah itu sahih barulah dinamakan aqidah. Ini kerana adakalanya aqidah itu betul dan ia dinamakan aqidah yang sahih dan adakalanya aqidah salah dan dia dinamakan aqidah yang cacat.


Para ulama Islam menggunakan perkataan aqidah ini sebagai ilmu yang lazimnya bermaksud ilmu yang membahaskan perkara yang wajib diimani oleh seseorang dengan dalil yang sahih dan menyakinkan. Aqidah juga dinisbahlan kepada prinsip-prinsip agama itu sendiri yang sabit dalil yang kukuh.


Oleh itu, aqidah atau iktikad menurut bahasa dapat diertikan dengan simpulan atau ikatan atau bersungguh dan berpegang teguh. Atas dasar inilah timbulnya istilah akad nikah, akad jual beli dan sebagainya. Adapun aqidah atau iktikad menurut istilah agama atau syarak adalah berlainan dengan maksud bahasa. Secara umumnya ia bermaksud pegangan dan keyakinan yang jazim dalam hati tanpa keraguan.


Definasi Ahli Sunnah Wal Jamaah


Gelaran Ahli Sunnah Wal Jamaah pada suatu ketika dahulu digunakan untuk membezakan kumpulan terbesar kaum Muslimin dari kumpulan minoriti seperti Syiah, Muktazilah, Khawarij dan Murjiah. Gelaran ini ditujukan kepada pengikut tokoh-tokoh utama yang disepakati kesucian aqidah dan ketinggian fikahnya. Seperti Abu Hanifah, Malik, Sufian al-Tsauri, Abu ‘Amru al-Auaza’i, al-Syafie, Ahmad bin Hanbal,al-Bukhari dan lain-lain.


Dinyatakan berapa takrif atau definasi Ahli Sunnah Wal Jamaah:


Takrif Sunnah 


1- Pada Bahasa:


Diambil Dari perkataan sanna, yasinnu yang memberi maksud “menerangkan”.


Ia juga bermaksud jalan atau sirah atau cara ada terpuji atau hina dan keji. Lihat Lisan al-Arab, Mukhtasar Al-Sihah, al-Qamus Muhit, Madah Sunan.


2-Pada istilah:


Petunjuk yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, para sahabatnya samaada dalam ilmu, iktikad, perkataan, amalan dan taqrir(pengakuan).


Perkataan Sunnah juga memberi maksud apa-apa ya g menjadi Sunnah pada hukumnya dalam permasalahan ibadah dan iktikad. Ia bertentangan dengan maksud bid'ah. Lihat al-Wajiz fi Aqidah al-Salaf al-Soleh, hal. 23.


Takrif Jamaah


Pada bahasa ia diambil dari perkataan “jama” yang memberi maksud menghimpunkan sesuatu atau mendekatkan sebahagian dengan sebahagian yang lain. Ia berlawanan dengan perkataan perpecahan .


Perkataan Jamaah memberi maksud jumlah yang ramai dalam kalangan manusia. Juga memberi maksud kumpulan dalam kalangan manusia yang berhimpun dalam mencapai satu matlamat.


Jamaah juga ditakrifkan sebagai kumpulan manusia yang berhimpun dalam mencapai satu-satu urusan dan perkara. Lihat Lihat Lisan al-Arab, Mukhtasar Al-Sihah, al-Qamus Muhit, Madah Jama’.


Sebahagian ulama berpendapat perkataan al-Jamaah dengan adanya “al/ال” memberi maksud “lil ahdi” iaitu difahami oleh kita semua dengan Jamaah para sahabat yang mempunyai hubungan yang ampuh serta kukuh dengan Baginda Sallallahu'alaihiwasallam.


Ahli Sunnah Wal Jamaah pada istilah secara Murakkab atau Idhafi.


Tidak dapat ditentukan secara tepat bilakah bermulanya kewujudan Ahli Sunnah Wal Jamaah Ini, begitu juga tokoh yang memperkenalkannya. Ia berbeza dengan aliran Syiah Dan Khawarij kerana kedua-dua aliran ini muncul kerana isu politik kepemimpinan umat Islam. Disebabkan isu Ini, Syeikh Muhammad Zahrah di dalam kitabnya, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah meletakkan Syiah dan Khawarij sebagai parti politik terawal dalam srjarah umat Islam. 

.

Pada istilahnya mempunyai banyak ta’rifan antaranya:


Himpunan orang Islam yang terdiri Dari sahabat, tabiin dan yang mengikuti jejak langkah mereka dengan baik hingga kesudahan. Mereka bersepakat dalam mengikut Kitab dan Sunnah. Berjalan mengikut aturan Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam sama ada pada zahir dan batin. Lihat al-Wajiz Fi Aqidah al-Salaf al-Soleh, hal. 24.


Mereka yang berpegang dengan Sunnah Nabi Sallallahu'alaihiwasallam, para sahabatnya dan yang mengikuti mereka serta berjalan mengikut perjalanan mereka dalam aqidah, ucapan dan amalan. Mereka juga beristiqamah dalam mengikut Sunnah dan menjauhi daripada bid’ah. Mereka kekal untuk memenangkan Dan dimenangkan sehingga hari qiamat. Maka ikutan mereka adalah mendapat petunjuk sedangkan menyalahi mereka merupakan kesesatan. Lihat al-Wajiz Fi Aqidah al-Salaf al-Soleh, hal. 25.


Mereka ialah yang mengikut cara Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam, para sahabatnya dan sekali-kali tidak melakukan bid’ah dalam urusan agama disamping tidak menyalahi cara Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam. Lihat al-Insaf fi hakikat al-Auliya’ wa ma lahum min al-karamah wa al-taaf. Hal. 51.


Mereka berpegang dengan Sunnah seperti pegangan sahabat sebelum munculnya bid’ah seperti yang dilakukan oleh golongan Muktazilah, Syiah, Rafidhah dan lain-lainnya. Pemimpuin utama mereka iaitu 2 orang, iaitu:


1- Imam Abu Mansur Bin Muhammad Bin Mahmud al-Matiridi yang bermazhab Hanafi. Mempunyai kitab dan karya seperti kitab Tauhid, Maqolat dan kitab Takwilat al-Quran. Meninggal dunia pada tahun 333 Hijrah.


2-Imam Abu Hasan Ali Bin Ismail al-Asya’ri bermazhab Syafie yang lain pada tahun 262 Hijrah. Pada awalnya mengikut mazhab Jubbaei dalam fahaman Muktazilah selama hampir 40 tahun kemudian meninggalkannya serta membangkan fahaman Muktazilah berdasarkan hujah Sunnah. Beliau adalah pemimpuin utama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Meninggal dunia pada tahun 330 Hijrah. 


Imam al-Subki pernah berkata: “Ketahuilah bahawa Abu Hasan tidak mencipta pendapat atau mazhab baru. Beliau hanya menetapkan aqidah salaf dan memperjuangkan pegangan para sahabat Nabi Sallallahu'alaihiwasallam.


Sesungguhnya ramai orang keliru dan menuduh beliau membuat bid’ah dan membawa ajaran yang menyalahi pegangan salaf. Sebaliknya, mereka sangat tegar membela aqidah salaf dan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana pengiktirafan para ulama zaman ke zaman. Lihat Qawaid al-Fiqh, jilid 1. Hal,197.


Pengikut-pengikut Asy’ari ialah tokoh-tokoh Sunnah yang berjuang untuk membantah aliran-aliran bid’ah seperti Qadariyah, Rafidhah dan lain-lain. Sesiapa yang mencela mereka, Maka ia telah mencela ahli Sunnah. Para pemimpin kaum Muslimin wajib menghukum mereka agar tidak mengulagi perbuatan itu kembali. Lihat Tabaqat al-Fuqaha al-Syafi’iyyin oleh Ibn Katsir 2/24.


Imam Ibn Abidin dalam kitabnya yang masyur Rad al-Mukhtar ala al-Duraril Mukhtar telah berkata:


أَهْلُ أَلْسُنَّةِ وَالْجَمَعَاعَةِ الأَشَاعِرَةُ وَالْمَاتُرِيْدِيَّةُ


Maksudnya:” Ahli Sunnah Wal Jamaah, mereka adalah asya'irah (pengikut Abu Hasan al-Asy'ari) Dan al-Maturidiyyah (pengikut Abu Mansur al-Maturidi)”. 


Berdasarkan keterangan-keterangan telah diberikan, dapat kita fahami bahawa, mazhab aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah secara umumnya dinisbahlan kepada apa yang telah dijelaskan oleh para ulama di atas.


Dalam masa yang sama, para ulama mazhab seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal juga gigih berjuang mempertahankan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dari serangan musuh.


Imam Abu Hanifah telah menulis kitab

al-Fiqh al-Akbar Dan sebuah risalah berjudul al-Bahts ‘ala al-Istita’ah ma'a al-F’il. Kedua-dua karya Ini ditulis bagi mengkritik kesesatan aliran Qadariyah.


Imam al-Syafie pula telah menghasilkan sebuah risalah bertajuk Tashih al-Nubuwwah Wa al-Radd’ala al-Barahimah dan Risalah al-Radd ‘ala Ahli al-Ahwa’. Beliau menulis dua karya ini bagi menentang kebatilan aliran Brahmanisme dan Ahli al-Ahwa’.


Imam Malik terkenal kerana telah melibatkan diri dengan banyak siri perdebatan bagi mempertahankan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Beliau pernah ditanya tentang pengertian istiwa’ (Allah di atas arasy). Beliau menjawab, “Istiwa' itu majhul, caranya tidak boleh diimiginasi oleh ajal, mengimaninya wajib, bertanya tentangnya adalah bid’ah.


Imam Ahmad bin Hanbal menulis sebuah kitab yang diberi nama Risalah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ia menghuraikan dengan terperinci pelbagai aliran yang menyeleweng. Selain itu, beliau turut menulis sebuah buku iaitu al-Raad ‘ala al-Zanadiqah wa al-Jahmiyyah.


Akhir Kalam marilah kita sama-sama mempertahankan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah khususnya di Nusantara yang kita diami Ini, agar kita mendapat kerahmatan dari-Nya امين

Friday, July 19, 2024

Keutamaan Haji dan Umrah serta hukumnya

Keutamaan Haji dan Umrah serta hukumnya


Haji dan umrah adalah dua ibadah yang mulia, yang dikerjakan di tanah suci Makkah. Bahkan ibadah haji adalah salah satu dari lima rukun Islam. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya ibadah tersebut. Haji dan Umrah juga merupakan dua ibadah yang menguji kita untuk mengorbankan harta, tenaga dan juga mengorbankan hawa nafsu.


Ulama sepakat bahawa ibadah haji hukumnya wajib ‘ain bagi yang mampu. Allah Subhanahuwata’ala berfirman,

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

Maksudnya:”Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barang siapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam”. Ali Imran ayat 97.

Sebagaimana dimaklumi, ibadah haji adalah salah satu rukun Islam. Dari Abdullah bin ‘Umar radhiallahu’anhu, Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,

بُنِىَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya:”Islam dibangun di atas lima perkara: bersaksi tidak ada sesembahan yang berhak disembah selain Allah dan mengaku Muhammad adalah utusan-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, berhaji, dan berpuasa di bulan Ramadhan”. Riwayat Bukhari (8) dan Muslim (16).

Sebahagian ulama, seperti Al Hasan Al Basri, Nafi’, Ibnu Habib Al Maliki, menganggap kafirnya orang yang tidak berhaji padahal mereka mampu. Salah satu dalil mereka adalah riwayat dari Umar bin Khathab radhiallahu ‘anhu, beliau mengatakan,

مَن أطاقَ الحجَّ، فلم يحُجَّ فسواءٌ عليه مات يهوديًّا أو نصرانيًّا

Maksudnya:”Barangsiapa yang mampu berhaji namun tidak berangkat haji, maka sama saja apakah ia mati sebagai orang Yahudi atau sebagai orang Nasrani”. Ibnu Katsir dalam Tafsir-nya, 1: 387.

Perkataan semisal ini juga diriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib dan Abu Hurairah radhiallahu ‘anhuma. Namun, riwayat ini tidak secara tegas menunjukkan kafirnya orang yang tidak menunaikan ibadah haji. Oleh kerana itu, jumhur ulama tidak menganggap kafir orang yang tidak berhaji walaupun ia mampu. Dan ini adalah kesepakatan para sahabat Nabi. Abdullah bin Syaqiq Al ‘Uqaili rahimahullah mengatakan,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ شَقِيقٍ الْعُقَيْلِيِّ، قَالَ كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم لاَ يَرَوْنَ شَيْئًا مِنَ الأَعْمَالِ تَرْكُهُ كُفْرٌ غَيْرَ الصَّلاَةِ ‏.‏

Maksudnya:”Dahulu para sahabat Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam tidak memandang ada amalan yang boleh menyebabkan kekufuran jika meninggalkannya, kecuali solat”. Riwayat At-Tirmidzi (2622)


Syarat Wajib Haji


Para ulama menjelaskan bahawasanya ada lima syarat seseorang itu dikatakan telah dibebani dengan kewajipan haji. Jika lima syarat ini tidak terpenuhi, maka tidak ada kewajipan untuk berhaji. Syarat-syarat tersebut adalah:

  1. Beragama Islam

  2. Berakal, bukan orang gila

  3. Baligh, bukan anak kecil yang belum baligh

  4. Merdeka, bukan hamba sahaya

  5. Mampu (الاستطاعة): Berkemampuan di sini merujuk kepada aspek fizikal dan mental dalam melaksanakan ibadah haji dan umrah.


Orang gila dan kanak-kanak yang belum mencapai umur baligh tidaklah wajib untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah.


Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:


رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ


Maksudnya: “Tidak dicatat (amalan) dari tiga golongan: Kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga, dan orang yang gila sehinggalah dia sembuh”. Riwayat Abu Daud (4402)


Syarat mampu pula adalah sebagaimana difirmankan oleh Allah Subhanahuwata’ala,


وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا


Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya”. Surah ali-Imran ayat 97.


Dan hadith daripada Umar RA, seorang lelaki bertemu Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam dan berkata: 


يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا يُوجِبُ الْحَجَّ قَالَ: الزَّادُ وَالرَّاحِلَةُ 


Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Apakah antara sebab yang mewajibkan haji? Baginda bersabda: Ada bekalan dan kenderaan”. Riwayat at-Tirmizi (813) Ibn Majah (2896)


Berkemampuan yang dimaksudkan di sini ialah mampu menunaikan fardhu haji samada dengan sendirinya atau dengan pertolongan orang lain. Ini kerana ibadah haji dan umrah hanya diwajibkan ke atas orang yang berupaya dan berkemampuan.


Maksud berkemampuan dengan sendirinya ialah:


  1. Mampu mengadakan bekalan dan perbelanjaan untuk diri dan saraan nafkah mereka yang di dalam tanggungan dan yang ditinggalkan.

  2. Mampu mendapatkan kenderaan pergi dan balik.

  3. Aman perjalanan bagi diri dan harta daripada musuh dan wabak penyakit.

  4. Sihat tubuh badan.

  5. Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah. (Rujuk al-Idhah fi Manasik al-Haj, 1/96, al-Fiqh al-Manhaji, 2/123)


Manakala berkemampuan dengan pertolongan orang lain bermaksud seseorang itu telah cukup semua syarat untuk mengerjakan ibadah haji tetapi dia uzur kerana sakit dan tiada harapan sembuh atau terlalu tua dan orang yang telah meninggal dunia dan mampu mengerjakan haji semasa hayatnya. Maka mereka boleh mewakilkan kepada orang lain untuk menunaikan fardhu haji bagi pihak dirinya. (al-Fiqh al-Manhaji, 2/124)


Hukum Mahram


Manakala hukum menunaikan haji dan umrah tanpa mahram adalah terkait dengan hukum seorang wanita bermusafir tanpa mahram. Hukum asal bagi seorang wanita bermusafir tanpa mahram adalah tidak dibolehkan berdasarkan kepada beberapa hadith yang sahih. Di antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A. Beliau berkata bahawa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :


لَا تُسَافِرْ الْمَرْأَةُ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ


Maksudnya : “ Seorang wanita tidak boleh bermusafir tanpa ada mahram.”

Riwayat Al-Bukhari (1729) & Muslim (2391)


Begitu juga dengan riwayat yang lain bahawa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :


لا يَحِلُّ لامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ تُسَافِرُ مَسِيرَةَ يَوْمٍ إِلا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ


Maksudnya : “ Tidak boleh bagi seorang perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk bermusafir sejauh sehari perjalana kecuali bersamanya ada mahram”.

Riwayat Muslim (1339)


Di antara alasan tidak membenarkan wanita untuk bermusafir tanpa mahram adalah untuk menjaga keselamatan, memelihara kehormatan serta menjauhkan para wanita daripada fitnah sekiranya tiada mahram yang menemaninya. Namun jika perjalanan tersebut aman dan selamat, maka sebahagian para ulama membenarkannya. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith tersebut. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/500)


Para ulama ketika membincangkan berkenaan kemampuan untuk menunaikan haji dan umrah, mereka membahagikannya kepada dua iaitu kemampuan secara langsung iaitu yang terkait kepada dirinya seperti mempunyai kesihatan dan kewangan yang cukup.Yang kedua adalah kemampuan tidak langsung iaitu mempunyai kewangan yang cukup tapi tidak mampu untuk pergi kerana sakit dan sebagainya. Dia wajib untuk mengupah seseorang menunaikan bagi pihaknya.


Bagi wanita, para ulama menambahkan beberapa syarat iaitu yang pertama ditemani suami atau mahram atau wanita lain yang boleh dipercayai dengan jumlah paling kurang dua orang. Syarat yang kedua adalah wanita tersebut tidak berada di dalam iddah jika telah diceraikan. (Rujuk Fiqh Al-Manhaji ‘Ala Mazhab Al-Imam Al-Syafi’i, 1/150-151).


Namun begitu para ulama berbeza pandangan tentang syarat mahram untuk menunaikan haji dan umrah. Sebahagian ulama dari kalangan fuqaha mazhab Hanbali dan Hanafi menyebut bahawa disyaratkan bagi seorang wanita yang ingin menunaikan haji dan umrah untuk ditemani oleh suami atau mahram. Manakala ulama dari kalangan mazhab Syafi’i , Maliki, Al-Auza’i dan lain-lain tidak mensyaratkan mahram bahkan yang disyaratkan adalah aman dari segala ancaman. (Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/500).


Al-Bujairimi di dalam hasyiahnya menyebut jika perjalanan tersebut aman maka harus untuk wanita tersebut bermusafir seorang diri. (Rujuk Al-Tajrid Linnaf’i Al-‘Abid Hasyiah Al-Bujairimi ‘Ala Minhaj Al-Tullab, 6/35). 


Jika dilihat pada masa kini perjalanan menunaikan umrah atau haji tidak lagi seperti dahulu. Jika dahulu perjalanan terpaksa menempuh padang pasir atau menaiki kapal yang mengambil masa berbulan-bulan. Akan tetapi sekarang mereka yang ingin menunaikan umrah atau haji hanya perlu menaiki kapal terbang yang mengambil masa kurang dari 24 jam.


Adapun bagi mereka yang menunaikan haji atau umrah untuk kali kedua dan seterusnya, maka disyaratkan ada mahram bersamanya. Ini adalah pandangan jumhur para ulama (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 8/334 ; Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/104).


Dari keterangan di atas dapat disimpulan bahawa harus bagi seorang wanita untuk pergi menunaikan haji dan umrah tanpa mahram dengan syarat ditemani paling kurang oleh dua orang wanita yang boleh dipercayai. Adapun bagi mereka yang menunaikan umrah bagi kali kedua dan seterusnya maka mengikut jumhur para ulama perlu untuk ditemani oleh suami atau mahram.


Hukum Umrah


Para ulama sepakat bahawa ibadah umrah adalah ibadah yang disyariatkan dalam Islam. Namun mereka berbeza pendapat tentang hukumnya. Ulama Syafi’iyah dan Hanabilah berpendapat hukumnya wajib bagi yang mampu. Ulama Malikiyah dan Hanafiyah berpendapat hukumnya sunat. Pendapat yang rajih, umrah hukumnya wajib bagi yang mampu. Berdasarkan firman Allah Subhanahuwata’ala,


وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ


Maksudnya:”Sempurnakan haji dan umrah untuk Allah semata”. Al Baqarah ayat 196.


Dalam ayat ini, umrah digandingkan dengan haji yang hukumnya wajib. Demikian juga didahului dengan fi’il amr (kata perintah). Demikian juga dalam hadith dari ‘Aisyah radhiallahu ‘anha, beliau bertanya kepada Rasulullah Sallalallahu‘alaihiwasallam,


يَا رَسَوْلَ اللهِ، هَلْ عَلَى النِّسَاءِ جِهَادٌ؟ قَالَ: جِهَادٌ لاَ قِتَالَ فِيْهِ، اَلْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ.


Maksudnya:”Wahai Rasulullah, apakah ada jihad bagi wanita?” Beliau menjawab, “Bagi mereka ada jihad yang tidak ada peperangan di dalamnya, iaitu haji dan umrah”. Riwayat Ibnu Majah (2901).


Pada Hadith ini, umrah juga digandingkan dengan haji. Ini semua menunjukkan bahawa umrah hukumnya wajib bagi yang mampu. 


Justeru itu, bagi kaum Muslimin yang belum mampu berhaji namun mampu berumrah, hendaklah mereka tidak menunda-nunda untuk menunaikan ibadah umrah. Adapun yang mampu berhaji, dapat sekaligus menjalankan haji dan umrah dalam sekali perjalanan.


Syarat Wajib Umrah


Syarat-syarat mewajibkan seseorang itu untuk mengerjakan umrah sama adalah seperti syarat-syarat wajib haji.


Kewajipan Haji dan Umrah sekali seumur hidup


Kewajipan haji dan umrah, bagi yang mampu melakukannya, adalah hanya sekali seumur hidup. Dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


أَيُّهَا النَّاسُ قدْ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ الحَجَّ، فَحُجُّوا، فَقالَ رَجُلٌ: أَكُلَّ عَامٍ يا رَسولَ اللهِ؟ فَسَكَتَ حتَّى قالَهَا ثَلَاثًا، فَقالَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ: لو قُلتُ: نَعَمْ لَوَجَبَتْ، وَلَما اسْتَطَعْتُمْ، ثُمَّ قالَ: ذَرُونِي ما تَرَكْتُكُمْ، فإنَّما هَلَكَ مَن كانَ قَبْلَكُمْ بكَثْرَةِ سُؤَالِهِمْ وَاخْتِلَافِهِمْ علَى أَنْبِيَائِهِمْ، فَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بشيءٍ فَأْتُوا منه ما اسْتَطَعْتُمْ، وإذَا نَهَيْتُكُمْ عن شيءٍ فَدَعُوهُ


Maksudnya:”Wahai manusia, telah diwajibkan atas kalian berhaji, maka berhajilah”. Kemudian ada seorang yang bertanya, “Apakah setiap tahun, wahai Rasulullah?” Beliau tidak menjawabnya, sehingga orang tadi bertanya lagi hingga tiga kali. Barulah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menjawab, “Jika aku katakan “ya”, maka nescaya akan diwajibkan setiap tahun dan belum tentu kalian sanggup melakukannya. Maka tidak perlu membahas apa yang aku tidak singgung kepada kalian. Kerana sesungguhnya orang-orang sebelum kalian binasa akibat banyak bertanya dan banyak menentang para Nabi mereka. Jika aku perintahkan sesuatu, kerjakanlah darinya sesuai dengan kemampuan kalian. Jika aku telah melarang sesuatu atas kalian, maka tinggalkanlah”. Riwayat Muslim (1337).


Hadith ini menunjukkan bahawa kewajipan haji hanya sekali seumur hidup. Demikian juga umrah, kerana umrah disebut sebagai الحج الأصغر (haji kecil). Apabila seseorang itu telah menunaikan haji atau umrah yang wajib tersebut, maka ibadah haji dan umrah tetap boleh dilakukan kembali namun hukumnya adalah sunat.


Keutamaan Haji dan Umrah


1- Orang yang beribadah haji dijanjikan syurga dan umrah menggugurkan dosa.


Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahwa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


العمرةُ إلى العمرةِ كفَّارَةٌ لمَا بينَهمَا ، والحجُّ المبرورُ ليسَ لهُ جزاءٌ إلا الجنَّةُ


Maksudnya:”Satu umrah hingga umrah berikutnya adalah penggugur dosa-dosa di antara keduanya. Dan haji yang mabrur, tiada ganjaran bagi pelakunya melainkan syurga”. Riwayat Bukhari (1773) dan Muslim (1349).


2- Haji menghapuskan dosa-dosa.


Dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu, bahwa Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


مَنْ حَجَّ لِلَّهِ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ


Maksudnya:”Siapa yang berhaji ke Ka’bah, lalu tidak berkata-kata seronok dan tidak berbuat kefasikan, maka dia pulang ke negerinya sebagaimana ketika dilahirkan oleh ibunya”. Riwayat Bukhari (1521).


3- Haji dan umrah menghilangkan kefakiran.


Dari Abdullah bin Mas’ud radhiallahu’anhu, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda,


تَابِعُوا بَيْنَ الْحَجِّ وَالْعُمْرَةِ فَإِنَّهُمَا يَنْفِيَانِ الْفَقْرَ وَالذُّنُوبَ كَمَا يَنْفِى الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ وَالذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَلَيْسَ لِلْحَجَّةِ الْمَبْرُورَةِ ثَوَابٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ


Maksudnya:”Iringi umrah dengan haji atau sebaliknya, kerana keduanya menghilangkan kemiskinan dan dosa-dosa sebagaimana pembakaran menghilangkan karat pada besi, emas, dan perak. Dan tidak ada pahala bagi haji yang mabrur kecuali syurga”. An-Nasa’i (2629).


Umrah adalah Haji kecil


Al-Hafizh Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan,


واختلف في المراد بالحج الأصغر، فالجمهور على أنه العمرة


Maksudnya:”Para ulama berbeza pendapat tentang apa yang dimaksud dengan الحج الأصغر (haji kecil). Jumhur ulama mengatakan bahawa maksudnya adalah umrah” (Fathul Bari, 8: 178).


5- Mendapat keutamaan dari berbagai ibadah yang agung.


Dalam ibadah haji atau umrah ada berbagai ibadah yang agung yang memiliki keutamaan-keutamaan. Di antaranya: mengucapkan talbiyah, tawaf di Ka’bah, sa’i, minum air zam-zam, solat di Masjidil Haram, tahallul, dan ibadah-ibadah lainnya.


Demikian penjelasan ringkas tentang hukum dan keutamaan dari ibadah haji dan umrah. Semoga Allah Subhanahuwata’ala memudahkan kita untuk beribadah kepada-Nya dengan baik, termasuk memudahkan kita untuk berhaji dan umrah.














Hukum menunaikan umrah buat kali pertama

Hukum menunaikan umrah buat kali pertama   Hukum menunaikan umrah buat kali pertama adalah wajib (sekali seumur hidup) bagi setiap Muslim m...